Habib Ali di KLIA
Saya ada tabiat yang tak berapa elok. Saya ada banyak buku, tapi malangnya saya ini jenis yang makan masa agak lama untuk mengkhatamkan sesebuah buku. Tak kisahlah apa-apa jenis buku - baik bertemakan Islam, sains, novel, dan apa-apa sahaja. Ini bukan disebabkan saya beli tapi tak baca, tapi sebab saya beli buku agak banyak, dan kemudian baca buku A sikit, esok baca buku B sikit, lusa baca buku C sikit pula. Dengan kata lain, tabiat saya yang tidak elok ini ialah baca-buku-sana-sikit-sini-sikit.
Jadi, kalau saya ada 10 buah buku, dan satu buku saya ambil masa 1 bulan untuk baca, maka saya memerlukan 10 bulan untuk mengkhatam 10 buah buku tersebut. Selepas saya menonton video Habib Ali di KLIA, saya rasa saya patut tukar tabiat ini. Habib Ali menasihati kita supaya membaca satu buku sampai habis, dan kemudian barulah beralih ke buku yang lain pula. Dan cukuplah sekadar kita membaca sedikit sahaja setiap hari, tetapi istiqamah. Inilah caranya supaya kita betul-betul boleh menghayati ilmu yang kita kutip dari buku yang dibaca.
Mahu Cari Ilmu Banyak Mana?
Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam proses kita mencari ilmu adalah niat kita. Apa niat kita cari ilmu? Saya kadang-kadang berasa takut untuk mencari ilmu. Saya takut kerana apabila saya muhasabah, munasarawak, dan munabrunei diri saya, saya mendapati bahawa saya tidak mengamalkan segunung ilmu yang telah saya miliki dan pelajari. Ini cukup memalukan!Saya belajar dan tahu macam-macam. Saya mungkin tahu siapa yang meriwayatkan hadith ini, saya mungkin tahu apa status hadith itu - hasan, sahih, daif, maudhuk, marfu', mutawatir dan sebagainya, saya mungkin tahu 101 satu kitab berserta nama pengarangnya, saya mungkin tahu berbagai-bagai jenis hukum fiqh, saya mungkin tahu sehingga perkara yang sekecil-kecilnya dalam perbahasan bab-bab khilaf dan furu dalam agama. And the list is growing...
Tapi saya malu pada Allah dan diri sendiri kerana saya kadang-kala alpa untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang saya pelajari itu. Contohnya, saya hari-hari keluar masuk tandas, tapi sangat jarang saya membaca doa masuk dan keluar dari tandas, seperti mana yang Rasulullah sallahu alayhi wassalam ajar kepada kita semua. Nabi ajar kita doa ketika pakai baju, tapi boleh dikira dengan jari berapa kali saya amalkan doa tersebut, padahal saya tahu ilmu itu.
Kita Yang Tertipu
Kita selaku golongan yang mencari ilmu ini jangan ingat diri kita ini selamat dari tipu-daya syaitan. Kita cari ilmu banyak-banyak, dan kita sangka diri kita sudah menjadi lebih baik dari semalam.Ketahuilah bahawa hari ini lebih baik dari semalam hanya boleh berlaku jika ilmu yang kita kutip itu menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa kepadanya. Kita belajar ilmu hadith sehingga hafaz semua sanad hadith itu dengan sempurna adalah satu perkara yang sia-sia jika kita tidak beramal dengan isi hadith tersebut.
Saya selitkan di sini petikan tulisan Ustaz Nik Roskiman yang menghadiri ceramah Sheikh Nuh Ha Mim Keller di University of Glasgow, Scotland:
Pada hakikatnya ilmu itu bukan dilihat dari segi siapa yang memilikinya, tetapi ilmu yang membawa kepada takut dan mengagungkan Allah swt (English: awe/reverence). Tiada bezanya seorang professor Phd di sebuah Universiti yang tinggi ilmunya dengan seorang nelayan yang jahil jika ilmu itu tidak membawa kepada si pemiliknya merasakan kehebatan Allah swt.
Tidak guna jika seseorang itu habis membaca berpuluh atau beratus buku, hafal hadith-hadith, dan ayat-ayat al-Quran dan tahu siapa yang menulis kitab apa, dan banyak ilmu pengetahuan sehingga tahu setiap perkara sekecil-kecilnya, namun tidak beramal dengannya. Sedangkan seorang yang hanya tahu satu hadith sahaja tentang kelebihan solat berjemaah misalnya, terus beramal dengannya. Itu lebih mulia. Tahu kelebihan sedekah lalu terus bersedekah. Ilmu itu jika tidak digunakan ianya tidak berguna. Ilmu itu berguna dan bernilai hanya apabila ianya diamalkan. "Allah tidak melihat luaran kamu, tetapi hati dan amalan kamu". Dia melihat 'cermin hati' itu dan bersihkanlah cermin itu dengan amalan. Hanya cermin yang bersih sahaja yang akan mampu memancarkan kembali cahaya ilahi.
Baca teks lengkap di sini...
Oleh itu, pada bulan Ramadan yang mulia ini, ada baiknya kalau kita renung-renungkan diri kita. Tanya pada diri kita mengapa aku cari ilmu! Jangan kamu belajar tinggi-tinggi, tapi bila minum air, jarang-jarang baca Bismillah. Dan cari ilmu ini jangan sebab untuk berdebat atau bermujadalah dengan orang. ¶ Teruskan membaca entri ini »