Tulisan kali ini dinamakan Rojak Pulau Pinang kerana menyentuh beberapa isu dalam satu pos. Sebab lain mengapa saya menamakan Rojak Pulau Pinang adalah kerana saya sudah lama tak makan rojak.
Anak Kucing Yang Dipijak
Anda mungkin akan berasa hilang selera makan apabila membaca kisah kucing yang dipijak. Nak baca atau tidak, terpulang kepada anda. Kisahnya begini..
Saiz kucing tu lebih kurang besar ni, tapi warna kelabu asap.
Saya terjumpa beberapa keping gambar di internet - dalam 12 keping kalau tak silap. Kualiti gambar itu sangat baik, cuma saiznya agak kecil, tapi sudah cukup untuk memberitahu apa yang berlaku.
Gambar tu sebenarnya adalah koleksi keratan dari satu klip video. Gambar yang pertama memaparkan seorang wanita berbangsa Jepun membawa seekor kucing yang sangat comel. Kemudian dia meletakannya di atas lantai. Saya tak pasti sama ada kucing tersebut masih hidup atau pun telah dipengsankan menggunakan ubat pelali. Apa yang saya pasti, kucing itu kelihatan seperti redha sahaja dibaringkan di atas lantai.
Apa yang wanita itu lakukan kemudiannya, sudah cukup membuatkan darah saya menyirap, malah turut mengoren. Rasa nak pitam pun ada. Dengan memakai kasut tumit tinggi, wanita itu memijak-mijak kucing itu di bahagian kepalanya berulang-kali! Ada juga gambar yang mana wanita itu mencucuk mata kanan kucing itu dengan bahagian hujung kasut tumit tingginya.
Ini bukan pijak main-main. Pijak wanita itu pijak serius dan penuh azam. Sebab itulah akhirnya kepala kucing itu pecah dan darah pun mengalir, dan dia terus-menerus memijak kepala kucing itu sehingga lumat!! Kejam dan sadis sungguh. Apa yang buat saya lagi sedih, peristiwa ini memang sengaja dirakamkan. Malah ketika aktiviti memijak itu dilakukan, kamera memang sengaja diletakkan di paras buku lali. Sedihnya. Saya ada ceritakan kepada beberapa orang rakan saya, dan mereka juga sangat terkejut. Kejam sungguh manusia itu.
Kepada yang membaca kisah ini, saya nasihatkan agar janganlah suka forward gambar-gambar yang ngeri dan kejam- sama ada melibatkan haiwan atau pun manusia. Selalu sangat saya tengok orang yang suka forward di e-mel dan meletakkan di blog mereka gambar-gambar mangsa kemalangan yang mengerikan - kepala terputus, otak terburai, kepala hancur. Aduh ngerinya.. Gambar-gambar ngeri begini jika mahu diukur dari perspektif Barat, ia sama sahaja tarafnya seperti gambar-gambar lucah yang banyak terdapat di internet - yang mana secara undang-undang hanya boleh dipertontonkan kepada individu berumur 18 tahun ke atas. Tak boleh suka-suka nak forward gambar macam ini.
Apa faedahnya yang kita dapat dengan forward gambar-gambar begini? Orang yang sakit otak sahaja akan berasa gembira. Orang dah mati tu kita kenalah hormat. Kalau satu hari nanti, kamu mati dilanggar lori balak, dan kepala kamu hancur sehingga terburai-burai otak, dan kemudian ada orang ambil gambar mayat kamu yang ngeri itu untuk disebarkan di dunia internet, apa perasaan kamu?
Jemaah Centric dan Ummah Centric
Dah lama tahu isu ini. Bagi saya, ummah centric itu hanya satu mimpi di siang hari - tidak praktikal. Jemaah ini sifatnya saling-melengkapi. Biar sebanyak mana pun jemaah, asalkan matlamatnya adalah untuk menegakkan Islam dengan kaedah dan cara yang dipersetujui oleh ahlus sunnah wal jamaah. Kaedah berbeza, tapi matlamatnya sama.
Islam ini ada bermacam-macam keperluannya. Ada jemaah yang mengkhususkan dalam hal-hal penyucian hati, ada yang dalam hal-ehwal politik, ada yang menjaga kebajikan anak-anak yatim, dan lain-lain lagi. Semua jemaah ini memperjuangkan Islam, cuma kaedah sahaja berbeza. Fahamilah sifat saling-melengkapi dan bertolak-ansur, insya-Allah tiadalah persengketaan. Tapi jangan kamu menghukumkan sesat dan bidaah kepada jemaah yang tidak satu kapal dengan kamu sudahlah. Hentikan aktiviti menghantar jemaah lain ke Neraka!!
Kekadang, bila saya membaca tulisan yang mengatakan bahawa idea ummah centric ini telah mula menjadi bualan hangat para pelajar di IPT tempatan, saya berasa sinis dan sarkastik. Mengapa? Sebab saya tertanya-tanya, apakah ia menjadi bualan hangat majoriti pelajar IPT? Kalau setakat beberapa ketul sahaja dari puluhan ribu yang menghangatkannya dan kemudian sehingga gaduh siber dan mulut, bagi saya ia satu isu sampingan sahaja.
Di saat beberapa ketul pelajar IPT yang bertelagah isu jemaah vs ummah centric ini, ada berguni-guni pelajar yang ada mentaliti Aku Tak Pedulisme. Silap-silap kalau tanya pelajar IPT secara rambang, hanya 1 dari 10 sahaja yang tahu isu ini. Kita kena akui fakta bahawa begitu ramai para pelajar IPT yang masih tidak tahu solat, yang masih tergagap-gagap baca Al-Quran, yang masih jahil itu ini dalam ilmu fardu ain paling asas, yang suka kehidupan liar, yang ada sikap Aku Tak Pedulisme, yang sukakan berhibur sahaja dan lain-lain lagi.
Jadi, apa prioriti kita?
Apa Itu Protaz?
Kalau Majalah-I memperkenalkan istilah Protaz, maka saya akan memperkenalkan istilah Uspro. Kalau nak tahu, nantikan pos saya yang akan datang. Kita akan melihat betapa bahayanya Protaz dan Uspro kepada umat Islam apabila mereka tersilap langkah. Penulisan ini tidak akan begitu akademik - saya jamin, maka percayalah.
¶ Teruskan membaca entri ini »