Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    4 - Kriminal Dalam Ijtihad II

    27 Disember 2005 • 0 Komen
    Bab ini akan menjawab soalan pada bab yang lepas, iaitu: "Tidakkah kitab-kitab Hadith ini, dan juga Al-Quran sudah cukup untuk memberikan kita segala jawapan tentang permasalahan yang wujud?"

    Sebelum saya menjawab soalan ini, ada baiknya kalau para pengunjung baru membaca artikel-artikel sebelum ini kerana ulasan ini adalah bersiri. Sila baca:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    Berbalik kepada soalan tersebut. Jawapannya: Ya benar. Al-Quran dan segala kitab-kitab hadith yang muktabar adalah sumber utama dalam menyelesaikan apa sahaja permasalahan ummah. Ia menyampaikan banyak perkara tentang deen atau agama, seperti asas-asas Rukun Iman, hukum-hakam Islam secara umum, melakukan amar ma'ruf dan nahi mungkar, serta lain-lain lagi. Banyak perkara-perkara ini diterangkan secara umum tanpa dibutirkan secara terperinci.

    Apa yang menjadi persoalan di sini bukanlah prinsip-prinsip umum ini, tetapi seperti mana yang telah dijelaskan dalam bab Mengapa Perlu Bermazhab, yang paling penting adalah pemahaman (fiqh) kepada perkara-perkara ini. Oleh itu semua orang akan bersetuju jika teks-teks Al-Quran dan Hadith dalam terjemahan Bahasa Malaysia dan Inggeris, atau apa-apa bahasa selain Arab, adalah tidak cukup untuk memberikan kita pemahaman yang menyeluruh.

    Selain dari faktor kekangan bahasa, ada dua lagi faktor yang perlu diambil kira sebelum seseorang itu boleh mengeluarkan kesimpulan dan hukum-hakam daripada Al-Quran dan teks-teks hadith - iaitu dimensi LUAS dan dimensi DALAM.

    LUAS dan DALAM

    Dimensi luas adalah sebanyak mana seseorang itu tahu ilmu-ilmu yang ada pada semua teks yang diperlukan apabila ingin mengeluarkan sesuatu hukum. Sebagai contoh, tak cukup kalau anda sekadar mengetahui hadith-hadith Riwayat Bukhari sahaja tentang fiqh dalam hal-hal berkaitan hudud. Anda perlu juga mengetahui hadith-hadith berkaitan hudud dalam kitab-kitab Hadith muktabar yang dikarang oleh Imam-Imam lain, seperti Imam Muslim, Imam Tirmizi, Imam Abu Daud dan sebagainya, di samping mengetahui apa yang Al-Quran kata tentang hukum hudud.

    Dimensi dalam pula adalah sejauh mana seseorang itu memahami sesuatu hadith atau ayat-ayat Al-Quran. Walaupun seseorang itu mempunyai dimensi ilmu yang sangat luas - seperti telah menghafaz seluruh Al-Quran dan kitab-kitab hadith, kedalaman ilmu-ilmu yang telah dihafaz ini tidak begitu. Sila baca semula kisah Sheikh Nuh Ha Mim Keller yang didatangi oleh seorang tetamu ketika beliau berada di Jordan dalam bab Mengapa Perlu Bermazhab? Walaupun lelaki tersebut mengetahui hadith tersebut, tetapi oleh kerana ilmunya tidak dalam, maka dia telah tersilap tafsir hadith tersebut.

    Oleh itu, keluasan dan kedalaman ilmu adalah kemahiran paling penting apabila ingin mengeluarkan sesuatu hukum dari Al-Quran dan Hadith. Kemahiran inilah yang mampu menghubung-kaitkan apa jua ayat-ayat Al-Quran dan Hadith, walaupun ia kelihatan bertentangan di antara satu sama lain.

    Fitnah Apabila Ilmu Tidak Luas dan Dalam

    Saya berpendapat, ada 2 jenis fitnah yang akan timbul apabila seseorang yang ilmunya tidak luas dan dalam ingin mengeluarkan sesuatu hukum. Sebagai contoh nilai hadith dari Anas Bin Malik ini. Dalam hadith ini, Anas Bin Malik menceritakan sewaktu beliau dan Rasulullah saw menunggang kuda ketika pulang dari Khaibar, Rasulullah saw telah mendedahkan bahagian pehanya dan Anas Bin Malik nampak peha Rasulullah saw yang putih melepak itu [1].

    Fitnah pertama yang mungkin timbul: "Oh, nampaknya mazhab Hanafi, Shafie, Maliki dan Hanbali salah dalam membuat rumusan tentang aurat lelaki. Dalam hadith ini jelas menunjukkan peha bukan aurat sebab Rasulullah sendiri pernah mendedahkan bahagian pehanya. Jadi mengapa aku perlu mengikut mazhab, sedangkan aku sudah berjumpa dengan hadith sahih yang jelas menunjukkan peha itu bukan aurat! Jadi, boleh percaya ke dengan segala hukum-hakam dalam keempat-empat mazhab ini?"

    Dengan kata lain, fitnah pertama yang akan timbul apabila seseorang yang tidak luas dan dalam ilmunya ingin mengeluarkan hukum ialah: Wujudnya golongan-golongan anti-mazhab yang selalu mempertikaikan rumusan dan kesimpulan yang dibuat oleh para Imam Mujtahid dan ulama-ulama selepas mereka.

    Fitnah kedua pula yang mungkin timbul apabila seseorang itu berjumpa dengan hadith lain yang kelihatan bertentangan dengan hadith yang diceritakan di atas. Terdapat beberapa hadith lain, sama ada hasan atau sahih, yang menyatakan bahawa Rasulullah saw secara jelas menyuruh para Sahabat menutup bahagian paha kerana ia adalah sebahagian dari aurat. Al-Hakim melaporkan bahawa satu hari Rasulullah saw melihat Jarhad ra di masjid. Jarhad memakai jubah tetapi bahagian pahanya terdedah. Maka Rasulullah saw menegurnya, "Paha itu sebahagian dari aurat" (al-Mustadrak) [2]. Al-Hakim menyatakan bahawa hadith ini sahih. Imam Dhahabi mengesahkan kesahihan hadith ini (al-Talkhis) [3].

    Imam Baghawi turut merekodkan satu lagi hadith sahih yang mana satu hari Rasulullah saw berjalan melintasi Ma'mar ra, yang mana ketika itu pahanya telah terdedah. Rasulullah saw menegurnya dengan berkata, "Wahai Ma'mar, tutupilah paha mu kerana paha itu aurat." [4]. Selain itu, Imam Ahmad Bin Hanbal turut meriwayatkan satu lagi hadith bertaraf hasan yang mana Rasulullah saw turut menyatakan bahawa segala yang terdapat dari pusat dan lutut seorang lelaki itu adalah aurat [5].

    Oleh itu, fitnah kedua yang akan timbul ialah munculnya puak-puak anti-hadith. Hanya kerana mereka berjumpa hadith-hadith hasan dan sahih yang bertentangan, mereka terus berkata: "Hadith-hadith tidak boleh dipercayai sama sekali. Kita hanya boleh percaya kepada Al-Quran sahaja. Mari tolak hadith!!" Saya banyak berjumpa dengan golongan-golongan begini dalam Portal Astora Jabat.

    Apa Penjelasan Terhadap Fitnah Ini?

    Bagi golongan yang anti-mazhab, sebenarnya semua para Imam Mujtahid tahu akan hadith sahih tentang kisah Nabi pulang dari Khaibar itu. Begitu juga dengan para ulama agung yang lain dalam 4 mazhab dari dulu sehingga sekarang. Adalah mustahil selama beratus-ratus tahun para ulama dari keempat-empat mazhab ini, terlepas pandang hadith sahih yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari itu.

    Bagi golongan yang anti-hadith pula, sebenarnya para Imam Mujtahid ini lebih pintar dari anda. Hanya anda sahaja yang kurang ilmu - iaitu ilmu anda tidak luas dan tidak dalam. Kesemua para Imam Mujtahid tahu akan kesemua hadith-hadith yang disebutkan dalam bab ini. Mereka telah menggabungkan hadith Nabi pulang dari Khaibar itu dengan hadith-hadith yang kelihatan bertentangan dengan menggunakan kaedah iaitu: "Suruhan dan arahan lisan yang jelas dari Rasulullah saw diberikan prioriti daripada apa yang Baginda lakukan".

    InsyaAllah akan bersambung dalam "Kehandalan Para Imam Mujtahid". Bab ini akan menerangkan kaedah yang disebutkan diatas.


    Nota Kaki

    [1] Rujuk Kitab Sahih Bukhari, Buku #8, Hadith #367 untuk membaca matan hadith yang lengkap kerana hadith ini agak panjang.
    [2] Abu Abdullah Muhammad al-Hakim, al-Mustadrak 'ala al-Sahihayn [bersama al-Talkhis karangan Imam Dhahabi yang menilai hadith-hadith di dalamnya].
    [3] Ibid.
    [4] al-Husayn ibn Mas'ud al-Baghawi, Syarah as-Sunnah.
    [5] Ahmad Bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad Ibn Hanbal.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bigfoot, Taming Sari & MASTIKA

    6 Komen
    Pelik sungguh saya dengan akhbar Malaysia hari ini (atau sejak dulu memang begini?). Saya tidak begitu kisah jika akhbar-akhbar tabloid Malaysia menyiarkan cerita-cerita seram, tahyul, dan sebagainya. Tetapi jika akhbar-akhbar nasional kita (saya ulangi akhbar NASIONAL) menyiarkan berita-berita yang tidak relevan, saya rasa ia satu pembaziran media.

    Hari ini saya membaca beberapa lagi kisah-kisah tidak relevan pada akhbar nasional kita - Utusan Malaysia. Apa relevannya menyiarkan berita tentang misteri bigfoot yang didakwa muncul di Malaysia atau pun kisah seorang ahli perniagaan yang mendakwa memiliki keris Taming Sari pada bahagian "Dalam Negeri"? Ini tidak relevan sama sekali!! Kisah-kisah begini patut dimuatkan dalam majalah MASTIKA sahaja!

    Akhbar nasional adalah medium yang membentuk minda rakyat. Akhbar nasional Malaysia yang pertama, iaitu Utusan Melayu yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1938 di Kota Singa bertujuan untuk membangkitkan semangat perjuangan orang-orang Melayu. Hari ini akhbar yang sama sudah semakin lari dari tujuan asalnya.

    Pernah saya membaca laporan-laporan akhbar ini pada bahagian "Dalam Negeri" tentang kisah Mawi jadi juara AF3, kisah Erra dan Yusry yang tidak tinggal serumah, kisah Inul buat goyang gerudi. Apakah akhbar Utusan ini sudah tidak boleh lagi memuatkan berita-berita trivia ini pada bahagian hiburan? Mengapa mesti memampatkannya pada kolum "Dalam Negeri"?

    Satu lagi perkara pelik yang saya nampak pada akhbar-akhbar Melayu adalah apabila tibanya kisah-kisah kemalangan, mati lemas, dan sebagainya. Pasti laporan-laporan sedih ini ingin menunjukkan kes-kes kematian tersebut adalah agak aneh dan misteri. Tak percaya? Baiklah, lepas ini anda kaji sendiri. Perhatikan dalam laporan-laporan tersebut, pasti ada ayat-ayat seperti:
    1 - Arwah tidak pula menunjukkan perangai yang pelik sebelum dia meninggal
    2 - Patutlah anak saya tiba-tiba jadi manja semacam...rupanya dia dah nak pergi
    3 - Arwah tiba-tiba jadi kuat makan sebelum kemalangan
    4 - Patutlah anak saya itu beriya-iya sangat nak mandi sungai...selama ini dia tidak suka mandi sungai
    5 - Arwah tunang SMS saya sehari dalam 2 kali, tapi akhir-akhir ni, makin kerap pula dia SMS saya.
    Itu antara ayat-ayat lazim yang anda akan jumpa. Kadang-kadang, saya melihat wartawan-wartawan sendiri yang sibuk sangat nak cari 'hal-hal ganjil' sebelum si arwah mati. Jika tiada apa-apa 'hal-hal ganjil' untuk diceritakan, si wartawan berotak Mastika ini akan menulis, "Walau bagaimana pun arwah tidak menunjukkan perangai pelik sebelum meninggal dunia."

    Apahal kita sibuk-sibuk sangat nak cari 'hal-hal pelik dan ganjil' bila berlaku sesuatu kematian? Tak kisah sama ada anda nak masukkan cerita tu dalam akhbar nasional atau MASTIKA, tapi tak perlu nak kaji dan tulis benda-benda seperti itu. Kawan-kawan saya pun banyak melakukan 'hal-hal pelik'. Ada kawan saya yang tiba-tiba suka makan ayam goreng, padahal selama ni tak minat. Ada kawan saya yang tiba-tiba jadi periang, padahal selama ni tak begitu periang. Ada kawan saya yang selama ini jarang tidur, tapi tiba-tiba jadi kuat tidur. Ada anak-anak buah saya yang agak 'sombong' dengan saya, tapi tiba-tiba jadi sangat manja dengan saya. Dan mereka yang tiba-tiba berkelakuan 'aneh' ini masih hidup sehingga sekarang. Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia mereka.

    Kalaulah saya ini bukan rakyat Malaysia, tak akan saya buka laman-laman web akhbar-akhbar nasional Malaysia - walaupun saya ini fasih berbahasa Melayu. Saya tidak pernah jumpa lagi berita-berita kemalangan yang dimuatkan di BBC dan di CNN yang cuba mengaitkan dengan hal-hal aneh yang dilakukan oleh si mati sebelum dia menemui ajalnya. Tetapi hampir saban hari saya berjumpa dengan ulasan berita-berita sedemikian pada akhbar-akhbar kita.

    Saya lemas dengan berita-berita seperti ini. Saya khuatir, mentaliti para wartawan berotak MASTIKA ini akan meresap pada hati rakyat Malaysia (atau dah pun meresap?). Saya kira ia dah pun meresap kerana acapkali juga saya berjumpa dengan orang-orang yang suka sangat mencari kelakuan ganjil si arwah sebelum meninggal. Saya juga khuatir dengan tulisan para wartawan yang tak habis-habis mempromosikan AF, Malaysian Idol dan entah apa lagi tu, lebih-lebih lagi dalam komuniti masyarakat Melayu yang terlalu haus dengan hiburan. Mentaliti ini tidak membawa kemajuan kepada kita.

    PS: Oh ya, saya rasa Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar nasional lain patut mewujudkan Ruangan Paranormal.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    3 - Kriminal Dalam Ijtihad

    26 Disember 2005 • 2 Komen
    Secara ringkas, dalam dua bab yang lepas, kita sudah mengetahui bahawa orang awam biasa tidak boleh melakukan ijtihad sesuka hati - jika tidak, mereka akan melakukan jenayah atau kriminal dalam bidang keilmuan Islam.

    Sebelum membaca keseluruhan bab ini, bagi para pembaca baru, sila baca bab-bab sebelumnya bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi Muhammad saw telah bersabda:
    Apabila seorang hakim melakukan pengadilan dan berijtihad, dan betul, dia mendapat 2 pahala. Jika dia melakukan pengadilan dan berijtihad, dan salah, dia mendapat 1 pahala.

    Dalam hadith ini, perkataan 'ijtihad' atau 'berusaha untuk mendapatkan hukum' tidak bermakna sesiapa sahaja boleh melakukannya. Orang yang layak melakukan ijtihad adalah mereka yang memiliki pengetahuan yang sempurna tentang semua perkara yang telah Rasulullah saw ajarkan, iaitu perkara-perkara yang berkaitan tentang permasalahan yang timbul. Sesiapa yang melakukan ijtihad tanpa kelayakan ini, maka dia telah melakukan jenayah. Buktinya adalah dari satu hadith yang diceritakan oleh sahabat Nabi saw, iaitu Jabir Bin Abdullah ra:
    Kami dalam satu perjalanan, dan seketul batu telah menimpa salah seorang dari kami, dan ia menyebabkannya luka parah di kepala. Ketika tidur, lelaki itu telah mengalami mimpi basah, dan dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu jika ada kelonggaran bagiku untuk melakukan tayamum? [Bermakna melakukan tayamum sebagai ganti kepada mandi wajib]. Sahabat-sahabatnya menjawab, "Kami tidak menemui sebarang kelonggaran selagi kamu masih boleh menggunakan air."

    Maka lelaki itu melakukan mandi hadas besar, dan lukanya terbuka, dan lalu meninggal. Apabila kami bertemu Rasulullah saw, kami memberitahu Baginda perihal tersebut dan lalu Baginda bersabda, "Mereka telah membunuhnya, celakalah mereka! Mengapa mereka tidak bertanya sedangkan mereka tidak tahu? Kerana ubat bagi seseorang yang tidak tahu adalah bertanya..." (Hadith Hasan, Riwayat Abu Daud)
    Di dalam hadith ini, setiap umat Islam yang bertakwa mesti memahami hadith ini dengan baik, kerana Rasulullah saw telah menggunakan bahasa yang sangat keras. Oleh itu, mereka yang mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam tanpa ilmu yang cukup, maka ia adalah satu kriminal. Hal ini turut diperkukuhkan dalam satu hadith lain:
    Hakim ada tiga jenis: dua di Neraka dan satu di Syurga. Seseorang yang mengetahui kebenaran dan menghukum dengan sepatutnya, dia akan ke Syurga. Seseorang yang memberikan hukum sedangkan dia jahil, dia akan ke Neraka. Dan seseorang yang mengetahui kebenaran tetapi tidak berlaku adil dalam mengeluarkan hukum, dia akan ke Neraka. (Hadith Sahih, Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah)
    Oleh itu dalam hadith ini, ada dua jenis hakim (orang yang mengeluarkan hukum [1]) yang akan dicampakkan ke dalam Neraka. Bab ini membincangkan tentang "hakim yang mengeluarkan hukum sedangkan dia jahil" [2].

    Oleh itu, apabila anda berhadapan dengan sesuatu permasalahan agama, anda mesti berhati-hati. Jika anda ditanya seseorang tentang sesuatu masalah agama, dan anda tidak mengetahui jawapannya, katakan sahaja "Maaf, saya tidak tahu." Saya juga tidak menggalakkan anda mencari jawapan kepada masalah anda dengan belajar sendiri-sendiri tanpa ada guru, lebih-lebih lagi jika anda tiada ilmu agama yang asas. Tetapi, jika anda sudah sampai di tahap yang mana anda mampu untuk membuat penilaian, dan yakin anda tidak akan terpesong, maka saya persilakan anda berbuat demikian - tetapi anda mesti berhati-hati.

    Namun demikian, saya yakin jika anda mempunyai masalah, ramai yang akan merujuk kepada Al-Quran dan hadith-hadith dari Rasulullah saw. Kebanyakkan umat Islam di Malaysia memiliki terjemahan Al-Quran dan Hadith seperti Sahih Bukhari dan Muslim dalam Bahasa Malaysia. Ada orang yang berkata: "Tidakkah kitab-kitab Hadith ini, dan juga Al-Quran sudah cukup untuk memberikan kita segala jawapan tentang permasalahan yang wujud?"

    InsyaAllah bersambung dalam bab berikutnya: "Kriminal Dalam Ijtihad II".

    Nota Kaki

    [1] Sesiapa sahaja (iaitu termasuk orang biasa) boleh menjadi hakim, kerana secara literal, perkataan 'hakim' adalah 'orang yang mengeluarkan hukum'. Sesetengah individu berpendapat hanya orang-orang yang berilmu sahaja boleh menjadi hakim. Sebenarnya semua orang berpotensi. Tetapi, 'orang biasa yang kekurangan ilmu' yang ingin menjadi hakim akan menjadi 'seorang hakim yang jahil'.

    [2] Jenis hakim satu lagi yang akan dicampakkan ke dalam Neraka, iaitu 'hakim yang mengetahui kebenaran, tetapi tidak berlaku adil dalam mengeluarkan hukum' juga banyak berleluasa dalam dunia Islam hari ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    2 - Memahami Al-Quran & Sunnah

    23 Disember 2005 • 4 Komen
    Dalam bab yang lepas, iaitu Mengapa Perlu Bermazhab, kita sudah memahami bahawa ilmu yang ketiga iaitu fiqh, tidak boleh ditafsirkan oleh orang biasa yang tidak punya ilmu lengkap tentangnya. Jika tidak, ia akan membawa kepada kemudaratan.

    Sebagai analogi, kata kan anda selalu penat dan lemah badan, serta rasa tak bertenaga. Anda tidak boleh tanya kepada orang biasa yang tidak pernah belajar tentang ilmu perubatan. Jika tidak, jawapan yang aneh, pelik, serta tidak relevan akan diberikan. Contohnya seperti: Kena buatan orang, sebab kerja kuat sangat, tak minum Tongkat Ali, fikir banyak sangat masalah dunia dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu berjumpa doktor untuk mencari sebab yang pasti lagi sahih. Ini kerana wujud banyak faktor yang boleh membawa kepada lemah badan dan selalu rasa tidak bertenaga, seperti: Buah pinggang gagal berfungsi, kanser pada kelenjar thyroid, kurang garam dalam badan, pankreas yang menghasilkan insulin gagal berfungsi, dan lain-lain lagi.

    Oleh itu, hanya doktor (dan bukan orang biasa) yang dapat mencari punca penyakit tersebut. Begitu juga dalam permasalahan agama. Hanya para ulama yang berpengetahuan tinggi (dan bukan orang biasa) mampu mengeluarkan ijtihad. Oleh itu adalah menjadi satu kesalahan apabila kita menyuruh orang awam melakukan ijtihad sendiri apabila mereka berjumpa dengan hadith-hadith sahih yang kelihatan bertentangan dengan mazhab mereka [1].

    Pembahagian Tugas

    Allah telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa fiqh, iaitu pemahaman terhadap Al-Quran dan Sunnah, memerlukan satu komuniti khas untuk belajar dan kemudian mengajarkan kepada yang lain. Allah berfirman di dalam Surah At-Taubah, ayat 122 yang bermaksud:
    "Tidak patut semua orang Beriman pergi berperang. Mengapa tidak sebahagian dari mereka mara (ke medan perang), supaya mereka yang tinggal dapat memahami agama, dan memberi amaran (mengajar) apabila (yang pergi berperang itu) pulang..."
    Dalam ayat ini, frasa "Li yatafaqqahu fi deen" yang bermaksud "untuk memahami agama" digunakan [2]. Kalimah "Yatafaqqahu" datang dari perkataan 'fa-qof-ha', iaitu fiqh - yang bermaksud memahami. Oleh itu, berdasarkan ayat ini, ilmu ketiga yang dapat dicedok dari Al-Quran dan Sunnah, iaitu fiqh, memerlukan satu golongan atau komuniti yang layak dan terlatih. Dan ia mestilah dilakukan dengan berhati-hati.

    Jadi, apabila kita berhadapan permasalahan dalam agama, kita wajib bertanya kepada mereka yang lebih tahu. Allah berfirman di dalam Surah Al-Nahl ayat 43 yang bermaksud:
    "Tanya kepada mereka yang lebih tahu jika kamu tidak tahu."
    Dalam ayat ini, frasa "mereka yang lebih tahu", iaitu "ahli zikir" [3], membawa maksud "mereka yang memiliki ilmu tentang Al-Quran dan Sunnah", yang mana para Imam Mujtahid mendapat tempat teratas dari kalangan mereka yang tahu dan faham tentang Al-Quran dan Sunnah.

    Masalah Bahasa Arab

    Oleh kerana Al-Quran dan Hadith adalah berbahasa Arab, maka ini akan menambahkan kesukaran lagi bagi seseorang yang 'ajam (iaitu tidak tahu berbahasa Arab) untuk memahami Al-Quran dan Sunnah. Kalau pun anda memang handal berbahasa Arab, belum pasti lagi ilmu bahasa Arab anda setanding dengan tahap linguistik penduduk Arab ketika zaman Rasulullah saw. Bahasa Arab waktu tersebut berada di puncak.

    Seperti mana Bahasa Inggeris berada di zaman puncaknya ketika zaman William Shakespeare. Walaupun saya mampu memahami Bahasa Inggeris moden dengan mudah, tetapi apabila saya membaca karya-karya Shakespeare dan dari penulis yang sezaman dengan beliau, ia adalah satu kerja yang memayahkan! Berkali-kali saya merujuk kamus dan berkali-kali juga saya membaca ayat yang sama untuk memahami apa yang Shakespeare ingin sampaikan. Hal ini turut berlaku kepada mereka yang berlidah Inggeris dan ini adalah satu realiti - tiada siapa yang dapat menafikannya.

    Oleh itu, untuk memahami Al-Quran dan Sunnah dengan jayanya, seseorang mujtahid itu mesti memiliki ilmu bahasa Arab yang sempurna - iaitu sama seperti yang digunakan oleh generasi Arab yang awal. Kelayakan ini, yang mana tidak dipunyai oleh semua orang yang hidup pada hari ini, termasuklah generasi Arab moden, bukanlah topik utama perbincangan ini. Tetapi, jika pun wujud umat Islam yang memiliki ilmu dan lenggok bahasa Arab yang asli, mampukah mereka untuk membuat deduksi dan kesimpulan daripada Al-Quran dan Sunnah, jika mereka tidak pernah mendapat latihan dan ilmu kepakaran dalam bidang ijtihad?

    InsyaAllah akan bersambung dalam bab "Kriminal Dalam Ijtihad". Nantikan.

    Nota Kaki

    [1] InsyaAllah saya akan menulis tentang kehandalan ilmu para Imam Mujtahid dalam bab-bab yang akan datang. Jadi anda akan dapat melihat bagaimana hadith-hadith sahih yang sekali pandang nampak seperti bertentangan dengan apa yang terdapat dalam mazhab anda, sebenarnya ia tidak bertentangan sama sekali. Malah para Imam Mujtahid sebenarnya mengetahui hadith sahih tersebut.
    [2] Sila rujuk Surah At-Taubah, 122 untuk melihat frasa asal dalam bahasa Arab.
    [3] Sila rujuk ayat yang dimaksudkan di dalam Al-Quran.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    1 - Mengapa Perlu Bermazhab?

    21 Disember 2005 • 11 Komen
    Assalamualaikum.

    InsyaAllah siri ini akan memperjelaskan dan menjernihkan salah faham umat Islam hari ini terhadap banyak persoalan mazhab. Antara persoalan-persoalan yang akan disentuh adalah seperti ijtihad para Imam yang empat, persoalan taklid, bida'ah dalam Islam, dan pelbagai lagi topik yang saya rasa perlu diperjelaskan. Nantikan sahaja hingga siri ini tamat. Apa pun, saya serahkan kepada pembaca untuk komen artikel saya ini jika ada sebarang kesilapan dan kekurangan.
    ---

    Dalam Islam, kemunculan empat buah mazhab utama iaitu Hanafi, Shafi'e, Hambali dan Maliki tidak dianggap sebagai sebuah perpecahan. Sejarah telah membuktikan bahawa wujud kerjasama yang harmoni di antara para ulama dari keempat-empat mazhab ini. Dari segi akidah, keempat-empat mazhab ini mempunyai pendirian yang sama. Cuma apa yang membezakan adalah dari segi hukum fiqh. Namun demikian, harus diingat bahawa fiqh empat mazhab ini adalah sama sebanyak 75% dari segala aspek fiqh [1].

    Selama lebih 1,000 tahun umat Islam sekadar bermazhab tanpa banyak soal. Tiada mazhab tertentu yang wajib diikuti, tetapi kebanyakkan mereka tahu adalah menjadi satu kewajiban untuk mengikut salah satu Imam dalam menjalani ibadah seharian sebagai seorang Muslim. Namun demikian, hari ini keadaan sudah berbeza.

    Ramai yang bertanya: "Kenapa kita perlu bermazhab? Apakah ia wajib?" Dengan kata lain, sebab-musabab kita bermazhab sudah semakin dilupakan. Sehingga ada yang berkata: "Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw adalah maksum, sedangkan para Imam mujtahid tidak maksum. Jadi, apa kepentingan Imam-Imam ini, apabila kita memiliki Al-Quran dan Sunnah?"

    Soalan-soalan seperti ini memerlukan jawapan yang segera. Hari ini kita dapat melihat banyak pertelingkahan dan ketidaksefahaman yang berlaku di sana-sini. Ia adalah kesan pertembungan dua jenis fikiran yang agak berbeza. Oleh itu, kita perlu kembali kepada perkara asas dan kemudian bertanya kepada diri kita bagaimana Allah mengkehendaki kita untuk memahami dan kemudian melaksanakan perintah-Nya.

    Ilmu Al-Quran & Hadith

    Ilmu yang dapat dicedok dari Al-Quran dan hadith terdiri dari beberapa jenis. Pertama dan yang paling penting adalah yang berkaitan dengan iman, iaitu ilmu tentang Allah dan segala sifat-Nya, dan juga rukun-rukun Iman yang lain seperti kepercayaan kepada Nabi dan Rasul, kedatangan Hari Kiamat dan sebagainya. Setiap umat Islam boleh dan malahan wajib mendapatkan ilmu ini dari Al-Quran dan Sunnah.

    Begitu juga dengan ilmu jenis kedua - iaitu yang tidak berkait dengan iman, tetapi berkait tentang amal. Ia seperti seruan melakukan amar ma'ruf dan nahi mungkar, mengelakkan maksiat, mendirikan solat, memberi zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan lain-lain lagi. Semua orang mampu belajar dan memahami ilmu yang agak umum ini.

    Ilmu Yang Ketiga

    Jenis ilmu ketiga pula adalah tentang butiran terperinci sesuatu ibadah dalam Islam. Walaupun semua orang boleh memahami dua jenis ilmu pertama dari Al-Quran dan Hadith, tetapi hal ini tidak berlaku pada ilmu yang ketiga. 'Proses pemahaman ilmu ketiga' ini mempunyai nama khas, iaitu fiqh, atau secara literal bermaksud 'memahami'.

    Dalam konteks ini, manusia mempunyai kapasiti yang berbeza-beza. Satu hari Sheikh Nuh Ha Mim Keller didatangi oleh seorang tetamu ketika di Jordan, beliau bertanya kepada tetamu itu mengapa masih tidak menunaikan haji lagi. Tetamu itu menjawab dengan memetik satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik iaitu:
    Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang bersolat Subuh berjemaah dan kemudian duduk dan berzikir sehingga naik matahari, dan kemudian bersolat dua rakaat, akan mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah...." (Hadith Hasan, Riwayat at-Tirmizi)
    Tetamu tersebut melakukannya setiap pagi, dan percaya bahawa dia telah mengangkat kewajiban menunaikan haji, dan tidak perlu baginya lagi untuk pergi ke Mekah. Sheikh Nuh Ha Mim Keller kemudian memperjelaskan kepada tetamunya itu tadi tentang beza di antara mendapat pahala disebabkan melakukan sesuatu amalan, dengan mengangkat sesuatu kewajiban dalam Islam dengan melakukan amalan tersebut. Tetamu itu akhirnya dapat melihat poin penting tersebut.

    Jadi, pengajaran penting yang dapat diambil di sini ialah: Walaupun Al-Quran dan Sunnah adalah maksum, iaitu terpelihara dari sebarang dosa dan kesilapan, pemahaman tentangnya tidak begitu. Oleh itu seseorang yang cuba untuk mengeluarkan hukum dari Al-Quran dan Hadith tanpa mendapat sebarang ilmu dan latihan dalam bidang ijtihad, akan bertanggungjawab pada Hari Kiamat kelak. Seperti mana seorang doktor amatur yang tidak pernah memasuki sekolah perubatan, akan dipertanggungjawabkan jika dia melakukan sebarang pembedahan dan seseorang 'terkorban' melalui pisau bedahnya.

    InsyaAllah siri ini akan bersambung. Nantikan episod berikutnya yang bertajuk: "Memahami Al-Quran & Sunnah"

    Nota Kaki

    [1] Reliance of Traveller oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Dipetik dari bahagian mukadimmah penterjemah. Beliau turut memuatkan beberapa nota ringkas tentang beberapa isu penting. Kitab asal bertajuk 'Umdat al-Salik oleh Ahmad ibnu Naqib al-Misri. Walaupun Reliance of Traveller adalah sebuah kitab terjemahan, tetapi Universiti Al-Azhar turut mengiktiraf kitab ini berdasarkan kualiti terjemahannya yang sangat bagus.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    I'm Asking Too Much For This World

    16 Disember 2005 • 6 Komen

    Photo by Brother Haron Sellars from Zaytuna Institute.


    I think I'm asking too much for this world. I rarely satisfy with what I have. When I listen to this short lecture (around 4 minutes) given by Sheikh Hamza Yusuf, I'll think about the state of my heart - extra works need to be planned and executed. I must clean my heart and this has become my primary aim. Only one question left..when?

    Below is the transcript of the lecture - of course, just a part of it:
    Abu Hazim r.a. said:

    "If you seek in this world what suffices you, then you should know that least of this world would suffice you. And if you seek from this world what will fulfill you, and you are not fulfilled by what suffices you, there is nothing in this world that would fulfill you."

    It seems confusing? You want an explanation? Just download the lecture and listen. Sheikh Hamza Yusuf speaks well. You may download the lecture HERE. Or you may go HERE to see the complete list of free lecture published by Zaytuna Institute. I did listen to this lecture quite frequently.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Wahabbi 4 - Laman Web Bahaya & Sikap Suka Menyesatkan!

    13 Disember 2005 • 52 Komen


    Saya rasa ada baiknya juga jika saya menyenaraikan beberapa laman-laman web Wahabbi yang harus kita elakkan. Saya akan kemaskini dari masa ke semasa. Sila beritahu saya jika anda tahu laman-laman web lain yang mesti dielakkan - sama ada untuk mengelakkan salah faham atau kerana laman tersebut begitu mudah menyesatkan sesuatu golongan. Buat masa ini, saya tidak tahu (atau mungkin terlepas pandang) laman-laman web Malaysia yang memiliki fahaman Wahabbi yang agak keras.

    1) Fatwa-Online
    2) Allaahuakbar.Net
    3) SalafiTalk
    4) Laman Sheikh Al-Albani
    5) Laman Sheikh Bin Baz
    6) Laman Sheikh Ibnu Utyahmeen
    7) Laman Bilal Philips

    Tujuan saya menyenaraikan adalah supaya anda tidak terpengaruh dengan dakyah mereka yang begitu mudah mengelaskan saudara seIslam mereka sebagai sesat atau deviant. Kebanyakkan orang Malaysia yang berjinak-jinak dengan fahaman Wahabbi tidak begitu tahu betapa 'teruknya' fahaman ini. Jika anda duduk di luar negara atau cuba untuk mengetahui perkembangan Islam secara global, maka anda akan tahu mengapa saya mewujudkan topik ini.

    Macam-macam perkara nak dilabelkan sebagai bida'ah dan wajib dihapuskan. Buka majlis dengan surah Al-Fatihah pun ditegur bida'ah. Berzikir guna biji tasbih pun bida'ah juga. Membaca qasidah yang memuji-muji Nabi SAW juga bida'ah. Duduk berzikir dan berdoa selepas solat juga dikatakan bida'ah oleh sesetengah Wahabbi [Berdasarkan pengalaman Ustaz Fauzi ketika bersolat di Masjidil Haram (atau Masjid Nabawi, maaf saya tak ingat)].

    Tentang menuduh orang sebagai sesat, ini lagi satu perkara yang haru-biru. Kita sendiri tidak menuduh mereka sebagai sesat. Saya tidak kisah jika mereka menuduh mana-mana kumpulan/fahaman sebagai sesat jika ia menjadi ijmak para ulama sedunia. Oleh itu, saya sertakan beberapa contoh golongan/fahaman yang mereka tuduh sesat.

    1) Jemaah Tabligh

    - Ulasan dari Allaahuakbar.Net
    - Ulasan dari Fatwa-Online

    Kumpulan jemaah tabligh yang banyak berjasa kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia ini mereka katakan sesat? Walaupun saya tidak berapa ' ngam dan masuk' dengan jemaah tabligh ini, tetapi mengatakan mereka sesat adalah tidak sama sekali.

    2) Sufi

    - Ulasan dari Allaahuakbar.Net

    Di Allaahuakbar. Net, mereka turut menyatakan bahawa Sheikh Hamza Yusuf dan Sheikh Nuh Ha Mim Keller sebagai The Modern Deviated Sufi!!! Maka akhirnya saya menjadi tidak hairan apabila Bilal Philips menuduh secara terbuka bahawa Sheikh Nuh Ha Mim Keller sebagai melakukan syirik. Dr Said Ramadan Al-Buti pun dilabelkan sesat juga. Na'uzubillah... Nampaknya, Hassan Al-Banna pun sesat jugalah jika mengikut kayu ukur fahaman Wahabbi. Jadi saya rasa bagi Wahabbi tegar, mungkin tak mahu baca langsung tulisan saya ini kerana saya banyak menggunakan pendapat-pendapat Sheikh Hamza Yusuf, Sheikh Nuh Ha Mim Keller, dan ulama-ulama tradisional yang lain.

    Kenapakah Wahabbi ini membenci ajaran Sufi dan Tasawwuf yang menekankan pembersihan dan penyucian hati ini? Jawapan umum mereka mudah sahaja: "Kerana ia bukan dari Rasulullah saw, ajaran Islam dah sempurna dan tak perlu sufi. Ini semua bida'ah."

    Tapi apakah mereka lupa bahawa ramai ulama-ulama agung yang memiliki pengetahuan mendalam tentang ilmu tasawwuf atau kesufian ini? Contohnya, Imam Nawawi, Taqiyuddin Al-Subki, dan Imam Suyuti. Wahabbi bilang, sufi dan tasawwuf ini sesat. Jadi apakah Imam Nawawi itu sesat? Saya berani bilang, andai Imam Nawawi masih hidup pada hari ini, tiada seorang ulama pun yang ada pada zaman ini yang mampu menandingi beliau dari segi keilmuan, kewarakan, kezuhudan, dan segala macam sifat lagi.

    Dan lupakah mereka bahawa Hasan Al-Basri, salah seorang tokoh terkenal Islam, dilahirkan pada kurun Salaf, juga adalah seorang ahli sufi?

    Semestinya, saya tidak menafikan wujud sufi yang terpesong dan terlampau. InsyaAllah, ia akan turut menjadi fokus saya di akan datang.

    3) Gerakan Ikhwanul Muslimin

    - Ulasan dari Allaahuakbar.Net

    Saya rasa ramai umat Islam di Malaysia yang tertarik dengan fahaman Wahabbi, tidak tahu bahawa Wahabbi ini juga menuduh Gerakan Ikhwanul Muslimin yang digagaskan oleh As-Syahid Hassan Al-Banna, yang juga merupakan seorang ahli Sufi, sebagai sesat. Fikirkan semula wahai umat Islam di Malaysia kalau anda ini sangat terpengaruh dengan doktrin Wahhabi ini yang suka sangat menuduh orang sebagai pembuat bida'ah yang sesat.

    Adalah sesuatu yang kelakar kalau anda ini menjadikan Hassan Al-Banna sebagai tokoh yang anda kagumi, tetapi pada masa yang sama, terpengaruh pula dengan fahaman Wahabbi.

    4) Asha'ari dan Maturidi

    Secara ringkas, mazhab Hanafi, Hambali, Shafie dan Maliki mengambil doktrin akidah Asha'ari dan Maturidi. Saya tidak mahu menceritakan panjang lebar di sini tentang doktrin tersebut buat masa ini. Cuma anda perlu tahu bahawa Asha'ari dan Maturidi adalah doktrin akidah yang digunapakai dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perbezaan dua doktrin ini adalah pada perkara minor sahaja. Anda boleh baca lebih lanjut jika mahu tentang doktrin tersebut di sini.

    Tetapi, mengapakah puak-puak Wahabbi dalam laman web Allaahuakbar.Net itu meletakkan Asha'ari dan Maturidi di bahagian Guard Your Faith?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    IJN & Kementerian Kesihatan

    09 Disember 2005 • 10 Komen
    Saya sedang mencari statistik nisbah pesakit jantung di Malaysia. Saya fikir, saya boleh dapat maklumat tersebut di Institut Jantung Negara (IJN) atau paling tidak pun di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi saya inilah cara paling mudah dan enteng sekali.

    Saya pun Google perkataan 'Institut Jantung Negara' dan 'Kementerian Kesihatan'. Saya klik. Lama sungguh loading. Saya fikir bandwidth laman-laman tersebut sudah nazak. Rupa-rupanya, laman tersebut tidak boleh masuk langsung!!

    Cuba anda klik. Kalau boleh beritahu saya. Saya dah malas nak cuba. Dah dekat 5 kali cuba, tak dapat-dapat: Kementerian Kesihatan, Institut Jantung Negara. Saya cuba pula ke laman myGovernment, iaitu www.gov.my, pun 'down' juga!!

    Bila saya fikir balik, malu pula kadang-kadang nak mengaku ada Cyberjaya di Malaysia. Di sana ada MSC yang dikatakan mampu menandingi Lembah Silikon di Amerika. Tapi, bila saya melihat perkembangan telekomunikasi dan Internet di negara ini, saya fikir India lebih baik..haha!

    Sudahlah bil telefon mahal dan pakej tak menarik (sebab syarikat Telekom jadi sangat dominan, seperti kes Microsoft), broadband pula mahal (sebab tak banyak syarikat jalur lebar di Malaysia), dan yang paling penting adalah kecelaruan dan kerojakkan sistem penyimpanan maklumat di Malaysia.

    Sehingga sekarang masih belum ada badan yang benar-benar berusaha untuk menyimpan segala database yang penting tentang Malaysia, seperti statistik dalam bidang kesihatan. Saya rasa sungguh tidak patut apabila laman-laman web kerajaan 'down'. Ini bukan pengalaman pertama, malah berkali-kali.

    Laman-laman web kerajaan sepatutnya tidak boleh selalu 'down' sebab rakyat ingin mendapatkan maklumat. Dan ia juga tidak boleh direka sambil lewa, baik dari segi sekuriti atau aspek user interface. Setakat ini, saya tidak pernah suka langsung dengan interface laman-laman web kerajaan - hodoh dan menyusahkan. Orang kata, kita ada ramai graduan IT yang menganggur. Kenapalah tidak diambil graduan-graduan IT itu untuk dikhaskan menjaga laman-laman web kerajaan supaya kemas, teratur, sentiasa 'up' dan tidak 'down', dan sentiasa dikemaskini.

    Dan yang paling penting adalah sistem sekuriti. Mesti anda masih ingat beberapa bulan lepas apabila hackers Indon menyerang laman web kerajaan dengan begitu gampang (bermaksud mudah dalam bahasa Indonesia) sekali. Apa akan jadi kalau hackers Indon ini berjaya hack atau pecah masuk sistem Jabatan Pendaftaran Negara? Silap-silap, ramai pula pendatang-pendatang haram yang berjaya mendapatkan MyKad dengan tanpa perlu berkhemah awal-awal pagi di pintu masuk pendaftaran cawangan JPN.

    Kita kan ada MSC. Apa yang kita sudah dapat dari MSC ini? Kemajuan IT? Atau hanya ingin dapat nama? Mari kita pertimbangkan.

    P.S: Akhirnya saya jumpa maklumat tersebut di sini - iaitu laman web yang bukan didirikan oleh orang Malaysia. Tapi statistik ini tidak tepat kerana ia sekadar diekstrapolasikan. Laman-laman web Malaysia yang saya berikan itu 'down' ketika' artikel ini ditulis. Saya tak pastilah kalau minggu depan atau masa-masa lain elok pula.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Introduksi - Baca Ini Dahulu

    07 Disember 2005 • 7 Komen
    Saya sepatutnya menulis introduksi ini lebih awal sebelum memulakan topik berkaitan Wahabbi. Baiklah, begini. Dalam penulisan saya tentang topik ini, ada beberapa perkara yang perlu pelawat tahu:

    1) Saya menulis sedikit demi sedikit sahaja, kerana kerja saya bukanlah seorang penulis blog. Saya sendiri tidak tahu berapa lama saya akan menulis. Jika saya menulis seminggu sekali, maka setahun cuma ada 52 artikel sahaja berkenaan Wahhabi. Itupun jika Allah memberikan kelapangan masa kepada saya.

    2) Topik ini luas. Jadi saya tidak mungkin mampu menjawab dan menjelaskan semua persoalan-persoalan yang diutarakan, terutama di bahagian chatter box dan ruangan komen. Adalah lebih baik saya memperjelaskannya di dalam entri-entri saya.

    Oleh itu, saya berharap, jika saya menulis, sebagai contoh tentang 'Apakah Benar Wahhabi Bermazhab Hambali?', maka janganlah tiba-tiba ada pembaca yang bertanya tentang konsep Tawassul. Ia diluar skop topik dan seperti yang sudah saya jelaskan, saya akan menerangkan segala apa yang patut diketahui suatu hari nanti. Biar masa menjadi pemboleh ubahnya.

    Saya tidak mampu menjawab pelbagai persoalan hanya dalam satu entri/chatter box/komen. Namun, jika anda memerlukan jawapan segera, saya cadangkan anda ke SunniPath.com, iaitu sebuah laman web Islam yang berusaha keras mempromosikan Islam tradisional.

    3) Saya juga tahu diluar sana ada bertimbun yang lebih berilmu dari saya tentang hal ini. Dan saya berharap ini bukan medan untuk menguji sejauh mana ilmu yang saya ada. Jika anda tahu, mengapa anda tidak jelaskan sahaja? Mengapa bertanya perkara yang sudah anda tahu kepada saya? Saya tidak tahu apa niat anda, tetapi saya berharap ia bukanlah kerana anda ingin menunjuk-nunjuk ilmu yang anda ada.

    Just make up your own blog, promote it and now you can tell the whole world whatever your want. It's simple.

    4) Saya tidak mengatakan Wahabbi itu bukan Islam dan inilah iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah. Solat kita tetap sah jika berimamkan seorang Wahabbi. Wahabbi adalah sebahagian dari ummah. Cuma fahaman Wahabbi ini telah membawa banyak fitnah dan masalah kepada umat Islam hari ini. Ini yang saya cuba nukilkan.

    5) Semestinya saya tidak punya ilmu yang lengkap tentang permasalahan ini. Kadang-kala apabila diberi beberapa persoalan, saya tidak dapat menjawabnya. Oleh itu saya perlu bertanya kepada mereka yang tahu.

    6) Saya tahu, sesetengah orang take offence dengan perkataan Wahabbi. Saya tidak akan menggunakan istilah Salafi untuk menggantikan Wahabbi. Sila baca pos saya yang ini untuk mengetahui sebabnya.

    7) Saya juga tidak pernah sekali-kali mengatakan mereka yang tidak melakukan beberapa amalan lazim yang dilakukan di Malaysia dan banyak negara lain, seperti amalam membaca Yasin beramai-ramai, sambutan Maulidurrasul, bacaan talqin, berzikir beramai-ramai, tidak berdoa menadah tangan selepas solat, dan sebagainya adalah Wahabbi.

    Ini poin penting yang harus diberi perhatian. Namun demikian, saya melihat ada segelintir yang menganggap umat Islam yang melakukan amalan-amalan sedemikian, telah melakukan bida'ah. Ini perkara bahaya. Apabila mereka menganggap kita telah melakukan bida'ah, maka seterusnya mereka menganggap kita sesat, dan kesesatan itu akan membawa kita ke neraka. Bagaimana kita boleh mengatakan umat Islam yang berkumpul membaca Yassin beramai-ramai akan masuk neraka?

    Inilah kesilapan kita. Sebenarnya, apabila kita mengatakan wajib membaca Yasin setiap malam Jumaat dan berasa berdosa kalau tak buat, maka inilah yang baru boleh dikatakan sebagai bida'ah.

    InsyaAllah ia akan diperjelaskan lagi.

    8) Tujuan utama saya membawa topik ini adalah untuk membawa kita, umat Islam, terutama di Malaysia, untuk melihat keindahan Islam bersifat tradisional yang telah kita praktikkan selama lebih 1,000 tahun. Dan dengan fahaman Islam bersifat tradisional inilah umat Islam berjaya menyebarkan kalimah tauhid dengan begitu prolifik, dan begitu luas sekali tanah jajahan yang pernah umat Islam tawan suatu ketika dahulu - iaitu ketika kemuncak Turki Uthmaniyyah. Bagaimana kita boleh begitu yakin bahawa fahaman Wahabbi inilah satu-satunya yang dapat revive dan reform umat Islam yang sudah semakin bonyot dan hanyut ini?

    Ketika Empayar Turki Uthmaniyyah berjaya menawan kota Istanbul, iaitu ketika puncak kegemilangannya, dari tangan orang-orang Kristian pada tahun 1453 Masihi, waktu itu tiada langsung fahaman Wahabbi. Malah Muhammad Bin Abdul Wahab pun tidak lahir lagi. Tetapi Allah tetap memberikan umat Islam waktu itu pertolongan-Nya.

    Oleh itu, di samping memberi penerangan tentang kesilapan fahaman Wahabbi, saya juga akan menerangkan beberapa perkara seperti: Mengapa umat Islam harus bermazhab, Apakah umat Islam yang bermazhab ini sekadar bertaklid membabi buta, Konsep bid'ah yang ramai salah faham dan sebagainya.

    9) Oleh kerana Wahabbi adalah minoriti dari 1.3 bilion umat Islam yang ada di seluruh dunia, maka ada baiknya untuk kita mengikut majoriti - iaitu umat Islam yang mengikut salah seorang Imam yang empat. Nabi Muhammad saw sabda, maksudnya, "Ada hikmah bersama majoriti." Hadith ini ada disebutkan dalam kuliah Advice To Seekers.

    Oleh itu, sebelum mana-mana pelawat yang ingin argue (dan saya harap ia tidak berlaku), saya nasihatkan untuk mendengar ceramah Advice To Seekers yang disampaikan oleh Sheikh Hamza Yusuf dan Sheikh Ya'qoubi yang disiarkan oleh Zaytuna Institue - sebuah NGO di Amerika yang berusaha mempromosikan Islam Tradisional yang kita warisi selama lebih 1,000 tahun.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Wahabbi 3 - Sheikh Albani

    05 Disember 2005 • 20 Komen
    Saya ingin menjawab soalan Welma tentang Sheikh Nasirudin Al-Albani dalam pos saya yang lepas.

    Soalan Welma: Shaikh Nasiruddin al-Albani tu kan, bukankah dia seorang ahli hadith dan dia boleh dikata kan ikon dalam bidang hadis pada masa kini? Kalau kita mengelakkan daripada membaca kitab karangannya, macam mana tu....

    Saya jawab: Welma, saya tak boleh beri komen lebih-lebih tentang Sheikh Albani kerana saya tidak punya autoriti. Tetapi saya cuma boleh kata, Sheikh al-Albani memang merupakan seorang tokoh yang mahir dalam ilmu hadith. Jika Welma kata beliau adalah ikon dalam bidang hadis masa kini, saya berani menjawab bahawa beliau hanya ikon bagi puak Wahabbi.

    Bagi yang tahu, mereka akan mengelakkan dari membaca hasil karya beliau. Buat pengetahuan Welma dan semua, Sheikh Al-Albani amat terkenal di kalangan tokoh-tokoh ulama tradisional sebagai seorang yang gemar mendaifkan sesuatu hadith, hinggakan beberapa hadith-hadith sahih pun beliau daifkan.

    Saya sertakan beberapa link dari laman-laman yang berwibawa tentang beberapa kesilapan Sheikh Al-Albani:

    1 - 50 Kesilapan Sheikh Albani dalam mendaifkan hadith-hadith Sahih.
    2 - Pendedahan tentang kesilapan-kesilapan Albani dan isu-isu penting yang lain.
    3 - Apakah benar dakwaan Wahabbi bahawa Sheikh Albani dan Bin Baz memiliki ijazah dalam bidang hadith dari mana-mana ulama/guru yang bertauliah?

    Sebab itu saya katakan, adalah lebih selamat untuk kita menolak hasil-hasil tulisan puak-puak Wahabbi kerana ia akan mengelirukan kita dan membawa konflik kemudian hari. Setahu saya, tidak pernah lagi saya dengar ada ulama yang berani mendaifkan hadith-hadith Bukhari dan Muslim. Inilah kali pertama saya mengetahuinya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Wahabbi 2 - Elakkan Membaca Hasil Tulisan Mereka

    03 Disember 2005 • 14 Komen
    Saya menjangkakan, penulisan saya tentang topik ini mungkin akan berlangsung untuk satu tempoh yang sangat panjang. Bukanlah niat saya untuk berdebat dan menunjuk pandai. Saya hanya ingin membawa kita, umat Islam, melihat keindahan Islam tradisional yang kita warisi selama lebih 1,400 tahun.

    Rasanya, elok saya memberikan nama beberapa tokoh-tokoh besar Wahhabi. Saya nasihatkan, agar anda tidak membaca hasil-hasil tulisan mereka kerana ia akan menyebabkan anda bingung atau confuse dengan apa yang telah kita amalan selama ini. Contohnya, pernah sekali saya bingung apabila membaca fatwa oleh Allahyarham Sheikh al-Albani yang terdapat pada papan tazkirah Dublin Mosque. Secara ringkas fatwa itu mengatakan bahawa: "Wanita yang sedang dalam haid tidak ada salahnya membaca Al-Quran."

    Tidakkah ia sesuatu yang mengejutkan? Saya tidak akan mengulas panjang kerana entri ini hanya untuk menyenaraikan nama-nama tokoh Wahhabi yang patut kita elak dari membaca hasil-hasil karangan mereka. InsyaAllah, jika saya punya lebih masa, saya akan update bebeberapa nama lagi, berserta biodata mereka:

    1) Muhammad Bin Abdul Wahab. Beliau adalah pengasas kepada fahaman ini.
    2) Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (biasa ditulis sebagai al-Albani). Meninggal dunia pada 2 Oktober 1999.
    3) Sheikh Abdul Aziz Ibnu Baz (biasa ditulis sebagai Bin Baz). Meninggal dunia pada 13 Mei 1999. Bekas Mufti Besar Mekah.
    4) Muhammad Ibn Salih Ibnu Uthaymeen. Meninggal dunia pada 10 Januari 2001.
    5) Abu Ameenah Bilal Philips. Beliau adalah seorang tokoh Islam yang dikenali di Kanada.

    Dan jika anda ingin mencari fatwa, saya nasihatkan jangan lawati fatwa-online.com kerana ia bersifat Wahabbisma. Saya cadangkan pergi ke SunniPath atau IslamOnline untuk mendapatkan fatwa-fatwa masa kini.

    Satu perkara yang perlu anda perhatikan. Jika anda pergi ke fatwa-online.com dan melihat bahagian Biografi, anda akan melihat laman ini cuba untuk menyenaraikan tokoh-tokoh besar yang berfahaman sama dengan mereka sejak tahun 1H hinggalah ke hari ini. Tetapi, dari tahun 1H hinggalah tahun 699H, tidak ada satu pun tokoh yang disenaraikan. Saya berpendapat, mungkin tidak wujud tokoh-tokoh yang sama pendirian seperti mereka pada waktu itu.

    Kemudian, ada seorang tokoh disenaraikan pada bahagian kurun ke-8 Islam (700-799H), iaitu Ibnu Taimiyyah. Harus ditekankan di sini bahawa Ibnu Taimiyah tidak pernah mengaku dia berfahaman Wahabbi kerana Wahabbisma mula wujud sekitar awal 1200H. Cuma puak Wahhabi sahaja yang mengaku Ibnu Taimiyyah adalah tokoh mereka.

    Sebenarnya memang ada perbalahan di antara Ibnu Taimiyyah dengan tokoh-tokoh agung Islam yang sezaman dengannya. Namun demikian, Ibnu Taimiyyah telah mengakui kesilapannya dan akhirnya kontroversi itu diam selama beberapa ratus tahun.

    Oleh kerana itulah tiada tokoh-tokoh Islam Wahhabi yang disenaraikan diantara kurun ke-9 dan ke-13H pada laman fatwa-online itu. Namun demikian, pada awal kurun ke-13H, iaitu awal 1200H, fahaman Wahhabi ini mula membiak. Muhammad Bin Abdul Wahab telah 'menghidupkan' semula hal-hal kontroversi oleh Ibnu Taimiyyah itu. Sebab itulah Wahabbi hari ini menganggap Ibnu Taimiyyah itu sebagai tokoh mereka.

    Kemudian, barulah pada kurun ke-14 dan ke-15H, bahagian biografi itu penuh diisi oleh ulama-ulama yang cenderung kepada Wahabbisma ini - iaitu setelah fahaman ini berjaya membiak. Dan hari ini mereka mengubah nama fahaman ini dari Wahabbi kepada Salafi. Ia bertujuan untuk reverse psychology minda umat Islam hari ini. Kononnya, ia akan menunjukkan mereka berusaha untuk mencontohi 3 generasi umat Islam yang pertama (Salaf bermaksud tiga yang pertama).

    Namun kalau demikian, mengapa golongan Wahabbi ini mempetikaikan umat Islam yang mengikut Imam Abu Hanifah (meninggal pada tahun 149H), Imam Malik (meninggal pada tahun 179H), Imam Shafi'e (meninggal pada tahun 204H) dan Imam Ahmad bin Hambal (meninggal pada tahun 240H) sebagai tidak 'Salafi'? Bukankah keempat-empat Imam ini dilahirkan di dalam kurun Salaf??

    Jika benar fahaman Wahabbi ini 'Salafi', mengapa pula mereka mengikut Muhammad bin Abdul Wahab yang tidak dilahirkan pada kurun Salaf? Iaitu bukan pada 3 generasi Islam yang pertama? Bukankah beliau dilahirkan pada 1114H? Sekarang, siapa yang Salafi? Wahhabi atau kita yang mengikut mazhab?

    Satu perkara yang harus ditekankan. Kita tidak boleh kata ulama-ulama ini Wahabbi ini sesat. Kedudukan mereka mungkin lebih tinggi dari kita di Hari Kiamat kelak. Allah Maha Mengetahui
    ¶ Teruskan membaca entri ini »