Back to home page

Bingkisan Kaabah

12 November 2004 • 2 Komen Cetak Chenta!
Mana lebih mahal? Harga sebuah kematian atau harga sebuah kehidupan? Soalan ini aku sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Jika aku dipaksa menjawab, aku akan jawab:

"Harga sebuah kehidupan adalah lebih mahal. Kematian tiada harga."

Lain orang lain pulalah jawabnya. Bergantung kepada sejauh mana kefahaman dan interpretasi seseorang itu kepada pertanyaan tersebut. Dan bagaimana pegangan hidup mereka; sekular, beragama, atau tiada agama.

Aku jawab begitu sebab bila kita dah mati, apa yang kita lakukan tidak akan dinilai lagi oleh para Malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk mencatat segala amalan-amalan baik dan buruk. Jadi apa harganya sebuah kematian? Bila kita masih hidup, segala-galanya dinilai. Bagi aku, hidup ini satu perniagaan. Kematian adalah masa untuk melihat sama ada perniagaan kita untung atau rugi.

Aku sudah hidup selama lebih 21 tahun. Purata hidup rakyat Malaysia tidak lama. Aku tidak pasti berapa. Tapi aku yakin tidak melebihi 80 tahun. Perempuan biasanya hidup lebih lama berbanding lelaki. Semasa aku menulis blog ini, Yasser Arafat baru meninggal dunia. Manusia datang dan pergi. Itu pusingan dunia. 100 tahun lagi (tahun 2104), semua yang hidup pada hari ini, termasuklah yang baru lahir di saat aku menulis blog ini, sudah pasti tidak akan hidup lagi waktu itu. Jarang manusia hari ini yang mampu hidup menjangkau 100 tahun. Agak nadir.

Aku meletak gambar Kaabah sebab ia menjadi satu tempat yang patut dikunjungi oleh SEMUA umat Islam yang mampu dari segi kewangan dan fizikal. Aku sebut KEWANGAN dan FIZIKAL. Faktor masa tidak menjadi fokus. Sebab masa adalah sesuatu yang boleh kita luangkan, tetapi tidak kewangan dan fizikal. Aku melihat ramai orang-orang kaya yang masih tidak pergi menunaikan haji walaupun mereka sudah mampu dari segi kewangan dan fizikal. Aku selalu tertanya-tanya mengapa.

Jawapannya pasti banyak. Setiap individu akan memberikan jawapan dalam versi yang berlainan. Namun inti pasti sama. Aku beranggapan mereka masih tidak berminat untuk pergi ke sana. Mengapa pula minat ini masih tidak wujud? Mungkin kerana ia tidak dipupuk sejak mereka masih muda. Mereka sudah jadi buluh. Bukan rebung lagi. Payah jika mahu melentur buluh.

Bila aku duduk di benua Eropah ini, menjadi satu kemestian bagi pelajar-pelajar yang belajar di sini untuk melancong ke tempat-tempat menarik yang ada di perut bumi Eropah ketika tibanya musim cuti. Paris, Venice, London, sekadar menyebut beberapa nama. Aku juga tidak ketinggalan untuk menyertai semangat Tour Europe. Peluang sebegini jarang diperolehi. Maklumlah, kalau tidak sekarang, bila lagi? Kalau hendak pergi dari Malaysia, bercuti seminggu di Venice sahaja mahu menjangkau lebih RM6,000 seorang. Kalau dari Dublin, paling banyak pun mungkin menghabiskan dalam 500 Euro (kira-kira RM2,300). Itu pun kalau berbelanja tak ingat dunia. Lagipun, tidak terasa sangat berbelanja dalam 500 Euro kerana biasiswa juga diberi dalam Euro.

Aku tak kisah tentang mereka yang suka melancong. Cuma aku rasa bosan bila aku berbual dengan sesetengah rakan-rakan aku yang agak fanatik dengan melancong ke sana-sini. Fanatik sebab mereka sering lupa Mekah menjadi satu tempat yang patut mereka pergi. Bila aku tanya mereka, "Mekah ada dalam senarai tak?" Mereka menjawab, "Alah..Mekah tunggu tua lah.."

Persoalannya mengapa mahu tunggu tua? Kalau tak sempat tua?

Aku tidak mempersoalkan sama ada mereka akan pergi atau tidak, cuma aku mempersoalkan di tangga keberapakah mereka meletakkan Mekah sebagai matlamat tempat yang akan mereka kunjungi?

Aku? Aku masih tidak mampu untuk pergi ke sana. Tapi aku meletakkan Mekah sebagai prioriti aku. Maknanya, bila keadaan mengizinkan, bila suasananya beres, insya-Allah kaki ini akan menjejakkan kaki di bumi suci itu.

Bukanlah aku mengatakan semua kawan-kawan aku begitu. Ada juga yang tidak. Persoalannya, apakah prioriti kita? Disneyland atau Mekahland?

2 Komen Tambah Komen↴

sy suka melancong sendiri, tp setakat ini sekadar dlm Malaysia, luar tak mampu lagi. hehe..
emak sy sudah beberapa kali berniat membawa sy umrah. tetapi, gagal. mungkin ade sebab disebaliknya. hmm..

sesungguh nya, semua ini perlukan izin Allah... :]

Tanpa Nama

salam`alayk~


kebanyakan akan menjawab:-

muda = disneyland
tua = mekahland


tapi..sedarkah anda...

tua > muda
so, mekahland > disneyland! :D

.sis er.

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.