Back to home page

Malas Jangan Baca

06 November 2004 • 7 Komen Cetak Chenta!
Bagaimana tabiat membaca masyarakat Melayu? Benarkah Melayu cinta kepada ilmu? Atau Islam menjadi topeng bagi menunjukkan Melayu sentiasa dahaga dan cintakan ilmu? Anda jawab. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Aku hormati perbezaan pendapat.

Tapi jika soalan itu ditanya kepada aku, aku jawab tidak. Jika fakta dan angka dijadikan ukuran, sah Melayu yang membentuk separuh dari 23 juta rakyat Malaysia, rata-rata malas untuk membaca. Fakta-fakta yang aku ambil kebanyakannya datang dari Majalah-I keluaran Julai 2004.

Malaysia ada banyak majalah-majalah ilmu. PEMIKIR, MASSA, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Jurnal Undang-Undang Kanun, Dewan Budaya dan berbagai-bagai lagi. Namun apa nasib majalah-majalah tersebut?

PEMIKIR - Diterbitkan 3 bulan sekali. Ia tidak laku. Menurut Awang Selamat dalam ruangan popular di Mingguan Malaysia, nak jual 800 naskah setiap 3 bulan pun payah. Bayangkan 800 naskah sahaja!

MASSA - Satu-satunya majalah berita minggu dalam bahasa Melayu. Setelah berhempas-pulas selama 9 tahun, MASSA karam. MASSA tidak sempat merayakan ulang tahun ke-10. Percaya atau tidak, setelah 9 tahun di pasaran, jualan bulanan hanya sekitar 6,000 naskah.

DEWAN MASYARAKAT - Berada di pasaran 40 tahun. Bahan bacaan baik, tulisan menarik, banyak info berguna. Namun setelah 4 dekad, edarannya sekitar 25,000 sahaja. Pelik tapi benar.

Sebelum MASSA, kita sudah pun kehilangan Dian, Era, Data Niaga, Lelaki, Kritik, sekadar menyebut beberapa nama. Lepas ini entah apa pula yang hilang. Mastika juga nyaris lenyap. Usianya sama dengan syarikat Utusan Melayu. Terbit dengan motto 'bulanan pendidikan dan pengetahuan', majalah ini bertukar dari tulisan jawi kepada rumi. Ukurannya juga bertukar beberapa kali. Setelah berpuluh tahun di pasaran, majalah ini tidak berdaya maju, dengan edaran hanya sekitar 5,000. Sudah ada cadangan untuk menutup majalah ini. Tetapi Datuk Johan Jaafar memberi suntikan pengisian baru kepada majalah ini - daripada majalah ilmu kepada majalah misteri.

Terbukti bahan picisan lebih laku. Pembaca menolak bahan bacaan yang berilmu, tetapi lebih senang dengan kisah-kisah mayat menjadi khinzir, hantu kubur, hantu pocong, keris hikmat, mati hidup balik, seks yang pelik dan aneh, dan sebagainya. Rencana pengetahuan tidak menarik perhatian, sebab selera pembaca lebih terbuka untuk cerita-cerita tahyul dan seks. Satu fenomena yang turut melanda Indonesia ketika ini. Mastika dengan pengisiannya yang baru mencatat sejarah sebagai majalah berbahasa Melayu yang paling tinggi edarannya, pernah mencapai 300,000 naskah sebulan. Sekiranya ilmu terus diperjuangkan, majalah itu sudah lama berkubur.

Memang, masyarakat mudah sahaja melemparkan tuduhan bahawa penerbit tidak bertanggungjawab dengan hanya menerbitkan majalah-majalah popular. Penerbit dituduh sebagai penyebar gosip, penabur fitnah, tukang pecah-belah kaum kerana hanya menerbitkan bahan bacaan hiburan dan bahan-bahan bacaan kontroversi. Penerbit dituduh tidak menyumbang kepada pembentukan minda kerana tidak menerbitkan majalah berilmu.

Anehnya, apabila ada penerbit yang bermurah hati mengeluarkan majalah-majalah ilmu, tidak ada pula yang sudi membeli. Bayangkan jika setiap pensyarah di negara ini membeli majalah ilmu, PEMIKIR mungkin mempunyai edaran tidak kurang 10,000 naskah. Orang hanya pandai bercakap, bijak menuduh. Tetapi cakap tidak serupa bikin. Malah, kerap terjadi tentang orang-orang yang berkobar-kobar bercakap tentang majalah ilmu juga tidak membeli majalah seperti itu. Mereka juga memilih majalah hiburan!

Jadi tidaklah pelik kita mempunyai tidak kurang 50 jenis majalah hiburan, ada 20 lebih majalah misteri, dan berpuluh-puluh lagi komik berkala. Kita juga mempunyai lebih 50 majalah wanita, dalam berbagai-bagai bahasa.

Majalah wanita dan hiburan boleh hidup bukan sahaja kerana jumlah pembeli yang besar, tetapi juga kerana sokongan pengiklan. Sudahlah pembeli tidak sudi, para pengiklan pun tidak yakin majalh ilmu boleh menjadi medan yang baik untuk mempamerkan barangan dan perkhidmatan mereka. Itulah sebabnya majalah ilmu terbantut dalam dunia penerbitan yang sedang berkembang pesat ini. Apa boleh buat!

Masih tak percaya betapa hebatnya penangan majalah hiburan kepada orang kita. Baik, kita ambil contoh Bintang Kecil (terbitan Kumpulan Karangkraf); baru bilangan ke-10, edarannya sudah mencecah 40,000 naskah. (Bandingkan dengan Dewan Masyarakat - setelah 40 tahun, edaran cuma 25,000 naskah sebulan).

Persoalannya sampai bila ini akan berlaku. Sampai bila minda masyarakat Malaysia akan maju. Kurang 16 tahun kita capai 2020. Tetapi rata-rata minda masyarakat muda Malaysia hari ini minda masih belum cukup matang. Padahal merekalah yang jadi peneraju zaman 2020. Boleh ke kerajaan capai Wawasan 2020 tepat pada tahun 2020? Minda orang muda sekarang ini terlalu di asak dengan hiburan. RTM, TV3, NTV7, dan yang lain sama sahaja. Audition, Who Will Win, Bintang RTM, Akademi Fantasia, dan Malaysian Idol terus menjadi santapan favourite remaja hari ini. Apa cerita ni? Macam mana Malaysia nak maju kalau asyik hiburan sahaja menjadi wacana hidup kita.

Anda boleh berkata, "Kalau dibandingkan Malaysia dengan beberapa negara seperti US, UK, dan Jepun, mereka lebih hebat dalam industri hiburan. Maju juga mereka. Malaysian Idol tu kan diambil dari rancangan American Idol"

Memang betul. Tetapi mereka akademik dan hiburan sama-sama maju. Ramai artis-artis di negara-negara tersebut yang ada degree. Malaysia berapa kerat? Paling ramai SPM. Belum habis sekolah dah gila nak menyanyi. Dah gila nak jadi artis. Kalau yang jadi artis tu SPM semua A1 tak mengapa. Ini pangkat 3. Kalau nasib baik pangkat 2. Selain tu, rakyat di negara-negara tersebut rajin membaca. Dalam bas membaca. Duduk kat mana-mana membaca. Kedai-kedai buku di sana pun lebih hebat berbanding Malaysia. Kita orang Malaysia rajin ke membaca? Kalau setakat rajin membaca majalah-majalah picisan, boleh maju ke kita macam mereka?

Renung-renungkan, fikir-fikirkan.

7 Komen Tambah Komen↴

Saya suka dewan masyarakat tetapi semakin susah cari majalah itu di pasaran.

ader orang kate kalau nak bagi Mahasiswa rajin baca, kasi surat khabar free kat uni... He he. Silap silap suratkhabar tu jadi bungkus nasi lemak ajer. Isi pulak kena tuka jadi suratkhabar hiburan. amacam?

majalah I keluaran karangkraf best jugak

Yosh, tak sangka pula kau akan komen kat entri yang dah lama berkurun ni. HEhe. Bagi surat khabar free pun, tapi kalau isi surat khabar tu tak kritis pun tak guna jugak.

Satu-satunya laporan akhbar yang sangat kritis, kritikal, dan mengajak para pembacanya berfikir setakat ini ada 4 sahaja iaitu:

1) Kes Mawi dan Ina
2) Kes Erra dan Yusri
3) Percintaan Datuk K dan Siti
4) Penceraian Datuk K dan bekas isteri lamanya.

Kes-kes ini adalah kes berprofil tinggi bagi akhbar tempatan kita, sehingga tiada satu sudut kes ini pun yang terlepas dari hiduan wartawan tempatan.

Tapi dalam kes-kes lain, macam nak tak nak aje laporkan. Contohnya, kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

salam, saya suka baca tulisan anda. saya setuju rakyat kita malas membaca. jadi kita mulakan dari anak-anak kita supaya dapat menjadikan generasi akan datang juga minat membaca=)

Tanpa Nama

saya mempunyai koleksi majalah lebihan stok terkini yang agak banyak...boleh hubungi saya untuk berbincang tentang majalah ini.
email:gurucad@gmail.com atau
03/92005055

Cik Anony! Kenapa nak mulakan dari anak-anak kita pulak. Mulakanlah dari diri kita sendiri.

Dulu, aku selalu beli majalah Al-Islam. Tapi, lepas "orang tu" jadi ketua pengarang, dah tak berisi dah majalah tu. Apa guna kita duk canang kesalahan ulamak silam, kalau kita sendiri lagi la teramat banyak salahnya.

Pernah juga aku mengabiskan biasiswa masa kat sekolah dulu membeli majalah Hidayah. Tapi, lepas tu dia tukar sikit demi sikit jadi macam majalah kecik yang lain. Lebih kepada misteri dan kisah-kisah pelik. Aku hampa....

Akhirnya, aku tak beli dah majalah-majalah tak kira yang kecik atau besar. Kalau ada kawan yang beli, aku tumpang baca.

Surat khabarpun makin menurun kualitinya. Begitu juga berita TV, cuba lihat gambar terakhir kat blog kawan aku ni http://altf4numeric.blogspot.com/2007/10/freedom-at-last.html

Malaysia Boleh???

saya setuju 100% berkenaan apa yg tertulis dalam artikel ini. ramai org yg menjadikan membaca sebagai satu hobi namun bahan bacaan yg dibaca banyak unsur lagha atau hiburan semata-mata. saya sendiri baru tersedar hakikat ini. sama-samalah kita berhijrah ke paradigma yg lebih baik dengan menjadikan bahan bacaan ilmuan sebagai hobi. insyaallah...

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.