Writer's blockSetiap penulis yang mengambil serius pada apa yang ditulisnya pastinya sesekali akan dikunjungi oleh satu penyakit yang dinamakan Writer's block yang mana ia ditakrifkan oleh Wikipedia sebagai:
Writer's block is a phenomenon involving temporary loss of ability to begin or continue writing, usually due to lack of inspiration or creativity... Writer's block can be closely related to depression and anxiety, two mood disorders that reflect environmentally caused or spontaneous changes in the brain's frontal lobe.
Saya sedang mengalami Writer's block buat kesekian kalinya. Apabila ia berlaku, saya tidak mampu untuk menyiapkan tulisan yang saya mulakan. Idea ada banyak di kepala, tetapi ia tidak boleh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Akibatnya, berdozen-dozen tulisan saya yang tersadai dalam bentuk draf akibat diserang sindrom Writer's block sepanjang 3 tahun saya menulis di blog ini.
Writer's block ini jugalah biasanya yang menjadi sebab mengapa ramai penulis novel yang tiba-tiba tidak menulis selama beberapa tahun.
JIKA SAYA MATI
Kalau saya mengalami sindrom Writer's block ini, maka saya boleh memberitahu kepada pembaca bahawa saya tidak akan menulis buat beberapa ketika. Jadi mereka tidak akan berasa pelik jika tiada tulisan terbaru dari saya. Tapi apa pula akan jadi jika saya mati?Mungkin satu-satunya cara untuk pembaca blog ini tahu bahawa Tawel Sensei sudah mati adalah melalui blog rakan-rakan saya yang lain. Namun cara ini tidak semua orang akan tahu. Mungkin juga mereka sendiri akan faham apabila tiada tulisan terbaru dari saya selama beberapa tahun, malah segala komen pembaca juga tidak dipaparkan. Ini juga tidak berapa tepat kerana boleh sahaja saya membuat keputusan untuk tidak menulis dan tidak memaparkan sebarang komen pembaca.
Saya ada seorang kenalan maya. Kita namakan dia Mukhlis. Sesiapa yang sudah mengikuti blog ini dalam tempoh masa yang lama mungkin akan mengenali siapa Mukhlis ini kerana dia akan singgah dan memberikan komen di sini sekali-sekala. Mukhlis memiliki sebuah blog juga. Tiba-tiba beberapa hari yang lepas, di blog Mukhlis sudah tidak terdapat apa-apa tulisan lagi. Apa yang tinggal cumalah gambar sebuah kubur yang bertulis Al-Fatihah Buat Mukhlis. Walaupun sebenarnya dia tidak mati, malah masih sihat walafiat, tetapi ia akan membuatkan pelawat baru dan lama tertanya-tanya adakah benar bahawa Mukhlis sudah pun meninggal dunia, atau ia dongeng semata-mata?
Oleh itu, kadang-kala saya berharap agar servis Blogger ini memiliki satu plug-ins atau pun widget yang boleh memberitahu secara automatik kepada pembaca bahawa tuan punya blog ini sudah pun meninggal dunia. Saya namakan widget ini Widget Kematian.
Widget Kematian ini akan memaparkan satu tulisan yang sudah dibuat awal-awal lagi oleh tuan punya blog sebelum dia meninggal dunia. Widget Kematian ini pula hanya akan diaktifkan secara automatik apabila tuan punya blog itu sudah tidak login ke dalam Google Account (yang juga merupakan Blogger Account) selama 1 tahun.
Idea yang cukup baik bukan? Dengan menggunakan widget ini, maka apabila saya mati, setahun selepas itu akan ada satu pos yang bertulis misalnya:
Assalamualaikum para pembaca yang dihormati.
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ketahuilah bahawa sesungguhnya saya, iaitu Tawel Sensei sudah pun meninggal dunia kira-kira 12 bulan yang lalu. Setahun sesudah saya menghembuskan nafas yang terakhir, kini saya hanyalah sekadar tulang-temulang dan rangka reput yang tertanam di bawah tempat kamu berjalan. Betapa hinanya saya ini di sisi Allah.
Sesungguhnya tidaklah saya bangkit dari kubur semata-mata untuk menyiapkan tulisan yang benar-benar terakhir di blog ini. Mana mungkin saya bangkit semula dari kubur memandangkan dunia masih belum kiamat lagi. Kalau pun saya boleh bangkit semula sebelum ketibaan kiamat, maka adalah lebih baik saya melakukan lebih banyak amal-amal soleh daripada menulis di sini.
Sebenarnya rahsia bagaimana saya boleh melakarkan entri terakhir ini setahun sesudah saya mati adalah dengan menggunakan Widget Kematian yang seolah-olah berfungsi sebagai 'wasiat' di alam maya ini. Sudahkah anda menggunakannya?
Tidak banyak yang saya boleh wasiatkan kepada para pembaca blog ini yang saya hormati selalu. Cuma, ambillah apa-apa yang bermanfaat dari blog ini dan saya juga ingin meminta maaf zahir dan batin atas segala salah silap saya sepanjang saya menulis di blog ini. Kalau rajin, sedekahkanlah saya bacaan al-Fatihah sekurang-kurangnya sekali. Kalau lagi rajin, surah al-Baqarah pun boleh juga.
Kita mungkin tidak berkongsi rumah yang sama, sekolah yang sama dan lubang kubur yang sama. Namun mudah-mudahan kita akan berkongsi syurga yang sama.
Sekian. Moga kita berjumpa di Alam Barzakh.
Yang telah pun menghembus nafas terakhir,
Tawel Sensei
APABILA MANUSIA MEMBENCI KEMATIAN
Berbincang tentang bab kematian memang boleh memuramkan suasana. Orang putih (baca: bukan Islam) adalah antara golongan yang paling benci kepada perbincangan-perbincangan seperti ini.Di kala ini, saya selalunya berasa bangga menjadi Muslim. Orang Islam selalunya lebih cool apabila masuk bab-bab kematian ini (Saya ada menulis serba-sedikit tentang kematian dalam Kisah Si Padang Jawa). Orang Islam memahami bahawa kematian cumalah satu fasa yang perlu ditempuhi untuk menuju ke negeri abadi. Orang Islam yang takut mati cumalah terdiri dari kalangan mereka yang banyak melakukan dosa sahaja.
Namun biasanya semua orang memang tidak suka mati. Orang yang berharap kepada syurga Allah pun kalau boleh tak mahu mati. Kalau boleh, syurga itu mahu dicapai tanpa perlu melalui keperitan azab sakaratul maut.
Realitinya, semua orang akan mati. Bagi umat Islam, selalu memikirkan tentang kematian boleh menjadikan kita lebih peka dan fokus kepada kehidupan ini. Kita adalah pemandu kepada kehidupan yang fana ini. Apa akan jadi kepada seorang pemandu yang tidak memfokuskan perhatiannya kepada kereta yang dipandu dan jalan yang sedang dilaluinya? Apa akan jadi pada pemandu ini jika dia terlelap selama 2 saat sahaja ketika keretanya meluncur pada halaju 100 km/jam? Kemalangan.
Maka oleh kerana tiada peluang kedua sesudah roh meninggalkan jasad, maka kita perlu berusaha menjauhi perkara-perkara maksiat. Kadang-kadang satu dua maksiat yang kita lakukan akan meninggalkan bintik hitam yang sangat kuat lekatnya pada hati.
Kalau selama ini hati dan tubuh kita berlumuran dengan maksiat, akan sentiasa ada peluang untuk kita membersihkannya selagi nyawa masih berada di badan dan selagi matahari tidak terbit di ufuk Barat. Kita masih belum terlambat. Mari jadikan permulaan 1429 Hijrah ini sebagai titik permulaan untuk kita melakukan muhasabah diri.
"Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat."
(Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
VOYAGE
Walaupun saya kata saya sedang mengalami writer's block, tetapi saya tidak tahu mengapa saya boleh juga menyiapkan tulisan yang ini.Mungkin semangat ini datang selepas saya menonton filem Le Grand Voyage malam semalam. Sekarang saya faham apakah sebenarnya voyage terbesar hidup ini. Ia bukan ke London, bukan ke Istanbul, bukan ke Mekah, dan bukan juga ke Madinah.
Voyage terbesar adalah ke Akhirat. Sama ada pengakhiran ini adalah neraka atau pun syurga, hanya amal soleh dan rahmat Allah yang mampu menentukannya. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita akan kembali.
Harap-harapnya saya berjaya mengatasi Writer's block ini. Jika tidak, maka gersanglah blog ini selama beberapa minggu (atau bulan, atau tahun).
Saya sudahi tulisan ini dengan lagu Dabus Rohani dendangan Kopratasa:
Lirik Dabus Rohani - Kopratasa:
Baju putih, selendang putih,
Mari dibawa pergi sembahyang.
Allah kasih, Muhammad kasih,
Rasulullah terlalu sayang.
Ertikan kehidupan ini,
Ucapkan syukur kepada-Nya,
Rabbul 'Izzati Tuhan sesungguhnya,
Pasrah dan redha akar insani.
Waktu hidup di dunia,
Janganlah leka terpesona,
Oleh jaring segala kepalsuan.
Dengan wajah keindahan,
Tabir halus yang mengasyikkan,
Terkapar hayat sampai ke akhirnya.
-------
Kredit:
1) Gambar Writer's Block ¶ Teruskan membaca entri ini »






