Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Dia Disolatkan

    26 Oktober 2005 • 3 Komen
    Saya bersolat Zohor di Dublin Mosque pada hari Khamis yang lepas. Pada mulanya saya menjadi keliru. Mengapa begitu ramai yang datang bersolat jemaah pada waktu Zohor kali ini. Ada kenduri makan ke?

    Kedatangan para jemaah adalah jauh lebih ramai dari waktu hujung minggu, padahal hari itu adalah hari berkerja. Kebanyakkan yang hadir pula adalah berbangsa Pakistan. Pada awalnya saya kira ada jemaah tabligh yang datang menziarahi kota Dublin dalam kumpulan yang agak berbondong-bondong.

    Tekaan saya melencong. Sebenarnya ada orang meninggal dunia. Terus saya teringat, semalam selepas waktu Isyak, Imam Yahya, iaitu Imam Dublin Mosque ada beritahu yang esok ada solat jenazah selepas waktu Zuhur.

    Solat jenazah tersebut dilakukan sejurus selepas solat Zuhur. Saya duduk berdekatan pintu masuk. Maka terpampanglah keranda yang dibawa di hadapan mata saya dengan jelas. Kayu keranda itu dibuat dari kayu yang bermutu tinggi saya kira. Tapi isinya hanyalah sebuah jasad kaku yang akan mereput dalam beberapa hari lagi.

    Banyak kali juga saya melakukan solat jenazah di Dublin Mosque. Entah kenapa kali ini sangat memberi kesan kepada saya. Mungkin disebabkan tazkirah yang diberikan oleh seorang Brother Pakistan sebelum solat jenazah bermula. Tazkirah itu berlangsung kira-kira 5 minit - dilakukan untuk mengisi kesenggangan masa sementara menunggu saudara terdekat Allahyarham tiba.

    Tazkirah Brother Pakistan

    Brother Pakistan itu adalah sahabat baik kepada si mati. Katanya, kawannya yang meninggal itu berusia dalam 38 tahun. Dia mendapat "chest pain" secara tiba-tiba dan kemudian pengsan. Isterinya menelefon ambulans. Allahyarham yang mungkin masih hidup ketika itu telah dikejarkan ke St James Hospital. Di hospital, doktor mengesahkan bahawa dia sudah lagi tiada.

    Allahyarham baru sahaja berkahwin kira-kira setahun yang lepas. Menurutnya lagi, kawannya itu sangat baik dan warak. "He is a very pious man.", kata Brother Pakistan itu. Ramai jemaah di Masjid Clonskeagh yang suka kepada Allahyarham.

    Maka saya tidaklah hairan mengapa begitu ramai yang hadir untuk melakukan solat jenazah. Apabila saya keluar dari masjid pula, kelihatan juga kelibat orang-orang Irish yang sudah semestinya beragama Kristian, yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Allahyarham nampaknya mempunyai hubungan baik sesama Islam dan juga bukan Islam.

    Merujuk kepada tazkirah Brother Pakistan itu semula, Allahyarham semasa hidupnya telah membeli sebuah rumah. Namun Allahyarham berasa tidak gembira dengan rumah barunya kerana ia dibeli melalui proses riba. Namun atas daya kesungguhan Allahyarham, akhirnya Allahyarham dapat juga membebaskan dari cengkaman riba tersebut. Allahyarham berasa begitu gembira selepas itu.

    Itu sahaja setakat yang saya ingat tazkirah Brother tu. Ringkas tapi amat menyentuh jiwa. Sesudah solat jenazah selesai, keranda berisi si mati dibawa keluar. Ramai orang yang berebut-rebut untuk turut sama mengangkat keranda itu, walaupun sekejap. Tiba-tiba saya teringat kata-kata Ustaz Fauzi yang datang ke Dublin pada musim panas yang lalu. Katanya, ada fadhilat besar bagi mereka yang mengangkat keranda. Tetapi saya tidak ingat pula apa fadhilatnya. Ada sesiapa yang ingat? Oleh itu, saya pun turun serta sama mengangkat keranda itu dalam 5 saat sahaja. Walaupun sekejap, dan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja, saya berasa puas.

    Dua Berita Kematian

    Hari Khamis itu saya mendapat 2 berita kematian. Pada awal pagi Khamis itu, saya menelefon ibu saya di Malaysia. Saya nak tanya sama ada baju kurung Melayu baru untuk saya sudah dipos atau pun belum. Ibu saya pula awal-awal memberitahu bahawa isteri Pak Lah telah meninggal dunia. Walaupun agak terkejut, namun ia tidak langsung memberikan kesan mendalam ke atas diri saya - tidak begitu mengingatkan saya bahawa saya juga akan pergi satu hari nanti. Mungkin kerana kematian adalah sesuatu yang lazim berlaku setiap hari. Maka saya jadi lali.

    Tapi, berita kematian yang kedua - iaitu saudara yang saya ceritakan dalam entri ini, begitu memberikan kesan. Mungkin kerana saya turut serta dalam solat jenazah dan diceritakan pula tentang kehidupan baik si arwah secara sepintas lalu. Maka sebab itulah kita ini digalakkan untuk pergi melawat saudara kita yang meninggal dunia dan seterusnya mengiringinya ke tanah perkuburan. Supaya kita boleh ambil pengajaran dari sebuah kematian.

    Apa pun, takziah kepada Pak Lah dan juga si arwah yang saya solatkan jenazahnya itu.

    Kita Akan Tinggalkan Dunia Ini

    Siapa yang tidak ada perasaan cintakan dunia ini walaupun sedikit? Saya pun ada dan mungkin juga anda pun ada. Kadang-kadang ingin saya lepaskan tarikan dunia ini secara total. Ingin saya menjadi seperti Ibrahim bin Adham - zuhud segala-galanya, hidupnya di dunia adalah untuk akhirat. Tetapi saya sedar. Allah tidak menciptakan semua orang sama, dan dunia tidak akan berfungsi jika semua manusia ingin menjadi ahli zuhud yang melepaskan dunia secara total.

    Saya yakin Allah telah menentukan jalan yang harus saya lalui dan saya telah pun memilihnya, dan sedang pula melaluinya. Jalan yang saya pillih memerlukan kekuatan iman dan keyakinan yang teguh. Dan saya kira saya perlu mengurangkan beberapa tarikan dunia yang sangat mempesonakan ini. Dan saya sedar, untuk melepaskan tarikan-tarikan itu, ia bukanlah satu usaha sekelip mata - ia perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Mungkin 10 tahun, mungkin 20 tahun atau mungkin 30 tahun. Saya tidak tahu.

    Lelaki yang meninggal itu seperti yang saya ceritakan berusia kira-kira 38 tahun. Masih muda dan bertenaga. Fikirkan wahai sahabatku, siapa boleh jamin kita masih hidup esok?

    Mungkin ada beberapa insan yang dapat mengetahui bila dia akan meninggalkan dunia ini. Biasanya ia berlaku kepada orang-orang yang Allah cinta dan kasih, seperti Sheikh Abu Hassan al-Shadhili.


    Bila kita mati, tiada apa yang akan kita bawa. Hanya amal soleh, sedekah jariah, dan anak-anak yang sentiasa mendoakan ibu bapanya.

    Kisah Sheikh Abu Hassan al-Shadhili

    Kisah tentang Sheikh Abu Hassan telah diceritakan dalam kitab Rihlah oleh Ibnu Battutah. Rihlah menceritakan perjalanan Ibnu Batuttah merentasi Barat dan Timur. Sewaktu Ibnu Batuttah berada di Iskandariah, Mesir, beliau telah berjumpa dengan Sheikh Yaqut al-Habashi yang merupakan anak murid kepada Sheikh Abu Abbas. Sheikh Abu Abbas ini pula merupakan anak murid kepada Sheikh Abu Hassan Al-Shadhili (dirujuk sebagai Abu Hassan selepas ini).

    Sheikh Yaqut menceritakan kepada Ibnu Battutah bahawa Abu Hassan pergi menunaikan haji setiap tahun. Kebiasannya beliau akan memilih bahagian atas Mesir sebagai laluannya. Sampai di Mekah, Abu Hassan akan berpuasa dan melakukan ibadat tanpa jemu semasa bulan Rejab dan bulan-bulan berikutnya sehinggalah tibanya musim haji. Beliau juga pasti akan melawat kubur Nabi Muhammad saw di Madinah. Kemudian beliau akan pulang ke tempat asalnya.

    Namun demikian pada satu tahun (iaitu tahun terakhir beliau mengerjakan haji), beliau telah berkata kepada pembantunya, "Bawa juga bersama kamu kapak kecil, bakul, kapur barus, dan segala yang perlu untuk mengebumikan orang mati." Pembantunya bertanya, "Kenapa begitu wahai Tuanku?" Abu Hassan menjawab, "Kamu akan tahu di Humaithira."

    Humaithira pada hari ini terletak di padang pasir Aidhab, iaitu satu tempat di bahagian atas Mesir. Terdapat telaga air yang payau rasanya di situ. Dubuk juga banyak berkeliaran di kawasan tersebut.

    Apabila mereka sampai di Humaithira, Sheikh Abu Hassan telah mengambil wudhuk yang sempurna, dan melakukan solat 2 rakaat. Pada sujudnya yang terakhir, Allah telah mengambil nyawanya. Sheikh Abu Hassan telah dikebumikan di situ juga. Sewaktu Ibnu Battutah berada di Humaithira, beliau berkesempatan melawat kubur Sheikh Abu Hassan.

    Menurut Ibnu Battutah, pada batu nisannya, tercatat nama Sheikh Abu Hassan dan dapat dikesan susur galur keturunannya sehinggalah ke Hasan bin Ali r.a, iaitu salah seorang cucu kesayangan Nabi Muhammad saw.

    Semoga Allah mematikan kita dalam Iman dan Islam. Amin.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Tandoori Pakcik Yusuf

    18 September 2005 • 2 Komen

    Bulan penuh yang sedang mengambang pada 15 Rejab 1426H yang lalu sebagai penanda Ramadan yang hampir tiba.


    Sebenarnya, bukanlah satu kerja yang mudah bagi Pakcik Yusuf untuk memasak Ayam Tandoori sebagai juadah berbuka puasa di Masjid Dublin. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, jumlah jemaah yang datang bersolat di Masjid Dublin akan bertambah secara mendadak. Saya anggarkan secara purata ada dalam 350 orang yang datang bersolat di Masjid Dublin pada waktu Maghrib di dalam bulan Ramadan.

    Kalau hari-hari biasa, cuma ada dalam 100 orang jemaah sahaja. Ini merupakan peningkatan sebanyak 350%. Maka kalian boleh bayangkan betapa jerihnya kerja memasak untuk 350 orang setiap hari, selama 30 hari berturut-turut. Oleh sebab itulah, sering saya menghidu bau masakan Ayam Tandoori Pakcik Yusuf walaupun pada waktu Zuhur. Nampaknya, kerja memasak dimulakan dengan sangat awal.

    Kerja mengagih-agihkan Ayam Tandoori dilakukan selepas solat Maghrib. Biasanya, kami makan dalam sebuah talam yang dikongsi seramai 5 orang. Ini merupakan satu lagi tugas besar Pakcik Yusuf. Walaupun nampaknya ia satu kerja yang enteng, tetapi ia banyak menimbulkan perasaan tamak dan hasad dalam hati jemaah. Oleh kerana perut sudah lapar selepas seharian berpuasa, maka masing-masing ingin memakan Ayam Tandoori itu dengan lebih cepat. Maka kadang-kadang berlakulah beberapa insiden yang tidak diingini.

    Pernah sekali saya melihat seorang lelaki yang saya kira berbangsa Arab, bertikam lidah dengan Pakcik Yusuf ketika proses mengagihkan makanan berlangsung. Peristiwa pertikaman lidah hanyalah sebahagian kecil dari insiden-insiden yang berlaku.

    Selain itu, untuk memasak hidangan Ayam Tandoori tersebut sudah tentu memerlukan modal yang besar. Jika ada 350 orang yang datang setiap hari untuk berbuka puasa, dan kos untuk satu kepala adalah 2 Euro, maka 700 Euro diperlukan sehari. Dalam sebulan pula, kos memasak keseluruhan akan menjadi 21,000 Euro (hampir RM 100,000). Kos 2 Euro satu kepala adalah nilai anggaran minimum yang saya hitung. Ia mungkin salah.

    Kadang-kadang saya terfikir juga dari manakah datangnya wang untuk membiayai proses memasak Ayam Tandoori itu. Setiap kali bila bulan Ramadan hampir tiba, pihak pengurusan Masjid Dublin akan menubuhkan satu tabung khas untuk membiayai kos iftar. Beberapa persatuan pelajar-pelajar Islam Malaysia, seperti PPIMI di sini juga turut ingin sama membantu menampung kos tersebut. Pernah sekali saya menjadi salah seorang yang mengutip derma untuk iftar tersebut dari pelajar-pelajar Malaysia.

    Kadang-kala saya rasa sangat sedih apabila ada di kalangan mereka yang hanya menderma dalam nilai yang sangat sedikit. Itu belum cukup teruk lagi saya kira. Yang paling teruk apabila mereka sekadar mendermakan duit dari 'tabung-duit-sen' yang mana bila saya kira nilainya tidak pun melepasi 1 Euro. Saya bukanlah ingin mempertikaikan keikhlasan mereka ketika menderma, tetapi saya cuma berasa tidak puas hati apabila mereka menderma dalam jumlah yang amat sedikit - tidak lebih 2 Euro. Padahal, makan di masjid tiap-tiap hari! Apa pun, saya mendoakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat bagi sesiapa yang telah mendermakan sebahagian hartanya bagi membiayai iftar tersebut.

    Fenomena makan percuma di masjid ketika bulan Ramadan turut menimbulkan satu lagi penyakit - penyakit kaki-masjid-part-time. Bulan Ramadan ini selalunya kita dapat melihat golongan-golongan manusia yang cuma datang bersolat jemaah di masjid pada waktu Maghrib di bulan Ramadan sahaja. Bulan-bulan lain mereka off. Begitu juga dengan waktu-waktu solat lain di bulan Ramadan. Bila berbuka puasa, ada nampak batang hidung. Tetapi bila waktu solat terawih dan waktu-waktu solat yang lain, haram tak nampak walau bulu hidung mereka sekalipun.

    Itulah sebabnya saya gelar mereka kaki-masjid-part-time. Mereka menerima gaji setiap hari dalam bentuk hidangan Ayam Tandoori. Ini paling jelas bagi beberapa pelajar-pelajar Melayu kerana saya tidak pula berapa ingat tentang jemaah dari bangsa-bangsa yang lain.

    Bukanlah saya hendak menjadi skeptikal atau ingin menunjukkan saya ini lebih baik dari mereka, tetapi saya sekadar ingin menceritakan realiti tersebut. Kadang-kala saya juga tidak menjalankan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini dengan baik. Tetapi, agama itu nasihat. Maka kita perlu saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain.

    Apa pun, Ayam Tandoori Pakcik Yusuf akan menjadi legenda kepada pelajar-pelajar Malaysia yang pernah menikmati hidangan tersebut. Saya sendiri tidak tahu sampai bila menu Ayam Tandoori akan terus dihidangkan sebagai juadah utama iftar Ramadan di Masjid Dublin. Pakcik Yusuf sebenarnya sudah agak tua. Dia tidak boleh berdiri lama. Kadang-kala saya bersolat di sebelahnya. Selalunya bila Pakcik Yusuf hendak bangun selepas bersolat, dia pasti akan menjadikan bahu saya sebagai tempat topangan. Saya berharap Allah akan memberikan kesihatan yang berpanjangan kepadanya.

    Selamat menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat tidak lama lagi. Moga Ramadan kali ini menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa kepadanya. Mungkin juga Ramadan ini adalah yang terakhir untuk kita.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol: Epilog

    26 Ogos 2005 • 4 Komen

    Selamat tinggal! Ada rezeki kaki saya akan ke sini lagi. Gambar di ambil berdekatan dengan Masjid Cordoba.


    Maka tamatlah sudah kisah tentang Sepanyol ini. Alhamdulillah :) Lega rasa. Tapi semalam tiba-tiba teringat yang saya terlupa untuk ceritakan tentang pengalaman saya berjumpa, berbual dan tinggal sebumbung dengan seorang pemuda berbangsa Isreal semasa di Madrid. Hmm..tengoklah nanti-nanti kalau ada kelapangan, akan diceritakan.

    Apa pula nak tulis lepas ni ye? Entah le..tengoklah dulu. Kalau nak tulis pasal tempat lain pun, mungkin bukan tentang tempat-tempat di Eropah. Tapi di mana? Tengoklah dulu.. Tapi yang penting, pos bersifat travelogue akan diberhentikan dan akan disambung bila saya melawat ke tempat-tempat yang signifikan untuk saya ceritakan kepada sesiapa sahaja yang mahu membaca dan melihatnya.

    Apapun, saya ingin berehat buat beberapa ketika. Ingin menjamu suasana musim panas yang sudah semakin menyembunyikan dirinya. Apakah saya masih punya waktu? Lihat kalendar dan jenguk ke langit. Wahai musim panas, sila jangan lari dahulu.

    spain map
    Bandar-bandar yang telah dilawati: Barcelona, Cordoba, Granada, Seville, Madrid dan Toledo. Gambar ihsan dari Lonely Planet.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »