Baca juga
A Battle of Streamyx and Kura-Kura.
---

Kali ini saya ingin bercakap tentang teknologi walaupun sepatutnya di bulan puasa ini saya sepatutnya cerita lebih banyak pasal amal-amal soleh. Tak mengapalah, kita melencong sikit, walaupun saya baru sahaja menulis artikel
Ilmu Yang Bermanfaat.
Sebenarnya, sebentar tadi baru sahaja saya menjenguk-jenguk apa topik
hot di Al-Ahkam (saya banyak perkara tak setuju dengan website ni dan ahli-ahli panelnya sebenarnya). Oh, rupa-rupanya Hafiz Firdaus telah dilantik sebagai salah seorang ahli panel di situ. Tahniahlah kepada beliau. Moga-moga beliau tak bincang sangat isu-remeh di situ. Amin.
Saya sebenarnya tertarik kepada respon beliau apabila menjawab ucapan tahniah yang diberikan kepadanya:
Assalamualaikum,
Syukran jazilan Ustaz Zain. Bimbang tak dapat nak laksanakan amanah ini dengan sebaiknya.
Bab dial-up ni, agaknya orang besar Telekom boleh bantu? Baru semalam ke Kedai Telekom Shah Alam tanya status Streamyx di kawasan rumah saya. Katanya tak boleh sebab lebih dari 5 km dari ibusawat dan jarak rumah saya 7.8km.
Dijawab balik, jiran 3 rumah sebelah baru pasang Streamyx. Terkejut besar orang-orang Steamyx di kedai telekom tu. Pegawai di meja sebelah kata, mungkin jiran tu guna Wireless Steamyx. Pegawai yang sedang saya jumpa terkejut besar: Ehh! Kita (Telekom) ada Steamyx wireless ke?
wassalam.
Ya, saya tertarik sebab kelakar dengan syarikat korporat (keparat pun boleh juga) Telekom Malaysia!
Saya berpandangan bahawa Telekom Malaysia Berhad (TM) telah melakukan satu monopoli besar kepada majoriti rakyat Malaysia. Dan monopoli ini sudah pasti tidak membawa sebarang keuntungan kepada kita selaku rakyat Malaysia yang semakin dihimpit dengan inflasi. Monopoli dalam bidang bisnes adalah sesuatu yang tidak bagus. Dan kes ini lebih kurang sama seperti mana monopoli Microsoft di dalam dunia komputer - pengguna tidak punya banyak pilihan dan akhirnya terpaksa membayar harga paras cekik darah walaupun servis yang diberikan sangat menghampakan.
Telefon Talian Tetap
Boleh dikatakan hampir keseluruhan rumah kediaman dan syarikat yang memiliki talian telefon tetap akan berdaftar di bawah TM. Ada berapa juta buah rumah dan syarikat di Malaysia ini? Dan ini pastinya membuatkan TM mengaut untung yang berganda-ganda banyaknya kerana tidak wujud sebarang pesaing. Sepatutnya dalam keadaan begini, TM wajib mengurangkan caj kadar panggilannya.
Caj panggilan tempatan pada 8 sen/minit (2 minit yang pertama) dan 4 sen/minit bagi minit-minit berikutnya adalah satu pelan-kaut-untung yang berlebihan. Ini bermakna, jika anda menelefon rumah jiran sebelah selama satu jam, maka anda perlu membayar RM2.48. Ini baru jiran sebelah, kalau anda duduk di Shah Alam dan telefon mak ayah yang duduk di Sabak Bernam, maka kadarnya lebih tinggi dari itu. Dan ia menjadi lebih tinggi jika anda duduk di Johor dan menelefon isteri anda yang berada di Perlis.
Kamu tahu kenapa jadi begini? Ia sebab monopoli TM ke atas sistem telekomunikasi kita. Tiada syarikat lain untuk menyaingi TM dalam membekalkan talian telefon tetap di rumah kediaman anda.
Sepanjang saya duduk di Ireland ini, saya mendapati kadar telefon di sini amat murah. Dan pelan yang ditawarkan juga amat menarik dan menjimatkan. Pelan paling menarik yang pernah rumah saya miliki ialah kadar telefon 0 sen/minit (bagi 60 minit pertama) ke mana sahaja, asalkan masih di dalam Ireland. Jadi menelefon nombor talian tetap jiran sebelah rumah anda, ataupun kawan anda yang tinggal di negeri lain adalah percuma walaupun anda bercakap selama 100 jam! Tapi dengan syarat bila sudah berbual selama 59 minit, letakkan telefon, dan kemudian dail semula nombor itu. Jadi kami sebenarnya hanya perlu membayar sewa bulanan sahaja jika kami pandai memanipulasi pelan yang dipilih itu.
Kamu tahu kenapa jadi begini? Sebab di Ireland syarikat telefon nombor 1 iaitu Eircom, telah disaingi oleh syarikat-syarikat pembekal telekomunikasi yang lain seperti BT, Euphony, Swiftcall dan lain-lain.
Streamyx == Snailmyx
Mulai hari ini, pengguna TM Streamyx patut memanggilnya Snailmyx kerana ia adalah sejenis broadband paling perlahan yang pernah saya rasai. Dan ramai orang akan bersetuju dengan saya. Ketika saya pergi ke rumah kawan saya di Johor Bahru, berkali-kali dia cuba untuk connect, tetapi amatlah susah. Di Johor Bahru pun sudah begini (JB antara bandar termaju di Malaysia), apatah lagi di bandar-bandar seperti Meru dan Kapar!
Di rumah saya di Malaysia, hanya saya menggunakan komputer. Jadi apabila saya balik bercuti, adalah tidak berbaloi bagi mengambil Streamyx. Maka saya pun membuat keputusan membeli TMNet Prepaid berharga RM30 yang berkelajuan 58kbps kalau tak silap. Setelah cuba dan mencuba, barulah saya dapat akses ke gerbang internet. Untuk membuka Google pun ia sudah memakan masa 5 minit!!
Apa ini? Saya pernah menggunakan dial-up di Ireland, tetapi ia tidaklah seteruk di Malaysia. Dan kejadian membuka-google-selama-5-minit-baru-siap ini berlaku di Seksyen 17 Shah Alam, yang mana di situ terdapat ibusawat Telekom Malaysia! Ini Shah Alam (saya ulangi Shah Alam, bukan Kapar, bukan Meru, dan bukan Bukit Changgang). Dan setelah berjaya membuka Google, saya cuba membuka blog saya pula. Dan ia tak mahu loading setelah berminit-minit, dan talian 1515 itu terputus dan saya menghadapi kesukaran yang maha dahsyat untuk mengakses kembali internet.
Dan sesudah tragedi ngeri ini, saya berjanji dan bersumpah akan berwasiat kepada bakal isteri, bakal anak, dan bakal cucu saya supaya jangan lagi menggunakan dial-up Telekom. RM30 yang saya gunakan untuk membeli kad prepaid itu sebenarnya lebih baik disedekahkan kepada mangsa tragedi gempa bumi Jogjakarta yang berlaku waktu.
Broadband Kita Terlalu Mahal
Streamyx datang dalam pakej dari 384kbps hinggalah 2.0mbps [rujuk kadar]. Pakej Streamyx Basic 384kbps berharga RM20/10 jam (5sen/minit jika melebih 10 jam). Dan pakej paling pantas (konon-konon aje tu) iaitu Streamyx Corporate ADSL 2.0mbps download/384kbps upload berharga RM1188 sebulan, dan pakej ini semestinya tidak mampu dimiliki oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana seperti Syarikat Pembuat Keropok Lekor.
Syarikat sama ada kecil, besar atau sederhana memerlukan akses internet yang laju bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih mantap dalam dunia pasaran terbuka. Oleh kerana Streamyx yang dimiliki oleh TM sekali lagi melakukan monopoli, dan kali ini dalam dunia internet, maka kita selaku rakyat Malaysia terpaksa berkompromi dengan kualiti servis yang sangat teruk walaupun membawar pada harga yang tersangat mahal.
Di Ireland, rumah saya sekarang ini menggunakan Magnet Broadband, di bawah pelan Magnet Entertainment. Pelan ini memerlukan kami membayar 59 Euro/bulan, dan kami menikmati 3 servis dalam 1, iaitu:
- Internet: 8.0mbps download/ 512kbps upload
- TV Digital: Tak ingat pula berapa channel ada
- Telefon: Masa berbual percuma selama 60 minit pertama (local call only)
Kalian nampak tak beza yang sangat ketara? Kalau kita tolak TV dan telefon, sangat besar beza bayaran bagi mendapatkan broadband yang nyata jauh lebih laju dari Streamyx Corporate ADSL 2.0mbps. Ini perbandingannya supaya nampak lebih jelas:
Ada silap sedikit. TV Digital, bukan TV Satelit
Mengeluarkan 59 Euro sebulan di sini, perasaannya sama seperti mengeluarkan RM59 di Malaysia. Kalau tukar duit Malaysia pun, 59 Euro itu baru sahaja bersamaan dalam RM270 (satu jumlah yang masih jauh dari RM 1188!). Lihatlah betapa bahayanya monopoli dalam bidang perniagaan ini. TM buat untung berlipat kali ganda sebab tiada pesaing, tetapi servis yang diberikan teruk sangat.
Bahkan, di Ireland, untuk mendapatkan seperti apa yang termaktub di dalam pelan Streamyx Corporate ADSL 2.0mbps, kami hanya perlu membayar 39 Euro sahaja sebulan, malah dapat ADSL 2+ lagi tu, dan bukannya ADSL. Dengan kadar seperti ini, peniaga buah anggur tepi jalan di Ireland pun mampu memiliki broadband yang jauh lebih laju daripada apa yang digunakan oleh Pak Lah dan anak menantunya di Putrajaya!
Apa Sudah Jadi Pada MSC?
Saya memang mahu komplen tentang hal ini. Jadi tak kisahlah kalau ada yang membaca artikel ini dan kemudian menyimpulkan bahawa saya jenis yang suka komplen. Apa-apa pun, komplen yang saya lakukan ini adalah satu komplen dan kritikan yang membina, mudah-mudahan rakyat Malaysia diberikan hak yang sewajarnya, sesuai dengan apa yang mereka bayar.
Dan, kritikan ini wajib dibuat memandangkan negara kita ada Multimedia Super Corridor (MSC). MSC yang merupakan satu projek untuk mencontohi Lembah Silikon di San Fransisco Bay, USA, nampaknya gagal dalam memantapkan lagi industri IT tanahair. Dengan menggunakan alasan MSC, kerajaan mengwar-warkan slogan Kenal IT pada lewat 90-an. Digodanya para pelajar lepasan SPM supaya mengambil bidang IT memandangkan pasaran kerja yang luas. Dan godaan ini sama kesannya seperti godaan syaitan ke atas manusia - ramai yang ambil jurusan IT. Di negara-negara maju, IT memang merupakan bidang yang besar pasaran kerjanya. Malah, IT merupakan satu bidang penting dalam negara yang sedang membangun seperti Malaysia.
Tetapi malangnya di negara kita, lepasan IT adalah antara penyumbang terbesar kes penganggur terhormat lepasan varsiti.
Peluang mendapat pekerjaan bagi siswazah Sains Komputer dan Teknologi Maklumat ialah 46%. Saya tidak menyalahkan Kementerian Sumber Manusia secara total dalam hal ini, kerana kadang-kadang masalah pengangguran di kalangan siswazah adalah berpunca dari diri mereka sendiri.
Tetapi kadang-kala saya menyalahkan Kementerian Pelajaran kerana tidak berupaya melahirkan pelajar yang berinovatif dan kreatif.
Sistem kita: "Habis SPM, masuk universiti. Tak masuk universiti, maka kau manusia gagal. Masuk universiti, belajar rajin-rajin, lepas itu kerja. Bila sudah kerja, dapat gaji beli kereta. Bila sudah beli kereta, kahwin. Dan kemudian sampai mati kau hidup begitu. "
Serius, ramai rakyat Malaysia yang berfikiran begini. Kamu fikir bagaimana Steve Jobs dan Bill Gates berjaya?
Berbalik kepada MSC. Adalah sesuatu yang memalukan kerana kita ada kembar Lembah Silikon, tetapi sistem IT kita adalah begitu primitif. Sungguh tidak saya sangka selepas 11 tahun MSC dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1995, barulah saya tahu bahawa sampai sekarang Malaysia masih bergantung kepada Singapura dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengakses Internet. Itupun setelah Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik membuat pendedahan [baca artikel].
No wonder Streamyx = Snailmyx.
Jika selepas pemindahan ibusawat tidak membawa apa-apa perubahan ketara, maka Malaysia sebenarnya patut menutup sahaja MSC ataupun menukarkannya kepada tempat simpan rokok kretek Gudang Garam. Kita ada graduan IT yang banyak, tetapi kita tak reti nak menggunakan kemahiran mereka. Maka saya tidak hairan jika laman-laman web kerajaan dengan begitu mudah diserang oleh hackers dan crackers Indon tidak lama dulu.
Bayangkanlah, laman web kerajaan begitu mudah diserang! Apa sudah cikai sangatkah pakar-pakar keselamatan IT yang berkerja dengan kerajaan? Atau adakah IPTA dan IPTS kita melahirkan selambak graduan sains komputer yang memiliki ijazah dalam Microsoft Words, Excel dan Powerpoint sahaja? Dan kemudian, adakah mereka inilah yang diambil berkerja bagi menjaga sistem keselamatan data sulit negara, dan mereka jugalah yang memberikan nasihat kepada kerajaan bagaimana caranya untuk memperkembangkan lagi IT negara?
Adakah patut (berdasarkan kenyataan Hafiz Firdaus di atas), pegawai yang bertanggungjawab dalam perkara berkaitan Streamyx, begitu jahil dalam bidang kerjanya? Jika begitu, no wonder Streamyx = Snailmyx, dan no wonder TM is playing a monopoly.
Dan apa gunanya MSC jika ia tidak mampu menyelesaikan rungutan pengguna yang sudah berlaku sejak sekian lama? MSC hanya pada nama sahajakah?
Ireland dan Malaysia Tidak Sama?
Sesetengah pembaca mungkin berasa saya tidak adil kerana membandingkan Malaysia dan Ireland. Tapi saya berpendapat saya bersikap adil dan kritis. Ini kerana Malaysia sering membanding-bandingkan servis mereka dengan negara-negara lain. Contoh:
- Paspot yang memiliki teknologi cip ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia.
- MSC adalah yang pertama seumpamanya di Asia (sebab nak kata yang pertama di dunia tak boleh dek kerana Lembah Silikon di Amerika).
- Kami berasa bangga kerana UM disenaraikan oleh The Times Higher Education (THES) sebagai antara 100 universiti terbaik dunia (bila tahun depan UM jatuh ke tangga 169, naib canselor dan ahli politik mula menggelabah, Pak Lah pun naik gusar).
Jadi, poin di sini ialah Malaysian like to compare, and they like to see if they are the first to do/achieve that. Jadi, apa salahnya saya buat perbandingan Malaysia-Ireland? Ooo..bila Kuala Lumpur di 'ranking' kan oleh Reader's Digest pada tangga ke-33 dari 35 sebagai bandar yang agak kurang adab, mulalah menggelabah. Rasa macam nak sorok muka pula. Dan kemudian kita dapat tengok komen-komen ahli politik dan ahli akademik yang bersungguh-sungguh membidas Reader's Digest.
Saya fikir saya mahu tergelak pula bila melihat reaksi mereka semua. Saya antara pelanggan tetap Reader's Digest edisi British (tapi dah berhenti kira-kira 3 bulan lepas), dan dalam tiap-tiap keluaran, pasti ada sahaja survey yang mereka buat. Tapi saya tak berapa hairan sangat sebab ia bukanlah satu kajian akademik yang dijalankan dengan bersungguh-sungguh dan menggunakan kaedah statistik yang betul-betul ilmiah.
Tapi hanya kerana Reader's Digest ini majalah orang putih, dan yang membuat survey itu juga orang putih, maka kita rakyat Malaysia, sebagai satu bangsa yang masih lagi dijajah mentalnya, menganggap kajian itu sebagai satu autoriti yang perlu diberikan perhatian serius dan mendalam. Tapi cuba kalau orang Melayu sendiri yang buat kajian tu, tak adanya pak-pak menteri dan ahli akademik yang nak layan sangat. Silap-silap dituduhnya pengkaji Melayu itu sebagai biadab pada bangsa (atau lebih teruk lagi, ada yang kata: ini kajian si Cina menyamar Melayu).
Dan cuba kalau ahli akademik kita sendiri yang menegur krisis budaya dan sikap para pelajar kita yang terlalu asyik dengan budaya hiburan, mana ada ahli politik kita endah sangat. Tapi, bila THES bagi ranking nombor 169 kepada UM, ramai pula ahli politik yang risau. Padahal ranking THES itu bukan boleh pakai sangat. Banyak bias sana-sini. THES mungkin relevan di UK, tapi ia bukanlah autoriti untuk menilai tahap kecemerlangan sistem pendidikan tinggi kita. Sistem kita yang punya, maka kita sendiri jugalah yang perlu menilainya. Saya tak fikir THES layak menilai sistem kecemerlangan akademik Universiti Al-Azhar.
Masalah kita sebenarnya masalah mentaliti. Kita adalah satu bangsa yang kurang keyakinan kepada pegangan dan kepercayaan budaya unik yang kita warisi. 446 tahun dijajah, 49 tahun merdeka: ia masih belum cukup menjadikan kita bangsa maju pada tahun 2020. Maju pada mentaliti adalah sangat penting berbanding maju dari segi materialistik. Ada duit, semua boleh jadi. Kamu ada USD 20 bilion, maka kamu sudah boleh bina infrastrutuk yang jauh lebih maju dari MSC, Sepang F1 dan KLCC di Rwanda.
Tapi adakah itu boleh menjadikan Rwanda negara maju apabila projek itu siap dalam masa dua tahun? Tidak.. bahkan mereka akan jadi seperti monyet mendapat bunga yang sangat jakun. Dan kita sebenarnya sudah jakun - jakun pada kemajuan kebendaan yang sedang kita nikmati di Malaysia. Tapi pada hakikatnya, kita gagal membina jatidiri bangsa dan agama. Kita tidak yakin pada kemampuan kita sendiri.
Dan dengan itu, saya membuat kesimpulan bahawa teguran saya kepada TM tidak akan menyebabkan syarikat korporat itu membuat dan memperbaiki perkhidmatan mereka. Tetapi jika Bill Gates, atau mungkin sekadar pak menakan Bill Gates menegur perkhidmatan TM, maka percayalah..esok juga Telekom Malaysia akan bertindak.
---
P.S. Sewaktu saya menyemak ejaan bagi pos ini, tetiba si pembaca berita stesen Berita Radio RTM (saya dengar online) cakap: "Malaysia menjadi negara Asia pertama yang melakukan ekspedisi menjelajah benua Amerika Selatan." Tengok, betul tak saya cakap. Malaysian like to compare.
¶ Teruskan membaca entri ini »