Back to home page

Membazir Ikut Kemampuan

29 Disember 2010 • 20 Komen Cetak Chenta!
Bila diri sendiri tiadalah sekaya mana, amat mudah untuk membuat tanggapan bahawa majoriti perbelanjaan yang dilakukan oleh mereka yang lebih berada daripada kita sebagai sesuatu yang membazir.

Contoh: "Kenapalah Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa membuang beratus-ratus ribu RM untuk majlis perkahwinan mereka? Perlu ke nak buat mewah ala kayangan di KLCC? Kan lebih baik dibuat sedekah untuk anak yatim dan orang susah?”

Cara berfikir seperti ini sering membuatkan kita alpa bahawa sebenarnya ada lagi insan yang jauh lebih susah dari kita. Tetapi hakikat ini sering dilupakan kerana lumrah manusia adalah memandang dan memuja langit; jarang-jarang mahu peduli pada tanah berpijaknya kaki. (Ini mungkin menjadi sebab mengapa ada sekian banyak puisi, sajak dan lirik lagu yang menyentuh tentang keindahan langit berbanding kebaktian tanah).

Siti Nurhaliza dikatakan sebagai artis terkaya di Malaysia. Pada 2008, asetnya pernah dianggarkan sekitar RM50 juta (namun dinafikannya). Kalau pun ia sekadar RM25 juta sahaja, dan katakan juga RM1 juta telah pun digunakan untuk majlis perkahwinannya itu, maka ada lagi baki RM24 juta. Ini satu nilai yang masih lagi besar. Tidak dinafikan perkahwinan tersebut adalah satu pembaziran berskala terlampau, namun ia tidak menganggu kedudukan kewangannya.

Sekarang bandingkan pula dengan perkahwinan orang yang "biasa-biasa". Gaji si lelaki sekadar RM1,500. Zaman kini duit hantaran paling sedikit dalam RM6,000 (4 kali gaji bulanan); bila dicampur perbelanjaan lain, paling kurang boleh mencecah dalam RM10,000 jika keluarga perempuan tidak terlalu 'demand'.

Nah, tiba-tiba bakal sang pengantin mahu majlis itu lebih gah lagi meriah: Ditempahnya servis karaoke; set-set baju gantian untuk sesi fotografi; kad perkahwinan RM2 sekeping; barang-barang hantaran pula disyaratkan terdiri daripada yang berjenama dan bukan Made in China; cenderamata untuk tetamu mestilah bukan taraf koman setakat bunga telur; dan macam-macam lagi benda lain yang tidak berapa perlu sebenarnya.

Akhirnya kos perkahwinan mencanak ke angka RM18,000. Bermaksud, telah berlaku pembaziran sebanyak RM8,000 di sini. Walaupun tidak sedahsyat pembaziran Siti, namun ini pun membazir juga. Bahkan ia boleh mensabotaj kewangan kita sendiri yang mungkin memakan masa yang lama untuk pulih.


Banyak atau Sedikit, Namanya tetap Pembaziran

"Kaya" itu subjektif lagi relatif. Segala apa yang kita belanjakan mungkin dipandang sebagai membazir oleh mereka yang kurang kaya dari kita (padahal kita tidaklah "sekaya" mana pun). Hakikatnya walau gaji setakat RM2,500 sebulan, namun ia adalah lebih kaya, lebih mewah dan lebih bangsawan daripada mereka yang bergaji sekitar RM1,000.

RM2,500 memang kecil di zaman harga makanan dan barang keperluan naik mencanak-canak. Namun dalam situasi di mana 40% rakyat Malaysia bergaji bulanan kurang dari RM1,500 sebulan, maka gaya hidup si polan bergaji RM2,500 yang kekadang pekena mocha dan muffin coklat di StarBucks pada pagi minggu; dan juga makan sekeluarga di Pizza Hut sebulan sekali, mungkin dianggap sebagai sangat membazir oleh seorang Pak Jaga beristeri satu dan lima anaknya, yang gajinya sekadar RM1,200 termasuk OT (manakala sewa rumahnya pula RM400 sebulan).

Ketahuilah bahawa sebenarnya sama ada gaji sekadar RM1,000 atau RM10,000, kita semua berpotensi untuk menjadi seorang pembazir. Orang berada, bila melabuhkan kepalanya di bantal, mungkin akan menganyam mimpi untuk memiliki Ferrari walau di halaman rumahnya sudah pun dihinggap oleh BMW 3 series. Yang gajinya sekadar RM1,000 pula, ligat berazam untuk mengumpul dana dari gaji bulanan demi menceraikan Kancil dan lantas menikahi Inspira.

Inilah yang dimaksudkan dengan membazir mengikut kemampuan. Akhirnya, "orang kaya" dan "orang tak kaya", masing-masing enggan bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.
---

Pesanan berkaitan: Anda ini gila sekiranya azam Tahun 2011 adalah membeli sebuah telefon bimbit yang harganya melebihi gaji sebulan. Contohnya jika gaji sekadar RM1,500, tak perlulah menabung RM300/bulan selama 7 bulan semata-mata untuk membeli iPhone 4!

20 Komen Tambah Komen↴

Bagus entri ini. Ada sikit-sikit terasa atas batang hidung sendiri. Syukran.

Memang, sedih bila tengok orang yang miskin berusaha sedaya upaya menjadi kaya untuk Majlis Kahwin..

Benda2 mewah ni dibeli kadang2 memang kita nampak macam membazir..tapi adakalanya satu hadiah untuk diri sendiri juga..mungkin selama berpuluh tahun seseorang tu dah berusaha kuat2 siang malam..waktu org lain enak diulit mimpi dia masih berjaga membina impiannya..jadi tak salahlah kut kalau dia menghadiahi dirinya sendiri dengan benda yang diidamkan..

fuh memang terbaik lah encik tawel. thumbs up 10 kali. hehe. bab pesanan tu memang sangat setuju. memang gila.

oh ya lupa nak cakap. saya telah menunggu entri ini selama lebih setengah tahun. betul ke encik tawel? sila jawab. hohoho.

Kehendak hati manusia memang tak ada batas...Bila manusia gagal untuk meletakkan satu had keperluan tertinggi yg ingin dicapainya bagi hal materialistik maka akan timbul perasaan serba tak cukup walaupun bergaji RM10,000.00 sebulan...walau masa bergaji RM1,000.00 dulu sudah tentu dia rasa bergaji 10kali ganda amat-amat cukup....mungkin juga lebih dari cukup...Hairan melanda diri bila pendapatan mencecah RM10K tapi rasa cukup tak juga muncul-muncul...Ini akibat tak meletak satu tanda CUKUP dalam hati....bila gaji naik proton BLM diganti Inspira...nokia 3210 diganti Blackberry..rumah apartment di pandan dalam berpindah ke rumah teres bersekuriti di Jalan Duta....jika itu pesennya maka tak mungkin manusia mampu menambah zakat..menambah sedekah..menginfaq harta ke jalan Allah selaras dengan penambahan pendapatannya....Allahuallam...

zakuan

''menceraikan Kancil dan lantas menikahi Inspira.''

Sungguh 'world' personifikasi itu!

Kalau gaji RM2500, menabung dan tidak membazir, masih terasa lagi sukarnya hidup di ibu kota. Makan, sewa rumah, bayar duit keta, duit minyak, tol, bil air elektrik, topup/bil telefon, broadband/wifi etc.

Bestnya jadi orang zaman dahulu kala..

Tulisan yang tepat pada masanya, di kala wang income saya masuk mengalir bagaikan air ini.

Sepatutnya dalam situasi ini saya berjimat, tapi saya minat pula berjoli untuk nampak kool dalam menghadapi imtihan.

Buku nota baru saiz besar, kertas nota yang semestinya berwarna-warni, pen yang mesti ada gambar firaun -mesti kena beli lebih, satu untuk peribadi, yang lebih untuk dihadiahkan pada kawan-kawan Arab yang banyak menolong-, gluestick untuk tampal nota di dinding yang harganya Egyptian Pound 12 dan yang paling jadi idaman, fail kertas keras keluaran syarikat Converse. Adakah saya sebenarnya membazir dengan memiliki semua ini atau adakah ia berbaloi?

Ia mungkin berbaloi agaknya jika saya dapat predikat camlaude dalam imtihan kali ini. Apa-apa pun, entri ini adalah inspirasi untk saya berjimat.

Hmm, kenapa asyik sebut pasal kahwin? [Isi tersirat dalam entri ini ialah, Tawel akan kahwin bulan depan. :D ]

P/S : Pesanan berkaitan itu memang tepat kenalah pada batang hidung. Saya pun dah mula berangan nak ada Iphone 4 meskipun dah ada Iphone di tangan. Itu belum kira igauan untuk mahukan Ipad. Oh, mungkin saya patut lebih bersedekah. Ya, bersedekah membawa berkat.

@Rina, memang tak salah. Yang salahnya bila kita terperangkap dalam 'rat race' untuk menambahkan lagi harta-benda yang tidak perlu.

@seimura, alamak ye ke? Tak ingatlah beta!

@Nooreena, berikan definisi orang zaman dahulu kala tu. Kalau merujuk kepada Zaman Paleolitik, saya tak sanggup. Hidup dalam gua, kadang-kadang bernomad, sakit sikit terus mati, hari-hari kena memburu dan diburu haiwan liar, internet tak ada pula tu!

@Abqori, firaun di pen tak bisa membantu keluarnya dakwat yang boleh menunjukkan kita siratul mustaqim ketika menjawab soalan. Eh kejap, bila masa lagi saya sebut pasal kahwin? Haha sebenarnya ini entri terperam sejak 2006 yang ideanya terhasil bila Siti nak kahwin Datuk K. Harap maklum.

@Tawel. Betul jugakan. Tapi mana nak cari pen ada gambar Cleopatra. Risau tak terjaga pandangan pula nanti. :D
O, rupa-rupanya ada menulis dalam senyap-senyap ya. Masukkanlah lagi entri-entri yang terperam, rindu rasanya nak baca Hembusan. Rasa macam hidup zaman Paleolitik pula, sebab tak ada Hembusan.

Terasa mcm diganyang2 penulis bila baca entry ini. erk..

wahhHH....kesimpulannya :- jangan membazir tp huraiannya sungguh berseni...:P

"artis membazir,kitapun membazir tp kita xsedar!!!..."

dush...trkna btg hidung sndri ni....sy ni kinda suka mmbzir gak...sll sgt bli bnda yg lbh pd khndk bkn kprluan

Akhirnya, entri baru dari encik Tawel. =)

"kita semua berpotensi untuk menjadi seorang pembazir."
Kenyataan yang seringkali dilupakan.Lagi-lagi kita dari golongan yang sederhana.

Saya rasa, masalah kita adalah kesukaran untuk membezakan antara keperluan dan kemahuan. Walaupun kita dapat membezakan, kita tidak memberikan diri kita masa untuk berfikir apabila sedang berbelanja.

Lepas dah berbelanja (membazir), baru nak sedar~~ huhu...

RaRa

tersentuh baca entri ni...masih ingat duk padang jawa zaman susah tak tau ape bende yg nak dibazirkan...walaupun skrg dah senang sikit mmg teman mmg pantang dengan pembaziran nie..org susah tak tau ape nak di bazirkan...mgkn bazirkan mase...

Sabiqjr

wah...entri yang bagus..simple olahan dan contohnya..terima kasih, pada masa yang sama dapat mengingati diri sendiri juga..:)

Umur Baru 8 Tahun Tapi Pencapaian Dia Tahap Dunia. Dia Bukan Orang Kulit Putih, Tapi Dia Dari India, Siapa Kata India Tak Hebat?

alamak nice entry..terasa :D...saya pon suke membazir..handphone kat tgn x sampai setahun tapi dalam hati mmg ade berangan nak pegang iphone and join the crowd dah haha..

Emmmm menganggukkan kepala sepanjang membaca entri ni, terkena batang hidung sendiri. Bila gaji naik dari rm2000 ke rm2500, waa dah naik gaji boleh la simpan rm500 tu. Tapi hakikatnya bila gaji mula bertambah, kehendak juga bertambah (@_@), isk..isk..isk..

saya setuju dgn pesanan berkaitan en Tawel.apalah sangat signifikasinya mengumpul wang hampir 1/3 setiap bulan semata-mata membeli gadjet canggih yang di-utilize untuk mengemaskini FaceBook mahupun Twitter!

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.