Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Balada Sebuah Kesedaran

    28 Januari 2008 • 20 Komen
    ~ Dengan apresiasi kepada Allah and His Messenger in Our Lives oleh Sheikh Hamza Yusuf ~
    ---

    Mengembalikan sistem khilafah Islam adalah ibarat kita mahu mengubah dunia; kita tidak tahu hendak mulakan dari titik mana dan bagaimana. Mahu tumbangkan pemimpin Islam dan orang bawahannya yang korup, tamak dan bacul dahulukah? Mahu mengubah sistem kapitalis yang tidak berpihak kepada negara-negara Islam yang miskin dahulukah? Mahu hancurkan Amerika, Israel dan konco-konconya dahulukah? Untuk mengubah perkara-perkara ini dan sebagainya, ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor.

    'Kita' juga adalah agen kepada perubahan tersebut. Setakat yang saya tahu, 'kita' adalah faktor yang paling senang untuk diubah memandangkan kita belum tentu lagi mampu mengubah korupsi dan kebejatan sosial yang berlaku di sekeliling kita. Jika kita gagal mengubah diri sendiri ke arah yang lebih baik dari semalam, maka impian si Mat Jenin adalah lebih mudah untuk dilaksanakan kalaulah dia tidak mati terjatuh dari pokok kelapa di kala dirinya sedang leka dan asyik tersenyum menganyam angan-angannya. Jika begitu adanya, simpan sahaja hasrat untuk mengubah sebarang sistem yang gagal di sekeliling kita.

    Proses mengubah diri ini memerlukan 'kita' memiliki satu kemahiran yang bernama kesedaran.

    Kesedaran adalah sesuatu yang tidak dipunyai oleh seorang anak kecil berumur 2 tahun yang mana ia menyebabkannya berfikir menutup muka dengan tangannya bermaksud dia sudah berjaya menyembunyikan diri dari ibunya. Kesedaran adalah sesuatu yang mengingatkan monyet di hutan untuk menyorokkan pisang di belakang badannya dan hanya akan memakannya apabila monyet-monyet yang lain tidak melihatnya.

    Kesedaran adalah sebutir permata yang dimiliki oleh generasi Salafus Soleh yang hidup di sekitar 3 kurun pertama Islam dan ia lenyap dalam majoriti Muslim hari ini. Dalam tulisan ini, kesedaran untuk memperindahkan akhlak adalah isunya.

    MUKJIZAT BAHASA AL-QURAN

    Allah bijak menyusun pencaturannya. Nabi Musa memiliki mukjizat untuk menukar tongkatnya menjadi ular kerana di zamannya manusia senang teruja dalam hal-hal sihir dan mistik. Nabi Isa pula dianugerahkan mukjizat untuk menghidupkan orang yang sudah mati kerana di waktunya ilmu perubatan adalah sesuatu yang menjadi kegilaan. Maka Nabi Muhammad dianugerahkan Al-Quran selaku mukjizat paling besar yang dimiliki oleh Baginda.

    Pada waktu itu walaupun bangsa Arab sedang berada dalam keadaan jahiliah, tetapi mereka adalah jaguh dari segi sastera dan linguistik. Kehebatan mereka bukan di tahap jaguh kampung kerana mereka dengan beraninya memberikan gelaran 'ajam, yang bermaksud 'buta bahasa' kepada bangsa Parsi dan Greek. Istilah 'ajam masih kekal digunakan sehingga sekarang, cuma kini ia lazimnya merujuk kepada sesiapa yang tidak tahu bertutur dalam lidah Arab.

    Jadi apabila Al-Quran turun, mereka begitu terpana dan terkesima dengan keajaiban bahasa yang terdapat di dalamnya. Hatta golongan Musyrikin yang masih lagi tidak mahu memeluk Islam, kadang-kala akan mencuri-curi dengar bacaan Al-Quran yang Nabi baca ketika Baginda bersolat.

    Namun di zaman ini, mukjizat keindahan linguistik Al-Quran tidak boleh lagi dijadikan senjata utama untuk mengajak manusia kepada Islam. Walaupun keindahan bahasa Al-Quran telah terbukti berjaya menarik ramai musuh-musuh besar Islam di zaman Nabi seperti Umar al-Khattab, namun di hari ini saya ragu-ragu bahawa George W. Bush akan lembut hatinya kepada Islam apabila dia mendengar bacaan Surah Taha[1] oleh Sheikh Sa'ad al-Ghamidi di dalam iPodnya[2].

    Jadi, apa yang indahnya bahasa Arab sehingga ia berjaya menarik Umar kepada Islam tetapi berkemungkinan besar gagal mempengaruhi Bush?

    Di dalam setiap hasil sastera sesebuah bahasa, sama ada novel, puisi, pantun, syair, prosa, gurindam dan sebagainya, pasti akan ada kecacatan bahasa di sana-sini. Kecacatan ini orang-orang sastera menggelarkannya sebagai baris lemah. Baris lemah wujud apabila sesuatu ayat dalam sesebuah hasil sastera masih belum cukup sempurna yang mana sebenarnya ia masih boleh diperbaiki lagi.

    Dalam karya-karya sastera terbaik yang dikarang oleh William Shakespeare sekali pun, baris lemah tetap wujud, cuma ia tidaklah sebanyak yang terdapat dalam karya-karya yang digarap oleh penulis setahun jagung. Untuk memahami apakah baris lemah ini, kita lihat contoh ayat yang tidak memiliki kecacatan tersebut, iaitu To be or not to be; that is the question yang terdapat di dalam Hamlet. Kita tidak mungkin dapat mengungkapkan To be or not to be; that is the question dalam cara yang lebih indah dan maha sempurna.

    Apa pula contoh ayat yang mengandungi baris lemah? Ia banyak terdapat di dalam tulisan saya di blog ini. Pakar bahasa Melayu yang hakiki akan mampu untuk mengolah semula ayat-ayat saya untuk mengurangkan bilangan baris-baris lemah.

    Al-Quran mengandungi 6236 ayat dan tiada satu pun yang mengandungi baris lemah. Ini menjadi salah satu punca mengapa tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sesuatu yang lebih baik dari Al-Quran. Maka sebab itu apabila Musailamah al-Kadzaab yang mengaku dirinya sebagai Nabi, cuba membawa surah yang sama seperti Al-Quran, dia gagal melakukannya, padahal dia adalah antara bangsa Arab yang sangat fasih dan petah dalam berbahasa.

    Hanya dengan keindahan ayat-ayat Allah itu sahaja, dan tanpa memerlukan penjelasan yang panjang lebar tentang apa itu Islam, cahaya iman berjaya menembusi hati-hati golongan Musyrikin waktu itu. Sebab itu seorang sahabat Nabi bernama Uthman bin Mad'ud pernah berkata:
    Rasulullah sallahu alayhi wassalam begitu bersungguh-sungguh dan tidak jemu mengajak aku masuk kepada Islam. Akhirnya aku pun mengalah dan memeluk Islam. Namun iman tidak pernah langsung memasuki hatiku sehinggalah aku mendengar ayat[3]:



    Harus diingat bahawa iman memasuki hati sahabat Nabi ini bukan kerana tertarik dengan keindahan akhlak Rasulullah, sebaliknya keindahan bahasa Arab itulah yang benar-benar membuka hatinya kepada iman walaupun dia sudah pun Islam di kala itu.

    Namun bagaimana pulakah caranya di zaman dahulu, golongan 'ajam yang tinggal di luar jazirah Arab boleh tertarik kepada Islam?

    Apabila Islam mula tersebar di luar Tanah Arab, keindahan bahasa Al-Quran sudah tidak begitu lagi relevan untuk memancing manusia kepada Islam. Bagaimana kita mampu untuk menghargai sebuah keindahan yang tidak kita ketahui hujung dan pangkalnya? Keindahan potret Mona Lisa hanya dapat dihayati dengan sebenar-benarnya oleh seorang pencinta seni yang sejati. Keindahan kalkulus hanya dapat dinikmati oleh seorang pencinta matematik yang hakiki.

    Demikian jugalah dengan keindahan al-Quran. Ia hanya dapat dirasai oleh mereka yang sungguh-sungguh arif dalam bahasa Arab (menjadi orang Arab tidak bermakna seseorang itu sudah mahir dalam bahasa Arab dan majoriti Arab hari ini juga sebenarnya perlu belajar bahasa Arab).

    Maka, akhlak para pendakwah yang merantau di tanah 'ajam memainkan fungsi yang lebih kritikal dalam proses penyebaran Islam di seluruh dunia. Kita ambil contoh bagaimana Islam dibawa masuk ke dalam wilayah Nusantara oleh para pedagang Arab[4]. Apabila pedagang Arab ini melakukan urus niaga dengan penduduk tempatan, mereka tidak melakukannya semata-mata untuk tujuan duniawi. Mereka tidak menipu dalam urusan jual beli. Mereka lebih mengutamakan harga yang berpatutan daripada membuat keuntungan. Apabila ada pelanggan yang tidak mampu untuk membayar hutang kepada pedagang Arab ini, mereka dimaafkan dengan mudah kerana kemaafan dari Allah adalah jauh lebih berharga[5].

    Dengan kata lain, para pedagang yang sekaligus menjadi pendakwah ini telah menterjemahkan al-Quran dalam bentuk yang mudah difahami oleh penduduk tempatan yang tidak tahu sama sekali berbahasa Arab. Akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran.

    SEBUAH KESEDARAN

    Mengkritik seorang pemimpin sebagai tidak berakhlak, rendah moral, firaun dan sebagainya, bukanlah sesuatu yang dikeji jika ia terbukti benar. Malah, begitulah sebenarnya interaksi dua hala yang patut berlaku dalam sesebuah kerajaan. Jangan jadi rakyat yang memejamkan mata apabila kecurangan berlaku dalam pemerintahan. Pemimpin pula perlu mencontohi sifat Saidina Umar yang bersyukur apabila ada rakyat yang mahu membetulkan kesilapannya dengan mata pedang[6].

    Fitnah dan kecelaruan timbul apabila kita sentiasa mencari kesalahan orang lain tetapi melupakan kekurangan diri sendiri. Kita menuduh kerajaan sebagai zalim dan tidak bertimbang rasa kepada rakyat, tetapi saya pernah juga berhadapan beberapa kali dengan segelintir manusia yang tidak jauh bezanya dengan sifat kerajaan yang didakwanya itu. Kita bersemangat mahu menegakkan negara Islam, tetapi perintah Nabi yang menyuruh kita berbuat baik, berlemah-lembut dan bertimbang-rasa sesama manusia kita abaikan. Di mana hilangnya akhlak kita?

    Apabila saya membaca buku The Islamist dan menonton filem Rendition, saya menjadi semakin sukar untuk menolak kata-kata Sheikh Muhammad al-Ya'qoubi dalam Advice To Seekers. Katanya:
    "...we need to change [the] direction of Islam in the West. And the way to change it is to bring it from a level of activism to a level of intellectualism. That is to say we need to bring the ummah to [the] higher intellectual level, where the concern of the ummah is the study of the deen and the deliberation on knowledge. Knowledge that belongs to Islamic civilization, knowledge that stems from the Book of Allah, the sunnah of the Prophet sallahu alayhi wassalam and the way of the ulama'.

    Not the level of activism because activism is now stemming from a void, from nothing. Just from anger. The level of Islamic activities now is based on anger, frustration, complaints. It should stem from [the] understanding of our legacy. And no ummah, no nations in the world would succeed if it abandons its history, its legacy..."


    Secara ringkasnya, perjuangan Islam kini kadang-kala lebih bersifat aktivisme yang lahir dari rasa kecewa, meluat dan sakit hati kepada sistem-sistem yang gagal di sekeliling kita. Tutup mata seketika dan cuba renungkan berapa ramai agaknya pejuang Islam hari ini yang benar-benar sudah khatam sekurang-kurangnya perkara-perkara asas dalam ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf dan sirah?

    Di samping menambah dan mengamalkan lagi ilmu tentang deen, maka mari juga kita lahirkan kesedaran untuk memperbaiki akhlak kerana ia adalah alat paling penting untuk menjernihkan banyak salah faham tentang Islam dewasa ini.

    Bukankah saya sudah nyatakan tadi bahawa "akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran". Terjemahan ini dengan mudahnya dapat difahami dengan baik oleh bangsa British mahu pun bangsa Masai.

    Rasulullah bersabda, "Aku diutus hanyalah demi menyempurnakan akhlak yang baik"[7]. Kurangkan sifat berkira semasa manusia, tanamkan sifat ihsan, dan semaikan akhlak yang murni, baik di dunia online[8] mahu pun offline.

    Anda mahu mengubah dunia? Anda mahu Islam kembali gemilang? Silakan. Namun sedarkan diri anda bahawa yang paling penting, yang paling mudah, tetapi sering diabaikan adalah mengubah diri sendiri.

    Kemudian sepanjang kita mencari penyelesaian ke atas masalah kemurungan ummah hari ini, kita akan mendapat satu lagi kesedaran bahawa kita tidak mampu aktif untuk berjuang dalam semua perkara. Maka di sinilah pentingnya pengkhususan dalam perjuangan kita sebagai khalifah Allah. Cari satu sahaja benda yang boleh kita perjuangkan untuk Islam, tidak perlu banyak-banyak. Namun dalam masa yang sama itu tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu dalam perkara-perkara yang tidak kita pilih.

    Apa pun jenis perjuangan Islam yang dipelopori, ia mestilah dilandasi dengan ilmu dan jangan pula kita sempitkan konotasi 'perjuangan Islam' itu semata-mata dengan memperjuangkan sebuah negara Islam. Tidak semua orang mampu mendukung aspirasi tersebut. Jadi realistik. Bahkan, Islam sendiri memerlukan perjuangan dalam pelbagai lapangan. Berbakti kepada kedua ibu bapa adalah berjuang di jalan Allah juga.

    Biar pun perjuangan kita itu kecil dan tidak setanding dengan perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam, tetapi saya kira semua orang ada peranannya yang tersendiri untuk memastikan bumi ini menjadi tempat yang lebih selesa dan selamat untuk didiami oleh manusia; tanpa mengira agama, bangsa dan jantina. Kepada yang masih mencari-cari apa yang ingin diperjuangkannya:
    Do one thing and do it well because we don't want to become jack of all trades and master of none!
    ---

    NOTA KAKI:

    [1]^Saidina Umar al-Khattab terus memeluk Islam setelah adiknya, iaitu Fatimah, membacakan Surah Taha kepadanya.

    [2]^Ya, Bush adalah pengguna iPod:
    http://www.youtube.com/watch?v=Gb7iOvS7Akc

    [3]^Surah an-Nahl, 90.

    [4]^Ketika di sekolah menengah, mungkin kita ada belajar tentang teori kemasukan Islam ke Alam Melayu Nusantara. Ia melalui 3 cara; dari Arab, China dan India. Ketiga-tiga teori ini masing-masing ada bukti yang menyokongnya. Namun saya berpendapat bahawa Islam di Nusantara lebih kuat dipengaruhi oleh para pedagang dari Tanah Arab yang tinggal di kawasan Hadhramaut, Yaman. Sebabnya?

    Pertama, kawasan Hadhramaut memiliki ramai keturunan Nabi sallahu alayhi wassalam. Keturunan Nabi yang ada di Nusantara ini juga sebenarnya adalah cucu-cicit kepada pedagang-pedagang Arab dari Hadhramaut yang datang ke tanah air kita beratus-ratus tahun yang lampau dan ia boleh disahkan melalui salasilah keluarga mereka. Malah seperti di Nusantara juga, penduduk Arab di Hadhramaut ini turut memegang mazhab Shafi'i dalam urusan fiqh seharian.


    Klik gambar untuk paparan peta taburan mazhab yang lengkap.

    Kedua, walaupun terdapat sub-teori yang mengatakan bahawa pedagang Arab itu sebenarnya adalah dari Mesir, dan bukan dari Hadhramaut, namun saya mengemukan pula Teori Kain Pelikat. Kain pelikat yang selalu digunakan oleh lelaki Muslim di Malaysia dan Indonesia adalah sesuatu yang sering dipakai oleh penduduk Arab di Hadhramaut. Jarang-jarang sebenarnya kita melihat orang Arab memakai kain pelikat. Walaupun lelaki Arab Mesir juga kadang-kala dilihat memakainya, namun menurut ustaz saya yang pernah belajar di Hadhramaut dan tinggal pula di Mesir, orang Arab Mesir biasanya memakai kain pelikat selepas mereka selesai berjimak dan bukannya untuk mendirikan solat.

    [5]^Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, maka pada Hari Kiamat nanti Allah akan menaunginya di bawah naungan Arasy, yang mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali adalah naungan-Nya.
    (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

    [6]^Sewaktu Saidina Umar al-Khattab baru diangkat menjadi Khalifah ar-Rasyidin yang kedua, seorang sahabat berkata, yang lebih kurang, "Wahai Umar, jika engkau tidak betul, akan aku betulkan engkau dengan pedangku!" Lalu Umar pula menjawab, "Alhamdulillah kerana ada di kalangan umat Muhammad yang mahu membetulkan kesalahan aku dengan pedangnya".

    (Jika ada sebarang sumber yang mengandungi perbualan ini, sila beritahu saya. Saya tidak ingat tajuk dan pengarang bukunya kerana ia tiada pada saya)

    [7]^Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abu Hurairah.

    [8]^Walaupun internet menyediakan ruang anonymity, namun itu tidak bermakna kita boleh memaki-hamun, mengeluarkan kata-kata kesat, malah lebih teruk lagi melakukan fitnah!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    صلى عليك الله - Solla 'alaikallah by In-Team

    22 Januari 2008 • 17 Komen
    A bouquet of thanks to my best friend ever for providing the lyric of Solla 'alaikallah in Arabic and the translation in Malay. Unfortunately IMHO, the translation is not poetically beautiful yet and some lines are not translated accurately. So it might bring confusion to some people, therefore it will remain unpublished.

    Anyway, I am a total n00b in video editing and this is my first time I do hardsubbing. My apologies for any shortcomings. The mosque you see in the video is Masjid Nabawi.





    Lyric صلى عليك الله

    صلى عليك الله يا عدنان عدنان
    يا مصطفى يا صفوة الرحمن رحمن
    الحمد لله الذي أعطاني أعطاني
    هذا الغلام الطيب الأردان أردان

    قد ساد فى المهد على الغلمان غلمان
    أعيذه بالبيت ذي الأركان أركان
    حتى أراه بالغ البنيان بنيان
    أنت الذي سمية في القرآن قرآن

    أحمد مكتوب على الجنان جنان
    صلى عليك الله في الأحيان أحيان
    أحمده في السر والبرهان برهان
    حقا على الإسلام والإيمان إيمان

    أحمده في السر والبرهان برهان
    حقا على الإسلام والإيمان إيمان
    يا ربنا بالمصطفى العدنان عدنان
    اغفر ذنوبي ثم أصلح شأني يا الله

    Download This Video

    1) A hardsubbed version (23 MB). If you want to upload the video at other video sharing sites, use this version.

    2) A softsubbed version (22 MB). This is especially for people who have plenty of times in their hands and want to hardsub the video with their own custom subtitle (like supplementing the lyric with your local language). Don't forget to download the subtitle file (.srt).
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Jika Saya Mati

    09 Januari 2008 • 26 Komen
    Writer's block


    Setiap penulis yang mengambil serius pada apa yang ditulisnya pastinya sesekali akan dikunjungi oleh satu penyakit yang dinamakan Writer's block yang mana ia ditakrifkan oleh Wikipedia sebagai:
    Writer's block is a phenomenon involving temporary loss of ability to begin or continue writing, usually due to lack of inspiration or creativity... Writer's block can be closely related to depression and anxiety, two mood disorders that reflect environmentally caused or spontaneous changes in the brain's frontal lobe.

    Saya sedang mengalami Writer's block buat kesekian kalinya. Apabila ia berlaku, saya tidak mampu untuk menyiapkan tulisan yang saya mulakan. Idea ada banyak di kepala, tetapi ia tidak boleh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Akibatnya, berdozen-dozen tulisan saya yang tersadai dalam bentuk draf akibat diserang sindrom Writer's block sepanjang 3 tahun saya menulis di blog ini.

    Writer's block ini jugalah biasanya yang menjadi sebab mengapa ramai penulis novel yang tiba-tiba tidak menulis selama beberapa tahun.


    JIKA SAYA MATI

    Kalau saya mengalami sindrom Writer's block ini, maka saya boleh memberitahu kepada pembaca bahawa saya tidak akan menulis buat beberapa ketika. Jadi mereka tidak akan berasa pelik jika tiada tulisan terbaru dari saya. Tapi apa pula akan jadi jika saya mati?

    Mungkin satu-satunya cara untuk pembaca blog ini tahu bahawa Tawel Sensei sudah mati adalah melalui blog rakan-rakan saya yang lain. Namun cara ini tidak semua orang akan tahu. Mungkin juga mereka sendiri akan faham apabila tiada tulisan terbaru dari saya selama beberapa tahun, malah segala komen pembaca juga tidak dipaparkan. Ini juga tidak berapa tepat kerana boleh sahaja saya membuat keputusan untuk tidak menulis dan tidak memaparkan sebarang komen pembaca.

    Saya ada seorang kenalan maya. Kita namakan dia Mukhlis. Sesiapa yang sudah mengikuti blog ini dalam tempoh masa yang lama mungkin akan mengenali siapa Mukhlis ini kerana dia akan singgah dan memberikan komen di sini sekali-sekala. Mukhlis memiliki sebuah blog juga. Tiba-tiba beberapa hari yang lepas, di blog Mukhlis sudah tidak terdapat apa-apa tulisan lagi. Apa yang tinggal cumalah gambar sebuah kubur yang bertulis Al-Fatihah Buat Mukhlis. Walaupun sebenarnya dia tidak mati, malah masih sihat walafiat, tetapi ia akan membuatkan pelawat baru dan lama tertanya-tanya adakah benar bahawa Mukhlis sudah pun meninggal dunia, atau ia dongeng semata-mata?

    Oleh itu, kadang-kala saya berharap agar servis Blogger ini memiliki satu plug-ins atau pun widget yang boleh memberitahu secara automatik kepada pembaca bahawa tuan punya blog ini sudah pun meninggal dunia. Saya namakan widget ini Widget Kematian.

    Widget Kematian ini akan memaparkan satu tulisan yang sudah dibuat awal-awal lagi oleh tuan punya blog sebelum dia meninggal dunia. Widget Kematian ini pula hanya akan diaktifkan secara automatik apabila tuan punya blog itu sudah tidak login ke dalam Google Account (yang juga merupakan Blogger Account) selama 1 tahun.

    Idea yang cukup baik bukan? Dengan menggunakan widget ini, maka apabila saya mati, setahun selepas itu akan ada satu pos yang bertulis misalnya:
    Assalamualaikum para pembaca yang dihormati.

    Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ketahuilah bahawa sesungguhnya saya, iaitu Tawel Sensei sudah pun meninggal dunia kira-kira 12 bulan yang lalu. Setahun sesudah saya menghembuskan nafas yang terakhir, kini saya hanyalah sekadar tulang-temulang dan rangka reput yang tertanam di bawah tempat kamu berjalan. Betapa hinanya saya ini di sisi Allah.

    Sesungguhnya tidaklah saya bangkit dari kubur semata-mata untuk menyiapkan tulisan yang benar-benar terakhir di blog ini. Mana mungkin saya bangkit semula dari kubur memandangkan dunia masih belum kiamat lagi. Kalau pun saya boleh bangkit semula sebelum ketibaan kiamat, maka adalah lebih baik saya melakukan lebih banyak amal-amal soleh daripada menulis di sini.

    Sebenarnya rahsia bagaimana saya boleh melakarkan entri terakhir ini setahun sesudah saya mati adalah dengan menggunakan Widget Kematian yang seolah-olah berfungsi sebagai 'wasiat' di alam maya ini. Sudahkah anda menggunakannya?

    Tidak banyak yang saya boleh wasiatkan kepada para pembaca blog ini yang saya hormati selalu. Cuma, ambillah apa-apa yang bermanfaat dari blog ini dan saya juga ingin meminta maaf zahir dan batin atas segala salah silap saya sepanjang saya menulis di blog ini. Kalau rajin, sedekahkanlah saya bacaan al-Fatihah sekurang-kurangnya sekali. Kalau lagi rajin, surah al-Baqarah pun boleh juga.

    Kita mungkin tidak berkongsi rumah yang sama, sekolah yang sama dan lubang kubur yang sama. Namun mudah-mudahan kita akan berkongsi syurga yang sama.

    Sekian. Moga kita berjumpa di Alam Barzakh.

    Yang telah pun menghembus nafas terakhir,
    Tawel Sensei

    APABILA MANUSIA MEMBENCI KEMATIAN

    Berbincang tentang bab kematian memang boleh memuramkan suasana. Orang putih (baca: bukan Islam) adalah antara golongan yang paling benci kepada perbincangan-perbincangan seperti ini.

    Di kala ini, saya selalunya berasa bangga menjadi Muslim. Orang Islam selalunya lebih cool apabila masuk bab-bab kematian ini (Saya ada menulis serba-sedikit tentang kematian dalam Kisah Si Padang Jawa). Orang Islam memahami bahawa kematian cumalah satu fasa yang perlu ditempuhi untuk menuju ke negeri abadi. Orang Islam yang takut mati cumalah terdiri dari kalangan mereka yang banyak melakukan dosa sahaja.

    Namun biasanya semua orang memang tidak suka mati. Orang yang berharap kepada syurga Allah pun kalau boleh tak mahu mati. Kalau boleh, syurga itu mahu dicapai tanpa perlu melalui keperitan azab sakaratul maut.

    Realitinya, semua orang akan mati. Bagi umat Islam, selalu memikirkan tentang kematian boleh menjadikan kita lebih peka dan fokus kepada kehidupan ini. Kita adalah pemandu kepada kehidupan yang fana ini. Apa akan jadi kepada seorang pemandu yang tidak memfokuskan perhatiannya kepada kereta yang dipandu dan jalan yang sedang dilaluinya? Apa akan jadi pada pemandu ini jika dia terlelap selama 2 saat sahaja ketika keretanya meluncur pada halaju 100 km/jam? Kemalangan.

    Maka oleh kerana tiada peluang kedua sesudah roh meninggalkan jasad, maka kita perlu berusaha menjauhi perkara-perkara maksiat. Kadang-kadang satu dua maksiat yang kita lakukan akan meninggalkan bintik hitam yang sangat kuat lekatnya pada hati.

    Kalau selama ini hati dan tubuh kita berlumuran dengan maksiat, akan sentiasa ada peluang untuk kita membersihkannya selagi nyawa masih berada di badan dan selagi matahari tidak terbit di ufuk Barat. Kita masih belum terlambat. Mari jadikan permulaan 1429 Hijrah ini sebagai titik permulaan untuk kita melakukan muhasabah diri.
    "Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat."
    (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)


    VOYAGE

    Walaupun saya kata saya sedang mengalami writer's block, tetapi saya tidak tahu mengapa saya boleh juga menyiapkan tulisan yang ini.

    Mungkin semangat ini datang selepas saya menonton filem Le Grand Voyage malam semalam. Sekarang saya faham apakah sebenarnya voyage terbesar hidup ini. Ia bukan ke London, bukan ke Istanbul, bukan ke Mekah, dan bukan juga ke Madinah.

    Voyage terbesar adalah ke Akhirat. Sama ada pengakhiran ini adalah neraka atau pun syurga, hanya amal soleh dan rahmat Allah yang mampu menentukannya. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita akan kembali.

    Harap-harapnya saya berjaya mengatasi Writer's block ini. Jika tidak, maka gersanglah blog ini selama beberapa minggu (atau bulan, atau tahun).

    Saya sudahi tulisan ini dengan lagu Dabus Rohani dendangan Kopratasa:



    Lirik Dabus Rohani - Kopratasa:

    Baju putih, selendang putih,
    Mari dibawa pergi sembahyang.

    Allah kasih, Muhammad kasih,
    Rasulullah terlalu sayang.

    Ertikan kehidupan ini,
    Ucapkan syukur kepada-Nya,
    Rabbul 'Izzati Tuhan sesungguhnya,
    Pasrah dan redha akar insani.

    Waktu hidup di dunia,
    Janganlah leka terpesona,
    Oleh jaring segala kepalsuan.

    Dengan wajah keindahan,
    Tabir halus yang mengasyikkan,
    Terkapar hayat sampai ke akhirnya.

    -------
    Kredit:
    1) Gambar Writer's Block
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Menasyidkan Semula Nasyid

    04 Januari 2008 • 10 Komen
    Tulisan ini adalah kesinambungan kepada Top 20 Nasyid yang Bukan Nasyid. Ia ditulis setelah saya membaca komen-komen yang diberikan.

    1) Penyanyi nasyid lebih holier dari penyanyi bukan nasyid?

    Menentukan siapa lebih holier (mulia) di sisi Allah bukan kerja kita. Seperti yang saya sudah tulis dahulu, ketika Saidina Umar al-Khattab masih lagi menyembah berhala, Allah sudah pun sayang kepadanya. Jadi, hidup sebagai manusia ini jangan sekali-kali fikir yang kita ini lebih bagus, lebih kurang dosa, lebih banyak buat pahala, dan sebagainya.

    Oleh itu tidak timbul isu sama ada mereka (sama ada penyanyi nasyid atau bukan nasyid) mengerjakan atau tidak apa yang mereka perkatakan dalam nyanyian itu. Mempersoalkan ini bermakna kita sudah bersangka buruk kepada orang lain. Jika mahu mempersoalkan juga, maka saya juga boleh bertanya, "Penyanyi nasyid zaman sekarang ini, ada ke mengamalkan sepenuhnya apa yang mereka katakan itu?"

    Apa yang lebih penting, adakah kita ini juga sudah mengamalkan segala apa yang kita sudah tahu dan yang kita perkatakan kepada orang lain? Penyanyi juga adalah sasaran dakwah kita. Maka jangan lebarkan jurang dakwah ini dengan mempersoalkan mereka ini mulia atau tidak, mengamalkan apa yang mereka perkatakan itu atau tidak.

    Memurnikan industri hiburan agar menjadi lebih Islamik bukan bermaksud dengan cara menghapuskan jenis-jenis muzik yang lain dan hanya mengizinkan nasyid sahaja untuk terus hidup subur. Kita tidak akan berjaya sampai bila-bila untuk menghapuskan jenis-jenis hiburan yang ada melainkan kita 'melenyapkan' bersama manusia yang meminatinya. Apa yang harus kita fikir, "Bagaimana untuk kita menjadikan muzik sekian-sekian agar lebih Islamik?"


    2) Objektif munsyid lebih mulia. Sahih!

    Satu perkara yang pasti, objektif zahir (ZAHIR sahaja, BATIN tidak termasuk) munsyid adalah lebih mulia dari yang bukan munsyid; iaitu membawa mesej Islam, keinsafan, kesedaran, dan motivasi kepada manusia.

    Oleh itu bawalah mesej Islam itu dengan baik dan betul. Jangan asyik-asyik lagu nasyid cintan-cintun sahaja yang menjadi lagu hits. Saya tekankan frasa "menjadi lagu hits".

    Mengapa kumpulan Kopratasa tidak dikenali sebagai kumpulan nasyid padahal mereka menyanyikan juga lagu-lagu bersifat nasyid seperti Dabus Rohani, Tetamu Senja dan Keteguhan Para Syuhada? Ini kerana lagu-lagu bersifat nasyid ini telah ditenggelamkan oleh lagu-lagu puisi bersifat cinta dan komentar sosial yang menjadi lagu hits mereka.

    Wings tetap diingati dengan lagu-lagu popular mereka seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama. Mereka tidak diingati dengan Lipas Kudung, Kau Bukan Brader dan sebagainya. Wings juga tidak dikenali sebagai kumpulan yang mengingatkan kita tentang kematian hanya semata-mata mereka membawakan lagu Dari Tuhan dan Alam Barzakh. Ini kerana lagu-lagu rock cintan lebih mendominasi kumpulan ini.

    Satu-satunya golongan yang boleh mengetahui kesemua lagu-lagu mereka adalah terdiri dari peminat setia kumpulan tersebut sahaja. Perkara yang sama juga terjadi dalam industri nasyid. Satu-satunya golongan yang boleh mengetahui lagu-lagu nasyid tidak meleleh (dalam masa yang sama tidak popular) secara spontan adalah dari kalangan peminat nasyid tegar itu sendiri.

    Oleh yang demikian, majoriti masyarakat melihat nasyid di zaman 2000-an ini dipenuhi dengan lagu-lagu nasyid yang meleleh sahaja kerana lagu seperti itu yang popular di corong-corong radio. Jangan salahkan masyarakat apabila munsyid hari ini dihukum sedemikian rupa. Kalau dalam sebuah album nasyid ada 10 buah lagu, 3 darinya adalah lagu top bersifat jiwang karat, 7 pula lagu tidak meleleh tetapi tidak popular, maka secara fitrahnya masyarakat akan menilai dan menghukum mereka melalui 3 lagu itu sahaja. Ini fitrah industri muzik.

    Jika disebut In-Team kepada kakak saya yang minat biasa-biasa sahaja kepada nasyid, kakak saya hanya akan boleh menyebut lagu-lagu jiwang kumpulan ini sahaja kerana itu yang popular. Jangan harap kakak saya akan tahu lagu Sollaalaikallah dan Qudwah Hasanah.

    Jika tidak mahu dilabel sebagai munsyid jiwang, maka sila pastikan 3 lagu top dari sesebuah album itu adalah lagu yang tidak jiwang dan bersifat universal. Jangan mengelat dengan mengatakan, "Kami ada juga membawa lagu-lagu yang menekankan konsep berusaha, motivasi, menaikkan semangat jihad, bla bla bla..."

    Ada lagu-lagu sedemikian, tetapi tidak popular, mahu buat apa? Sama ada rock, dangdut, irama Malaysia, pop, - radio dan televisyen di mana-mana negara hanya menayangkan lagu-lagu yang popular sahaja. Dengan memahami bagaimana industri hiburan berfungsi, maka kita akan mengerti mengapa pentingnya bagi munsyid untuk melahirkan nasyid yang universal dan berkualiti.

    Saya ulang sekali lagi: Jangan mengelat.

    3) Jadikan nasyid itu lebih sawarjagat (universal).

    Di sini saya akan menerangkan mengapa munsyid hari ini harus menjadikan lagu-lagu top mereka adalah lagu yang bersifat universal, dan bukannya lagu-lagu nasyid yang mana sasaran khususnya adalah "remaja yang putus cinta dan kemudian barulah mahu ingat Allah".

    Sebelum saya meneruskan lagi, saya ingin memetik sedikit tulisan dari blog Al-Bakistani:
    Aku bertanyakan kepadanya tentang punca atau asbab hidayah yang menyebabkan dia boleh memeluk agama Allah yang maha indah ini. Dia mengambil walkman di dalam begnya dan memasang sebuah lagu dan menyuruh aku mendengarnya. Fahamlah aku bahawa, punca atau asbab hidayah Musa kepada Islam adalah disebabkan dia telah mendengar dan menghayati kandungan nasyid yang dialunkan oleh kumpulan Raihan semasa kumpulan nasyid Islam Malaysia itu mengadakan show di Kanada suatu ketika dulu.

    Yang lebih memelikkan ku, nasyid yang menjadikan Musa tertarik hati dengan Islam adalah nasyid yang dialunkan di dalam bahasa Melayu yang lebih kurang bunyinya adalah seperti berikut:

    "Di mulakan dengan Bismilllah, disudahi dengan Alhamdulillah, begitulah sehari dalam hidup kita, mudah-mudahan dirahmati Allah".

    Mendengar nasyid Raihan itu, hatiku menyebut, “Subhanallah” betapa hebatnya kuasa Allah dapat memberi hidayah kepada hamba pilihan-Nya semata-mata dengan mendengar nasyid yang diri hamba-Nya itu sendiri tidak memahaminya.

    Sejak dahulu sampai sekarang, peratusan peminat nasyid masih kecil. Terima kasih kepada kemunculan Raihan pada tahun 1996, ramai orang semakin mula mengenali nasyid. Raihan menyebabkan minat saya kepada nasyid bertambah. Malah saya tetap meminati kumpulan nasyid ini sampai sekarang walaupun ramai anggota asalnya yang sudah tiada.

    Raihan berjaya kerana nasyidnya bersifat universal dan sasaran pendengarnya adalah terdiri dari bukan Islam dan Islam, dari yang muda sehingga yang tua, dari yang kaya kepada yang miskin, dari bangsa di Barat hingga bangsa di Timur. Tetapi nasyid hari ini sasaran utamanya terdiri dari anak-anak remaja Islam dalam lingkungan 15 - 25 tahun. Di sinilah munsyid silap.

    Mari kita merenung sebentar pada realiti. Jangan fikir semua orang minat lagu nasyid. Jangan fikir semua orang dengar Radio IKIM, yang mana ia satu-satunya agen di negara kita yang memutarkan lagu nasyid yang popular dan tidak popular. Mereka yang tidak dengar nasyid dan tidak dengar IKIM ini saya berani katakan bahawa mereka adalah kelompok majoriti di negara kita.

    Saya ada ramai kawan yang jenis kaki clubbing dan kaki gigs. Mereka adalah jenis manusia yang memang tidak pandang langsung nasyid. Cukup menghairankan apabila mereka tahu siapa Raihan, siapa Rabbani dan siapa Hijjaz, tetapi mereka tidak tahu langsung siapa In-Team, siapa UNIC, siapa Mestica, siapa Devotees dan sebagainya. Di mana silapnya?

    Pendengar setia Radio Era berkemungkinan besar tidak meminati nasyid dan tidak pula mendengar Radio IKIM. Walaupun stesen radio paling popular di Malaysia ini tidak mengkhususkan dalam hiburan nasyid, tetapi sekali-sekala ia akan tetap memutarkan juga lagu-lagu nasyid. Perkara yang sama juga berlaku kepada stesen-stesen radio tempatan yang lain.

    Maka, satu-satunya cara untuk mereka yang tidak meminati nasyid untuk mengetahui trend nasyid terkini adalah melalui Radio Era (juga stesen tv dan radio lain) itu sahaja. Seperti yang saya jelaskan dalam Nombor 2 tadi, stesen radio dan tv akan menyiarkan lagu-lagu yang popular sahaja. Alangkah sayangnya apabila para pendengar stesen-stesen radio berkenaan hanya diperdengarkan lagu-lagu nasyid yang meleleh sahaja!

    Katakan pula saya mahu mendekatkan kawan-kawan saya itu kepada muzik yang lebih baik dan bermanfaat. Bolehkah anda bayangkan apa akan mereka fikir apabila saya menghadiahkan mereka sebuah CD artis nasyid pada hari ini, yang mana lagu-lagunya yang sedap didengar adalah jenis tangkap leleh? Saya lebih rela menghadiahkan kaset nyanyian M. Daud Kilau!

    Cuba kita fikir sejenak mengapa agaknya Raihan begitu popular di dalam dan luar negara? Adakah disebabkan kekacakan munsyidnya atau disebabkan tema dan lagu nasyidnya yang bersifat sawarjagat?

    Peminat nasyid hari ini kadang-kadang ada yang lebih meminati munsyid dari nasyid itu sendiri. Kalau si munsyid ini menyanyikan lagu Air Pasang Dalam dan Lompat Si Katak Lompat di dalam albumnya sekali pun, mungkin si peminat ini akan membelinya juga.

    Nasyid semakin hilang arah.

    4) Jangan syadidkan alternatif yang ada

    Ini ada kaitan dengan Nombor 1. Memang benar lagu-lagu yang saya senaraikan dalam Top 20 itu tidak dinyanyikan oleh mereka yang berkopiah, tetapi adakah salah untuk kita mengambil apa-apa yang baik dari mereka?

    Justeru, adakah perlu bagi kita untuk menilai personaliti penyanyi tidak berkopiah itu terlebih dahulu sebelum kita mendengar lagu-lagu mereka yang sarat dengan mesej keTuhanan dan nasihat itu? Dan adakah tidak perlu untuk kita mempersoalkan personaliti para munsyid hari ini hanya semata-mata mereka membawa hiburan Islam? Mengapa wujud kasta?

    Kalau anda berfikir begini, maka silakan. Teruskan dengan syadid anda. Namun jangan jadi munafik dan hipokrit jika anda masih menonton filem dan televisyen. Trend drama Melayu di Cerekarama TV3 sekarang ini dengar-dengarnya juga sudah banyak membawa mesej-mesej yang baik. Tetapi adakah perlu bagi saya untuk mempersoalkan secara terperinci tentang personaliti setiap pelakonnya sebelum saya boleh mengambil pengajaran daripadanya?

    Oleh itu, jangan syadidkan alternatif yang ada. Alternatif yang kelihatan kekurangan elemen-elemen hiburan Islami ini boleh dijadikan jambatan sebelum seseorang itu benar-benar beralih kepada hiburan yang benar-benar Islami, yang benar-benar halal.

    Jika tiada kumpulan nasyid seperti Raihan, mungkin sampai sekarang saya tidak akan meminati nasyid, apatah lagi untuk mengetahui dan mengenali para munsyid dari luar negara seperti Dawud Wharnsby Ali, Zain Bikha, Shaam dan Yusuf Islam (Saya ada seorang kawan yang langsung tidak kenal Yusuf Islam).

    Jangan anggap kawan-kawan saya yang kaki clubbing dan gigs itu akan terus berubah meminati nasyid dengan menyodokkan mereka dengan mp3 lagu-lagu nasyid. Manusia secara fitrahnya sukar berubah, lebih-lebih lagi jika cerun perubahan itu sangat curam.

    5) Nasyid juga boleh melalaikan

    Lagu nasyid juga boleh membawa kepada kelalaian dan lagha. Kamu dengar lagu Rabbani, Raihan, Hijjaz, In-Team, UNIC, Mestica, dan lain-lain sampai melewatkan solat, sampai lupa membaca Al-Quran, maka apakah itu bukan lalai?

    Jangan fikir dengan mendengar nasyid kita sudah boleh menjadi lebih baik dari semalam. Perubahan memerlukan usaha dan tindakan. Pengajaran dan semangat "Cinta-kepada-Allah-adalah-cinta-yang-patut-dicari" yang diperah dari nasyid-nasyid hari ini akhirnya menyebabkan kita semakin tenggelam dalam alunannya. Sahabatku, cinta Ilahi bukan lakaran puisi.

    Jika trend nasyid di kala ini masih berterusan, mungkin 5 tahun lagi saya akan menulis pula Nasyid Sudah Mati. Jangan biar industri nasyid kontemporari kita dikuburkan dengan talqin yang tidak sepatutnya.

    Al-Faatihah.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Mengapa Makcik Saya Tidak Akan Beli Makcik PC

    01 Januari 2008 • 22 Komen
    Jika ada seorang makcik saya bertanya patut atau tidak kalau mahu membeli Makcik PC, maka saya jawab, "Jangan beli". Terdapat banyak sebab mengapa makcik saya tidak patut membeli Makcik PC*, sesetengahnya terlalu teknikal untuk diterangkan.

    Tetapi ada dua sebab dari segi produktiviti, iaitu:
    1. Ia tiada papan kekunci (keyboard);
    2. Sistem pengoperasian Makcik PC (operating system, OS) berkemungkinan besar ditulis oleh MIMOS sendiri.

    TIADA PAPAN KEKUNCI
    Bagaimana Makcik PC ini boleh dipanggil sebagai sebuah PC apabila ia tiada papan kekunci? Maka sebab itu saya menganggap bahawa Makcik PC bukanlah antara komputer ternipis di dunia seperti yang didakwa. Sebaliknya ia adalah PDA tergedabak di dunia.

    Saya tidak faham mengapa orang boleh suka dan teruja apabila Makcik PC tidak mempunyai papan kekunci. Papan kekunci adalah antara perkakasan paling penting bagi sesebuah komputer. Hatta komputer tablet juga mempunyai papan kekunci. Pengguna rutin PDA juga biasanya akan membeli external keyboard untuk memudahkan kerja-kerja menaip.

    Cuba anda fikir, bagaimana caranya untuk kita menaip artikel, e-mel dan sebagainya dengan menekan satu persatu huruf di skrin? Tidakkah ini akan melambatkan kerja dan mengurangkan produktiviti? Jika anda suka begitu, maka silakan. Tetapi saya jamin lama-kelamaan anda akan kepenatan.

    Oh ya, dikatakan bahawa Makcik PC disasarkan juga kepada mereka yang berada dalam bidang pendidikan. Jadi, jangan mengeluh jika anda terpaksa menulis tesis yang beribu-ribu patah perkataan dengan cara menekan papan kekunci maya di skrin komputer Makcik PC anda. Saya boleh jadi gila jika menulis di blog ini dengan cara begitu!


    APA OS YANG DIGUNAKAN MAKCIK PC?
    Saya tekankan di atas tadi bahawa OS Makcik PC berkemungkinan besar ditulis oleh MIMOS sendiri. Ini cuma satu spekulasi. Apa yang pasti, mustahil Makcik PC akan menggunakan OS Windows atau Mac. Oleh itu makcikku, janganlah datang kepada saya dalam keadaan panik apabila tidak boleh install Microsoft Office dan Yahoo Messenger di dalam Makcik PC. Malah saya juga ragu-ragu Makcik PC akan membenarkan sebarang third-party applications untuk di install di dalamnya.

    Saya cuma boleh berdoa agak sekurang-kurangnya OS Makcik PC akan berdasarkan UNIX. Jika tidak, Makcik PC mungkin akan memerlukan masa bertahun-tahun (atau paling berkemungkinan berdekad-dekad) untuk menjadi sebuah komputer yang memiliki OS yang stabil dan selamat.

    Namun jika OS Makcik PC ditulis berdasarkan UNIX kernel, maka adalah lebih baik mereka berkerjasama dengan projek One Laptop Per Child (OLPC). Kerjasama ini akan berupaya mengurangkan kos MIMOS dalam R&D (sekaligus menjadikan harga Makcik PC semakin murah dan mampu dimiliki) kerana OLPC adalah sebuah projek kemanusiaan yang disokong oleh banyak syarikat korporat gergasi seperti Google, E-bay, Red Hat, Intel, dan AMD yang mana setiap syarikat ini telah mendermakan sebanyak USD 2 juta (RM 6.7 juta) untuk melihat projek ini berjaya.

    Saya tidak mengatakan supaya menjadikan Makcik PC serupa seperti OLPC, luar dan dalam. Apa yang saya ingin tegaskan, pinjam dan tiru teknologi dalaman yang digunakan oleh OLPC.

    One Laptop Per Child


    Kita sudah memasuki zaman open source (sumber terbuka). Maka kalau pun negara kita mahu membuat sebuah komputer sendiri, tidak perlu malu dan tidak perlu segan untuk menggunakan segala kod-kod yang terdapat dalam khazanah sumber terbuka itu.

    Inovasi tidak bermaksud memulakan sesuatu dari tangga pertama. Sebaliknya, setiap inovasi yang ada di dunia ini wujud dengan meminjam dan kemudiannya memantapkan lagi idea-idea yang sudah sedia ada. Internet tidak akan wujud jika tiada orang yang mencipta komputer. Komputer pula mungkin tidak akan wujud jika tiada orang mencipta kalkulator, yang mana kalkulator mungkin tiada jika abakus tidak dicipta.

    Don't reinvent the wheel! Dengan cara itu, komputer yang dihasilkan akan menjadi lebih murah dan lebih mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan rendah. Eh, OLPC cuma berharga USD 100 (RM 335) sahaja. Sebuah syarikat di Amerika pula menghasilkan Everex yang berharga cuma USD 200 (RM 670). Ini adalah dua buah komputer yang akan berfungsi sepenuhnya untuk pengguna komputer biasa (biasa di sini bermaksud anda tidak menggunakan komputer untuk web development, programming, video editing, dan sebagainya).

    Fikir banyak kali sebelum membeli Makcik PC, kerana saya boleh membina sebuah komputer yang sesuai digunakan oleh pengguna biasa, yang harganya tidak akan melebihi RM 1500 jika anda sanggup meninggalkan Windows dan beralih kepada Linux, yang mana saya mencadangkan Ubuntu Linux.

    ----------
    * Nampaknya Makcik PC kini sudah dikenali sebagai CyberWind. Berdasarkan video pelancaran Makcik PC yang dilakukan oleh Pak Lah ini, tidak kedengaran pula istilah Cyberwind digunakan. Di samping CyberWind, MIMOS juga sedang menyiapkan CyberTablet yang mempunyai sasaran khusus kepada mereka yang berada dalam bidang pendidikan. Namun bagi saya, menamakan sesuatu produk teknologi dengan awalan atau akhiran Cyber telah menjadi sesuatu yang cliché pada hari ini. Makcik lebih bagus!

    (Sumber dari NST, diletak di laman rasmi MIMOS Berhad)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »