Back to home page

Kalau Salah, Jolok Mereka

18 Mei 2007 • 18 Komen Cetak Chenta!
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan

Saya sampai sekarang masih tidak faham tentang karenah orang-orang Islam kita yang tiba-tiba datang berkobar-kobar semangat juang Islamnya. Dalam kes ini, saya merujuk kepada semangat juang orang muda yang biasanya berusia dalam lingkungan lewat 10-an hingga akhir 20-an. Anak-anak muda ini minat belajar ilmu-ilmu Islam. Tapi apa yang saya tidak faham ialah, mengapa dalam banyak-banyak mutiara yang tertanam di dalam ilmu Islam itu, perkara-perkara remeh yang diberikan penekanan?

Jika setakat mahu belajar benda yang remeh-temeh tidaklah mengapa sangat. Apa yang jadi masalah, mereka kemudiannya menjadikan isu-isu kecil ini seolah-olah menjadi satu isu ummah yang sangat besar, yang wajar diambil tindakan segera. Seakan-akan juga, barangsiapa yang masih lagi jahil tentang perkara itu, maka sahlah mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka.

Sebagai contoh, saya ambil realiti anak-anak muda yang minat dalam bidang hadith (tapi bukan yang jenis memang membuat pengkhususan dalam bidang hadith). Mereka belajar, belajar dan belajar. Baca kitab-kitab hadith itu dan ini untuk memahami apa itu sanad, apa itu matan, apa itu hadith sahih, apa itu hadith gharib, apa itu hadith daif, apa itu hadith ahad, apa itu hadith mutawattir, dan sebagainya. Baguslah. Tak pun kata salah. Apa yang salahnya, apabila mereka sudah tersilap analisis dalam mengetahui apakah prioriti sebenar dalam mencari ilmu hadith itu.

Mereka ini buat kecoh-kecoh dengan mendakwa, contohnya, "Tahukah anda bahawa hadith yang mengatakan surah Yasin itu sebagai hati Al-Quran adalah palsu?" atau "Tahukah anda bahawa hadith yang menganjurkan kita menuntut ilmu hingga sampai ke negeri China adalah palsu?"

Ini cuma dua contoh paling popular sahaja. Dakwaan yang sebenarnya tidak perlu diperbesarkan ini, telah membuang masa banyak anak-anak muda kita, dan tidak ketinggalan juga umat Islam secara keseluruhannya, dari melakukan sesuatu yang lebih utama dalam hidup ini. Golongan-golongan yang kehilangan masa ini boleh dibahagikan kepada 3 jenis:
  1. Golongan yang memulakan dakwaan tersebut. Golongan ini mahu umat Islam tahu bahawa dua hadith tersebut adalah palsu dan tidak patut disebut-sebut lagi. Maka mereka melancarkan jihad berkobar-kobar bagi menyebarkan info ini.

  2. Golongan kedua pula adalah yang mahu meredakan kekeruhan dan kekecohan yang ditimbulkan oleh golongan pertama. Golongan yang pertama dan kedua ada juga dari kalangan yang sangat ekstrim dan berego tinggi. Golongan yang berego tinggi ini lebih banyak menggunakan emosi ketika berhujah.

  3. Golongan ketiga pula adalah mereka yang tidak tahu menahu sangat tentang perbahasan hadith-hadith tersebut yang dilakukan oleh golongan pertama dan kedua. Akan tetapi mereka berasa tidak seronok, rasa tak best di hati apabila hadith yang mereka amalkan selama ini dan selalu dipetik untuk dijadikan nasihat kepada sahabat handai dan keluarga, rupa-rupanya adalah palsu! Dengan itu, untuk mengetahui apa kisah dan isu sebenarnya di sebalik perdebatan tentang hadith tersebut, maka golongan ketiga ini pun terpaksalah membuang masa mereka untuk mencari jawapan kepada rasa ketidak-best-an di dalam hati dan kekeliruan di dalam fikiran.

Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, sama ada isu taraf hadith tersebut diperbincangkan atau tidak diperbincangkan di dalam masyarakat awam Islam, ia tidak akan mampu meningkatkan produktiviti ummah ini walau seinci pun, tetapi sudah terang lagi bersuluh yang ia 100% dapat mengurangkan produktiviti ummah. Ini kerana apa yang mereka perdebatkan itu adalah salah satu lagi perkara khilaf. Hadith juga seperti ilmu fiqh; ia tidak terlepas dari khilaf oleh para ulama.

Contohnya, mengapa ada hadith-hadith yang diberikan taraf sahih oleh Imam Bukhari tetapi tidak dianggap sahih oleh Imam Muslim dan para imam mujtahid hadith yang lain? Imam yang berbeza mempunyai standard tertentu dalam menentukan taraf sesuatu hadith. Lain Imam, lain caranya. Maka terjadilah khilaf seperti mana dalam ilmu fiqh. Perhatikan analogi sanad ringkas hadith di bawah:

Imam X ---> Perawi A ---> Perawi B ---> Rasulullah s.a.w.

Menurut Imam Bukhari, salah satu syarat untuk sesuatu hadith itu diberikan taraf sahih ialah, bagi dua orang perawi bersebelahan dalam sanad sesebuah hadith, mereka mestilah pernah bertemu muka dan dapat dibuktikan melalui sejarah. Tetapi bagi Imam Muslim pula, cukuplah jika dua orang perawi bersebelahan ini ada kebarangkalian untuk bertemu (Rujuk bab Why Muslim follows Madhabs dari kitab Al-Maqasid oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller).

Contohnya perawi A tinggal di Bandar X. Perawi B pula tinggal di Y. Jika Perawi B pernah melawat Bandar X (iaitu tempat tinggal Perawi A) sekurang-kurangnya sekali, maka sanad hadith itu sudah boleh dianggap sahih jika menurut piawaian Imam Muslim dan kebanyakkan para ulama hadith yang lain. Tetapi bagi Imam Bukhari, hadith berkenaan tidak boleh diberikan taraf sahih.

Jangan Buka Isu Khilaf

Orang cerdik pandai akan berhujah dengan dalil-dalil ilmiah. Orang awam pula berhujah dengan lebih berpandukan common sense dan emosi. Apabila isu yang kita sentuh itu melibatkan perkara-perkara khilaf, maka sama ada kamu berhujah dengan penuh emosi, atau pun secara ilmiah, it does not matter at all. Ia tidak akan mampu menjadikan ummah ini lebih baik dari semalam, silap-silap makin roboh ikatan ummah ini.

Tetapi apabila kita berdebat tentang isu seperti konsert lagha Jom Heboh, isu arak haram jadi halal jika ada lesen, isu rambut wanita bukan aurat, maka sama ada kamu berhujah secara ilmiah atau emosi, ia pasti akan membawa angin perubahan yang lebih baik kepada status ummah ini. Namun demikian, di dalam kes pertama dan kedua, lebih molek dan comel jika berhujah secara ilmiah. Tetapi di dalam kes pertama pula, tidak memulakan hujah adalah lebih baik.

Tentang isu hadith menuntut ilmu hingga ke negeri China dan hadith surah Yasin sebagai hati Al-Quran itu, saya tidak akan menerangkan secara panjang lebar di sini. 2 orang bloggers yang lain sudah pun menyentuhnya, maka saya tidak akan buat kerja dua kali. Kalau mahu baca, boleh klik pautan di bawah ini.

Secara asasnya, jangan mencari onar andai kita belum benar-benar faham sama ada apa yang kita tahu itu benar-benar apa yang para ulama mahu kita tahu. Sebab ulama faham lain. Kamu pula dengan sangat mudah faham lain. Dan tolong faham juga sama ada benda yang kamu mahu bawa berdebat itu hukumnya mutlak atau pun khilaf.

Jika khilaf, tak perlu sentuh lebih baik. Jika mahu sentuh juga, jangan sampai pandang hina dan menyesatkan umat Islam yang berpegang kepada pandangan yang lain dari kita. Jika hukumnya mutlak, sentuhlah banyak-banyak tentang isu itu.

Dalam ilmu hadith, jika ulama hadith ini kata hadith sekian-sekian adalah dhaif, ada juga yang mungkin menyatakan hadith tersebut hasan. Konsep ini jangan dilupakan. Asalkan yang membuat ijtihad tentang taraf hadith tersebut adalah dari mereka yang benar-benar pakar, iaitu para ulama hadith, maka kita selaku orang awam haruslah menerima sahaja ijtihad-ijtihad yang berbeza itu. Dan jangan pula kita mahu memperbesarkan polemik perbezaan tersebut.

Biarkan hanya para ulama hadith sahaja yang berdebat tentangnya. Di zaman hari ini, apakah masih wujud pakar hadith seperti zaman dahulu. Zaman dahulu, mahu jadi pakar hadith mesti sudah menghafaz sekurang-kurangnya 100,000 buah hadith berserta sanadnya sekali. Oleh itu jika rasa tidak mampu jangan sibuk-sibuk mahu jadi pseudo-ulama hadith. Biarkan yang alim berbicara di beranda, kita yang tidak alim ini mari pergi tolong ibu di dapur.

Fiqh

Itu baru dalam hadith. Belum lagi masuk bab fiqh. Saya bawa contoh dalam kes sambutan Maulid Nabi. Isu tentang boleh atau tidak sambutan Maulid Nabi ini adalah antara isu yang selalu membuatkan umat Islam tidak boleh tidur sebantal, apatah lagi mahu tidur sekatil apabila menjelangnya bulan Rabiulawal.

Seperti yang kita tahu, ada segelintir umat Islam yang lebih cenderung berpegang kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh menyambut Maulidur Rasul. Dan seperti yang kita tahu juga, pendapat majoriti ulama adalah mengharuskannya, dan bukan mengharamkan atau membidaahkannya.

Maka, untuk memudahkan orang-orang awam memahami tentang polemik sambutan Maulidur Rasul ini (sekaligus meningkatkan produktiviti ummah), maka pendakwah yang bijak hanya perlu menerangkan kepada mereka tentang pendapat paling kuat yang dipegang oleh ramai ulama ahlus sunnah. Sila fokus betul-betul penggunaan perkataan "orang-orang awam" itu.

Dengan kata lain, kalau kita belajar syariah, dan kawan kita juga belajar syariah, dan kita mahu berbincang dengannya tentang hukum sambutan maulid Nabi ini, maka silakanlah guna hujah-hujah para ulama yang mengharuskan, memakruhkan, mensunnatkan, mengharamkan, atau membidaahkan sambutan maulid Nabi ini. Kamu mahu guna hujah dari tokoh ulama Syiah juga tidak mengapa. Ini kerana perbincangan kamu adalah perbincangan sesama pakar. Apabila sesama pakar berbincang, mereka wajib menyentuh sesuatu itu secara mendalam dan menyeluruh.

Tetapi orang awam bukan pakar. Orang awam yang tidak belajar syariah adalah dungu lagi bangang di dalam syariah. Dan seorang pakar syariah juga kemungkinan besar dungu lagi bangang di dalam Teorem Asas Kalkulus dan cabang-cabangnya. Setiap orang ada bidang yang dia tahu dan tidak tahu di dalamnya. Maka, jangan buat orang yang dungu ini makin pening dengan menepukan otak mereka dengan segala macam hujah-hujah ilmiah. Sila jangan syok sendiri dalam berdakwah dengan melakukan sedikit reality check.

Oleh itu, guna kaedah yang mudah; iaitu menerangkan kepada orang-orang awam ini pendapat yang diterima pakai oleh majoriti fuqaha. Ini sekaligus akan meningkatkan produktiviti hidup para pendakwah dan manusia yang didakwahnya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, apa pun jenis ilmu yang kita mahu, mesti belajar dengan kaedah yang betul. Jika kita benar-benar serius untuk mendalami ilmu Islam, maka bergurulah dengan guru-guru yang alim dan mursyid. Konsep belajar berguru ini adalah sunnah para ulama kita sejak zaman salafus soleh lagi. Ulama muktabar mana yang tidak berguru? Tiada pakar ilmu dari apa bidang sekali pun, yang lahir dari konsep crash-course.

Imam al-Ghazali tidak menulis walau satu perkara pun berkaitan ilmu kalam melainkan setelah beliau menelaah dan menghafaz 12,000 halaman kitab-kitab ilmu kalam yang dikarang para ulama kalam yang muktabar lagi masyhur (rujuk filem Al-Ghazali: The Alchemist of the Happiness).

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak dah lama belajar,
Tersalah lagi tolong jolokkan.


Saya juga masih lagi orang muda. Jika salah, joloklah saya. Begitulah adanya.

18 Komen Tambah Komen↴

Tindakan semacam itu hanya akan menyebabkan kecelaruanberfikir,

dalam bidang pengajian islam sendiri, untuk menjadi seseorang yang pakardalam semua bidng berkaitan agama, agak sukar dicapai pada masa ini, berbanding ulama2 dahulu.

yang ada hanyalah pengkhususan bidang. orang yang mahir hadis, tak semesti mahir syariah, orang yang mahir tafsir tak semesti mahir ilmu kalam secara mendalam, walaupun mereka tahu perkara asas yang tak boleh diabaikan,begitulah sebaliknya

sedangkan yang berhempas pulas belajar dan menadah kitab pun tidak tahu semua, seseorang yang menuntut di kuliah syariat apabila tidak tahu tentang hadis akan merujuk kepada yang belajar di jurusan hadis..

tapi bagaimana ya jika seseorang yang kepondok pun tidak, belajar di jurusan hadis pun tidak, syariah pun tidak, tapi masuk campur bicara martabat hadis... saya kadang2 tergelak sendiri.

Tanpa Nama

assalamualaikum.. terima kasih atas teguran saudara tentang golongan muda yang berkobar-kobar semangat juang Islamnya. Sedikit sebanyak menginsafkan saya yang membaca. saya pun salah seorang yang sering mengutarakan hadis yg saudara sebutkan itu sebagai palsu.

saya rasa, eloklah kita berbincang tentang isu ini, daripada kita menuding jari orang itu atau ini tak sepatutnya menimbulkan isu2 remeh.

mungkin saudara perlu jelaskan di dalam artikel saudara, apakah isu remeh, dan apakah pula ciri2 isu yg besar. bagi sesetengah pihak, memperjuangkan sunnah itu isu yg besar, juga membersihkan agama dari perkara yg bid'ad itu pun satu perjuangan yang besar.

bukankah nabi saw pernah mengingatkan bahawa, perkara yang diada adakan itu satu bid'ad, dan setiap yg bid'ad itu sesat. maka perlulah orang-orang yg mempunyai kefahaman tentang amalan2 bid'ah ini membetulkan amalan2 masyarakat untuk kembali kepada amalan yang di amalkan oleh Rasululllah saw.

nabi saw pun pernah mengingatkan kita supaya tidak mengatakan apa yg baginda tidak mengatakannya. sekiranya kita mengatakan apa yang nabi saw tidak mengatakan, maka selayaknya tempat kita ke neraka.

jadi di sini, perlu kita sedarkan kepada masyarakat bahawa terdapat hadis2 palsu yang berlegar dalam masyarakat kita, lalu tanpa ilmu, masyarakat pun dengan ringan mulut mengatakan 'nabi saw bersabda .....' padahal nabi saw tidak menyebutnya. jadi, di sinilah, peranan orang yg mengetahui status sesuatu hadis, untuk menyebarkan apa yg mereka tahu, supaya masyarakat terselamat dari hadis2 palsu.

haram bagi mereka yang menyebut sesuatu hadis palsu melainkan mereka mengatakan yang hadis itu adalah PALSU.

di sini saya juga ingin menyatakan bahawa saya bukanlah orang yang belajar dalam bidang hadis. cuma kesedaran untuk sama-sama membersihkan agama dari perkara yg bid'ah itu telah sampai kepada saya walaupun bukanlah saya yg mengkajinya, saya hanya menyampaikan daripada ulama'2 juga.

saya juga mengharapkan keampunan dari Allah swt andai terdapat salah silap dalam apa yang saya tuliskan di sini, dan kita juga sama2 berharap agar Allah swt mengampunkan dosa2 kita dan masyarakat kita yang masih bergelumang dengan perkara bid'ah dan hadis2 palsu. semoga Allah mengampunkan dosa kita. dan kita juga berharap, agar Allah swt mengurniakan kita ilmu sebanyak-banyaknya, tidak kira dari bidang apa sekali pun agar kita semua terselamat dari kerosakan dari segenap penjuru.

betulkan saya andai tersalah. sekian terima kasih. assalamualaikum.

Abdurrahman

Wa'alaikumussalam.

Tentang perenggan:
"mungkin saudara perlu jelaskan di dalam artikel saudara, apakah isu remeh, dan apakah pula ciri2 isu yg besar."

Antara ciri isu yang besar adalah yang mutlak hukumnya. Antara ciri yang remeh, adalah isu-isu yang khilaf. Remeh bagi orang awam, tetapi tidak remeh bagi ulama.

Contohnya, saya selaku orang awam tidak akan buang masa untuk faham dalam-dalam tentang isu yang diutarakan seperti bidaahnya solat hajat, di dalam selawat Syifa' ada unsur syirik, dalam bacaan Maulid Barzanji juga ada unsur syirik, dalam Qasidah Burdah ada unsur syirik, Nur Muhammad ada unsur syirik, bertawassul kepada orang-orang soleh yang sudah meninggal sebagai syirik, berdoa angkat tangan lepas solat sebagai bidaah, dan sebagainya. Ini semua adalah antara isu-isu khilaf yang mana terdapat golongan ekstrim yang menghukumkannya dengan sekeras-keras tuduhan syirik dan bidaah.

Saya tekankan sekali lagi bahawa perkara-perkara remeh itu adalah tidak remeh bagi ulama, tetapi remeh bagi orang awam. Malah jika melihat keadaan semasa, para ulama sendiri pun tidak perlu menekankan sangat tentang perkara yang khilaf ini. Hari ini Ustaz A kata hukum X lebih rajih. Esok-esok pula, Ustaz B boleh kata hukum Y sebenarnya yang paling rajih.

Jadi sampai bila mahu begini jika kita tetap tidak mahu berlapang dada pada hukum yang zanni?

Dan tentang hadith palsu itu, saya
juga berpendapat yang kita perlu menerangkan kepada masyarakat tentang yang mana maudhuk dan yang mana bukan. Tetapi apa yang saya tekankan, fahami betul-betul kekhilafan yang berlaku pada taraf hadith itu sendiri sebelum mencanang sana sini tentang palsunya hadith tersebut.

Jika hadith X, ada ulama yang kata sahih, dan ada pula ulama yang kata maudhuk pada sanadnya, dan kemudian hadith X itu adalah antara hadith yang selalu dipetik untuk dijadikan nasihat, maka cara paling produktif adalah dengan mengatakan hadith itu sahih atau maudhuk?

CUIT SIKIT

“Kalau Salah, Jolok Mereka”. Tajuk artikel ini memang menarik, ada “nilai-nilai kewangan”. Kalau buat buku mesti laris. Bukan senang hendak dapat tajuk yang ada aura. Penulis dan penerbit buku selalu pening kepala memikirkan tajuk yang dapat menjadi “magnet” menarik mata orang ramai. Tamat tentang tajuk.

Begitulah orang muda… semua hendak mudah, semua hendak segera, semua hendak yang “basic”… asal lepas sudah. Mereka ini kadang-kadang tidak ubah seperti budak lelaki muda baru berkahwin, kira hendak cepat “selesai” saja. Diri sendiri puas sudah, perasaan pasangan tidak dipedulikan.

Benda-benda remeh diutamakan antaranya kerana mereka boleh tunjuk pandai. Baca artikel itu ini dan dengar ceramah itu ini sikit-sikit, mulalah pertikaikan orang tua-tua. Apabila orang tua-tua menjawab balik, merekapun keluarkanlah dalil-dalil yang baru diketahui itu. Maka nampaklah hebat di mata umum. Saham diripun naiklah. Mudah benar hendak diri dipandang alim.

Golongan yang tuan maksudkan itu berfikiran agak sempit. Mereka sangka keseluruhan dunia agama Islam boleh dihukum dengan TEKS-TEKS HADIS sahaja. Padahal Imam Bukhari dan Imam Muslim sendiri tidak menjadi ulama elit dalam bidang fiqh, mereka tidak menjadi sepert imam yang empat, padahal mereka orang yang paling tahu tentang hadis.

Kita berasa hairan bagaimana ada ulama Tajdid Lapok yang ilmu hadisnya tidak bersanad, hanya bertalaqi dengan perpustakaan tiba-tiba menjadi alim dalam semua bidang! Habis semua bidang Islam dikeluarkannya fatwa termasuklah dalam hal-hal kesufian yang tidak pernah difahaminya kerana memang tidak berbakat dalam hal-hal abstrak. Dia tidak ada ilmu tentang gerakan jemaah-jemaah Islam lalu difatwakannya pula semua gerakan jemaah Islam sebagai salah. Melebihi Imam Bukhari dan Muslim pula! Yang peliknya, orang ini dimartabatkan sebagai “mujaddid” abad ini! Masyaallah…

Mahu tidak mahu kita yang tidak berminat dengan perjidalan bab-bab khilaf terpaksa juga campurtangan walaupun kita membenci perkara itu. Ini kerana kesan daripada tindakan golongan pertama dan kedua tadi mengganggu perjalanan dakwah kita. Kita bawa umat lima langkah ke depan ,mereka tarik balik lima langkah ke belakang. “Pi mai pi mai, orang Islam dok tang tu le jugak”. Dijajah dan ditindas penuh kehinaan.

Kerajaan Islam Melaka yang mempraktikkan sebahagian besar hudud berdiri selama 100 tahun sahaja. Ketika gahnya Melaka, dakwah Tajdid Lapok belum sampai ke sana. Tapi ajaran tasauf kesufian memang ada. Datangnya Sayyid Abdul Aziz dan adanya Syeikh Abdul Karim al-Jili. Tun Perak sendiri seorang ahli tasauf. Lihat akhlaknya ketika anaknya mati dibunuh anak sultan.

Selepas itu Semenanjung Emas ini dijajah 130 tahun oleh bangsa Portugis. 180 tahun kemudiannya oleh Belanda. 130 tahun lagi oleh Inggeris. Hingga hari ini, kita masih terjajah di bawah panji-panji PBB. Kita masih belum mampu membuat keputusan sendiri seperti pada zaman Melaka. Di mana maruah kita?

Kerajaan Demak mengamalkan hukum-hukum Islam. Ketika itu belum ada kaum Salafi Lapok di sana. Kaum yang mereka label tradisional berjaya mengIslamkan hampir 90% penduduk Indonesia yang rata-ratanya beragam Hindu-Buddha.

Yang peliknya, datang sahaja para pendakwah Salafi Lapok, peratusan umat Islam di Indonesia menurun hingga ada kajian mengatakan jumlah umat Islam di sana hanya 80%. Golongan ini sibuk “menghantar sesama Muslim ke neraka” di bawah kata kunci “bidaah”. Mengapa mereka tidak sibuk mengIslamkan lagi 20% sisa bangsa Indonesia yang masih belum Islam itu? Kalau dakwah mereka benar, buktikan kemampuan mengIslamkan 20% sisa tersebut. Kaum tradisional yang didakwa jumud dan fanatic mazhab mudah-mudah saja dapat 90% suatu ketika dahulu. Anda yang “paling sunnah”, sudah berapa peratus bersyahadah di tangan anda?

Isu Pak Lah bertalkin tidak berani ditegur, nanti tertutup periuk nasi. Padahal sudah termaktub dalam hati mereka itu perbuatan bidaah yang akan membawa ke neraka. Isu aurat dan tabarruj yang jelas tiada khilaf tersangkut di kerongkongan, tidak berani diluahkan- takut tersentuh pemerintah, nanti tak boleh cari makan. Tapi kalau bukan pemerintah, disebut nama terang-terangan. Maka keluarlah Shahril Long, Uthman Muhammady, Zamihan al-Ghari, Nuruddin Banjari dan lain-lain. Kadang-kadang membuat kita terfikir, mereka ini takut kepada “siapa” sebenarnya?

Kita jenis orang kampung, tidak arif hal ehwal istana. Tapi kita ingin juga mendengar fatwa puak-puak ini tentang membahasakan diri “patik” yang mengikut sesetengah orang bermaksud “anak anjing’ dengan raja. Kita hendak tahu, mengikut sunnah boleh atau tidak? Bidaah atau tidak? Tapi, tokoh mereka pun membahasakan diri “patik”… agaknya tentulah selaraslah dengan sunnah. Tak gitu? Kalau selaras, kita hendak tahu juga mana dalil-dalilnya? Kononnya mereka tidak akan buat benda-benda yang tidak ada dalil!
Yang kita nampak, tokoh Tajdid Lapok pun sembah sultan letak dua tangan atas dahi. Zaman Nabi dulu adakah begitu?

Kita raikan adat istiadat orang Melayu dengan sultan-sultan, kita tiada masalah tentang itu tapi yang kita hendakkan kepastian ialah hujah-hujah golongan Salafi Wahabi ini. Maklumlah, mereka buat hanya perkara yang berdalil. Teringin benar hendak dengar dalil-dalil mereka dalam hal ini. Tapi… tak takut tertutup periuk nasi dan jatuh saham ke?

Hmmm… masalah meraikan hari lahir Nabi. Mereka meraikan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, siap “Seminar Antarabangsa” lagi namanya… Upacara itu jelas bertujuan memperingati dan membesarkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Ikutilah Kaum Putihan yang didokong oleh Sunan Giri, Sunan Ampel dan Sunan Drajad dengan Kaum Merahan di bawah Sunan Kalijaga,Sunan Bonang, Sunan Gunung Jati, Sunan Kudus dan Sunan Muria dalam sejarah Wali Songo. Para wali dari Kaum Putihan berkhilaf dengan para wali Kaum Merahan kerana Kaum Putihan tidak setuju wayang kulit dimainkan dalam perasmian Masjid Agung Demak salah satu cara menarik masyarakat ke masjid dan masuk Islam. Tapi Kaum Putihan tidak membidaah dalalahkan Kaum Merahan walaupun mereka tahu Rasulullah tidak pernah berdakwah menggunakan wayang kulit. Kaum Merahan boleh saja mainkan wayang kulit selepas solat Jumaat hari perasmian itu. Mereka semuanya masih bermazhab Syafie. Bab-bab khilaf tidak menjadi agenda utama.

Yah, kita orang muda. Kalau mereka Kaum Muda, kita Kaum Termuda. Era Kaum Muda telah berlalu.

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”

Alexanderwathern
18 MEI 2007

salam,

saya sgt setuju dgn akhi.. tujuan kita haruslah memberi produktiviti pada ummah.. kalau tk mcm mana Islam nk maju kan? :) ttg bab khilaf.. tak payahlah kita nk memperbahaskan.. kecuali kalau ada org yg alim di sini.. saya rasa sebagai org awam.. janganlah risau sgt ttg perkara2 yg khilaf.. setiap perkara yg kita buat mesti ada niat... kalau niat kita baik.. insya allah akn dpt ganjarannya..

Dan akhir kata.. saya ingin berterima kasih pada akhi kerana sedikit sebanyak akhi telah menyedarkan saya ttg beberapa perkara...

*saya hanyalah manusia biasa dan kata2 diatas ini adalah hanya pendapat saya sendiri*

bdk baru belajar

salam

tulisan tawel-sensei kali ni mempunyai maksud yang sama macam dalam bait lirik lagu Di Bawah Satu Cahaya nyanyian ustaz akhil hayy

pada arah yang sama kita berdiri
pada air yang sama kita bersuci
pada takbir yang sama jangan bertengkar
pada doa yang sama usah menyendiri

>> sorry lari tajuk.
assalamualaikum dik! ape kabar....
hajat doa tawel, moga dimudahkan segala urusan akak :)

assalamualaikum. syarat2 untuk ibadat itu diterima oleh Allah ialah, pertamanya ikhlas kerana Allah, dan keduanya, selari dengan tuntutan al quran dan sunnah.

Saya pun agak pelik, bila saudari/ri "saya budak baru belajar" mengatakan " setiap perkara yg kita buat mesti ada niat... kalau niat kita baik.. insya allah akn dpt ganjarannya." ...

niat adalah salah satu dari syarat, tetapi, jika kedua2 syarat ibadat itu tidak dipenuhi, maka terbatallah ibadata itu.

seperti contoh, orang yg ikhlas bersolat, tetapi kaedah solatnya bukan seperti sifat solat Nabi Saw, maka ibadahnya tertolak. atau pun, seorang yang bersolat dgn cara Nabi SAW, tetapi hatinya tidak ikhlas, hanya ingin menunjuk2.. maka ini pun tertolak...

jadi perlulah di sini, walaupun terdapat khilaf dalam pandangan para ulama', seseorang itu perlu memberi penjelasan secara ilmiah, bukan secara jahil.

oleh itu, saya lebih berpendapat, seseorang yg mempunyai ilmu boleh mengemukakan hujahnya sekiranya membantah sesuatu amalan yg tidak selari dengan al quran dan sunnah. tidak kira dia seorang ulama atau org awam, asalkan ilmu itu sampai kepadanya..

masalahnya sekarang ialah, umat islam di malaysia kebanyakkannya beramal hanya ikut2an, tanpa sebarang ilmu... saya sendri pun mengaku, kadang2 sy ikuti majlis tahlil dan majlis bacaan yassin, tetapi saya tidak tahu pun bahawa amalan membaca yassin pada setiap malam khamis itu ada nas syarak disisinya... yang saya tahu ialah, membaca al quran adalah satu ibadah yang sangat2 dituntut tidak kira waktu.

apa pun, di sini kita lihat bahawa, masyarakat perlu disedarkan dengan pendedahan ilmu. supaya mereka dapat menilai secara ilmiah, bukan secara ikut2an. bukankah mengilmukan masyarakat itu satu kerja besar??

membiarkan masyarakat beramal secara jahil adalah satu perbuatan tidak sepatutnya bagi seorang yg berilmu, tidak kiralah dia digelar ulama atau tidak, tetapi, apabila dia tahu, dia berhak menyampaikannya.

saya rasa, niat saudara utk membuka blog ini pun adalah utk berdakwah, menyampaikan ilmu, berkongsi pandangan, ini suatu usaha yang baik untuk kemajuan ummah,

saudara ada usaha untuk membangunkan ummah, mereka yg saudara kritik itu pun sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah ummah.

mungkin nanti saudara boleh terangkan secara lebih terperinci, pembahagian khilaf... dan ijtihad yang diterima serta ijtihad yg tidak diterima, kemudian, apa hukum beramal dgn ijtihad yg tidak diterima.......

semoga Allah membuka hati dan fikiran kita untuk menerima hidayahnya. insya-Allah...

assalamualaikum.

abdurrahman

Tak mengapalah encik Abdurrahman. Kalau mahu berilmiah dalam benda-benda yang khilaf, silakanlah. Bagi saya manusia yang suka ajak orang awam menjadi *sangat* berilmiah dalam perkara-perkara khilaf ini hanyalah manusia yang punya banyak masa di tangan.

Dengan itu, saya membuat keputusan untuk tidak perlu mencari dan mendalami sedalam-dalamnya, sebagai contoh, nas-nas syarak tentang amalan membaca Yasin malam Jumaat. Dan dengan cara yang sama juga, saya juga tidak perlu untuk mencari dalil-dalil atau pun nas-nas yang mengatakan bahawa wajib didengungkan bacaan Al-Quran apabila berlakunya hukum tajwid Ikhfa' Hakiki.

Saya lebih cenderung untuk bersikap ilmiah dalam perkara-perkara yang qat'i. Saya tidak mampu dan tidak punya banyak masa untuk mempelajari dengan seilmiah-ilmiahnya tentang hal-hal yang khilaf dalam agama.

Sooner or later, we all reach a point in our lives when we are smart enough to know we don't know everything. Sometimes we get it right. Sometimes we completely blow it.

It is your life, decide yourself.

terima kasih atas perkongsian saudara. semoga kita sama2 berjuang dijalan Allah. Agama itu nasihat, maka berilah nasihat. Saya sangat menyokong usaha saudara. Teruskan berjuang. terima kasih. :)...

Abdurrahman

terima kasih saudara abdurrahman.... apa yg saudara katakan mmg betul... cuma saya tk terangkan dgn lebih terperinci...

sebenarnya, apa yg saya ingin katakan bahawa kita, sbg org awam.. jgnlah kisah, risau sgt ttg bab2 khilaf... kalau apa yg kita buat tk bertentangan di sisi al quran dan sunnah... dan ikhlas.. insya allah akn dpt ganjarannya...

terima kasih sekali lagi kerana telah 'jolok' saya... maklumlah saya adalah bdk yg baru belajar :)

pada pendpt saya tugas kami sebagai umat islam adalah utk membaiki keadaan org2 islam yg lain sebagai contoh... para remaja... merekalah yg akn memimpin pada masa hadapan..

akhir sekali saya ingin mengatakan bahawa saya tidaklah bijak berkata2.. jika ada apa2 yg salah silalah baiki..

terima kasih.

bdk baru belajar

Assalamualaikum,

Terima kasih brader kerana memberikan ruang yang besar dalam membicarakan kumpulan 'tajdid' yang gua rasa hobi diwaktu lapang mereka adalah mengelirukan orang lain. Gua pernah terbaca blog seorang 'pro-tajdid' mamat UIA course Economic yang menulis bapak punya panjangnya entri, berkenaan solat dua orang -- makmum berdiri sebelah ke atau kat belakang imam sikit. Punyalah bangga dia dapat menjinakkan member dia yang ambik jurusan Arabic. Gua rasa kalau dia guna masa menulis entri tu buat menoreh getah mau dapat dua tong. Apa-apa hal pun, terima kasih dan tahniah atau usaha brader membersihkan segala kekeliruan ini.

Kepada saudaraku abdurrahman, berkenaan ulasan saudara tentang amalan yang perlu selari dengan tuntutan al-quran dan sunnah, ada dua perkara yang saudara perlu tahu.

pertamanya, dalil-dalil yang datang itu kedudukannya ada yang zhonni dan ada yang qot'i, apabila sesuatu dalil itu zhonni, maka para mutjahid sahaja yang berhaq menghuraikan makdudnya, dan dari sinilah timbulnya khilaf. dan haram hukumnya orang yang tidak mujtahid menghuraikan maksudnya. sebagai contoh ayat quran yang menyuruh kita menyapu kepala ketika wudhu' "famsahu biruusikum", dalil ini sifatnya zhonni, atas sebab itu timbullah khilaf antara imam malik dan imam syafie dalam menghuraikan makna dari ayat ini, menurut imam syafie huruf ba yang terdapat dalam ayat diatas itu littab'id dengan maksud sebahagian, maka memadai dengan menyapu sebahagian kepala bagi yang mengikut mazhab syafie, manakala mengikut imam malik, ba itu lililsoq yang membawa maksud perlu disapu keseluruhan, maka telitilah pada bab-bab yang lain tentang kenapa ulama berkhilaf.

keduanya, para mujtahid jika mereka berijtihad mereka akan mendapat satu pahala, jika betul ijtihad mereka, mereka akan perolehi dua pahala, jika salah hanya satu pahala, jadi siapakah yang mengetahui yang mana ijtihad betul atau salah, serahkan sahaja masaalah betul atau salah itu pada Allah, dalam ayat dari contoh diatas siapa yang tahu mana antara ijtihat imam malik dan imam syafie yang betul, kerana mereka semua mempunyai ilmu yang mendalam untuk berijtihad, jadi silakan ikut mazhab masing-masing. Namun ada juga ulama yang berpendapat jika ulama berijtihad maka para mujtahid itu semuanya betul dalam ijtihad mereka, jadi jika mengikut mana-mana mazhabpun atau mana-mana pandangan ulamapun semuanya betul.

Jadi konklusinya, bagaimana kita boleh mendakwa solat kita sahaja yang betul, jika seseorang tidak buat seperti yang kita belajar dan faham, maka semua itu salah, jika tak menggoyangkan jari ketika tasyahud itu salah, jika menyapu muka selepas solat itu bid'ah, ingatlah kita hidup dizaman yang memerlukan kita berlapang dada dalam perkara cabang, kita perlukan kesatuan, musuh boleh bersatu melawan kita, tetapi kenapa kita sanggup berpecah dalam hal yang cabang, janganlah kita hanya mendakwa hanya kita yang betul dan yang lain salah, ingatlah semua khilaf dari ulama itu lahir dari kefahaman mereka yang berbeza terhadap makna dari dalil-dalil yang zhonni, bukan disebabkan oleh kerana kejalilan ulama, atau kerana mereka tidak menjumpai dalil.

Tentang dua syarat yang saudara sebut.

pertama perlu ikhlas, itu bertepatan dengan apa yang disebut oleh saudara tawel " setiap perkara yg kita buat mesti ada niat... kalau niat kita baik.. insya allah akn dpt ganjarannya." dalam perkara ini tidak ada khilaf kalangan ulama, kerana itu para guru-guru sufi yang mengajar ilmu ikhlas, khusyu', sabar dan sebagainya tidak dibantah oleh murid-murid mereka,

tetapi dalam perkara kedua yang berkaitan dengan ikut syariat, dari sini berlakunya khilaf dan perbantahan antara ulama, antara guru yang mujtahid dengan muridnya, umpama antara imam malik dengan imam syafie.

tentang ulasan saudara "walaupun terdapat khilaf dalam pandangan para ulama', seseorang itu perlu memberi penjelasan secara ilmiah, bukan secara jahil." sedalam manapun ulasan ilmiah yang kita buat dalam tesis-tesis kita pada hari ini terhadap pendapat imam-imam yang mujtahid yang berkhilaf, tetapi kita tidak layak untuk mengatakan yang itu benar dan yang ini salah.

akhir kata doakan kelapangan dan keberkatan waktu untuk saya, saya tidak sempat untuk menghuraikan semuanya, berkenaan bacaan yasin malam jumaat, berkenaan muqallid dan sebagainya, semua itu sudah jelas dijawab oleh para ulama. kerana waktu yang cemburu, saya mohon permisi dulu.

ibnulfaridh

Saya cuma mohon mengucapkan jazakalLah di atas artikel yg sangat baik ini. Moga Allah kurnia kekuatan dan istiqamah buat Tawelsensei serta jua Alexader(?) dan Ibn Faridh. Tulisan tuan-tuan sangat menyentuh hati, penuh akhlak.

Wassalam.

Pemerhati

assalamualaikum...
saya tidak belajar agama dengan mendalam. saya hanya belajar computer network sahaja dengan segala cabang-cabang furu' nya.
apa yang saya tahu tentang Islam pada awalnya Rasulullah tidak memberi khabar sedih dan duka, baginda memberi khabar ceria. Jadi bagi saya dalam nak berdakwah, beri khabar2 baik dan bahagia, baru dapat menarik manusia.
apabila sudah diikut jalan Islam, barulah kita ceritakan amaran2 dari ALLAH jika kita terpesong dari jalnannya. Ramai lagi yang masih jahil dalam agama, mula hendak mengikut kehendak Islam, tapi asyik2 dibid'ahkan, hingga menimbulkan ketakutan untuk beramal. Itu yang terjadi kepada saya, takut nak buat ibadah kerana jika bid'ah, masuk neraka. Tapi datang pendakwah yang bijak, menerangkan, buatlah amal sbanyak2nya, asalkan termampu oleh badan, bacalah Al-Quran tidak kira masa, buatlah amalan2 sunat bagi menampung amalan wajibmu yang banyak cacat cela itu. dan akhirnya berdoalah agar amalan itu diterima. Asalkan kita beramal hanya untuk ALLAH, dan bukan untuk diperhati dan dipuji. Saya rasa lebih lega. Saya sebagai seorg awam yg tidak menuntut ilmu ISLAM dengan mendalam ini, hanya inginkan jalan terbaik, termudah dan perkhabaran gembira untuk mendekati RABB ku, bukan jalan yang penuh dengan umpat, keji, caci, maki. Bagi yang menuntut dengan lebih, berilah khabar gembira bagi kami ini dalam perjalanan mendekati RABB kami.

Ya betul la tu Cik Amni, saya pun begitu jua.

Sekarang ni terpaksa belajar kelas dewasa untuk memahami lagi betapa manisnya Islam itu. Kecik-kecik dulu ada la belajar Fardu Ain, itupun kalau boleh dikategorikan Fardhu Ain kerana belajar Tauhid, Fekah, Sejarah , AlQuran dan Hadis tanpa Tasawwuf. Kerana kalau bersandarkan Hadis Jibril diajarkannya Rasulallah tentang Iman Islam dan Ehsan (kot-kot hadis ni pun dikategorikan hadis dhoif la pulak tak tau la saya).

Masa kecik-kecik selalulah ikut mak ayah atuk dan nenek pegi baca Yasin malam Jumaat, tahlil, berzanji dsb. Alih-alih dibidaah kan. Masuk neraka katanya. Ishk...habis satu keluarga saya masuk neraka kalau gitu...Nauzubillah

Ada ke patut...

Hmmm sekarang ni semua;
"Sah! Tak Sah! Haram! Berdosa! Bidaah! Masuk Neraka!"

Keras sungguh bunyinya, dimana agaknya letak kelembutan dalam Islam ni....

semantani

Setuju ngan saudara semani and amni ..

keep a good work kpd saudara tawel..

sy duk kat paling utara paling ketara kena.. kalu pikir semula emak bpk and tok nenek saya smua kena bidaah yg duk kat selatan.. sbb tak ikut cara mereke kat negeri darul sunah ni..

bab agama saya memang tak banyak tahu sgt cuma cara leh sembahyang 5 waktu, puasa yg wajib,leh hafal surah beberapa kerat, zakat kira darjah satu punya level la...

cuma bila duk kat negeri yg paling sunah ni agak ganjil sikit sebab bab ibadat yang sunat cnth cam tahlil, sembayang sunat ke sunat taubat ke zikir reramai ke, tawasul kepada nabi and para solihin bahkan selawat nabi pun ngak boleh. dibidaah kan semua pak

so kalu kita pikir hidup kalu boleh nak jugak lah beribadat banyak-banyak leh jadi sikit jer la sebab wat lebih dah jadi bidaah..

terigin juga la nak ikut perjalanan sufi/tarekat ka tapi negeri sunah ni kata semua bidaah..kalu kaji sejarah semua ulama dahulu sufi/bertarikat termasuklah ulama yg empat.. kalu tak pun diorang kata ngaji dlm-dlm dulu baru ikut.. dlm sampai bila? baru ikut sufi/tarekat... tuggu dr/phd ka.. kalu pikir balik dan tengok sirah islam berkembang dengan satu, itulah,sufi,fiqh,tasawuf,tareqat,nahu cuba tengok ulama nusantara dahulu....
tapi diorang banyak mengyakal ulama terdahulu.. lebih kepada Muhamad bin abdul wahab dan ibnu tamiyah yang menjdi rujukan salafi tulin mereka(emm tulin ka!)

bagi diorang simple, ikut alquran dan sunah , tapi mengikut padangan dan kupasan idealogi mereka atau ulama mereka terdahulu.. ulama lain di bidaah kanya..

so pdgn saya simple,hidup ini tempat beramal tampa meniggal duniawi,islam itu jasad dunia pakaian... tampa pakaian terabailah jasad, tampa amal hilang akhirat, kurang beramal miskin akhirat.. yang menghalang amalan, syaitan laknat.

salik

Mohon laluan dari akhie Tawel kerana menggunakan ruangan ini untuk menulis. Nak buat blog sendiri tak terlarat nak me'maintain'nya pulak (bahasa rojak).

Saya tidak faham kenapa mereka mem'bidaah'kan orang yang membaca Yasin, bertahlil, bertalkin, berzanji dsb. Apa tujuannya? Untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah ke?

Orang yang membaca Yasin tak ikut Al-Quran ke? Kalau pun hadis Yasin itu jantung Al-Quran itu palsu (kalau ya...), tetapi sudah semestinya Yasin itu sebahagian dari Al-Quran. Setidak2nya, yang membaca Yasin pada malam Jumaat itu membaca Al-Quran sekurang2nya seminggu sekali. Daripada tak baca langsung Al-Quran!

Bukan kah membaca Al-Quran ini banyak kelebihannya. "Tidak aku katakan Alif Lam Mim itu satu ayat tetapi Alif itu satu ayat, Lam satu ayat dan mim itu satu ayat". Takkan la baca Quran pun berdosa kot....Kata nak kembali pada Quran dan sunnah....

Orang2 yang membaca Yasin ni abgi saya ada kemungkinan mereka baca Surah2 yang lain dirumah ataupun hati mereka menjadi jinak untuk membaca surah-surah lain pulak, bukankah itu sesuatu yang baik...takkan bila depa ni mengaji kat rumah nak bagitau kat org ramai kot...Nanti jadi riak la pulak. Itulah bila dah ada ilmu tasauf yang membahaskan sifat mazmumah seperti riak ni di'bidaah'kan, tak mau percaya. Nak difekahkan jugak tasauf tu agaknya.

Bila tahlil, orang2 di majlis akan sebut Lailahaillallah banyak2 kali. Sebut nama Allah banyak2 pun salah jugak. Kata nak pergi kepada Al-Quran dan Sunnah! Dalam Quran disebut "dan ingatilah Aku ketika kamu sedang berdiri, duduk dan berbaring" ; "dan ingatlah Allah banyak2" ; "dan dengan meningati Allah itu hati2 kamu akan menjadi tenang" dan berbagai2 lagilah saranan suruh kita mengingati Allah banyak2. Yang terkinja2 macam beruk kat Konsert Jom Heboh tu tak nak pulak ditegur. Mufti Perak dah kata haram, Mufti lain pulak apa macam?

Kalau bab talkin, talkin ni mengingati kita tentang mati. Bukankah mengingati mati ini saranan Nabi? Kalau saranan Nabi bukan sunnah ke? "Sesungguhnya orang2 yang cerdik diantara kamu ialah yang sentiasa mengingati mati". Tak boleh jugak kita mengingati mati...heiii susah susah!

Maaf kalau saya tak dapat nak meriwayatkan hadis berserta sanadnya dan taraf hadis. Saya bukanlah seorang Muhaddisin. Tapi nak tanya, ada ke Ahli Hadis kat Malaysia ni yang hafal 100,000 hadis berserta sanadnya...

Keras! Terlalu keras caramu. Ada saya dengar dari seorang Ustaz, bahawa sifat dan cara pembawakan seseorang itu lahir dari hati mereka. Maka kalau sifat dan cara yang keras digunakan maka mencerminkan hati yang juga Keras!

p/s
Kalau saya salah joloklah saya. Saya percaya ramai ustaz2 disini yang boleh membantu. Kalau ustaz *W* tak payah! Betulkan diri kamu sendiri dulu.

semantani

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.