Debu-Debu Dosa oleh Hijjaz. Saya suka banget lagu ni. Lirik awal lagu ni: 'Ke arah mana halanya' adalah sama dengan tajuk entri kali ni.
Blog ini sudah berusia setahun lebih. Kalaulah blog ini adalah seorang bayi, memang dah pandai bayi tu berlari main kejar-kejar. Selama menulis blog ni, sudah bermacam-macam pengalaman yang ditimba. Yang paling jelas sekali adalah kemahiran saya tentang asas-asas membuat sebuah laman web. Kadang-kadang rasa kelakar pula bila ingat balik template blog yang lama - bercelaru. Pelawat setia blog ini sejak pos saya yang pertama, pasti tahu bagaimana blog ini telah berevolusi, baik dari segi template mahu pun gaya penulisan saya.
Tentang ilmu lain pula, memang ada juga yang bertambah. Syukur.. Terutama tentang kefahaman saya tentang Islam. Tetapi kadang-kadang saya masih takut. Apakah saya ini benar-benar sudah mendapat ilmu dari segala apa yang saya tulis ni selama ini. Ibnu Mas'ud r.a. bilang, 'Ilmu itu bukan semata-mata pada apa yang digarap pada tulisan. Tetapi ilmu itu adalah taqwa kepada Allah'. Bila saya semak semula, macam tak bertambah pula taqwa saya ini. Sama sahaja. Kekadang tu rasa makin menurun pula. Betapa lemahnya saya ini.
Jadi bila saya terkenangkan perkara ini, saya jadi takut untuk menjadi seorang penulis blog - sama ada bergaji atau tidak bergaji. Bercakap dan bertindak adalah dua perkara yang berbeza. Melalui blog, kita bercakap. Ini sistem komunikasi zaman IT. Dan zaman inilah yang menyaksikan lebih ramai umat yang banyak cakap, tetapi kurang bertindak kerana tangannya selalu melekat pada papan kekunci komputer.
Sebelum saya terjerumus ke dalam lembah tersebut, saya akhirnya membuat satu keputusan. Saya hanya akan menulis blog tiga kali sebulan - ini adalah angka maksimum. Mungkin juga saya menulis sekadar sebulan sekali. Selain dari tidak mahu menjadi individu yang cakap-banyak-tapi-buat-kurang, angka tiga kali sebulan ini juga membolehkan saya menulis secara istiqamah sepanjang hayat. Apa guna menulis tiap-tiap hari selama setahun, dan kemudian apabila masuk tahun kedua, terus give-up. Jika Allah mengizinkan, maka InsyaAllah blog ini akan terus hidup sehinggalah nafas saya terhenti. Doakan saya.
Di samping itu, keputusan ini juga mesti dibuat memandangkan tuntutan dunia yang ada pada diri saya. Orang Putih kata World. Mawi pun kata World juga walaupun beliau orang Jawa. Untuk memastikan dakwah berjalan lancar, saya dan juga anda, tidak boleh sama sekali membuang world jauh-jauh. Dunia ini adalah jambatan. Manusia tidak membina apa-apa bangunan di atas sebuah jambatan.
Pernah ke anda nampak orang buka kedai emas di atas jambatan Pulau Pinang? Jambatan sifatnya adalah untuk orang lalu - dari satu destinasi ke satu destinasi. Begitu jugalah dengan dunia ini. Dunia ini tempat lalu kita sahaja. Akhirat adalah destinasi terakhir kita. Maka, janganlah terlalu asyik untuk membina begitu banyak bangunan di atas jambatan yang sedang kita lalui ini.
Tapi seperti yang saya kata tadi, jangan buang world atau dunia ini. Dunia dan Keduniaan adalah dua entiti yang berbeza. Imam Ibnu 'Ata'illah kata, 'Keduniaan itu adalah sesuatu yang membuatkan kamu jauh dari Allah'. Tetapi sebagai insan yang lemah lagi hina, biasanya kita tidak akan dapat lari dari segala tarikan keduniaan. Bagi saya, kalau sekali-sekala itu tak mengapalah. Mustahil kalau kita ini sebagai orang awam, yang iman sering terumbang-ambing, ingin lari dari keduniaan 100 peratus.
Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq, seorang ulama terbilang dari tanah Morocco: 'Berhati-hatilah apabila bersifat keras kepada jiwamu sebelum kamu dapat mengawalnya dengan sempurna. Akan tetapi, berhati-hatilah juga supaya jangan bersifat terlalu mudah kepadanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam. Ini kerana (jiwa itu) sering menjauhi sifat kesederhanaan dalam apa jua perkara, dan ia cenderung ke arah taksub, baik dalam perkara yang batil mahu pun yang hak.' [1]
Apa pun, saya tegaskan sekali lagi bahawa blog ini akan di update tiga kali sebulan sahaja. Mungkin pada setiap 10, 20 dan 30 haribulan. Oleh itu, pada 30hb April ini, nantikan artikel saya "Proses Mensahihkan Hadith". Dan artikel yang berikutnya akan menyusul pada 10 Mei. InsyaAllah. Walaupun blog ini hanya akan dikemaskini setiap sepuluh hari, janganlah lupa untuk melawat blog ini selalu. Blog ini menjadi bermakna dengan kehadiran anda semua :)
Tulisan saya sekadar setitis air di lautan - ia tidak mampu membasuh segala fitnah yang bertebaran. Tetapi gabungan titis-titis air yang kecil itulah terhasilnya lautan. Moga-moga lebih banyak titis-titis air yang akan muncul di masa hadapan.
Mudah-mudahan, bayi yang sudah tahu berlari itu akan dapat mendapat PhD. Doakan usia bayi itu panjang. Kalau tak faham kata-kata terakhir saya ini, sila baca dari mula. ;)