Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label lelaki. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label lelaki. Papar semua catatan

    Bila Lelaki Tersandung

    01 April 2006 • 32 Komen
    gambar lelaki laut pantai
    Minggu lepas, seorang kawan saya cakap: "Tawel, kau bagi sikit nasihat kat aku ni." Alamak!! Ini bukan satu kerja gampang bagi seorang lelaki. Sudah lah agak lama juga tak jumpa dengannya dan kemudian dia meminta nasihat pula.

    Oleh kerana saya ini jenis yang tidak betah sangat bertazkirah secara lisan kepada orang-orang yang ingin mendapatkan kaunseling atau nasihat dari saya secara personal, maka saya pun jawab acuh tak acuh sahaja.

    Kenapa Saya Bersifat Acuh Tak Acuh?

    Sebab saya ini lelaki. Apabila lelaki diminta memberikan nasihat, selalunya mereka tidak dapat memberikan nasihat tersebut dengan baik. Lelaki bukanlah satu makhluk yang hebat dari segi penggunaan dan manipulasi bahasa jika mahu dibandingkan dengan wanita. Dalam sehari, apabila wanita ingin menyampaikan isi hatinya, secara purata mereka menggunakan tiga kali ganda jumlah perkataan berbanding lelaki. Sebagai contoh, bila seseorang lelaki membawa kereta ke workshop sebab masalah enjin rosak, lelaki itu mungkin guna 300 patah perkataan sahaja untuk menceritakan sedikit sebanyak masalah keretanya itu kepada tauke workshop.

    Tapi, wanita pula berkemungkinan tinggi untuk menggunakan 900 patah perkataan (3x300). Lelaki adalah makhluk yang ringkas dan mudah. Kalau lelaki tersebut cakap "Enjin kereta ini susah betul nak hidup pada waktu pagi. Cuba tauke check apa problem dia.", maka si wanita pula akan kata:
    Saya pelik la tauke dengan kereta saya ni. Baru beli 4 bulan dah buat perangai. Susah nak start time pagi-pagi. Selalu saya lambat pergi kerja. Kekadang tu saya mintak tolong my hubby dan anak sulung saya yang tingkatan 2 tu untuk tolak kereta ni. Anak saya tu dah la sekolah petang. Kesian jugak sebab kena bangunkan dia pagi-pagi untuk tolak kereta. Tapi bagus jugak, kalau tidak memang liat anak saya tu nak bangun pagi solat Subuh. Maklumlah, sebab saya ni kena keluar awal. Kalau tidak jalan jam. Bukan tauke tak tahu jalan kat KL ni. Kalau sistem pengangkutan awam kita tip-top, dah lama saya jual kereta yang asyik meragam ni. Baby kecik pun tak meragam macam kereta ni.

    Tauke nak tahu, ada pernah sekali tu sampai 100 meter tolak baru la kereta ni start. Tauke check apa-apa yang patut ya. Tapi janganlah charge mahal-mahal sangat. Dah la harga minyak naik 30 sen. Kalau tauke charge mahal-mahal, saya tak mahu lagi datang sini.

    Inilah hakikat perbezaan di antara lelaki dan wanita. Wanita adalah satu makhluk yang suka dan gemar bercakap tidak kira masa dan tempat. Bila lelaki bersama lelaki, adalah sesuatu yang normal dan tidak pelik jika mereka berdua lebih banyak diam dari bercakap. Tapi apabila kita nampak wanita bersama wanita, dan mereka ini tidak banyak bercakap, dan lebih banyak membisu, maka kita boleh buat tekaan yang mereka berdua ni mungkin sedang berselisih faham.

    Mereka ini mungkin bergaduh berebutkan seorang pakwe kacak yang baru sahaja lulus sesi ujian rancangan Akademi Fantasia. Namun demikian, apabila kita ternampak dua orang gadis yang merupakan sahabat baik, dan sedang pula study bersama-sama di library, janganlah kita mengatakan yang mereka ini sedang berselisih faham, hanya kerana mereka asyik diam dan study sahaja dalam library tu.

    Maka atas sebab yang sama jugalah, apabila wanita yang sudah berumahtangga berhadapan dengan sesuatu masalah, kebanyakkan lebih suka menceritakan masalah itu kepada teman wanitanya juga - dan bukan kepada suaminya. Kadang-kadang teman yang dipilihnya itu adalah teman yang biasa-biasa sahaja, iaitu bukan teman yang akrab. Nak buat macam mana...suami pun bila diceritakan masalah macam nak tak nak sahaja dengar.

    Dan apabila lelaki ada masalah, biasanya mereka ini tak suka bercerita kepada sesiapa tentang masalah itu. Kalau pun mereka bercerita, mereka akan memilih isterinya sahaja, dan mungkin juga beberapa teman lelaki yang akrab yang sangat-sangat mereka percayai. Lelaki adalah sejenis makhluk secretive. Bila mereka ada masalah, mereka tidak bertindak seperti wanita yang menceritakan masalah itu kepada teman-teman wanita dengan penuh emosi dan linangan air mata - dan ini menerangkan mengapa kaum wanita ini suka betul membawa tisu di dalam beg tangannya. Tidak pernah saya melihat wanita keluar tanpa membawa pek tisu.

    Mengumpat

    Lelaki ini bersifat praktikal. Mereka lebih suka menggunakanya fizikal mereka terlebih dahulu. Mereka suka guna otot dan tidak suka guna otak. Sebab itu lelaki ini suka bergaduh bila tak puas hati pada seseorang. Kebanyakkan wanita pula suka mengumpat kalau rasa tak puas hati, contohnya bila mereka melihat teman sekerja beli kereta BMW atau pun apabila melihat jiran sebelah rumah menambah koleksi madu baru. Dosa mengumpat ini dosa besar. Hanya orang yang diumpat boleh mengampun orang yang mengumpat dirinya. Kebanyakkan yang suka mengumpat pula adalah wanita, tetapi ini tidak bermakna lelaki tidak suka mengumpat.

    Mengumpat ini kadang-kala menjadi hobi pula di kalangan sesetengah kita. Kata-kata seperti: "Eh, jom umpat si Kiah tu. Aku dengar dia nak kahwin dengan Datuk K. Aku dengar macam-macam cerita la pasal diorang tu. Ala, tapi tak cukup korum la nak gosip-menggosip ni. Jom la panggil lagi sorang dua", jelas menunjukkan bahawa industri mengumpat ini lebih seronok dilakukan kalau lebih banyak mulut yang menyertai. The more the merrier! Nak masuk neraka biar ajak member sama.

    Mengumpat ini salah satu dosa besar. Berdasarkan hadith dari Rasulullah saw, lebih ramai wanita yang akan masuk neraka, walaupun pada hakikatnya golongan wanita adalah yang paling mudah masuk ke Syurga. Oleh itu, walaupun sudah terbukti dari sudut anatomi, fisiologi dan psikologi bahawa wanita ini memang lebih suka bercakap berbanding lelaki, tetapi rumusan para saintis ini tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menolak hadith-hadith yang menggalakan umat Islam supaya lebih banyak diam dan menjaga lidah.

    Lelaki dan Fizikal

    Lelaki yang bermasalah akan pergi memancing, basuh kereta, panjat pokok kelapa, tebas semak-samun yang ada di belakang rumah dan sebagainya. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini, mereka sering-kali mendapat pencahayaan idea dan ilham tentang bagaimanakah modus operandi yang perlu dilakukan bagi meng 'settle' kan masalah mereka itu.

    Allah telah menciptakan otak wanita dan lelaki agak berbeza, terutama sekali pada bahagian language center. Wanita ada language centers pada kedua-dua belah otak kiri dan kanan. Lelaki pula hanya ada satu language center (kalau tak silap saya, lelaki punya language center terletak di bahagian otak kiri).

    Jadi apabila berlaku kecederaan pada bahagian otak kiri lelaki, mereka kemungkinan besar tidak boleh lagi mengucapkan I LOVE YOU pada isterinya - iaitu lelaki ini akan jadi bisu. Sebaliknya, kalau wanita mendapat kecederaan di bahagian otak yang sama, mereka berkemungkinan besar masih boleh membebel seperti biasa kepada anak-anak dan juga suaminya - iaitu si wanita ini tidak bisu!

    Apa Kaitan Otak Dengan Masalah Kawan Saya?

    Oleh kerana kaunseling dan nasihat bukanlah first option yang akan dipilih lelaki bagi meleraikan kekusutan masalah mereka, maka begitu jugalah selalunya dengan si lelaki yang diminta memberikan nasihat itu. Lelaki adalah makhluk yang tak suka cakap banyak. Mereka adalah makhluk yang suka melakukan sesuatu yang bersifat fizikal - dan bukannya bersifat lisan seperti mana yang wanita lakukan. Mereka lebih suka bertindak dari bercakap.

    Maka atas sebab itu, saya telah mengedit gambar yang saya selitkan pada artikel pada kali ini (iaitu saya telah melakukan sesuatu bersifat fizikal). Seperti mana quote yang ada pada gambar itu: "Stumbling is not falling." Maka itulah nasihat terbaik yang dapat saya berikan kepada kawan saya itu. Quote itu sebenarnya saya pinjam dari Malcolm X.

    Nasihat

    Kita jatuh, kita gagal, semuanya ada hikmah. Stumbling is not falling. Tersandung bukan jatuh! Ada sesuatu yang Allah nak kita belajar dari ketentuan takdir-Nya ke atas kita. Yang naik akan turun, dan yang turun akan naik. Begitulah lumrah alam sejak dulu sampai sekarang. Mungkin dulu kau pernah berada di tempat yang tinggi, maka kali ini Allah nak letak kita di tempat yang bawah sikit. Mungkin dengan begitu, maka Allah telah menyelamatkan kau dari sifat bangga diri dan lupa daratan kepada orang-orang yang berada di bawah. Itulah nasihat aku kepada kau, dan juga tidak lupa pada diri aku.

    Inilah nasihat dari seorang lelaki kepada lelaki. Ringkas dan padat. Tapi jangan tanya saya macam mana cara nak nasihatkan lelaki lembut (semalam seorang kawan saya yang lain tanya macam mana cara nak nasihatkan kawan lelaki dia yang agak lemah-lembut dan suka kepada kaum sejenis). Lemah-lembut di sini adalah lemah-lembut yang lain.

    Setakat ini, saya telah mendapat tiga kali pengalaman menyeramkan dengan lelaki-lelaki yang suka kepada kaum sejenis ini. Dan oleh kerana saya ini juga tidak belajar tentang psikologi lelaki lemah-lembut, maka menasihatkan lelaki jenis ini akan menjadikan situasi lebih parah. Dan tolong jangan tanya saya macam mana cara nak nasihatkan lelaki atau perempuan yang suka kepada kaum sejenis kerana saya bukannya pakar. Kalau lelaki dan perempuan yang normal, boleh la saya tolong sikit-sikit.

    Nasihat Lain

    Oleh sebab sekarang ini kita dah tahu yang wanita ni jenis yang banyak cakap (maka dengan itu menjadikan mereka ini insan yang kuat membebel di rumah), maka kepada para suami dan bakal suami, bersabarlah dengan isteri anda. Bebelan mereka itu sebentar sahaja. Dengarkan sahaja apa yang ingin mereka kata. Tapi jangan sesekali lawan cakap mereka. Biarkan mereka bercakap dan membebel sepuas-puasnya (Gaya cakap macam dah kahwin aje).

    Atau kalau anda mahu jadi sarkastik, maka ada baiknya anda rakamkan bebelan isteri anda itu dengan iPod. Bila isteri anda dah OK, anda bagi mereka dengar semula rakaman bebelannya itu. Tapi pastikan isteri anda tu dah betul-betul OK. Kalau tidak, saya tidaklah bertanggungjawab kalau mereka membebel semula, dan anda pula terpaksa membuat rakaman buat kali kedua.

    Kepada anak-anak muda dan remaja (mahu pun yang dah tua) di luar sana, bersabarlah juga dengan karenah ibu anda kalau-kalau ibu anda itu jenis yang kuat membebel. Sifat wanita memang begitu. Mereka meluahkan perasaan melalui perkataan. Tak pernah lagi saya jumpa wanita yang tidak suka berbual dan membebel (saya maksudkan adalah wanita yang tidak bisu). Dengan bercakap, mereka akan berasa semakin lega.

    Hargailah ibu anda sementara dia masih hidup. Jangan lawan cakap ibu, takut-takut jadi anak derhaka. Dengarkan sahaja bebelan mereka yang mungkin berlangsung selama 10 minit bagi setiap sesi, 3 kali seminggu. Apalah sangat nak dibandingkan dengan kepayahan yang ibumu tanggung ketika kamu berada dalam rahimnya selama 9 bulan 10 hari yang juga bersamaan dengan 403 200 minit (iaitu 40320 kali sesi bebelan ibumu, kalau setiap sesi panjang nya adalah 10 minit). Tapi janganlah pula bila dah masuk sesi ke-40321 kamu nak melawan pula. Haram tetap haram. Konsep hormat ibu bapa tidak sama seperti konsep equivalent trade macam yang kita tengok dalam Full Metal Alchemist. Jangan jadi anak derhaka! Tak cium bau Syurga nanti.

    Kalau dah pernah melawan cakap ibumu yang suka membebel tu, maka sekarang juga, anda pergi telefon mak kat kampung. Pergi tanya khabar mereka. Jangan bila sudah bertemu si jantung hati di kota Kuala Lumpur atau pun di pekan Meru, kamu jadi lupa untuk telefon orang tua di kampung. Kesian mereka. Walau pun zaman sekarang ni zaman internet, nak berhubung dengan ibu bapa pun pakai telefon dan SMS sahaja, ini tidaklah melayakkan anda untuk balik ke kampung setahun sekali sahaja apabila tibanya hari raya, atau pun bila orang tua kita tu dah hampir nak ditanam di tanah perkuburan.

    Cukuplah setakat ini ya. Panjang pula jadinya. Kepada kawanku itu, semoga Allah memberikan kekuatan kepadamu untuk melalui ujian tersebut dengan gagah dan cekal. Doakan aku juga dan rakan-rakan seIslam kita yang lain. Perkara lain, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Mawlid Nabi yang bakal tiba tidak lama lagi. Kalau tak tahu bila, pergilah semak kalendar Islam ya. Mari kita penuhkan sambutan Mawlid Nabi kali ini dengan program-program kerohanian, majlis kesyukuran, dan sebagainya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »