Back to home page

Sepanyol XXXVII: Selamat Tinggal Granada

11 Julai 2005 • 1 Komen Cetak Chenta!

Stesen Keretapi Granada. Klasik dan unik.


Sedih pula mahu meninggalkan Granada. Belum puas lagi bermain di sini. Tapi apakan daya.. Keretapi ke Seville (turut disebut Sevilla) bertolak jam 11.45 pagi. Walaupun waktu itu adalah musim sejuk, tetapi di Granada suhunya agak panas. Saya mula berasa tidak selesa disebabkan pakaian yang saya pakai adalah agak tebal.

Keretapi yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Jika tidak silap, perjalanan Granada-Seville memakan masa 2 jam. Apabila saya masuk ke dalam kabin dan mencari tempat duduk yang sudah ditetapkan, tiba-tiba saya menyedari bahawa ada satu keluarga yang nampaknya berbangsa China, telah mendominasi tempat yang sepatutnya saya duduki.

Saya melihat kembali tiket sepintas lalu. Apakah saya tersalah masuk kabin? Saya akhirnya yakin dengan diri saya. Nombor tempat duduk mereka memang betul, cuma tersalah kabin. Jadi saya pun memberitahu mereka bahawa mereka tersilap kabin. Dengan lafaz 'Sorry' dan sebuah senyuman, mereka meninggalkan tempat itu.

Segala-galanya OK pada keretapi itu, cuma satu sahaja - tempat duduknya yang tidak best! Ia adalah dari jenis yang saling menghadap orang di hadapan kita. Cuma ada sebuah meja sahaja yang menjadi pemisah. Tak semua tempat duduk dalam keretapi itu begitu. Hanya sedikit sahaja.

Kalau tidak silap, cuma ada 8 tempat duduk sahaja yang begitu dalam satu-satu kabin, dan saya telah melabuhkan punggung saya di atas 1 dari 8 kerusi itu. Kawan saya yang 2 orang itu pula menerima nasib yang sama. Apa yang beza cuma mereka duduk di bahagian lain, tapi masih lagi di dalam kabin yang sama - mereka duduk di sebelah saya tetapi dijarakkan oleh sebuah laluan kecil.

Benci sungguh! Tempat duduk seperti itu sebenarnya tidak memberikan privacy kepada penumpangnya. Saya fikir mungkin syarikat keretapi Sepanyol ingin menjadikan rakyatnya lebih bersosial, maka dibuatnya fesyen begitu. Aduh-aduh. Saya sebenarnya begitu mengantuk. Ikutkan hati, mahu sahaja saya melelapkan mata yang kuyu ini. Tetapi bila sudah duduk begitu, takut-takut juga kalau-kalau air liru basi tumpah meleleh di hadapan seseorang yang tidak saya kenali sewaktu saya enak dibuai mimpi nanti.

Saya berfikir-fikir kembali. Saya rasa nak tidur juga kerana mengikut kebiasaan, saya memang jarang tidur keluar air liur basi :p. Tapi akhirnya niat itu saya batalkan sahaja kerana yang duduk di sebelah saya adalah seorang wanita. Dan dua orang lagi yang duduk di hadapan saya juga adalah wanita. Ketiga-tiganya masih muda dan berbangsa Spanish. Saya kira mereka berusia dalam awal 20-an.

Ini membuatkan saya semakin bertambah segan untuk memejamkan mata. Kalaulah terkeluar air liur basi.. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membaca buku sahaja sepanjang perjalanan Granada-Seville. Tidak pernah sekali pun saya menegur, apatah lagi berbual dengan anak-anak gadis Spanish tersebut kerana saya tahu akibatnya nanti adalah seperi ayam berbual dengan itik.

Dengan fikiran itu berenang-renang di otak, dan buku di tangan sebagai teman, akhirnya roda keretapi yang saya naiki itu berjaya juga bergolek di atas landasan stesen keretapi Seville setelah 2 jam berkerja.

1 Komen Tambah Komen↴

salam`alayk~


1. Tidur dengan posisi duduk, mungkinkah tidak terkeluar air liur yang akhirnya pasti basi? (minimum masa 15 min) :p

2. Pencahayaan yang 'klasik' (kerana sudut tuju & sudut biasan yang bertepatan) menambahkan lagi ke'klasik'an & ke'unik'an gambar di atas. Syabas! (^^.)p


.sis er.

Awanama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.