Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Tandoori Pakcik Yusuf

    18 September 2005 • 2 Komen

    Bulan penuh yang sedang mengambang pada 15 Rejab 1426H yang lalu sebagai penanda Ramadan yang hampir tiba.


    Sebenarnya, bukanlah satu kerja yang mudah bagi Pakcik Yusuf untuk memasak Ayam Tandoori sebagai juadah berbuka puasa di Masjid Dublin. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, jumlah jemaah yang datang bersolat di Masjid Dublin akan bertambah secara mendadak. Saya anggarkan secara purata ada dalam 350 orang yang datang bersolat di Masjid Dublin pada waktu Maghrib di dalam bulan Ramadan.

    Kalau hari-hari biasa, cuma ada dalam 100 orang jemaah sahaja. Ini merupakan peningkatan sebanyak 350%. Maka kalian boleh bayangkan betapa jerihnya kerja memasak untuk 350 orang setiap hari, selama 30 hari berturut-turut. Oleh sebab itulah, sering saya menghidu bau masakan Ayam Tandoori Pakcik Yusuf walaupun pada waktu Zuhur. Nampaknya, kerja memasak dimulakan dengan sangat awal.

    Kerja mengagih-agihkan Ayam Tandoori dilakukan selepas solat Maghrib. Biasanya, kami makan dalam sebuah talam yang dikongsi seramai 5 orang. Ini merupakan satu lagi tugas besar Pakcik Yusuf. Walaupun nampaknya ia satu kerja yang enteng, tetapi ia banyak menimbulkan perasaan tamak dan hasad dalam hati jemaah. Oleh kerana perut sudah lapar selepas seharian berpuasa, maka masing-masing ingin memakan Ayam Tandoori itu dengan lebih cepat. Maka kadang-kadang berlakulah beberapa insiden yang tidak diingini.

    Pernah sekali saya melihat seorang lelaki yang saya kira berbangsa Arab, bertikam lidah dengan Pakcik Yusuf ketika proses mengagihkan makanan berlangsung. Peristiwa pertikaman lidah hanyalah sebahagian kecil dari insiden-insiden yang berlaku.

    Selain itu, untuk memasak hidangan Ayam Tandoori tersebut sudah tentu memerlukan modal yang besar. Jika ada 350 orang yang datang setiap hari untuk berbuka puasa, dan kos untuk satu kepala adalah 2 Euro, maka 700 Euro diperlukan sehari. Dalam sebulan pula, kos memasak keseluruhan akan menjadi 21,000 Euro (hampir RM 100,000). Kos 2 Euro satu kepala adalah nilai anggaran minimum yang saya hitung. Ia mungkin salah.

    Kadang-kadang saya terfikir juga dari manakah datangnya wang untuk membiayai proses memasak Ayam Tandoori itu. Setiap kali bila bulan Ramadan hampir tiba, pihak pengurusan Masjid Dublin akan menubuhkan satu tabung khas untuk membiayai kos iftar. Beberapa persatuan pelajar-pelajar Islam Malaysia, seperti PPIMI di sini juga turut ingin sama membantu menampung kos tersebut. Pernah sekali saya menjadi salah seorang yang mengutip derma untuk iftar tersebut dari pelajar-pelajar Malaysia.

    Kadang-kala saya rasa sangat sedih apabila ada di kalangan mereka yang hanya menderma dalam nilai yang sangat sedikit. Itu belum cukup teruk lagi saya kira. Yang paling teruk apabila mereka sekadar mendermakan duit dari 'tabung-duit-sen' yang mana bila saya kira nilainya tidak pun melepasi 1 Euro. Saya bukanlah ingin mempertikaikan keikhlasan mereka ketika menderma, tetapi saya cuma berasa tidak puas hati apabila mereka menderma dalam jumlah yang amat sedikit - tidak lebih 2 Euro. Padahal, makan di masjid tiap-tiap hari! Apa pun, saya mendoakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat bagi sesiapa yang telah mendermakan sebahagian hartanya bagi membiayai iftar tersebut.

    Fenomena makan percuma di masjid ketika bulan Ramadan turut menimbulkan satu lagi penyakit - penyakit kaki-masjid-part-time. Bulan Ramadan ini selalunya kita dapat melihat golongan-golongan manusia yang cuma datang bersolat jemaah di masjid pada waktu Maghrib di bulan Ramadan sahaja. Bulan-bulan lain mereka off. Begitu juga dengan waktu-waktu solat lain di bulan Ramadan. Bila berbuka puasa, ada nampak batang hidung. Tetapi bila waktu solat terawih dan waktu-waktu solat yang lain, haram tak nampak walau bulu hidung mereka sekalipun.

    Itulah sebabnya saya gelar mereka kaki-masjid-part-time. Mereka menerima gaji setiap hari dalam bentuk hidangan Ayam Tandoori. Ini paling jelas bagi beberapa pelajar-pelajar Melayu kerana saya tidak pula berapa ingat tentang jemaah dari bangsa-bangsa yang lain.

    Bukanlah saya hendak menjadi skeptikal atau ingin menunjukkan saya ini lebih baik dari mereka, tetapi saya sekadar ingin menceritakan realiti tersebut. Kadang-kala saya juga tidak menjalankan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini dengan baik. Tetapi, agama itu nasihat. Maka kita perlu saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain.

    Apa pun, Ayam Tandoori Pakcik Yusuf akan menjadi legenda kepada pelajar-pelajar Malaysia yang pernah menikmati hidangan tersebut. Saya sendiri tidak tahu sampai bila menu Ayam Tandoori akan terus dihidangkan sebagai juadah utama iftar Ramadan di Masjid Dublin. Pakcik Yusuf sebenarnya sudah agak tua. Dia tidak boleh berdiri lama. Kadang-kala saya bersolat di sebelahnya. Selalunya bila Pakcik Yusuf hendak bangun selepas bersolat, dia pasti akan menjadikan bahu saya sebagai tempat topangan. Saya berharap Allah akan memberikan kesihatan yang berpanjangan kepadanya.

    Selamat menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat tidak lama lagi. Moga Ramadan kali ini menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa kepadanya. Mungkin juga Ramadan ini adalah yang terakhir untuk kita.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol: Epilog

    26 Ogos 2005 • 4 Komen

    Selamat tinggal! Ada rezeki kaki saya akan ke sini lagi. Gambar di ambil berdekatan dengan Masjid Cordoba.


    Maka tamatlah sudah kisah tentang Sepanyol ini. Alhamdulillah :) Lega rasa. Tapi semalam tiba-tiba teringat yang saya terlupa untuk ceritakan tentang pengalaman saya berjumpa, berbual dan tinggal sebumbung dengan seorang pemuda berbangsa Isreal semasa di Madrid. Hmm..tengoklah nanti-nanti kalau ada kelapangan, akan diceritakan.

    Apa pula nak tulis lepas ni ye? Entah le..tengoklah dulu. Kalau nak tulis pasal tempat lain pun, mungkin bukan tentang tempat-tempat di Eropah. Tapi di mana? Tengoklah dulu.. Tapi yang penting, pos bersifat travelogue akan diberhentikan dan akan disambung bila saya melawat ke tempat-tempat yang signifikan untuk saya ceritakan kepada sesiapa sahaja yang mahu membaca dan melihatnya.

    Apapun, saya ingin berehat buat beberapa ketika. Ingin menjamu suasana musim panas yang sudah semakin menyembunyikan dirinya. Apakah saya masih punya waktu? Lihat kalendar dan jenguk ke langit. Wahai musim panas, sila jangan lari dahulu.

    spain map
    Bandar-bandar yang telah dilawati: Barcelona, Cordoba, Granada, Seville, Madrid dan Toledo. Gambar ihsan dari Lonely Planet.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXVI: Gambar Masjid Lama

    23 Ogos 2005 • 2 Komen
    Ada 2 masjid lama sahaja yang saya jumpa di Toledo. Pertama: Mezquita del Cristo de la Luz atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Mosque of Christ of the Light. Kedua: Mezquita de las Cornerias.

    Mezquita del Cristo de la Luz


    Inilah dia masjidnya.



    Bentuk senibinanya pasti mengingatkan kita pada Masjid Cordoba. Boleh rujuk pos dulu-dulu tentang Cordoba.


    Entah kenapa ada perkataan "Christ" pula di situ apabila diterjemahkan. Saya pun bingung. Tapi apa yang penting ia bukan nama asal masjid tersebut. Ia mendapat nama apabila kuda yang ditunggang oleh Alfonso VI ketika Toledo tumbang pada tahun 1085, terjatuh berdekatan dengan masjid ini.

    Cuma apa yang pasti, pada asalnya ia adalah sebuah gereja Visigothic. Kemudian ia ditukar menjadi sebuah masjid apabila Islam datang. Dan apabila Toledo jatuh ke tangan Kristian, ia telah ditukar menjadi sebuah gereja. Sebenarnya tidak banyak sejarah yang diketahui tentang masjid ini. Jadi saya pun tidak dapat mengulas dengan lebih panjang. Tapi apa yang penting, masjid ini telah dibina dalam tahun 1,000.


    Sebatang palang Kristian di atas masjid ini. Perhatikan juga pada bahagian bawah gambar terdapat inskripsi tulisan Arab - barangkali ia adalah dari ayat-ayat suci Al-Quran.



    Pelik betul dengan gambar ni. Berkali-kali tangkap tapi tetap ada kesan gegar.


    Nak masuk ke dalam masjid ini kena bayar EUR 1.50. Tapi saya tak masuk sebab ia dah tutup - malam saya melawat Toledo adalah Christmas Eve. Jadi kebanyakkan kedai dan tempat melawat ditutup lebih awal dari biasa.


    Masuk kena bayar!

    Mezquita de las Tornerias

    Masjid yang ini pun tidak banyak sejarah yang diketahui. Saya pun tak dapat jumpa sejarahnya. Tetapi memang agak sukar untuk mencari masjid ini kerana senibinanya yang hampir sama dengan bangunan-bangunan lain. Kena perhatikan betul-betul baru dapat berjumpa.

    Masjid ini percuma sahaja untuk masuk. Tak perlu bayar. Tapi saya tak masuk juga sebab ia sudah ditutup lebih awal.


    Memang susah nak bezakan masjid ini dengan bangunan-bangunan lain.



    Masuk percuma sahaja!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »