Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Bila Harga Minyak Naik, Maka Tahukah Engkau Tentang Perkara Ini?

    01 September 2009 • 30 Komen

    1. Berapa harga minyak dunia pada masa ini?

    "Penetapan RON95 pada RM1.80 dan RON97 pada RM2.05 adalah berikutan purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 (RM142.63) pada Disember 2008 kepada US$82.30 (RM288.05) pada Ogos 2009."

    (Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Petrol RON95 kini RM1.80 seliter, Utusan Malaysia).
    Fakta paling penting: Semenjak awal tahun 2009 ini, iaitu apabila ekonomi dunia semakin merudum, harga minyak dunia TIDAK PERNAH pun melepasi paras USD80 setong. Tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada 21 Ogos yang lalu, iaitu di paras USD75 setong.

    Jadi dari mana datang nilai USD82.30 ini? Seseorang sila jelaskan kalau saya ada terlepas pandang apa-apa fakta.



    2. Benarkah dakwaan kerajaan bahawa tiada perubahan harga petrol utama negara?

    Benar. Harga memang tidak berubah, tetapi kualiti sudah tidak sama. Dahulu, petrol jenis RON97 yang selalu kita gunakan sebelum ini berharga RM 1.80 seliter. Kini, ia menjadi RM 2.05 seliter.

    RON95 yang baru dilancarkan memang berharga RM1.80. Namun RON95 kurang bagus pada enjin. RON97 bagus pada enjin.

    Contoh lain bagi mudah faham: Dulu kita beli filem DVD (RON97) pada harga RM 20. Kini harga DVD itu dah jadi RM 30. Kalau nak tonton juga filem tu pada harga RM 20, boleh dapatkan salinannya dalam bentuk VCD (RON 95) yang lebih rendah kualiti audio dan videonya.

    Undian di The Star Online (tepat pada 1 September 2009) menunjukkan bahawa 52% responden berasa tidak selesa apabila beralih kepada RON95.



    3. Maka, apa implikasi kenaikan harga minyak ini kali ini?

    Kenaikan ini dilakukan pada waktu yang sangat tidak bijak. Ramadhan adalah bulan yang terkenal dengan "barang tak ada" dan "harga barang naik". Bila minyak naik masa bulan Ramadhan, makin lagi banyaklah barang yang akan naik harga.

    Kenaikan harga minyak sehingga ke paras USD 75 setong baru-baru ini adalah dek kerana keyakinan bahawa ekonomi dunia semakin nampak macam mahu pulih, seperti di Jerman dan Perancis. Namun beberapa pakar ekonomi juga berpendapat bahawa trend tersebut mungkin bersifat fatamorgana:
    We have seen this strength (in the oil price) which reflected renewed confidence in the economy. But in the last week or so people are starting to say that the stock market is overbought and the data is not that good.

    (John Vautrain, penganalisis tenaga di Konsultan Purvin & Gertz, Singapura)
    Jangkaan mereka lagi, harga minyak mungkin akan turun lagi (dan bukannya naik) dalam beberapa minggu yang mendatang.

    Jika tekaan mereka benar, maka Malaysia akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada kesemputan ekonomi. Ini kerana, apabila harga barang semakin mencanak, orang ramai akan lebih suka menyimpan berbanding berbelanja.

    Sama ada dunia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, sosialis atau pun Islamis, apabila majoriti orang jadi takut hendak membeli dan lebih banyak menyimpan di dalam bank dan di bawah bantal, maka ekonomi akan mandul.

    Ekonomi hanya akan jadi subur apabila orang yakin untuk berbelanja sakan, di samping mereka masih ada duit untuk disimpan, diderma dan dizakatkan. Justeru, kita fikirkan sama ada kenaikan harga minyak pada kali ini boleh memandulkan atau menyuburkan ekonomi Malaysia yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-52 ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Beli Buku

    02 Ogos 2009 • 17 Komen
    Semalam saya tersinggah ke Pesta Buku Selangor di Kompleks PKNS. Cadangnya tidak mahu membeli buku, tapi akhirnya terbelilah pula New Malaysian Essays 2. Dapat diskaun RM4 dan sebuah buku percuma Lawan Tetap Lawan. Ada 10 esei yang dimuatkan dalam edisi kedua ini. 9 dalam bahasa mat saleh. 1 dalam bahasa mat melayu.

    gambar buku
    Lawan Tetap Lawan agak menarik juga. Ia mendokumentasi secara ringkas beberapa 'perhimpunan haram' yang pernah terjadi di negara kita. Antara perjuangan rakyat yang disentuh di dalamnya adalah seperti Mogok Utusan Melayu, Peristiwa Baling, Tol Cheras, Anti Radioaktif Bukit Merah, Peristiwa Wabak Nipah dan Reformasi.

    Oh ya, perhimpunan haram rakyat Tanah Melayu bagi membantah Malayan Union* tiadalah pula terdapat di dalamnya.

    Ok, mahu pergi membalut buku!
    ---

    *Perhimpunan ini adalah haram kerana tidak mendapat permit dan permisi daripada penguasa British dan dikhuatiri ia akan mengganggu para peniaga cendol, tapai pulut dan rojak pasembor di tepi jalan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bagaimana Tidak Mahu Kena Tipu di Internet?

    25 Julai 2009 • 25 Komen
    Longgokan iklan dan risalah yang menjanjikan kita kaya dalam masa yang sangat singkat sudah semakin bersepah di sana-sini. Lokasinya sangat tipikal: tergantung di tiang-tiang lampu di tepi jalan, di dalam bakul motosikal selepas solat Jumaat dan terselit di sudut akhbar online seperti myMetro (Harian Metro) dan Harakah Daily.

    Daripada Harian Metro

    Daripada Harakah Daily.

    Siapa yang tidak teruja dengan RM 3,000 seminggu (RM 12,000 sebulan) seperti yang didakwa dalam iklan di myMetro itu? Jual ganja dari rumah ke apa ini?


    Kajian Kes: DuitTerdesak.com

    Arakian beberapa hari yang lepas, tangan saya gatal untuk mengklik satu iklan yang tersiar di myMetro. Ia seterusnya membawa saya ke DuitTerdesak.com (lihat screenshot keseluruhan laman ini). "Boleh mendapatkan RM9000 - RM10,000 dalam masa segera", katanya di laman tersebut.

    Laman tersebut sangat tipikal seperti laman-laman web lain yang mendakwa boleh menjana wang besar dalam masa singkat. Ciri-ciri tipikal ini ialah:
    1. Segala macam maklumat disumbatkan dalam satu paparan muka sahaja;
    2. cerita pengalaman dan kejayaan itu dan ini tentang proses buat duit;
    3. ada beberapa testimonial pelanggannya yang berjaya;
    4. dan akhirnya akan ada e-book dan sebagainya untuk dijual.
    Diingatkan bahawa saya sama sekali tidak menuduh secara melulu bahawa mereka ini semua penipu besar. Namun dalam dunia penuh putar belit pada hari ini, waspada adalah senjata. Dan inilah 3 cara bagaimana saya berhati-hati:

    1) Baca betul-betul apa yang ditulis dan timbulkan kemusykilan.

    Contoh beberapa kemusykilan yang telah saya timbulkan:

    a) Pemiliknya mengatakan bahawa "...teknik ini tidak ada kena-mengena langsung dengan internet kerana saya tidak pandai langsung tentang internet...saya ni buta internet. Kalau tahu pun sikit-sikit je."

    TAPI pandai pula beli domain DuitTerdesak.com dan server, bina laman bisnes sendiri di internet, pandai buat screenshot Utusan Online, dan tahu letak Google Chat. Perkara-perkara ini agak mustahil untuk dilakukan oleh seorang yang "tahu sikit-sikit je" internet, bahkan mengaku dirinya "buta internet".


    b) Katanya boleh mendapatkan RM9,000-RM10,000 dengan segara (dalam masa 10-14 hari sahaja). Bahkan "setakat tujuh, lapan, sembilan atau sepuluh ribu tu senang je.", dakwanya.

    LALU, mengapa bersusah payah untuk mendokumentasi dan menjual "teknik rahsia" ini kepada orang ramai? Bukankah lebih senang hidupnya andai dia melakukannya sebanyak 5 kali setahun? Kalau buat begini, dia hanya memerlukan dalam 14 hari x 5 = 70 hari sahaja untuk sekurang-kurangnya mengaut RM 9,000 x 5 = RM 45,000 setahun? Dengan demikian dia boleh lepak sebanyak 365 hari -70 = 295 hari setahun.

    Bukankah ini lebih rileks dan sesuai dengan fitrah manusia yang suka berada dalam comfort zone? Jika penulisnya mendakwa bahawa dirinya seorang yang sukakan cabaran dan tidak suka berada di dalam zon selesa, maka bukankah lebih mencabar jika dia mengumpulkan sehingga beberapa ratus ribu dengan menggunakan "teknik rahsianya" itu, kemudian melaburkannya sebagai modal untuk membuka sebuah syarikat sendiri?


    c) Kenapa "tak nak ramai sangat tahu teknik ini dalam Malaysia, saya hanya nak dalam seribu orang sahaja tahu benda ni."

    Jika begitu, lalu mengapa mahu menjual manual yang berharga RM45 itu? Bukankah menutup mulut manusia tidak semudah menutup mulut tempayan? Katakan hanya 1000 orang sahaja yang mengetahui teknik tersebut, bukankah ini telah menambah persaingan sebanyak 1000 kali ganda untuk dirinya sendiri?

    Setakat ini saya tak pernah mengetahui mana-mana bisnes yang mendedahkan trade secret mereka. KFC mana mungkin mahu memberitahu resepi rahsianya. McDonald juga selisih Malaikat 44 untuk mendedahkan rahsia keenakan burgernya.

    Eh, tapi kaya juga kan kalau 1000 orang beli? RM45 darab 1000 adalah bersamaan...?

    Apa pun, lain-lain kemusykilan, terserahlah kepada anda untuk memikirkannya sendiri.

    2) Jangan percaya dengan mudah screenshot yang menunjukkan jumlah simpanan di dalam bank, Google Adsense dan sebagainya.

    Dengan menggunakan teknologi seperti Firebug, saya dengan mudahnya boleh melakukan pengeditan secara real-time apa yang terpapar di browser. Contohnya seperti ini:


    Rajah di atas adalah screenshot yang diambil melalui akaun Maybank2u.com saya. Bagaimana saya boleh mempunyai RM53,852.63 di dalam akaun saya? Mula-mula saya login. Kemudian edit jumlah current dan available balance saya dengan menggunakan Firebug. Lalu buat screenshot. Dan akhirnya saya tempel di sini! (Pemberitahuan: Teknik ini hanya mengubah paparan sahaja, tetapi ia tidak mengubah jumlah sebenar simpanan saya di Maybank).

    Teknologi seperti ini adalah tidak secikai pengeditan melalui Photoshop. Kalau guna Photoshop, ia masih boleh dikesan jika kajian forensik dilakukan ke atasnya. Tapi kalau guna Firebug, ia tulen 100% bang!

    Maka, jangan percaya langsung sebarang screenshot kalau tidak mahu poket anda dirompak di siang hari.

    3) Testimonial dan gambar pemberi testimonial boleh direka-reka.

    Ini testimonial salah seorang pembeli manual berkenaan:

    "Azi sebenarnya tak sangka ada juga sesuatu yang boleh dilakukan untuk mengatasi semua masalah yang dihadapi. Azi memang menghadapi masalah duit, tambah lagi azi ada 2 orang anak.

    Azi hilang punca dan cuba juga teknik ini dan hasil daripadanya azi gunakan untuk membuka satu gerai jual laksa di pasar malam Pandan Jaya.

    Azi sebenarnya memang dah tekad meminjam daripada along dan memang azi dah call dia orang pun. Tapi mungkin memang nasib azi baik sebab azi terjumpa website ini. Thanks. - Nur Azizah Bt Rahman"

    Saya tidak tahu sama ada testimonial ini benar atau pun tidak. Mungkin orang Pandan Jaya boleh cuba cari-cari Kak Azi yang katanya menjual laksa di pasar malam di situ. Namun demikian, testimonial palsu bukan susah sangat untuk direka-reka. Sedangkan di mahkamah pun ada orang berani beri keterangan palsu, lalu apatah lagi untuk menghasilkan sebuah testimonial palsu.

    Tapi apa yang saya betul-betul pasti, gambar yang disertakan bersama bukan milik Nur Azizah Bt Rahman! Bagaimana saya tahu? Terima kasih kepada TinEye. Melaluinya, sumber sebenar Nur Azizah dapat dikesan berpunca daripada dari iStockphoto.


    Jangan kena tipu dengan iklan dan promosi yang hebat merapu-rapu. Sekian adanya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »