Saya tidak sangka pula Utusan Online menyiarkan pengaruh Wahabbi yang semakin meluas di Malaysia di bahagian muka hadapan. Saya bukan jenis yang suka melakukan
copy & paste artikel. Tetapi kali ini, saya melakukannya. Saya rasa, artikel ini agak penting. Apabila saya ingin mengulas tentang Wahabbi dalam dunia Islam hari ini, saya berasa serba-salah.
Pertama, kerana saya tidak alim dalam hal ini. Kedua, kerana dalam Advice To Seekers, iaitu kuliah terbitan Zaytuna Institute yang disampaikan oleh Sheikh Hamza Yusuf dan Sheikh Ya'qoubi, ada dikatakan bahawa: "Argumentation is makruh for ulama, and haram for common people." Saya tahu bila berbicara dalam hal ini, saya terpaksa 'argue'. Untuk mengambil jalan selamat, saya merujuk kepada hasil-hasil tulisan Sheikh Nuh Ha Mim Keller dalam buku terjemahannya Al-Maqasid dan Reliance of Traveller ('Umdat al-Salik) dengan mengintegrasikannya dengan pengalaman dan pemerhatian saya. Saya juga akan merujuk kepada beberapa siri-siri kuliah dari ulama-ulama tradisional, sama ada mereka dari mazhab Shafi'e, Hanafi, Maliki atau Hambali.
Apapun, saya tidak suka argue dalam bab agama kerana ia akan merosakkan hati. Tetapi yang menjadi masalah, apabila saya tidak mahu argue dengan mereka yang berfahaman Wahabbi ini, mereka pula yang sibuk nak argue, dan mereka ini pula macam sudah dilatih untuk argue! Dan ada seorang hamba Allah pula kata ada Wahabbi yang keras dan ada biasa-biasa sahaja. Ya, saya tidak nafikan. Tetapi sepanjang saya duduk di sini, Wahabbi yang saya jumpa semuanya agak 'keras'. Perkara remeh pun nak argue. Itu belum lagi masuk bab tawassul dan berdoa di kubur. Mungkin Wahabbi yang 'lemah-lembut' mudah djumpai di Malaysia kerana kita masih lagi dipengaruhi kuat oleh mazhab Shafi'e.
Satu poin penting yang harus ditekankan ialah: Wahabbi membawa masalah kepada umat Islam di seluruh dunia. Mereka ini tidak ikut mazhab, dan ada yang berkata mazhab itu bidaah dan ia membawa kita ke neraka. Jika dakwaan ini benar, maka ramailah ulama-ulama tradisional yang sudah masuk neraka kerana mereka mengikut mazhab. Imam Nawawi dan Imam Bukhari adalah dua contoh ulama agung dari mazhab Shafi'e.
Sekarang tanyalah diri kita, apakah kita ini sudah pandai sangat sehingga tidak mahu ikut mazhab? Berapa kerat ilmu kita nak dibandingkan dengan Imam Nawawi dan Imam Bukhari? Namun ulama-ulama ini tetap bermazhab kerana mereka sedar kepentingan bermazhab. Lagipun, 4 mazhab yang kita ada memiliki 75% persamaan fiqh. Dalam hal akidah, iqtikad mereka semua adalah sama. Tambahan pula, selama lebih 1000 tahun umat Islam mengikut mazhab, dan tiba-tiba pada tahun lebih kurang 1200H, muncul fahaman Wahabbi yang menolak mazhab. Jadi, apakah umat Islam yang hidup sebelum kemunculan Wahabbi ini berada di jalan yang salah dan sesat?
Apa pun, harus dingat bahawa Wahabbi juga adalah dari golongan Ahli Sunnah wal Jamaah, sama juga seperti kita. Jangan samakan mereka seperti Syiah atau pun aliran-aliran lain yang sesat.
Saya tekankan lagi bahawa segala fakta yang saya kemukakan adalah dari sumber yang sahih. Anda boleh e-mel saya jika ingin tahu dari mana sumber tepatnya. Insya-Allah saya akan sambung lagi penulisan tentang hal ini. Saya sertakan petikan artikel dari Utusan Online:
Fahaman Wahhabi menular -- Dikatakan semakin berkembang di kalangan cerdik pandai muda.
Oleh NAZERI NONG SAMAH
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Fahaman Wahhabi yang mengetepikan amalan sunah umat Islam negara ini sejak turun-temurun, kini dikatakan semakin berkembang terutama di kalangan cerdik pandai muda.
Kumpulan ini menolak amalan membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia, membaca Yasin, qunut, tahlil, talkin, berdoa, berzikir, ziarah kubur dan pelbagai lagi perkara harus dan sunat yang menjadi amalan Ahli Sunah Waljamaah.
Mingguan Malaysia difahamkan, beberapa buah universiti menjadi pangkalan dan pusat bagi aliran yang disifatkan sebagai ultrakonservatif ini.
Difahamkan juga, aliran ini menjadi ikutan golongan muda yang mahu melakukan ibadah dengan mudah dan cepat, selain menganggap amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam di negara ini sebagai bidaah dan khurafat.
Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady yang banyak mengkaji mengenai fahaman ini bimbang ia mungkin menyebabkan berlaku pergeseran serius di kalangan ummah berhubung adat dan ibadat yang diamalkan di negara ini.
"Ahli Sunah Waljamaah mengikut Imam Al-Shafie yang kita amalkan sekarang jelas telah diterima dengan baik dalam kerajaan dan rakyat, tetapi sudah diresapi pula fahaman lain."
"Fahaman Wahhabi mengambil pendekatan keras, semata-mata memberi penekanan kepada Allah dengan menolak sunah Rasulullah, tawassul, syafaat dan lain-lain," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, adalah lebih wajar fahaman ini ditolak kerana ia bertentangan dengan Sunah Waljamaah yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara ini.
Muhammad Uthman berkata, fahaman ini diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab yang berketurunan Arab, bermula di Hijaz pada abad ke-18 Masihi iaitu sekitar 1204 Hijrah.
"Fahaman Wahhabi itu sendiri ditentang oleh keluarga Muhammad Abdul Wahab, tetapi ia menjadi amat berpengaruh dengan pendekatan ekstremnya itu.
"Malah fahaman Wahhabi itu sendiri berkembang luas sehingga menjatuhkan kerajaan Uthmaniah serta melenyapkan khalifah Islam di Turki," katanya.
Menurutnya, dalam kitab Kashf Al-Shubuhat Fiqh Tauhid dan Risalatul Al-Tauhid, fahaman puak Wahhabi turut memuatkan huraian al-Quran yang pada asalnya ditujukan kepada orang kafir tetapi fahaman ekstrem itu ditujukan pula kepada orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.
Sehubungan itu, Muhammad Uthman berkata, keupayaan pengaruh fahaman ekstrem Wahhabi sehingga berjaya menggulingkan kerajaan Uthmaniah itu wajar menjadi peringatan kepada kerajaan negara ini.
"Fahaman Wahhabi begitu mudah mempengaruhi kerana ia mengambil pendekatan bahawa Islam tiada hubungan dengan kelebihan yang ada pada sunah Rasulullah, hadis mahupun sesama manusia.
"Mengikut fahaman ini, apa-apa yang menjadi adat dan ibadat selain daripada fahamannya adalah bidaah semata-mata," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Yusof Hussain berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh terikut-ikut dengan fahaman Wahhabi kerana ia tidak mengikut kehendak ahli sunah wal jamaah.
"Pada asalnya, motif fahaman Wahhabi itu bertujuan membanteras khurafat di Arab tetapi pendekatannya yang keras itu juga menumbangkan kuasa pemerintah zaman tersebut.
"Tetapi untuk motif apa pula Wahhabi berkembang di negara kita," katanya.
Prof. Datuk Mahmood Zuhdi Abd. Majid dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pula berkata, pertentangan ahli sunah wal jamaah dan fahaman Wahhabi perlu ditangani dengan bijaksana demi kebaikan agama.
"Kita tidak mahu pertembungan kedua-dua ikutan itu akan menjadikan kita dilaga-lagakan seperti puak sunni dan syiah di Iran dan Iraq sehingga mengakibatkan perpecahan Islam," katanya.
¶ Teruskan membaca entri ini »