Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Sepanyol II: Barcelona

    07 Januari 2005 • 2 Komen
    Gambar budak menangis

    Sesampainya di Lapangan Terbang Girona, pegawai imigresen cakap bahasa Sepanyol dengan aku. Alamak, mana aku faham. Hmm..mesti tunjuk hebat sedikit. Aku pun buat-buat faham sahaja. Angguk-angguk kepala. Kalau macam pelik sahaja apa yang pegawai imigresen tu cakap, gelengkan kepala sahaja. Dan ini taktik yang sangat berkesan. Tapi kalau sesat, padankan muka sendiri.

    Masalah sungguh. Majoriti buta Inggeris walaupun berkomunikasi dengan bahasa yang sangat mudah dan ringkas. Ingatkan mereka tahu perkataan-perkataan yang sangat ringkas. Jauh panggang dari api. Aku nak tanya panduan jalan pun serba-salah sebab masalah bahasa. Aku tanya, mereka jawab dalam bahasa Spain. Serupa tak payah tanya. Nak salahkan siapa? Salahkan diri sendirilah sebab tak belajar bahasa Sepanyol asas.

    Jadi, kalau bab tanya-menanya aku serahkan kepada Farid dan Raja. Aku lepas tangan. Bukan apa, mereka tu faham sikit-sikit sebab selalu sangat tonton Telenovela. Raja pula pernah belajar bahasa Spain. Tapi dia dah banyak lupa.

    Sesampai sahaja di pusat bandar Barcelona, terus mencari alamat hostel yang sudah pun ditempah awal sebelum ke sana. Sangatlah payah mencari alamat hostel tersebut. Berjalan ke sana-sini sambil mengusung beg yang agak berat. Baca peta berulang-kali masih tak jumpa-jumpa. Akhirnya tanya orang. Aduh, dia jawab dalam bahasa Sepanyol. Aku tak tahulah si Raja faham atau tidak. Aku rasa tak faham sebab lepas itu masih tidak berjumpa juga. Dan kami terus mencari.

    Lama mencari, berjumpa juga. Bila masuk, kami disambut dengan bahasa Inggeris oleh seorang wanita berbangsa Sepanyol. Nasib baik dia tahu cakap Inggeris. Selepas memberikan sedikit penerangan, dia menunjukkan tempat tidur kami.

    Alamak. Macam sempit sahaja. Dalam bilik itu ada 6 katil. Sewaktu aku masuk ada satu katil yang sudah diduduki dan ada seorang gadis yang kelihatan baru sahaja bangun dari tidur. Waktu itu dalam pukul 12 tengahari. Penat agaknya gadis itu. Buat pengetahuan, bilik hostel yang aku sewa itu jenis mixed. Maknanya lelaki dan perempuan sewa bilik itu. Sebab itu ada perempuan. Ini semua sebab nak jimat. Kalau tak mixed, sangat mahal pula yang perlu dibayar. Janganlah ada mana-mana gadis yang buat benda bukan-bukan waktu malam nanti.

    Perempuan yang baru bangun itu keluar tidak berapa lama lepas kami masuk. Ke tandas agaknya. Tidak berapa lama kemudian dia masuk dan mengemaskan barangannya. Dia mahu check-out. Kami masih tidak menegur dia. Aku rasa tak sedap pula kalau tak tegur. Jadi aku buat keputusan untuk tegur dia dan aku memikirkan peluang yang baik untuk memulakan percakapan. Bila dia pandang aku, aku pun senyum. Ini peluang yang baik.

    Aku tanya dia: Are u Spanish?, dengan harapan dia akan menjawab 'No'.

    Namun dia jawab: It is very cold at night. You better ask for double blanket.

    Aku membalas kembali: Ooo...

    Aku tak pasti sama ada dia faham soalan aku atau tidak. Tapi dari jawapannya, dia memang ingin sangat beritahu kami bahawa dia kesejukan tidur malam semalam. Tengok dia pun macam menggigil-gigil sahaja lagi. Dari jawapannya itu juga, aku tahu dia berbangsa Sepanyol kerana telornya bukan telor orang yang biasa cakap bahasa Inggeris. Telornya persis telor orang Sepanyol.

    Dia kemudian menuju ke arah pintu meninggalkan kami. Bilik itu kini hanya tinggal kami bertiga. Bilik itu kepunyaan kami!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol: Prolog

    01 Januari 2005 • 0 Komen
    kedaiAku sebenarnya berasa agak malas mahu ke Sepanyol masa cuti musim sejuk ini sebenarnya. Sebabnya aku baru sahaja tamat peperiksaan musim sejuk.

    Cuma selang dua hari sahaja jarak aku habis peperiksaan dan tarikh aku pergi ke Sepanyol.

    Tambahan pula, aku merancang untuk ke Sepanyol pada suatu masa yang lain. Mungkin setahun dua lagi.

    Namun akhirnya, aku pergi juga. Itulah takdir. Rancang macam mana punya hebat pun, kalau dah Allah tetapkan begitu, begitu jugalah jadinya. Sengaja aku mahu mencatatkan percutian aku di Sepanyol kali ini di dalam blog. Aku sendiri tidak tahu mengapa.

    Sepanyol sebenarnya adalah negara Eropah pertama dalam ranking negara-negara Eropah (tidak termasuk UK, Ireland, dan Turki) yang mesti aku lawati. Kota-kota Eropah lain yang ingin aku lawati cuma Paris (sebab nak tengok dan pegang Eiffel Tower) dan Pisa (sebab nak tengok Menara Condong Pisa). Yang lain-lain tu tak payah pergi pun tak apa bagi aku. Kenapa? Sebabnya Insya-Allah akan diberitahu pada bab Sepanyol: Epilog.

    Jadi, kenapa pula Sepanyol menjadi pilihan pertama aku? Sebab Cordoba dan Granada terletak di sana. Kali pertama aku mendengar Cordoba dan Granada ketika aku berada di Tingkatan 4. Sudah pastinya menerusi subjek Sejarah. Kita cerita Cordoba dan Granada dengan lebih mendalam nanti.

    Mungkin anda pernah pergi ke Sepanyol. Anggaplah pembacaan ini sebagai satu pelengkap kepada apa yang pernah anda alami. Mungkin anda pernah mendengar pengalaman rakan-rakan anda yang pernah ke Sepanyol. Anggaplah penceritaan ini sebagai satu tambahan kepada apa yang pernah anda dengari. Kisah ini mungkin tidak sehebat apa yang pernah anda alami dan dengari.

    Selamat membaca!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol I: Rokok

    2 Komen

    Bagi makan burung..


    Syarikat penerbangan Ryanair menjadi pilihan ke Sepanyol. Sebab utama? Tambang murah. Ryanair ini ala-ala AirAsia. Perjalanan dari Dublin ke Girona (satu bandar berdekatan Barcelona) mengambil masa 2 jam 30 minit. Sesampai di sana, zon waktu bertukar. Sepanyol awal 1 jam berbanding UK dan Ireland.

    Ada satu perkara yang aku tidak berapa suka tentang Sepanyol. Di sana boleh dikatakan orang merokok di mana-mana. Di tempat awam dan di kawasan tertutup. Aku jadi lemas dalam suasana sedemikian. Aku sangat benci asap rokok. Orang yang hisap rokok ini adalah saudara-mara jin, kerana jin makan asap. Hai, saja mengusik. Sekadar mengulangi kata-kata Ustaz Ismail Kamus dalam ceramahnya tentang jin.

    Di sana aku tiba-tiba merindui Ireland sebab Ireland merupakan negara yang paling ekstrim undang-undang larangan merokoknya. Hatta di dalam kelab malam sekali pun ada larangan merokok. Minum arak boleh, tapi hisap rokok di dalamnya tak boleh. Memang bagus, sebab ada pekerja-pekerja bar yang tidak hisap rokok.

    Ada terbaca di dalam Utusan Online yang Kementerian Kesihatan ingin mencontohi Ireland dalam hal ini. Baguslah tu. Cuma penguatkuasannya perlu lebih tegas dan telus. Orang Malaysia ni memang payah dalam hal-hal sebegini. Ikut pengalaman aku walau besar mana tanda larangan merokok yang digantung, orang tetap merokok juga.

    Malaysia oh Malaysia...anda bangga menjadi rakyat Malaysia? Mungkin kita perlu diberikan pendidikan sepanjang hayat dalam bab-bab kesedaran sivik ini.

    Kalau anda seorang yang sama macam aku, yang tak suka asap rokok, maka carilah papan tanda yang bertulis Gracias por no fumar atau Prohibido Fumar . Insya-Allah selamat dari manusia-manusia durjana yang ingin membunuh kita tanpa niat. Seingat aku, komuter bawah tanah di sana merupakan satu-satunya tempat yang dilarang merokok di seluruh kawasan. Kalau stesen keretapi, ada sikit sahaja kawasan yang orang tak merokok.

    Aku tak pernah lihat orang merokok di dalam McDonald. Kali pertama aku lihat adalah di Sepanyol. Wah, sungguh aneh dan misteri!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »