Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label parlimen. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label parlimen. Papar semua catatan

    Mengapa Dewan Rakyat Unik?

    15 Oktober 2008 • 26 Komen
    Pada masa kini, Dewan Rakyat ada seramai 222 orang ahli parlimen (Member of Parliament, MP). Di United Kingdom, Dewan Rakyat mereka dipanggil House of Commons; yang mana buat masa ini ia dianggotai oleh seramai 646 orang ahli.

    Kadang-kadang saya melihat Dewan Rakyat kita ada sedikit unik berbanding House of Commons. Dalam kebanyakkan kes, kedua-duanya memang banyak yang sama. Ini gara-gara kita sekadar mengadaptasi sistem pentadbiran yang diwariskan oleh British setelah mereka angkat kaki secara rasmi pada 1957.

    Parlimen kita unik bukan kerana ia tidak menyiarkan liputan penuh perbahasan secara langsung, tetapi adalah dari segi rekabentuk dewannya. Kalau kita melihat perbahasan di House of Commons buat kali yang pertama, kita mesti tertanya-tanya, "Eh, macam ini ke Parlimen UK?"

    Perhatikan gambar dari video perbahasan di House of Commons ini:


    Sempoi sungguh dewannya! Mereka sekadar duduk sebelah-sebelah dan tiada tempat khusus bagi setiap MP. Jarak bagi setiap barisan kerusi di antara satu sama lain adalah agak rapat. Yang di-Pertua Dewan juga duduk sangat berdekatan dengan ahli dewan. Ia kelihatan tidak begitu formal tetapi dalam masa yang sama tetap berprestij.

    Mereka juga tiada meja. MP Malaysia kalau tak ada meja, memang pening kepala mereka. Cakap sikit, ketuk meja. Cakap sikit, ketuk meja. Lain kali Dewan Rakyat perlu menggantikan meja dengan gendang bongo agar sedap sikit bunyi yang dihasilkan. Apa pun, ini bukanlah sifat buruk yang khusus kepada MP Malaysia sahaja. Saya yakin, kalaulah para MP di House of Commons ini turut dibekalkan dengan meja, pasti akan diketuknya juga apabila perdebatan menjadi semakin panas.

    House of Commons yang lebih kecil berbanding Dewan Rakyat (walaupun hakikatnya jumlah MP mereka lebih besar) ini, hanya boleh memberikan tempat duduk kepada 427 orang sahaja. Ingat, jumlah keseluruhan MP ialah 646 orang. Jadi bila tempat sudah penuh, para MP yang datang lambat harus berdiri di bahagian yang berdekatan dengan pintu masuk dewan, atau di mana-mana yang mereka boleh selit:

    Perhatikan yang berdiri itu. Dari video ini.


    Walaupun demikian, bukan semua perbahasan akan membuatkan dewannya sesak. Ada di antaranya yang sengal seperti ini:

    Sidang ini sebenarnya dilakukan pada waktu malam.


    Dengan kata lain, rekabentuk House of Commons adalah sangat praktikal. Ia dibina dengan satu fakta bahawa setiap sesi perbahasan tidak semestinya akan atau wajib dihadiri oleh seluruh ahlinya. Lalu, mengapa mesti membazirkan wang untuk menyediakan tempat duduk yang khusus untuk setiap MP?

    Apabila setiap MP tidak dibekalkan dengan mikrofon di tempat duduk masing-masing, ia juga boleh memupuk semangat perbahasan yang sihat. Ia mengurangkan kebarangkalian untuk terpanculnya suara murahan dan membuang masa yang tiba-tiba menyampuk dari kejauhan sewaktu sesi pembentangan usul sedang berlaku; yang kadang-kala sampukan ini tidak diketahui siapa yang menuturkannya.

    Mikrofon di depan mata akan menyebabkan semua orang mahu bercakap tanpa menunggu giliran dan mengikut sunnah-sunnah Parlimen. Bila semua mahu bercakap, siapa pula yang mahu mendengar? Dan bila semua orang sudah bercakap secara serentak, mustahil sesebuah perbahasan itu akan mempunyai sebuah kesimpulan yang baik dan bernas.

    Inilah dia kebaikannya apabila memberikan dua buah mikrofon sahaja yang diletakkan di bahagian meja besar House of Commons; satu untuk wakil pencadang dan satu untuk wakil pembangkang. Mana-mana ahli Parlimen lain yang ingin bertanya dan mencelah semasa sesi soal-jawab, mereka perlu berdiri terlebih dahulu dan kemudian mengajukannya tanpa bantuan mikrofon.

    House of Commons juga dibina dengan menggunakan satu hakikat bahawa dua orang yang berdebat tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat jauh. Perbahasan bukan sekadar pada lidah, tetapi ia juga melibatkan bahasa badan yang mustahil untuk ditangkap sekiranya mereka yang berdebat itu duduk amat berjauhan. Sebab itulah bagi mana-mana MP yang ingin membentangkan sesuatu usul di House of Commons, mereka perlu pergi ke meja yang terdapat di bahagian tengah dewan tersebut dan bukan sekadar melafazkannya dari kerusi yang didudukinya.

    Sesungguhnya, jika diukur dari aspek rekabentuk Parlimen Malaysia, kita punya memanglah lebih canggih berbanding apa yang UK miliki. Ini kerana mereka punya bangunan Parlimen sudah agak berusia. Kita punya pula masih muda; tak sampai setengah abad lagi pun usianya.

    Tapi yang muda itulah yang sudah bocor bumbungnya. Nak baiki bumbung Parlimen yang bocor pun, paling kurang sudah memakan RM 12 juta beb! Kayo pakcik kayo! Ooops silap, kayo kroni JKR kayo!

    Bangunan Parlimen UK pernah dijilat api pada tahun 1834. Kemusnahan yang terjadi telah membuatkan bangunan itu dibina semula secara berterusan dalam jangka masa 30 tahun. Maka sekiranya bangunan Parlimen Malaysia hangus musnah dijilat air, maka inilah nasihat saya kepada para kontraktor yang akan mendapat projek untuk membinanya semula:
    Rekalah Dewan Rakyat dengan meminta bantuan pakar psikologi. Tanya dia 2 perkara: Pertama, mengapa manusia berdebat? Kedua, bagaimana keadaan persekitaran boleh mempengaruhi perjalanan sesebuah debat.
    Arakian begitulah yang dimaklumkan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Tiada Rotan, Akar Pun Berguna Juga

    17 Mei 2008 • 5 Komen

    A) Tiada video, teks pun berguna juga

    Baru-baru ini, antara berita hangat dari Parlimen adalah Projek Khinzir Raksasa (PKR) vs Projek Babi Negara (PBN). Namun video pertikaman lidah yang terdapat di internet adalah tidak cukup untuk memberitahu saya apakah sebenarnya yang berlaku sebelum, selepas, dan malah sewaktu ia berlaku.

    Dalam hal ini, saya sangat respek pada Parlimen kerana kepantasan meletakkan teks perbahasan bertarikh 12 Mei 2008 tersebut di bahagian arkibnya, yang kini memuatkan mungkin kesemua teks perbahasan semenjak tahun 1960 sehinggalah yang paling terbaru pada 15 Mei 2008. Haha, ini sumber rujukan terbaik untuk membidas mana-mana ahli Parlimen yang mungkin akan kata, "Eh, saya tak pernah cakap macam tu!"

    B) Tiada siaran langsung penuh, 30 minit pun berguna juga

    Kata Ahli Parlimen Rembau:
    Saya mendapat maklumat balas, siaran secara langsung persidangan Parlimen mulai menurun memandangkan tidak semua orang ramai yang menyaksikan perbahasan di kaca televisyen setiap hari kerana waktu persidangan berlangsung pada waktu bekerja.
    (Khairy: Kaji siaran langsung Parlimen, Utusan Malaysia Online, 17 Mei 2008)

    Kalau jumlah penonton semakin berkurangan, biasalah tu. Siaran langsung Parlimen tujuannya bukan untuk buat penonton melekat di depan TV, seperti mana mereka menonton soap opera. Sebaliknya ia lebih bertujuan untuk menunjukkan integriti dan ketelusan kerajaan. Lagi pun, negara mana di dunia ini yang sidang parlimennya dilakukan pada waktu malam, iaitu waktu orang sudah pulang dari kerja?

    C) Tiada duit yang cukup, arkib video pun berguna juga

    Kata Menteri Penerangan:
    Kos menyiarkan siaran langsung sepenuh hari sesi sidang parlimen dianggarkan sebanyak RM100,000 atau RM3 juta sebulan... ...Selain RM3 juta tersebut, kerajaan juga perlu membelanjakan RM9 juta untuk membayar perkhidmatan syarikat komunikasi Telekom.

    Jika betul kosnya setinggi itu, maka tidak mengapalah jika siaran langsung itu dihadkan sekadar 30 minit sahaja. Namun dengan syarat iaitu seperti mana juga teks perbahasan, rakaman video penuh persidangan tersebut boleh dimuat turun dari laman rasmi Parlimen, oleh sesiapa sahaja.

    Pada berita yang sama juga ada menyebut:
    Sebelum ini, kementerian berkenaan, dalam satu kenyataannya, berkata RTM membelanjakan RM1 juta untuk menempatkan tiga buah kamera di dewan parlimen untuk siaran langsung.

    Apa pasal mahal sangat daaa.. Letak 3 buah kamera di Parlimen pun boleh ambil kos RM1 juta? Kos pembikinan dan promosi filem Cicak Man memerlukan RM 2.5 juta sahaja kamu tahu. Lalu apa guna menghasilkan sebuah filem berkos tinggi dari Parlimen, jika tidak ramai orang boleh menontonnya?

    Eh ada tak saya sebut juga bahawa kos meletakkan arkib video perbahasan sejak dulu hingga sekarang, di laman web Parlimen Malaysia akan jadi tersangat rendah jika ia dibuat dalam format .torrent?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »