Kita ambil contoh di Malaysia. Sepanjang bulan Januari hingga Disember pada setiap tahun, panjang malam adalah lebih kurang 12 jam (iaitu dari pukul 7 malam hingga 7 pagi) dan panjang siang juga dalam lingkungan 12 jam (iaitu dari pukul 7 pagi hingga 7 malam). Fenomena ini turut dialami oleh negara-negara lain yang lokasinya terletak dalam cakupan garisan Khatulistiwa seperti Indonesia, Kenya, Somalia, Republik Congo, Brazil dan Maldives. Rujuk garisan merah (iaitu garisan Khatulistiwa) pada peta dunia di bawah ini:

Sekarang kita perhatikan Ireland yang letaknya agak berhampiran dengan Garisan Artik (Arctic Circle) di bahagian Hemisfera Utara. Pada musim sejuk, waktu malam terpanjang (dan siang terpendek) jatuh pada bulan Disember. Pada tarikh 15 Disember setiap tahun, waktu Subuh di Dublin, Ireland jatuh pada pukul 6.39 pagi, Syuruk pada pukul 8.33 pagi dan Maghrib pada pukul 4.09 petang. Ini bermakna pukul 8.30 pagi baru nampak matahari, dan pukul 4 petang matahari semakin menghilangkan diri = 16 jam 30 minit malam.
Oleh kerana agak susah bagi sesetengah orang untuk membayangkannya, maka untuk penerangan musim panas, saya sertakan gambarnya sekali. Pada musim panas, waktu siang terpanjang (dan malam terpendek) jatuh pada bulan Jun. Pada tarikh 15 Jun setiap tahun, waktu Subuh di sini jatuh pada 2.48 pagi, Syuruk pukul 4.54 pagi dan Maghrib pada pukul 9.58 malam. Jadi, pukul 5 pagi matahari sudah mula naik, dan pukul 10 malam baru matahari mahu pergi = 17 jam siang.


Jadi apa signifikannya penerangan saya tentang berapa lama malam dan siang di sini dengan tajuk entri pada kali ini? Jawapannya: Kerana pada musim panas, sindrom Subuh Gajah dan Subuh Ikan Paus sangat mudah berlaku kepada kami.
Subuh Gajah dan Ikan Paus
Istilah Subuh Gajah mungkin tidak termaktub dalam mana-mana kitab agama yang klasik mahupun kontemporari. Akan tetapi, kita semua tahu apa maksud Subuh Gajah; iaitu solat Subuh yang dilakukan oleh orang yang liat sangat nak bangun Subuh sampai waktu Subuh tamat. Jika waktu Syuruk tamat pada pukul 7 pagi, maka Subuh Gajah biasanya dikerjakan dalam lingkungan 1 jam selepas itu, iaitu di antara jam 7 - 8 pagi.Gajah adalah haiwan darat terbesar pada hari ini. Haiwan laut yang terbesar pula adalah ikan paus biru. Dan ikan paus biru pula lebih besar dari gajah. Oleh itu, Subuh Ikan Paus boleh didefinisikan sebagai solat Subuh yang dilakukan lebih dari 1 jam selepas waktu Subuh tamat. Jika Syuruk tamat pada pukul 7 pagi, maka Subuh Ikan Paus dikerjakan dalam jam 8 pagi ke atas. Apa pun ini cuma definisi yang bersifat satira semata-mata, maka sila jangan gunakan ia dalam mana-mana hukum fiqh.
Bangun pagi pada lingkungan jam 6-7 pagi adalah suatu perkara rutin yang dilakukan oleh majoriti manusia di dunia ini. Oleh kerana waktu Subuh di Malaysia (dan kawasan-kawasan lain yang berhampiran Khatulistiwa) jatuh dalam lingkungan waktu ini juga, maka sindrom Subuh Gajah dan Subuh Ikan Paus jarang-jarang berlaku kepada mereka. Masalah timbul apabila tibanya musim panas bagi kawasan-kawasan yang lokasinya sangat berhampiran dengan Garisan Artik dan Garisan Antartik. Saya lampirkan waktu solat lengkap di Dublin, Ireland pada 15 Jun setiap tahun (iaitu pada kemuncak musim panas):
- Subuh: 2.48 pagi
- Syuruk: 4.54 pagi
- Zuhur: 1.27 petang
- Asar: 5.54 petang
- Maghrib: 9.58 malam
- Isyak: 11.28 malam
Jika tidur selepas Isyak, paling awal terlelap mungkin pada pukul 12 malam. Untuk bangun pada lingkungan jam 3 -5 pagi untuk solat Subuh memerlukan keazaman dan kecekalan yang sangat tinggi. Apabila terlepas waktu Subuh, maka terjadilah sindrom Subuh Gajah (dikerjakan dalam 5-6 pagi) dan Subuh Ikan Paus Biru (dari 6 pagi dan ke atas). Jika tidur selepas Subuh, maka sindrom Subuh Gajah dan Subuh Ikan Paus dapat dielakkan.
Solat Berjemaah di Masjid
Pada musim panas, Masjid Dublin melakukan solat Subuh berjemaah pada pukul 4 pagi tepat. Di sini sebenarnya ada satu fatwa yang membenarkan umat Islam menjamakkan solat Maghrib dan Isyak (pada musim panas sahaja). Amalan ini dilakukan di pusat Islam merangkap masjid terbesar di Ireland, iaitu Masjid Clonskeagh. Malangnya, Masjid Dublin tidak pula mahu menggunapakai fatwa tersebut selalu. Maka solat jamak Maghrib dan Isyak pada musim panas hanya dilakukan apabila hari hujan sahaja.Saya sendiri tidak tahu mengapa Masjid Dublin tidak mahu melakukan jamak pada setiap hari seperti Masjid Clonskeagh. Padahal, fatwa itu sangat-sangat memberikan kemudahan kepada umat Islam; mereka boleh berehat dan tidur lebih awal selepas Maghrib untuk bangun Subuh pada keesokan pagi. Entahlah, mungkin mereka anggap akan jadi bidaah sesat jika dibuat selalu (NB: Masjid Dublin banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Wahhabi).
Oleh itu kalau mahu solat berjemaah Subuh pada pukul 4 pagi di masjid, kenalah terus tidur selepas solat Isyak berjemaah yang selesai kira-kira jam 11.30 malam. Bagi yang menunggu untuk tidur selepas Subuh untuk mengelakkan Subuh Gajah atau Subuh Ikan Paus, maka terlepaslah peluang untuk berjemaah di masjid. Bukan ramai yang sanggup untuk stay up sampai pukul 4 pagi semata-mata untuk tunggu solat berjemaah.
Saya pernah beberapa kali stay up hingga jam 4 pagi. Tetapi tak sanggup buat selalu memandangkan Tok Imam sering sangat baca surah yang panjang-panjang, ditambah lagi dengan tempoh sujud dan rukuk yang agak lama. Sejak Tok Imam mengimamkan solat Subuh pada jam 4 pagi selama kira-kira 20 minit (selalunya dalam 15 minit), saya nekad untuk tidur dahulu sebelum Subuh. Saya sendiri tidak faham mengapa Tok Imam tersebut mahu baca surah yang panjang-panjang belaka di kala Subuh musim panas. Bukankah itu agak membebankan jemaah?
Bersambung di bahagian 2...
-----
Fakta Sampingan
Bumi memiliki lima garisan latitud iaitu:- Garisan Artik (Arctic circle)
- Garisan Sartan (Tropic of Cancer)
- Garisan Khatulistiwa (Equator)
- Garisan Jadi (Tropic of Capricorn)
- Garisan Antartik (Antarctic circle)






