Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Teknologi Salah Tempat

    18 Januari 2009 • 41 Komen
    Saya naik hairan dengan seorang brader dalam satu slot ceramah motivasi yang pernah saya hadiri. Brader berumur awal 50-an itu membawakan sebuah cerita yang berlaku di sebuah masjid di negara kita.

    Katanya, sudah ada pak khatib yang beri khutbah dengan membaca teks daripada laptop. Kisah ini dihikayatkan kepada kami untuk membuktikan bahawa Islam semakin tekno, maju dan mengikut peredaran zaman di Malaysia.

    Para hadirin ramai yang kelihatan teruja; mereka yang lebih naif ada yang sehingga ternganga mulutnya. Saya pula tidak teruja kerana kisah brader tersebut adalah satu contoh paling sengal bagi menggambarkan kemajuan.

    Dalam hati saya berdoa agar pak khatib berkenaan faham apa tujuan mesin cetak dicipta. Malah, mana yang lebih ringkas dan fleksibel? Mengusung laptop atau pun membawa beberapa helaian kertas ke atas mimbar? Jika ada satu dua isi teks yang mahu dibuang atau ditokok beberapa minit sebelum khutbah berlangsung, yang mana satu lebih mudah diedit?

    Setiap teknologi ada tempatnya yang tersendiri. Mengaplikasikan teknologi pada tempat yang salah boleh menyebabkan kita kelihatan poyo dan kuno; silap haribulan ia juga boleh merumitkan keadaan.

    Beberapa bulan lalu ada sebuah majlis besar di Kuala Lumpur yang menghimpunkan para geek di Malaysia. Setiap hadirin yang tiba perlu mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran yang semestinya dijaga oleh geek juga. Menurut kawan saya yang berada di sana, proses pendaftaran ini telah dirumitkan dan dilambatkan dengan teknologi laptop dan Google Docs.

    Oh kamu, mengapa tidak mengambil butiran hadirin dengan menggunakan pen dan kertas terlebih dahulu? Bukankah itu lebih mudah dan pantas?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sesuatu Tentang Fanatik

    05 Januari 2009 • 19 Komen

    1. Fanatik sebenarnya wujud dalam setiap aspek kehidupan

    Tragedi perpecahan manusia yang dicetuskan oleh fanatik bukan sekadar berlaku dalam ruang lingkup politik, agama dan ideologi semata-mata; bahkan turut merangkumi hal-hal yang agak trivia seperti:
    1. Sukan (Bergaduh dan berbunuhan kerana bola sepak);
    2. Komputer (Windows vs Mac vs Linux [1])
    3. Konsol (Xbox 360 vs PlayStation 3 vs Nintendo Wii)
    4. Hiburan (Peminat fanatik Mawi yang berhempas-pulas mempertahankannya daripada serangan pembenci fanatik Mawi)

    Gambar kartun PC vs Mac vs LinuxKomik parodi kepada iklan Apple, Mac vs PC.

    Perhati dan amati setiap inci isu yang berpusing di sekeliling; lalu kita akan mendapati bahawa kesemuanya dijangkiti oleh elemen fanatisme. Masing-masing mahu memenangkan apa yang diri sendiri suka dan cinta. Cuma apabila sifat fanatik ini dizahirkan dalam konteks politik, agama atau ideologi, maka kesannya lebih ketara dan mudah untuk kita nampak. Mengapa?

    Pertama, kerana ia melibatkan jumlah manusia yang lebih besar. Untuk fanatik berlaku, maka wajib ada sekurang-kurangnya 2 manusia yang saling tidak bersetuju di antara satu sama lain. Lebih ramai manusia yang bertelingkah, maka lebih kuat gelombang fanatik itu.

    Kedua, kerana politik, ideologi dan agama adalah berkaitan dengan kekuasaan; dan secara fitrah, manusia cinta kepada kuasa. Kekuasaan pula akan sering membawa penindasan terhadap individu atau kumpulan yang tidak sekapal kepalanya.

    Hakikat ini wajib difahami agar kita menyedari bahawa fanatik ada di mana-mana. Adalah sesuatu yang ironi apabila anda memperlekehkan agama, ideologi dan medan politik sebagai lubuk insan fanatik, namun dalam masa yang sama anda sanggup memarahi sesiapa sahaja yang mengusik artis idola anda [2].

    Ada jelas?


    2. Tidak kira anda di pihak yang betul atau salah, anda tetap akan ada penyokong fanatik

    Mari kita lihat dalam konteks Anwar Ibrahim vs Mahathir. Para penyokong fanatik Anwar Ibrahim menafikan segala tuduhan buruk yang dilemparkan oleh Mahathir. Para penyokong fanatik Mahathir pula memang sudah beriman kepada dakwaannya bahawa Anwar adalah seorang kaki liwat dan agen Amerika.

    Segala macam dakwaan dan pembelaan ini membuatkan golongan atas pagar sukar membuat keputusan. Mustahil untuk kedua-duanya berdiri di atas jalan yang benar. Salah seorang pasti berbohong untuk menyelamatkan batang leher sendiri.

    Namun apa yang ajaibnya, tidak kira siapa pun yang sebenarnya bersalah di mata pengadilan, mereka pasti akan ada penyokong setia lagi fanatik yang sanggup bermandi darah demi mempertahankan manusia yang dipujanya.

    Semua orang tahu betapa kejamnya Adolf Hitler. Beliau bertanggungjawab dalam tragedi Holocaust yang telah mengorbankan berjuta-juta orang Yahudi ketika era Perang Dunia Kedua. Namun beliau tetap mempunyai pengikut setia terutamanya daripada ahli Parti Nazi. Radovan Karadzic, seorang lagi penjenayah perang dan pernah menjadi antara manusia paling dikehendaki di dunia ini, telah membunuh begitu ramai umat Islam ketika Perang Bosnia 1992-1995. Namun masih ada juga yang menyokongnya sehingga ke hari ini.

    Walau sekejam mana dua manusia ini, hatta sesiapa pun pemimpin zalim yang bakal lahir di masa hadapan, alam akan memperlihatkan kepada kita bahawa mereka akan tetap disokongi oleh sekumpulan manusia yang fanatik. Mengapakah ini boleh berlaku?

    Ini kerana zalim itu relatif: Zalim di mata anda, tidak semestinya zalim di mata orang lain. Bahkan fanatik itu seperti cinta sifatnya; ia buta. Cinta bermaksud kentut busuk yang dilepaskan oleh kekasih tetap didakwa wangi. Fanatisme pula bermaksud yang salah tetap didakwa sebagai betul.

    Ada jelas?


    P.S. Nantikan kesinambungan entri ini yang bertajuk Agama dan Fanatik.
    ---

    Nota Kaki

    ^[1] Bahkan di kalangan pengguna fanatik Linux sendiri, mereka juga mampu berpecah-belah. Contoh yang jelas: GNOME vs KDE. Oh, jika anda bertanya yang mana satu saya cenderung, maka saya lebih fanatik kepada GNOME yang bersifat minimalis itu. Hidup GNOME!


    ^[2] Pada sekitar tahun 1999 dan 2000, saya pernah beberapa kali memperlekehkan si Tomok dari kumpulan New Boys di hadapan para peminat setianya, yang rata-rata terdiri daripada para gadis yang masih berada di bangku sekolah menengah. Semenjak ada di antara mereka yang mengajukan buku lima ke arah saya, taubat saya tak akan kritik lagi suara Tomok yang sengau itu.

    Namun setiap kali saya melihat para peminatnya yang menjerit dan meraung-raung apabila Tomok beraksi (walaupun dia sekadar miming), saya mula memikirkan kembali kewajaran taubat saya itu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »