Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Makan Nasi

    12 November 2007 • 11 Komen
    Saya membaca berita ini, lalu akhirnya hari ini saya telah berjaya menyedekahkan 500 butir beras, di samping boleh melakukan sedikit santai minda. Dalam masa yang sama, saya semakin mengukuhkan lagi kosa kata Bahasa Inggeris saya.

    Anda cuba sendiri. 1 perkataan yang betul = 10 butir beras:

    FreeRice Website. Click to go.Klik gambar untuk melawat laman web FreeRice.


    Lalu saya berfikir berapa banyaklah sangat perut yang boleh diisi dengan 500 butir beras. Segenggam beras rasanya ada beribu-ribu butir beras.

    Ketika saya berkerja part-time di restoran tandoori Pakcik Yusuf, rasanya ada berbilion-bilion butir beras (nasi) yang saya buang ke dalam tong sampah tiap-tiap hari. Butir-butir nasi ini dihasilkan oleh para pelanggan yang makan nasi tak habis. Macam budak-budak!

    Bila saya kata mereka macam budak-budak, maka saya rasa macam budak-budak juga. Kadang-kadang saya juga makan nasi tak habis sampai licin.

    Kalau saya tahu di dunia ini ada sekurang-kurangnya 15 juta kanak-kanak yang mati setiap tahun sebab tak cukup makan (dan jika anda mengambil masa selama 5 minit untuk membaca entri ini, maka kira-kira 143 orang kanak-kanak sudah pun mati), maka sumpah saya tak akan melawan cakap mak saya, di waktu saya kecil, bila dia cakap pada saya: "Adik ni... Ini yang mak marah bila adik makan nasi tak habis ni!! Menangis nasi ni tau!"

    "Tipu la tu nasi menangis", jawab saya waktu itu.

    Sekarang apabila saya sudah besar, barulah saya sedar bahawa nasi itu juga adalah makhluk Allah. Mungkin nasi yang dibuang itu sebenarnya menangis, kerana kita tidak tahu menghargainya. Siapa tahu kalau nasi itu benar-benar menangis? Tiada dalil yang mengatakan nasi tidak menangis jika dibazirkan. Dan tiada juga dalil yang mengatakan nasi menangis jika kita buang begitu sahaja.

    Kemungkinan tetap ada. Sedangkan dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, terdapat satu kisah yang mana ketika Rasulullah sallahu alayhi wasalam sedang memberikan khutbah di atas mimbar, mimbar itu menangis kerana mendengarkan ayat-ayat Allah dibacakan oleh Rasulullah. Bunyi tangisan mimbar itu begitu kuat, sehingga seakan-akan mimbar itu mahu pecah. Sampailah Rasulullah terpaksa turun dari mimbar itu dan kemudian merangkulnya bagi menenangkan mimbar tersebut.

    Pernah juga saya baca satu kisah yang mana ada gunung yang menangis ketakutan setelah Allah menurunkan ayat yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta keluargamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu.... (Surah at-Tahrim, ayat 6)"

    Gunung itu menangis kerana takut-takut kalau dia (gunung) akan menjadi batu-batu yang membakar golongan orang-orang berdosa di Akhirat nanti.

    Maka, sila marah saya jika anda nampak saya makan nasi tak habis. Lagipun, ini salah satu langkah pertama saya dan anda untuk mengamalkan Islam mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah yang paling sahih, berlandaskan manhaj dan kefahaman Salafus Soleh yang sebenar-benarnya*. Golongan Salafus Soleh tak membazir makanan!


    -----
    *Ayat ini bersifat parody, bergantung kepada siapa yang sedang membacanya. Abaikan jika rasa tidak faham. Tetapi, ada orang akan faham :)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Tajdid Untuk Si Dungu

    09 November 2007 • 12 Komen
    Saya ingat saya sudah 'mati' dek kerana ketiadaan talian internet di rumah selama hampir sebulan. Seorang blogger tanpa internet adalah ibarat seorang samurai tanpa katana, atau seperti seorang nelayan tanpa sampannya; tidak boleh buat apa-apa.

    Sekarang internet sudah ada. Maka saya melakukan beberapa kemaskini yang patut saya lakukan. Salah satunya di blog Pro Tajdid dengan meletakkan artikel Kemelut Umat Islam: Antara TAJDID dan TAFSID yang ditulis oleh Raja Ahmad Mukhlis.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pula siri-siri buku For Dummies semakin membanjiri rak-rak buku di pasaran global, maka saya ingin juga menggunakan isitilah For Dummies ini. Segala macam topik ada tersedia untuk dummies semua. Tetapi topik tajdid masih tidak ada.

    Oleh itu saya memberikan nama timangan kepada artikel yang ditulis oleh Raja Ahmad Mukhlis sebagai Tajdid for Dummies (Tajdid untuk Si Dungu).

    Antara sebab-sebab utama saya memberikan nama tersebut adalah kerana:

    • Artikel itu ditulis dalam bahasa yang mudah - sesuai untuk para dungu di luar sana;
    • Ia menjelaskan bagaimana puak Wahhabi hari ini telah memutarbelitkan istilah tajdid. Maka anda akan mendapat jawapan mengapa ada kempen tajdid yang berbeza-beza;
    • Ia turut menjelaskan mengapa kempen 'tajdid' yang dilaung-laungkan oleh puak Wahhabi sebenarnya adalah satu ancaman kepada kesatuan umat Islam global (saya ulangi, global, dan bukan semata-mata di Malaysia sahaja).

    Jika anda mahu Tajdid for Dummies: For Advanced Readers, silalah membaca artikel Saya Juga Salafi Seperti Anda! yang dikarang oleh Ustaz Muhammad Fauzi. Saya tambahkan "For Advanced Readers" kerana ia mengandungi banyak jargon (istilah teknikal).

    Berbalik kepada artikel yang ditulis oleh Raja Ahmad Mukhlis, saya ingin memetik perenggan ini:
    Apa yang jelas bagi mereka takkala mereka melakukan sedemikian ialah, mereka menganggap hanya mazhab mereka sahaja yang sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan menepati kehendak dan kefahaman nash-nash yang ada, sedangkan mazhab-mazhab yang lain tidak benar. Ini membawa kepada usaha menyerang ijtihad-ijtihad yang tidak sehaluan dengan mereka, dalam usaha memertabatkan mazhab mereka.

    Kenapa saya petik perenggan tersebut? Kerana ia sudah menjelaskan 80% apa itu fahaman Wahhabi. Dari 80% inilah yang banyak menimbulkan kecelaruan, kekeliruan dan agenda sesat-menyesat sesama saudara seIslam.

    Kenalan Dari Perancis

    Arakian tersebutlah seorang kawan kepada kawan saya yang datang mengunjungi Dublin baru-baru ini. Dia belajar di Perancis, berbangsa Melayu. Walaupun baru pertama kali berjumpa dan berkenalan, tetapi oleh kerana sifatnya yang ramah, maka agak mudah untuk berbual dengannya tanpa ada sebarang rasa janggal.

    Borak punya borak, termasuklah juga isu Wahhabi ini. Dia menceritakan bahawa penangan Wahhabi di Perancis agak teruk juga. Agak gerun juga saya mendengarnya. Kisah-kisah yang diceritakan olehnya tidak pernah pula saya jumpai di sini. Katanya, hingga ada satu kumpulan Wahhabi yang tidak mahu bersolat di belakang seorang Imam A, dengan alasan bahawa akidah imam tersebut sudah korup (sudah saya bilang dahulu bahawa perbezaan utama di antara Wahhabi dan Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah dari segi akidah).

    Pada bab yang lain pula, kenalan Perancis saya itu menceritakan lagi bagaimana ada satu pasangan suami isteri yang bercerai-berai disebabkan fahaman Wahhabi ini. Suami isteri ini pada mulanya bukan Islam. Mereka mula berjinak-jinak dengan Islam dan kemudian mendapat hidayah melalui dakwah yang dilakukan oleh jemaah tabligh. Alhamdulillah.

    Malangnya, lama-kelamaan sang suami telah dibasuh otaknya dengan fahaman Wahhabi yang kononnya mengaku sebagai the most 'al-Quranest' and the most 'Sunnahnest' followers. Sang suami semakin berubah dan sang isteri pula semakin merasai kehangatan perubahan yang tidak diundang tersebut.

    Hinggalah sampai satu tahap, sang suami mengajak isterinya melakukan upacara akad nikah kerana dia sudah mula meragui akidah dan tahap keilmuan imam yang mengatakan bahawa perkahwinan mereka yang berlaku sebelum Islam tetap sah kerana masing-masing; suami dan isteri, telah memeluk Islam. Dengan kata lain, kontrak perkahwinan mereka tidak perlu pun diperbaharui sebenarnya.

    Isterinya tidak mahu kerana dia yakin dengan imam tersebut. Lalu tiada kata persetujuan dapat dicapai, maka akhirnya berlakulah konflik dan tragedi yang membawa kepada jalan penceraian.

    Satu masjid telah musnah..

    Fokus Sudah Berbeza

    Jadi, ada di antara anda yang bertanya sejauh mana blog ini akan membincangkan mazhab, Wahhabisma, dan sebagainya? Oleh kerana saya ingin menjadikan blog ini lebih fokus, maka saya membuat keputusan untuk mengurangkan entri-entri berkaitan isu tersebut.

    Kalau pun jika saya menulis entri-entri yang berkenaan, maka saya akan menyentuhnya dari sudut yang sedikit berbeza, yang boleh membawa kepada sesuatu yang lebih produktif, seperti "Bagaimana Mazhab Memudahkan Hidup Saya", dan bukan seperti "Hadith Najad: Satu Analisa".

    Anda mahu tahu bagaimana mazhab memudahkan hidup saya? Tunggu-tunggu sahajalah artikelnya. Atau jika anda mahu dan anda pula adalah jenis tech-savvy, maka anda fahami Prinsip Pareto, DRY, dan KISS terlebih dahulu. Ketiga-tiga prinsip ini banyak digunapakai dalam penghasilan software dan hardware bermutu tinggi yang mampu berfungsi pada kadar paling optimum dengan kos yang paling minumum.

    Cuba kaitkan ketiga-tiga prinsip ini dalam mazhab, dan anda akan tahu bahawa hidup anda selaku umat Islam sebenarnya akan menjadi lebih mudah dan produktif dengan mengikuti salah satu mazhab muktabar, dan akan menjadi sukar dan rumit apabila golongan anti-mazhab menceroboh minda anda tanpa salam!

    Kita tutup kisah Wahhabi. Ini blog cermin diri, motivasi dan produktiviti!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Langgan Blog Hembusan

    19 Oktober 2007 • 0 Komen
    Sebagai sebuah blog yang tidak selalu update, maka saya menggalakkan anda melanggan blog ini. Ada 2 cara. Pertama, melalui e-mel. Kedua secara RSS. Pilih mana-mana yang anda faham.

    Kebaikan melanggan blog ini (dan juga mana-mana blog/laman lain yang selalu anda lawati) adalah supaya anda tidak perlu buka blog ini selalu untuk mengetahui sudah ada artikel baru atau pun tidak. Jadi anda tidak buang masa.

    Langgan blog ini secara:
    1. E-mel;
    2. RSS melalui Google Reader (paling digalakkan);
    3. RSS melalui Feed Reader yang lain.

    Kepada yang sudah melanggan secara e-mel, pastikan anda verify e-mel yang diterima. Jika tidak, anda tidak akan mendapat notifikasi apabila artikel baru sudah diposkan di blog ini.

    Beberapa orang yang masih tidak verify subscription lagi...


    InsyaAllah entri berikutnya akan bertajuk La Tahzan #4 - Berfikir Seperti Musafir La Tahzan #4 - Belajar 4 Rahsia Kanak-Kanak. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin. Terima kasih juga kepada para pembaca yang sentiasa melawat dan memberikan komen-komen bernas di sini.

    Viva la Islam!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »