Begini al-kisahnya..
Saya tidak tahu apa penyakit setiap batang berus gigi yang saya beli sejak akhir-akhir ini. Colgate, Jordan, Pesona, Oral-B, dan entah bermacam jenama lagi; dari jenis Hard, Medium, Soft, Extra Soft: semuanya macam tidak semenggah kualitinya.
Tidak sampai sebulan, susuk berusnya sudah terburai-burai. Padahal di setiap kotak berus gigi yang dibeli, saya digula-gulakan dengan mesej yang mendakwa bahawa "Pakar pergigian menyarankan agar berus gigi ditukar setiap 3 bulan sekali".
Namun sila lihat gambar berus gigi Colgate Soft yang baru sahaja saya pakai buat kali pertama pada 9 hari lepas. Saya ulangi: 9 hari lepas.
Fakta tentang berus gigi di atas:
- Digunakan 2 kali sehari sahaja: Pagi masa bangun dan malam sebelum tidur. Kalau 9 hari, bermaksud ada 18 kali berusan. Selalunya saya gosok gigi paling kurang 3 kali sehari. Namun untuk tujuan eksperimentasi dan entri ini, ia dihadkan kepada 2 kali sahaja.
- Ia digunakan untuk berus gigi sahaja. Lidah, gusi, lelangit dan anak tekak tidak termasuk.
- Purata masa menggosok adalah 2 minit dan tekanan pada berus gigi tidak melebihi daripada apa yang disarankan, iaitu sekitar sebiji oren seberat 150 gram.
- Saya tidak memakai braces.
Namun lihat, tidak sempat mencapai usianya 3 bulan, nampaknya berus gigi ini sudah wajib diganti. Mujur saya tak beli, tapi diberi oleh doktor gigi ketika saya membuat pemeriksaan tempoh hari.
Saya mendapati rata-rata berus gigi hari ini, sebenarnya sudah perlu diganti selepas sebulan. Kalau jenis Hard, mungkin tahan lama sedikit. Tapi kalau jenis Soft, selalunya tempoh hayat dalam 3 minggu sahaja. Kalau terus guna juga, nanti adalah tahi gigi yang terlekat di celah-celah gusi.
Walaupun saya memahami bahawa semua produk zaman moden akan tertakluk kepada "Konsep keusangan" (Obsolescence) untuk memastikan ia boleh dihasilkan dalam skala besar-besaran (lalu membuatkan harganya murah), namun kalau tidak sampai 2 minggu berus gigi yang dibeli sudah jadi "usang", ini tidak boleh jadi.
Maka saya ingin bertanya kalau-kalau ada yang tahu, berus gigi apa yang bagus di pasaran?
---
P.S. Teringat perbualan tempoh hari dengan seorang rakan. Butirannya tentang sumber tenaga. Dia kata, satu hari nanti saintis akan mencipta sebiji bateri yang boleh bertahan sampai bila-bila. Saya jawab, "Sebenarnya kalau nak cipta tu, sekarang pun dah boleh. Tapi kalau kau adalah pengusaha kilang bateri, macam mana nak untung kalau orang beli bateri kau sekali sahaja, dan lepas tu tak beli-beli lagi? Maksudnya, teknologi bateri yang "lebih hijau" ini tidak akan dapat sambutan daripada industri itu sendiri."
Dimakan mati emak, diluah mati ayah. Inilah hukum ekonomi yang memastikan produk zaman moden menjadi sesuatu yang mampu dimiliki oleh hampir kesemua manusia. Tapi dalam masa yang sama, jangan mimpilah juga kira-kira 80 tahun yang mendatang, akan terbit satu kisah tentang vacuum yang dibeli oleh Lebai Kassim di tahun 2010, masih gagah beroperasi serupa macam yang Pak Bill beli pada tahun 1929. ¶ Teruskan membaca entri ini »