Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label standing instruction. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label standing instruction. Papar semua catatan

    Tragedi Kecewanya Pemungut Derma di Satu Maghrib yang Bergerimis

    14 Januari 2011 • 29 Komen
    Hari ini Maghrib di Shah Alam jatuh pada pukul 7:23 malam. Sesudah solat di surau, terus sahaja angkat punggung sebab gerimis di luar macam makin melebat. Saya sekadar merempit ke surau, jadi tak mahu terkandas dek hujan. Lagi-lagi, perut pun sedang berdondang minta diisi. Namun perlu singgah di stesen minyak terlebih dahulu kerana motor saya ini kelihatan lebih darurat laparnya.

    Selesai mengepam, saya didekati oleh seorang remaja perempuan berkurung merah gelap. Umurnya sekitar 14-15 tahun. Wajahnya kelihatan penat, berminyak-minyak seperti selepas berjalan di bawah terik tengahari yang tidak berawan.

    Katanya, "Abang, derma untuk pusat tahfiz bang?"

    Sebenarnya memang selalu sahaja ada orang yang meminta sedekah/derma di stesen minyak ini seputar Asar ke Maghrib. Saya menjawab, "Adik ni dah Maghrib ke belum?"

    "Sudah", jawabnya ringkas. Kemudian dia merayu lagi supaya ditunaikan hajatnya sambil tangannya menggerak-gerakkan sebuku resit derma. Ayat dan lenggok rayuannya ini tetap sama seperti tadi; seolah-olah di hadapan matanya ada skrip yang perlu dipatuhi.

    Naik pelik saya bila dia menjawab sudah selesai solat Mahgrib. Saya keluar surau (antara orang terawal) dalam jam 7:33 malam. Jarak dari surau tersebut dengan stesen minyak ini pun dalam 3 minit kalau merempit. Saya sampai-sampai, budak ini sudah terconggok di situ. Jadi di mana dia bersolat? Stesen minyak ini pun bukannya ada surau. Bahkan tidak logik muka seseorang itu nampak berminyak sesudah berwudhuk dan bersolat.

    Saya ini bukanlah jenis manusia yang mudah nak percaya dengan peminta derma/sedekah jalanan. Jadi bila ditambah dengan sikap mereka yang cuba bergebang dusta, lagi malaslah saya nak beri.

    Lalu saya tinggalkan sahaja budak perempuan ini tanpa memberi apa-apa. Dalam hati, tertanya-tanya siapalah yang mengerahkan tenaga budak bawah umur ini bagi mengutip derma untuk "Pusat Tahfiz" yang entah wujud, entah tidak itu.

    Bukankah selayaknya budak ini duduk di rumah membaca buku, atau sekurang-kurangnya bermain Facebook dalam bilik?
    ---

    P.S. Satu-satunya jenis peminta derma jalanan yang saya percaya adalah mereka yang tidak meminta duit, sebaliknya merayu kita agar melakukan derma secara Standing Instruction (SI). Konsep menderma seperti ini popular di negara-negara Barat. Tapi di negara kita masih susah nak diamalkan sebab nak buat benda ni pun, mula-mula sudah kena bayar stem duti RM10. Contoh dari Bank Islam:


    Kebaikan menderma secara SI adalah:
    1. Pemungut derma jalanan susah nak menipu sebab kalau pertubuhan itu tidak sah atau tidak wujud, maka mana mungkin SI dilakukan.
    2. Derma yang berterusan akan dapat disalurkan secara berkala seperti RM10/sebulan atau RM50/tahun.
    Tapi apapun, saya masih tak pernah lagi jumpa orang yang minta derma cara begini di Malaysia. Dahulu semasa di Ireland, sampai naik muak saya mengelaknya!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »