Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Maksud Negara Berpendapatan Tinggi?

    08 Januari 2011 • 16 Komen
    Dari Meja Twitter...

    Bila Kadar Nisab Semasa dah naik lebih 300% sejak 2001, ini tanda kos sara hidup di negara kita adalah sangat mendesak. http://goo.gl/VzrH8


    Kadar nisab tahunan bagi Selangor. Kadar ini berbeza mengikut negeri.


    paracletos7: "@tawel Adakah ia bermaksud nilai ringgit semakin susut?"


    tawel: "Tak semestinya bro. Kadar nisab semasa = Harga emas semasa 85 gm. Jadi katakan dalam kes zakat simpanan 2010 (Selangor), dalam setahun tu mesti ada baki terendah paling kurang RM9000, barulah kena zakat. Tapi bagi 2001, kena ada sekurang-kurangnya RM 2826.30, barulah kena zakat simpanan.

    Nilai duitnya berbeza, tapi nilai emasnya tetap sama (iaitu 85 gm). Harga emas turun dan naik dan benda ni bergantung kepada "supply & demand" di pasaran spekulatif.

    Tapi apapun, kalau ringgit menyusut, lagi banyaklah duit yang diperlukan untuk membeli per gram emas (padahal kenaikan GDP rakyat tak setara dengan kenaikan harga emas). Kekayaan dalam Islam diukur dengan emas, bukan dengan wang kertas. "Threshold" kekayaan ini akan berlegar pada angka 85 gram emas (bersamaan RM9000 pada 2010, dan mungkin bersamaan RM20000 pada 2020).

    Oleh yang demikian (pusing bab lain kejap), walaupun kerajaan Najib Razak menyasarkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, ini sebenarnya akan jadi tak relevan jika angka rakyatnya yang dapat menyimpan kekayaan sekurang-kurangnya 85 gram emas tidaklah seramai mana."
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Membazir Ikut Kemampuan

    29 Disember 2010 • 20 Komen
    Bila diri sendiri tiadalah sekaya mana, amat mudah untuk membuat tanggapan bahawa majoriti perbelanjaan yang dilakukan oleh mereka yang lebih berada daripada kita sebagai sesuatu yang membazir.

    Contoh: "Kenapalah Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa membuang beratus-ratus ribu RM untuk majlis perkahwinan mereka? Perlu ke nak buat mewah ala kayangan di KLCC? Kan lebih baik dibuat sedekah untuk anak yatim dan orang susah?”

    Cara berfikir seperti ini sering membuatkan kita alpa bahawa sebenarnya ada lagi insan yang jauh lebih susah dari kita. Tetapi hakikat ini sering dilupakan kerana lumrah manusia adalah memandang dan memuja langit; jarang-jarang mahu peduli pada tanah berpijaknya kaki. (Ini mungkin menjadi sebab mengapa ada sekian banyak puisi, sajak dan lirik lagu yang menyentuh tentang keindahan langit berbanding kebaktian tanah).

    Siti Nurhaliza dikatakan sebagai artis terkaya di Malaysia. Pada 2008, asetnya pernah dianggarkan sekitar RM50 juta (namun dinafikannya). Kalau pun ia sekadar RM25 juta sahaja, dan katakan juga RM1 juta telah pun digunakan untuk majlis perkahwinannya itu, maka ada lagi baki RM24 juta. Ini satu nilai yang masih lagi besar. Tidak dinafikan perkahwinan tersebut adalah satu pembaziran berskala terlampau, namun ia tidak menganggu kedudukan kewangannya.

    Sekarang bandingkan pula dengan perkahwinan orang yang "biasa-biasa". Gaji si lelaki sekadar RM1,500. Zaman kini duit hantaran paling sedikit dalam RM6,000 (4 kali gaji bulanan); bila dicampur perbelanjaan lain, paling kurang boleh mencecah dalam RM10,000 jika keluarga perempuan tidak terlalu 'demand'.

    Nah, tiba-tiba bakal sang pengantin mahu majlis itu lebih gah lagi meriah: Ditempahnya servis karaoke; set-set baju gantian untuk sesi fotografi; kad perkahwinan RM2 sekeping; barang-barang hantaran pula disyaratkan terdiri daripada yang berjenama dan bukan Made in China; cenderamata untuk tetamu mestilah bukan taraf koman setakat bunga telur; dan macam-macam lagi benda lain yang tidak berapa perlu sebenarnya.

    Akhirnya kos perkahwinan mencanak ke angka RM18,000. Bermaksud, telah berlaku pembaziran sebanyak RM8,000 di sini. Walaupun tidak sedahsyat pembaziran Siti, namun ini pun membazir juga. Bahkan ia boleh mensabotaj kewangan kita sendiri yang mungkin memakan masa yang lama untuk pulih.


    Banyak atau Sedikit, Namanya tetap Pembaziran

    "Kaya" itu subjektif lagi relatif. Segala apa yang kita belanjakan mungkin dipandang sebagai membazir oleh mereka yang kurang kaya dari kita (padahal kita tidaklah "sekaya" mana pun). Hakikatnya walau gaji setakat RM2,500 sebulan, namun ia adalah lebih kaya, lebih mewah dan lebih bangsawan daripada mereka yang bergaji sekitar RM1,000.

    RM2,500 memang kecil di zaman harga makanan dan barang keperluan naik mencanak-canak. Namun dalam situasi di mana 40% rakyat Malaysia bergaji bulanan kurang dari RM1,500 sebulan, maka gaya hidup si polan bergaji RM2,500 yang kekadang pekena mocha dan muffin coklat di StarBucks pada pagi minggu; dan juga makan sekeluarga di Pizza Hut sebulan sekali, mungkin dianggap sebagai sangat membazir oleh seorang Pak Jaga beristeri satu dan lima anaknya, yang gajinya sekadar RM1,200 termasuk OT (manakala sewa rumahnya pula RM400 sebulan).

    Ketahuilah bahawa sebenarnya sama ada gaji sekadar RM1,000 atau RM10,000, kita semua berpotensi untuk menjadi seorang pembazir. Orang berada, bila melabuhkan kepalanya di bantal, mungkin akan menganyam mimpi untuk memiliki Ferrari walau di halaman rumahnya sudah pun dihinggap oleh BMW 3 series. Yang gajinya sekadar RM1,000 pula, ligat berazam untuk mengumpul dana dari gaji bulanan demi menceraikan Kancil dan lantas menikahi Inspira.

    Inilah yang dimaksudkan dengan membazir mengikut kemampuan. Akhirnya, "orang kaya" dan "orang tak kaya", masing-masing enggan bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.
    ---

    Pesanan berkaitan: Anda ini gila sekiranya azam Tahun 2011 adalah membeli sebuah telefon bimbit yang harganya melebihi gaji sebulan. Contohnya jika gaji sekadar RM1,500, tak perlulah menabung RM300/bulan selama 7 bulan semata-mata untuk membeli iPhone 4!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    2 Jenis Cermin

    23 Oktober 2010 • 27 Komen
    Dua orang ahli bomba masuk ke dalam hutan untuk memadamkan satu kebakaran kecil. Sesudah selesai, mereka berdua lantas menuju ke arah sebuah sungai.

    Wajah salah seorangnya telah dilumuri abu hitam; sebaliknya wajah seorang lagi adalah bersih sama sekali tanpa sebarang noda.

    Soalan: Ahli bomba manakah yang akan membasuh muka?

    Mengapa Cermin Dicipta?

    Sebab utama cermin dicipta adalah untuk melihat kalau-kalau ada yang tidak kena pada penampilan diri. Adakah rambut kita tersisir rapi? Adakah tudung yang dipakai itu senget? Adakah jambang yang dicukur itu kemas lagi licin? Adakah celak dan gincu yang ditempek itu herot? Atau masih adakah saki-baki air liur basi yang terlekat di pipi?

    Dengan kata lain, kita melihat cermin untuk memastikan kesempurnaan fizikal diri. Kata kunci di sini ialah "memastikan kesempurnaan". Ini bermaksud, melihat cermin dengan tujuan untuk "syok sendiri akan kesempurnaan" diri adalah sangat terpesong daripada tujuan asal mengapa cermin dicipta.

    Berbalik kepada soalan di awal-awal tadi, siapakah yang akan membasuh muka? Yang berwajah kotor atau pun yang berwajah bersih? Jawapan yang betul adalah si ahli bomba yang berwajah bersih. Mungkin jawapan ini agak mengelirukan. Mengapa pula yang si berwajah kotor tidak membasuh mukanya?

    Begini: Apabila yang berwajah kotor itu melihat rakannya yang berwajah bersih, maka dia pun berpendapat bahawa wajahnya pasti lah bersih seperti rakannya. Namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada yang berwajah bersih. Apabila dia melihat kekotoran pada wajah rakannya itu, maka dia pun berkata kepada diri sendiri: "Muka aku pun mesti kotor juga macam dia. Baik aku basuh." [1]

    Cermin yang betul dan Cermin yang salah

    Cermin yang betul, apabila memandangnya, kita mampu menginsafi akan kelemahan diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah bersih melihat wajah kawannya yang kotor itu.

    Jika kita ada seorang kawan yang baik sifatnya, maka mereka adalah cermin untuk menilai apa yang masih kurang pada diri. Jika kawan itu kurang baik pula sifatnya, ia tetap boleh menjadi cermin bagi mengingatkan adakah kita juga begitu sebenarnya?

    Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu muhasabah diri.

    Cermin yang salah pula, apabila memandangnya, kita semakin berbangga akan kesempurnaan palsu pada diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah kotor melihat wajah kawannya yang bersih itu.

    Dalam kes ini, kawan di sekeliling dijadikan cermin untuk melihat betapa sempurnanya diri kita jika dibandingkan dengan mereka. Pada akhirnya, cermin yang salah ini dijadikan justifikasi untuk kita kekal di takuk lama. Kata kita kepada diri sendiri, "Aku ni kira baguslah. Kalau nak dibandingkan dengan si polan yang duduk seberang jalan, lagi macam setan dia tu!"

    Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu syok sendiri akan kesempurnaan diri.
    ---

    Nota Kaki

    [1] Sebenarnya soalan ini berasal daripada novel The Zahir oleh Paulo Coelho. Ini petikannya:
    Marie, let's suppose that two firemen go into a forest to put out a small fire. Afterwards, when they emerge and go over to a stream, the face of one is all smeared with black, while the other man's face is completely clean. My question is this: Which of the two will wash his face?'

    'That's a silly question. The one with the dirty face of course.'

    'No. The one with the dirty face will look at the other man and assume that he looks like him. And, vice versa, the man with the clean face will see his colleague's grime and say to himself: I must be dirty, too. I'd better have a wash.'
    ¶ Teruskan membaca entri ini »