Sepanjang bulan lalu, saya melihat budak pengemis yang sama itu sebanyak dua kali di lokasi yang berbeza. Pertama kali rasanya dalam minggu pertama bulan puasa di bazaar Ramadhan Seksyen 17 Shah Alam. Kali kedua, pada 29 Ramadhan di Seksyen 27 (Alam Megah).
Saya tidak tahu apa kecacatan sebenarnya. Sepanjang masa dia duduk. Untuk bergerak, dia mengengsot-engsot kakinya yang tidak berselipar itu. Wajahnya comot dan bajunya lusuh. Jika tiada langsung terbit rasa kasihan, memang hati kita sudah keras membatu. Maka, keadaan sedemikian membuatkan orang ramai tidak putus-putus memberikan wang kepadanya.
Bayangkan, dalam kira-kira 30 saat sahaja saya memerhatikannya, ada 4 orang yang menghulurkan wang. Jarang-jarang saya terjumpa dengan kemurahan seperti itu. Dalam bekas duit yang sentiasa dipegangnya itu, saya menganggarkan sekurang-kurangnya dia boleh mendapat RM100++ sehari dengan mudah.
Kali pertama tersua dengannya, kasihan adalah apa yang bermain di hati saya. Kali kedua, rasa curiga mula terdetik. Ini gara-gara saya tidak tahu bagaimana dia boleh bergerak daripada Seksyen 17 ke Seksyen 27 semata-mata untuk meminta sedekah. Jarak kedua-dua seksyen ini bukanlah dekat. 20 minit dengan motosikal, 25-30 minit dengan kereta. Bas yang tersedia cuma RapidKL dan sekurang-kurangnya dua kali transit diperlukan untuk sampai ke sana. Mungkin 2 jam baru tiba ke destinasi.
Bagi orang yang kurang upaya sepertinya, untuk meminta sedekah di lokasi-lokasi berbeza di sekitar Shah Alam adalah kerja yang maha rumit. Orang yang cukup upaya sekali pun tak akan pernah terfikir untuk melakukan perjalanan Seksyen 17-Seksyen 27 dengan menaiki bas.
Lantas saya tertanya-tanya, di mana dia tinggal? Siapa yang menolongnya bergerak ke sana-sini? Masih ada keluarga atau tidak? Jika sebatang kara, bagaimana budak itu boleh diabaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat?
Mudah-mudahan dia tidak menipu, atau pun dipergunakan oleh sindiket. Ada sesiapa pernah tengok filem Slumdog Millionaire yang mana mangsa akan dicacatkan terlebih dahulu sebelum mereka dilepaskan untuk menjadi peminta sedekah?
Sejak terjumpanya budak itu buat kali yang kedua, saya membuat keputusan hanya akan menderma kepada peminta sedekah yang turut membuat show untuk menghiburkan orang ramai yang lalu lalang. Pasangan suami isteri buta yang meminta ihsan kita sambil menyanyikan lagu dan memukul tabla di pasar malam, adalah antara golongan yang saya maksudkan. Sekurang-kurangnya mereka ini tidak terima sedekah buta.
Atau pun juga golongan OKU yang memang sah status mereka. Ada seorang brother OKU berkerusi roda yang menjual tisu, pen dan sebagainya, yang sering saya lihat di Mydin Seksyen 18. Jika tidak salah, di kerusi rodanya itu, ada terlekat dokumen pengiktirafan yang mengakui bahawa mereka ini benar-benar OKU.
2 golongan ini sahaja yang patut saya bantu sekiranya saya terjumpa mereka di mana-mana pasar malam atau pun kaki lima. Bukan mahu bersangka buruk kepada mereka, namun saya sekadar tidak mahu memajukan industri pengemis jadian.
¶ Teruskan membaca entri ini »
Seorang Pengemis di Shah Alam
20 September 2009 •
18 Komen
Label:
duit
jangan jadi soh chai
oku
pengemis
Bila Harga Minyak Naik, Maka Tahukah Engkau Tentang Perkara Ini?
01 September 2009 •
30 Komen
1. Berapa harga minyak dunia pada masa ini?
"Penetapan RON95 pada RM1.80 dan RON97 pada RM2.05 adalah berikutan purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 (RM142.63) pada Disember 2008 kepada US$82.30 (RM288.05) pada Ogos 2009."Fakta paling penting: Semenjak awal tahun 2009 ini, iaitu apabila ekonomi dunia semakin merudum, harga minyak dunia TIDAK PERNAH pun melepasi paras USD80 setong. Tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada 21 Ogos yang lalu, iaitu di paras USD75 setong.
(Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Petrol RON95 kini RM1.80 seliter, Utusan Malaysia).
Jadi dari mana datang nilai USD82.30 ini? Seseorang sila jelaskan kalau saya ada terlepas pandang apa-apa fakta.
2. Benarkah dakwaan kerajaan bahawa tiada perubahan harga petrol utama negara?
Benar. Harga memang tidak berubah, tetapi kualiti sudah tidak sama. Dahulu, petrol jenis RON97 yang selalu kita gunakan sebelum ini berharga RM 1.80 seliter. Kini, ia menjadi RM 2.05 seliter.RON95 yang baru dilancarkan memang berharga RM1.80. Namun RON95 kurang bagus pada enjin. RON97 bagus pada enjin.
Contoh lain bagi mudah faham: Dulu kita beli filem DVD (RON97) pada harga RM 20. Kini harga DVD itu dah jadi RM 30. Kalau nak tonton juga filem tu pada harga RM 20, boleh dapatkan salinannya dalam bentuk VCD (RON 95) yang lebih rendah kualiti audio dan videonya.
Undian di The Star Online (tepat pada 1 September 2009) menunjukkan bahawa 52% responden berasa tidak selesa apabila beralih kepada RON95.
3. Maka, apa implikasi kenaikan harga minyak ini kali ini?
Kenaikan ini dilakukan pada waktu yang sangat tidak bijak. Ramadhan adalah bulan yang terkenal dengan "barang tak ada" dan "harga barang naik". Bila minyak naik masa bulan Ramadhan, makin lagi banyaklah barang yang akan naik harga.Kenaikan harga minyak sehingga ke paras USD 75 setong baru-baru ini adalah dek kerana keyakinan bahawa ekonomi dunia semakin nampak macam mahu pulih, seperti di Jerman dan Perancis. Namun beberapa pakar ekonomi juga berpendapat bahawa trend tersebut mungkin bersifat fatamorgana:
We have seen this strength (in the oil price) which reflected renewed confidence in the economy. But in the last week or so people are starting to say that the stock market is overbought and the data is not that good.Jangkaan mereka lagi, harga minyak mungkin akan turun lagi (dan bukannya naik) dalam beberapa minggu yang mendatang.
(John Vautrain, penganalisis tenaga di Konsultan Purvin & Gertz, Singapura)
Jika tekaan mereka benar, maka Malaysia akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada kesemputan ekonomi. Ini kerana, apabila harga barang semakin mencanak, orang ramai akan lebih suka menyimpan berbanding berbelanja.
Sama ada dunia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, sosialis atau pun Islamis, apabila majoriti orang jadi takut hendak membeli dan lebih banyak menyimpan di dalam bank dan di bawah bantal, maka ekonomi akan mandul.
Ekonomi hanya akan jadi subur apabila orang yakin untuk berbelanja sakan, di samping mereka masih ada duit untuk disimpan, diderma dan dizakatkan. Justeru, kita fikirkan sama ada kenaikan harga minyak pada kali ini boleh memandulkan atau menyuburkan ekonomi Malaysia yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-52 ini. ¶ Teruskan membaca entri ini »
Label:
ekonomi
isu sensasi
krisis minyak
Langgan:
Feed entri ini