Daripada Harian Metro
Daripada Harakah Daily.
Siapa yang tidak teruja dengan RM 3,000 seminggu (RM 12,000 sebulan) seperti yang didakwa dalam iklan di myMetro itu? Jual ganja dari rumah ke apa ini?
Kajian Kes: DuitTerdesak.com
Arakian beberapa hari yang lepas, tangan saya gatal untuk mengklik satu iklan yang tersiar di myMetro. Ia seterusnya membawa saya ke DuitTerdesak.com (lihat screenshot keseluruhan laman ini). "Boleh mendapatkan RM9000 - RM10,000 dalam masa segera", katanya di laman tersebut.Laman tersebut sangat tipikal seperti laman-laman web lain yang mendakwa boleh menjana wang besar dalam masa singkat. Ciri-ciri tipikal ini ialah:
- Segala macam maklumat disumbatkan dalam satu paparan muka sahaja;
- cerita pengalaman dan kejayaan itu dan ini tentang proses buat duit;
- ada beberapa testimonial pelanggannya yang berjaya;
- dan akhirnya akan ada e-book dan sebagainya untuk dijual.
1) Baca betul-betul apa yang ditulis dan timbulkan kemusykilan.
Contoh beberapa kemusykilan yang telah saya timbulkan:a) Pemiliknya mengatakan bahawa "...teknik ini tidak ada kena-mengena langsung dengan internet kerana saya tidak pandai langsung tentang internet...saya ni buta internet. Kalau tahu pun sikit-sikit je."
TAPI pandai pula beli domain DuitTerdesak.com dan server, bina laman bisnes sendiri di internet, pandai buat screenshot Utusan Online, dan tahu letak Google Chat. Perkara-perkara ini agak mustahil untuk dilakukan oleh seorang yang "tahu sikit-sikit je" internet, bahkan mengaku dirinya "buta internet".
b) Katanya boleh mendapatkan RM9,000-RM10,000 dengan segara (dalam masa 10-14 hari sahaja). Bahkan "setakat tujuh, lapan, sembilan atau sepuluh ribu tu senang je.", dakwanya.
LALU, mengapa bersusah payah untuk mendokumentasi dan menjual "teknik rahsia" ini kepada orang ramai? Bukankah lebih senang hidupnya andai dia melakukannya sebanyak 5 kali setahun? Kalau buat begini, dia hanya memerlukan dalam 14 hari x 5 = 70 hari sahaja untuk sekurang-kurangnya mengaut RM 9,000 x 5 = RM 45,000 setahun? Dengan demikian dia boleh lepak sebanyak 365 hari -70 = 295 hari setahun.
Bukankah ini lebih rileks dan sesuai dengan fitrah manusia yang suka berada dalam comfort zone? Jika penulisnya mendakwa bahawa dirinya seorang yang sukakan cabaran dan tidak suka berada di dalam zon selesa, maka bukankah lebih mencabar jika dia mengumpulkan sehingga beberapa ratus ribu dengan menggunakan "teknik rahsianya" itu, kemudian melaburkannya sebagai modal untuk membuka sebuah syarikat sendiri?
c) Kenapa "tak nak ramai sangat tahu teknik ini dalam Malaysia, saya hanya nak dalam seribu orang sahaja tahu benda ni."
Jika begitu, lalu mengapa mahu menjual manual yang berharga RM45 itu? Bukankah menutup mulut manusia tidak semudah menutup mulut tempayan? Katakan hanya 1000 orang sahaja yang mengetahui teknik tersebut, bukankah ini telah menambah persaingan sebanyak 1000 kali ganda untuk dirinya sendiri?
Setakat ini saya tak pernah mengetahui mana-mana bisnes yang mendedahkan trade secret mereka. KFC mana mungkin mahu memberitahu resepi rahsianya. McDonald juga selisih Malaikat 44 untuk mendedahkan rahsia keenakan burgernya.
Eh, tapi kaya juga kan kalau 1000 orang beli? RM45 darab 1000 adalah bersamaan...?
Apa pun, lain-lain kemusykilan, terserahlah kepada anda untuk memikirkannya sendiri.
2) Jangan percaya dengan mudah screenshot yang menunjukkan jumlah simpanan di dalam bank, Google Adsense dan sebagainya.
Dengan menggunakan teknologi seperti Firebug, saya dengan mudahnya boleh melakukan pengeditan secara real-time apa yang terpapar di browser. Contohnya seperti ini:Rajah di atas adalah screenshot yang diambil melalui akaun Maybank2u.com saya. Bagaimana saya boleh mempunyai RM53,852.63 di dalam akaun saya? Mula-mula saya login. Kemudian edit jumlah current dan available balance saya dengan menggunakan Firebug. Lalu buat screenshot. Dan akhirnya saya tempel di sini! (Pemberitahuan: Teknik ini hanya mengubah paparan sahaja, tetapi ia tidak mengubah jumlah sebenar simpanan saya di Maybank).
Teknologi seperti ini adalah tidak secikai pengeditan melalui Photoshop. Kalau guna Photoshop, ia masih boleh dikesan jika kajian forensik dilakukan ke atasnya. Tapi kalau guna Firebug, ia tulen 100% bang!
Maka, jangan percaya langsung sebarang screenshot kalau tidak mahu poket anda dirompak di siang hari.
3) Testimonial dan gambar pemberi testimonial boleh direka-reka.
Ini testimonial salah seorang pembeli manual berkenaan:"Azi sebenarnya tak sangka ada juga sesuatu yang boleh dilakukan untuk mengatasi semua masalah yang dihadapi. Azi memang menghadapi masalah duit, tambah lagi azi ada 2 orang anak.
Azi hilang punca dan cuba juga teknik ini dan hasil daripadanya azi gunakan untuk membuka satu gerai jual laksa di pasar malam Pandan Jaya.
Azi sebenarnya memang dah tekad meminjam daripada along dan memang azi dah call dia orang pun. Tapi mungkin memang nasib azi baik sebab azi terjumpa website ini. Thanks. - Nur Azizah Bt Rahman"
Saya tidak tahu sama ada testimonial ini benar atau pun tidak. Mungkin orang Pandan Jaya boleh cuba cari-cari Kak Azi yang katanya menjual laksa di pasar malam di situ. Namun demikian, testimonial palsu bukan susah sangat untuk direka-reka. Sedangkan di mahkamah pun ada orang berani beri keterangan palsu, lalu apatah lagi untuk menghasilkan sebuah testimonial palsu.
Tapi apa yang saya betul-betul pasti, gambar yang disertakan bersama bukan milik Nur Azizah Bt Rahman! Bagaimana saya tahu? Terima kasih kepada TinEye. Melaluinya, sumber sebenar Nur Azizah dapat dikesan berpunca daripada dari iStockphoto.
Jangan kena tipu dengan iklan dan promosi yang hebat merapu-rapu. Sekian adanya. ¶ Teruskan membaca entri ini »