---
Kita ada berita mengejutkan. Hampir 10 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kegemukan atau pun bahasa terbelit lidahnya dipanggil obesiti. Ini petikan beritanya:
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Hampir 10 juta penduduk negara ini menghadapi masalah kegemukan, kebanyakannya berpunca daripada pengambilan makanan segera yang melampau. Anggaran tersebut merangkumi mereka yang melebihi berat badan ideal melalui pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI).
Pegawai Sains Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kamarul Faridah Kamarul Zaman berkata, masalah itu diburukkan dengan sikap ibu bapa yang mengambil jalan mudah memberikan anak mereka makanan segera untuk menjimatkan masa... [1]
Eh, kamu percaya ke laporan tu? Hampir 10 juta gemuk. Bukan main-main tu. Rakyat Malaysia dalam 24 juta orang sahaja [2]. Nak buat kira-kira kita jadi mudah, maka kita katakan 9 juta rakyat Malaysia gemuk, dan ada 27 juta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Nisbah 27:9 bermaksud 3:1. Jadi, bagi setiap 3 orang rakyat Malaysia, satu daripadanya mengalami masalah obesiti. Ooi, biar betul!
Kita berjalan kaki untuk bersiar-siar di sebuah taman. Jumpa orang pertama; kurus. Jalan lagi. Jumpa orang kedua; kurus juga. Kita pun jalan lagi. Jumpa orang ketiga; orang ketiga itu pasti gemuk. Kalau orang ketiga yang kamu berselisih itu tidak gemuk, maka itu sebab kamu sendiri yang gemuk.
Statistik itu agak meragukan. Mana mungkin rakyat Malaysia lebih kurang 1/3 mengalami masalah kegemukan. Angka itu terlalu tinggi. Saya harap Utusan melakukan ralat dalam angka itu. Saya sekali tengok angka 10 juta itu, sudah tergelak-gelak. Nilai tak munasabah. Tak ada kah pakar statistik dan kesihatan di Malaysia yang mahu mempertikaikan angka itu?
Saya buat sedikit carian internet. Ini apa yang saya jumpa:
Kerajaan menganggarkan 4.4 juta rakyat berusia lebih 18 tahun di negara ini akan mengalami kegemukan atau obesiti menjelang 2020 berbanding kira-kira 3.3 juta orang dewasa yang menghadapi gejala itu ketika ini. Punca utama yang menyumbang kepada masalah obesiti ialah perubahan gaya hidup serta corak pemakanan yang tinggi kandungan lemak dan karbohidrat.(4.4 juta rakyat gemuk menjelang 2020, Berita Harian, Jumaat – 3 Jun 2005) [3]
Sepatutnya, Utusan melakukan kajian yang lebih dalam sebelum menerbitkan laporan seperti itu. Baiklah, kita katakan (katakan sahaja) nilai 10 juta itu betul. Maka adakah ia merangkumi semua peringkat umur? Dari 1 - 100 tahun? Atau statistik itu cuma melibatkan dewasa berumur 18 tahun ke atas? Dari 10 juta itu, berapakah pula peratusan lelaki dan perempuan?
Dan sepertimana yang dilaporkan Utusan, "Anggaran tersebut merangkumi mereka yang melebihi berat badan ideal", maka dengan kata lain nilai 10 juta itu merangkumi individu kelas berlebihan berat badan (overweight) dan gemuk yang kritikal (obese). Maka berapa juta overweight dan berapa juta obese? Menjadi overweight tak bermaksud seseorang itu tidak sihat, tetapi obesiti memang sah tidak sihat. Mengapa dua angka penting itu tidak diberitahu?
Dan artikel "10 Juta Rakyat Malaysia Gemuk" ini diletak di bawah Laporan Khas? Eh, macam tak khas sahaja.

Kalau mahu lapor berita, apa salahnya buat betul-betul sampai orang biasa yang tak mengaji sains boleh faham apa itu BMI. Baru pembaca boleh sedar apa pentingnya BMI. Kalau tak mahu terangkan, sila jangan gunakan benda-benda boombastik.
Akhbar kita jarang melaporkan berita-berita seperti ini dengan pendekatan yang kritikal dan holistik (menyeluruh). Hanya sebab Dr Chua Soi Lek bawa isu tentang pengharaman iklan makanan segera di Malaysia, maka barulah tiba-tiba nak tulis pasal isu kesihatan.
Oleh sebab laporan yang dibuat berdasarkan kehendak semasa, dan bukan kerana mahu menyedarkan masyarakat, maka terbitlah laporan-laporan hidup-segan-mati-tak-mahu-nak-ditanam-tiada-tanah seperti itu. Ia tidak kritikal. Kalau saya ini orang besar Utusan atau pun Berita Harian, mahu sahaja saya bawa seluruh wartawan saya pergi ke BBC, CNN dan Al-Jazeera untuk belajar dari mereka bagaimana mahu menulis laporan yang kritikal. Atau untuk jimat kos, kita panggil beberapa orang dari sana untuk datang ke tempat kita, dan memberikan sedikit tunjuk ajar.
Hanya ada satu kumpulan topik sahaja yang akhbar nasional kita akan melaporkannya secara kritikal, dengan lengkap, tanpa ada tertinggal walau satu huruf pun. Iaitu apabila melibatkan gosip panas artis. Tak percaya? Lihat dan pandang semula ke masa belakang tentang kisah-kisah:
- Siti dan Datuk K
- Datuk K dan jandanya
- Janda Datuk K membawa diri ke Australia
- Mawi dan Ina putus tunang
- Erra dan Yusri bercerai
- dan dot dot dot...err atau mungkin Erra dan Datuk M?
Sebagai penutup, betul ke 10 juta?
---
Nota Kaki
[1] 10 juta rakyat Malaysia gemuk, Utusan Malaysia, 24 Februari 2007.[2] 23,953,136 (Anggaran populasi Malaysia pada Julai 2005) dari Answers.com
[3] Dari Berita Kesihatan, USM ¶ Teruskan membaca entri ini »