Pertama kerana kecuaian. Sedang saya ralit dipangku oleh kakak yang paling saya manja padanya, tiba-tiba pangkuan itu terlerai. Maka jatuh menjunamlah saya ke dalam parit yang letaknya sangat bersebelahan dengan tempat kakak melabuhkan punggungnya. Lumpur parit yang kehitaman telah melumuri kulit putih saya dengan sederas bersin. Segerombolan lumpur itu pula berjaya melolosi mulut; dan saya pun kecungapan.
Kakak pula hanya mampu mengebilkan dua kelopak matanya kerana dia sibuk tergamam cuak. Mujurlah mulutnya masih punya kudrat untuk melaungi ibu di dalam rumah. Jiran terdekat, iaitu Wak Suradi sekeluarga, agak jauh rumahnya. Saya mungkin menjadi bahan berita akhbar pada keesokan hari jika ibu -- iaitu satu-satunya orang dewasa yang ada di rumah pada waktu itu -- lambat menyelamatkan saya.
Kali kedua pula adalah kurang dramatik berbanding yang pertama, namun plotnya hampir sama: Saya terjatuh lagi ke dalam parit. Cuma bezanya, kali ini saya tidak dapat mengawal badan akibat terlalu asyik bercangkung di tepi parit sambil tangan saya memukul-mukul permukaan airnya dengan sebatang lidi halus. Seperti yang pertama juga, saya hampir lewat diselamatkan.
Kes ketiga pula agak berbeza; ia berkaitan dengan apa yang saya makan. Ketika kecil, ada beberapa bulan di mana ibu tidak punya cukup wang untuk membelikan saya susu tepung lembu yang lazim dinikmati oleh bayi-bayi manusia. Daya kekreatifan ibu tiba-tiba menjadi aktif: Akibatnya susu pekat berjenama Dutch Lady yang menjadi antara rencah teh tarik, telah dijadikan gizi alternatif.
Susu pekat ini harus ditambahkan dengan sedikit air bagi mengurangkan kelikatannya. Saya masih ingat lagi sewaktu di sekolah rendah, keluarga saya ada membela dua ekor kucing yang bernama Putih dan Hitam. Mereka berdua ini sangat suka meminum susu pekat yang telah dicairkan seperti apa yang pernah saya nikmati dahulu.
Diet bidaah seperti itu lama-kelamaan menjadikan perut saya gendut. Saya ada gambar ketika saya gendut. Sekilas pandang terhadap gambar tersebut, kegendutan saya nampak seperlima daripada kegendutan perut kanak-kanak mangsa kebuluran Afrika yang sering kita lihat di media massa. Seperti juga mereka, saya sekadar gendut; dan tiadalah saya berisi apatah lagi gemuk. Kegendutan ini menjadi ciri fizikal saya yang sangat unik ketika kecil, sehinggakan Gendut ternobat sebagai antara nama timangan saya. Ada jiran yang berterusan memanggil saya Gendut sehingga sekarang. Baru-baru ini, apabila saya mengirim SMS kepada kakak dengan menggunakan nombor telefon saya yang baru, dibalasnya dengan pertanyaan "Ni siapa? Gendut ke?".
Kegendutan yang berpunca daripada diet susu pekat Dutch Lady ini pada mulanya dilihat sebagai satu lelucon. Namun semakin hari ia menjadi semakin tidak kelakar apabila saya makan tetap makan, minum tetap minum, tetapi keluarnya hampir tidak pernah: Saya sembelit. Ibu membawa saya berjumpa doktor, lalu diberikan ubat. Kesannya, penghijrahan keluar segala apa yang telah lama tersimpan di dalam badan itu, akhirnya lancar mengikut sunnah manusia yang normal.
Apabila susu pekat masih terus menjadi diet utama saya, sembelit itu datang lagi dan kali ini ia lebih kronik. Sehinggalah pada suatu hari, saya pengsan lalu terkulai layu. Badan saya menjadi biru. Ahli keluarga ada yang menangis-nangis kerana menyangka saya sudah pun pergi dulu. Sangkaan itu nyata merapu kerana saya masih terus bernafas walau sudah lebih dua dekad tragedi itu berlalu.
Bila dan Bagaimana Kita Mati?
Kisah saya yang nyaris-nyaris mati sewaktu kecil, tidak pernah saya tahu melainkan setelah ibu menceritakannya kepada saya. Pengalaman peribadi ini -- walau saya tiada langsung memori tentangnya -- makin mengukuhkan kepercayaan saya bahawa kita tidak akan mati kalau belum sampai ajal. Bahkan bagaimana kita mati itu pun sudah ditentukan Allah sejak azali lagi.Realiti tersebut memang sudah terlalu masyhur di benak kita. Untuk betul-betul yakin pula, sebenarnya tidaklah terlalu memerlukan kita untuk memiliki keimanan di tahap wali. Kekadang ketidakyakinan ini telah membantutkan beberapa perkara yang kita mahu cuba di dalam hidup.
Saya mengenali seseorang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mendapatkan lesen kereta. Hujahnya agar mudah menuju destinasi tanpa perlu menyusahkan suami. Bila lesen sudah di tangan, hatinya tiba-tiba berubah. Kini katanya dia takut memandu kereta kerana risau mati kemalangan.
Alasan ini ada benarnya. Bukan Malaysia namanya jika tiada kemalangan maut yang sangat mengerikan pada setiap hari. Hishamuddin Rais, pernah sekali membayangkan bahawa jalan raya di Malaysia ketika tibanya musim-musim perayaan, adalah lebih maha bahaya daripada medan pertempuran di Fallujah sewaktu berlangsungnya misi Bush untuk mencari WMD di Iraq.
Namun setelah hampir RM 1000 dilaburkan untuk mendapatkan lesen kereta, kemudian enggan memandu sampai bila-bila kerana gusar mati kemalangan, maka ini jelas berkait-rapat tentang kekaburannya terhadap konsep ajal dan musibah. Buatlah apa jua untuk mengelak daripada memandu, namun kalau Allah kata bahawa nyawa akan dicabut melalui kemalangan jalan raya, maka ia wajib berlaku. Contoh, kita tumpang kereta kawan, kemudian dilanggar lori balak; lalu mati semua yang ada di dalam kereta.
Mungkin saya perlu menenteramkannya dengan memberikan statistik bahawa lebih ramai manusia yang mati disebabkan sakit jantung, kanser dan strok berbanding kemalangan jalan raya. Dengan itu mudah-mudahan dia akan lebih menjaga pemakanannya.
Kebarangkalian untuk mati kerana sakit jantung ialah 1/5, kanser 1/7, strok 1/24 dan
kemalangan motokar 1/84. Statistik ini benar bagi negara Amerika Syarikat pada tahun 2004.
kemalangan motokar 1/84. Statistik ini benar bagi negara Amerika Syarikat pada tahun 2004.
Selain itu, mengukuhkan kepercayaan kepada konsep 'tak akan mati kalau belum sampai ajal', amatlah penting terutamanya di kalangan masyarakat kita yang cenderung berkereta [1]. Apabila ditanya kepada mereka yang memiliki kereta dan motosikal tentang mengapa memandu bersendirian [2] ke tempat kerja sedangkan kalau bermotosikal ia akan jadi lebih cepat, jimat, dan mesra alam; rata-rata menjawab bahawa 'motosikal tidak selamat dan mudah ditimpa kecelakaan'.
Jawapan cliché seperti itu buat saya naik musykil. Benarkah mereka lebih cenderung berkereta kerana ia lebih selamat? Kalau melihat kepada statistik kemalangan bagi setiap tahun di negara kita, penunggang motosikal memang paling banyak ditimpa musibah jalan raya. Fakta ini semestinya telah membenarkan dakwaan mereka itu.
Atau mungkinkah juga faktor ego turut ada peranannya? Menurut ibu saya [3], sehari selepas harga minyak naik dalam jumlah yang sangat besar pada bulan Jun 2008 yang lepas, bunyi deruman enjin-enjin kereta yang dipandu melintasi jalan di hadapan rumah, agak kurang berbanding hari-hari sebelumnya. Ini bermaksud, mereka yang kerap menggunakan kereta sebelum ini, telah kembali kepada motosikal demi menjimatkan duit minyak.
Nah, jika keselamatan yang lebih diutamakan, bukankah lebih rasional jika kereta terus dipandu walaupun harga minyak melambung tinggi? Apabila harga minyak murah, kita mengatakan bahawa menunggang motosikal itu berbahaya. Sebaliknya apabila harga melambung, mengapa kita boleh pula memperjudikan nyawa dengan bermotosikal, yang sebelum itu didakwa sebagai sangat berisiko tinggi?
Adakah dengan memilih untuk mengutamakan penggunaan kereta dan bukannya motosikal, maka kita berasa bahawa darjat kehidupan sudah lebih tinggi berbanding mereka yang bermotosikal? Mungkinkah ini semua adalah manifestasi kepada suatu fenomena di negara kita bahawa kenderaan terlalu melambangkan status dan ego penggunanya?
Kadang-kala untuk memenuhi ego memiliki kereta yang jauh lebih selamat itu, saya secara peribadi pernah mengetahui individu yang sanggup berhutang dengan along untuk dijadikan bayaran deposit pembeliannya. Benar, berdasarkan angka statistik, motosikal tidak selamat berbanding kereta. Namun kalau sudah sampai berhutang dengan along, ini memang sahih tidak selamat sekeluarga, lagi tiada tenteram hidup dalam jangkamasa yang panjang. Akibatnya dia sekeluarga terpaksa lari ke kampung setelah rumahnya disimbah cat merah, di samping diganggu dengan ugutan-ugutan lain yang mengharukan.
Maka mari kita merenung semula perkara asas berkaitan takdir. Apabila kita sudah mengambil langkah-langkah keselamatan sewaktu menunggang motosikal, patuh kepada segala undang-undang; lalu jika kita kemalangan juga, maka memanglah itu sudah satu suratan takdir. Andai Allah sudah menetapkan bahawa kita mati dengan sebab musibah motosikal, maka gunakanlah kereta sekerap mana sekali pun, bila tiba detiknya, kita akan tetap mati dengan sebab motosikal juga.
Kapal terbang dikatakan sebagai alat pengangkutan paling selamat di dunia, namun ia masih boleh terhempas! Justeru itu apa yang penting, berhati-hatilah ketika berada di jalan raya. Bahkan, 96% daripada kecederaan dan kematian daripada kemalangan adalah hasil kegagalan manusia itu sendiri ketika berada di atas jalan raya [4]. Bukan sebab kereta, bukan sebab motosikal; sebaliknya sikap kita yang macam sial di jalan raya, yang selalu mengakibatkan kemalangan di pihak anda dan pihak lain yang tidak berdosa.
Saidina Khalid bin al-Walid, merupakan seorang sahabat Rasulullah, telah terlibat dalam begitu banyak peperangan untuk menegakkan Islam sewaktu hidupnya. Semua orang bersetuju bahawa medan perang adalah satu wilayah yang sangat berbahaya dan penuh dengan kematian.
Oleh yang demikian, bukankah sesuatu yang amat ganjil apabila Khalid bin al-Walid telah meninggal dunia di atas katil kerana sakit, dan bukannya dek kerana dibelah pedang, ditusuk lembing mahu pun ditembusi anak panah? Menangis beliau ketika sakit terlantar di atas katil kerana hajatnya untuk mati syahid tidak kesampaian.
Kita pasti wajib bernafas selagi ajal belum sampai.
Al-Fatihah kepada anak jiran saya yang meninggal dunia kerana demam denggi pada tahun lepas. Bua pengetahuan, anaknya ada 4 orang. 2 orang diserang denggi; seorang lelaki dan seorang perempuan. Si anak lelaki kena lebih teruk, namun takdir Allah memutuskan bahawa si anak perempuan untuk dijemput pergi.
---
Nota Kaki
^ [1] Kereta tetap tidak boleh dinafikan kepentingannya. Ia adalah suatu komoditi yang memudahkan kita melakukan perjalanan jauh dalam masa yang lebih pantas. Walaupun begitu, kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap penggunaan kereta peribadi untuk ke mana sahaja akan merencatkan pertumbuhan industri pengangkutan awam di sesebuah negara seperti bas, keretapi dan trem.Apabila nisbah kereta:penduduk bagi sesebuah kawasan semakin meningkat, nilai matematik ini wajib dilihat sebagai amaran bahawa keadaan trafik di tempat tersebut akan menjadi semakin sesak, dan ia boleh lumpuh jika tiada tindakan susulan.
Tiada negara maju di dunia ini yang selekeh khidmat pengangkutan awamnya melainkan di Amerika. Itu pun kini Amerika baru menggelabah untuk memperbaikinya. Negara membangun seperti Malaysia, amat kurang orang politiknya yang sedar tentang betapa pentingnya untuk memajukan sektor yang amat kritikal ini. Sila baca tulisan saya yang berkaitan: Halangan #3: Bahana Konsumerisme dan Individualisme. Tulisan ini adalah tentang halangan-halangan yang menyebabkan basikal sukar dibudayakan di Malaysia.
^ [2] Kata kunci di sini ialah "bersendirian". Ini bermaksud di dalam artikel ini, saya menyentuhnya dalam konteks pengguna kereta yang sering memandu seorang diri sahaja.
^ [3] Betul atau tidak, saya tidak dapat memastikannya kerana saya tidak berada di Malaysia pada masa itu. Namun secara normal, sepatutnya begitulah natijah kenaikan besar-besaran harga minyak dunia.
^ [4] Panduan Pembelajaran Kurikulum Pendidikan Pemandu, diterbitkan oleh JPJ. ¶ Teruskan membaca entri ini »