Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    3F - Fakta, Fitnah, Fasik

    16 Mac 2008 • 9 Komen
    I
    Kepadamu ahli-ahli politik yang membuat pelbagai kenyataan yang bersifat kontroversi atau pun tidak: Citation is always needed. Berikan saya fakta, statistik, graf dan carta pai.

    gambar kartun politik

    II
    Kepadamu media arus perdana, etika kewartanan yang baik adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh rakyat Malaysia, khususnya buat masa ini. Berikan saya berita yang adil, telus, tidak memfitnah dan tidak juga memprovokasikan semangat perkauman.

    Sabda Rasulullah sallahualayhi wassalam:

    لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
    "Tidak masuk Syurga orang yang menabur fitnah." (Hadith riwayat Imam Muslim)



    III
    Kepadamu rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya, Allah telah berfirman:

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ
    فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِي


    Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al Hujurat ayat 6)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 yang Terlampau

    09 Mac 2008 • 38 Komen
    gambar pilihan raya umum malaysia 2008Wah, terkejut sungguh hamba apabila mengetahui keputusan Pilihan Raya Umum kali ke-12 menyaksikan pihak pembangkang berjaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor. Tidak ketinggalan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang majoritinya kini sudah berada di tangan pembangkang.

    Tapi yang paling hamba terkejut adalah apabila Parlimen Shah Alam, yang di situ terletaknya rumah hamba, kini sudah jatuh ke tangan PAS. Tidak pernah-pernah berlaku sepanjang hamba hidup.

    Hamba tidak tahu politik, apatah lagi mahir tentangnya. Cuma semenjak awal tahun 2008 sahaja baru hamba mula aktif mengambil tahu dengan mendalam tentang sepak terajang politik tanah air. Apa yang hamba boleh kata, janganlah risau dan bimbang. Negeri-negeri itu masih lagi milik kerajaan. Cuma ia dikuasai oleh pembangkang yang tugasnya adalah untuk melakukan check-and-balance dalam setiap urusan dan projek kerajaan.

    Jangan khuatir, pembangkang bukanlah musuh negara dan mereka tidak bertujuan untuk mengucar-kacirkan Malaysia. Kalau begitulah objektif mereka, maka sudah lama mereka kena tendang keluar dengan Yang di-Pertuan Agong kita. Di samping itu, sebenarnya tiada istilah Kerajaan Barisan Nasional atau Kerajaan Barisan Alternatif. Kita cuma ada satu kerajaan sahaja, iaitu kerajaan Malaysia yang diwakili oleh mereka yang duduk bersidang dan berdebat di dewan Parlimen.

    Oleh itu kalau tuan hamba orang Kelantan, maka bukan duit PAS yang membawa pembangunan di sana. Kalau tuan hamba orang Johor pula, bukan duit UMNO yang membawa kemajuan di situ. Kita hanya ada duit kerajaan Malaysia. Sumber duit kerajaan Malaysia pula diperolehi melalui pelbagai jenis cukai yang dikutip daripada rakyat Malaysia yang menyokong pencadang atau pembangkang.

    Sama ada tuan hamba sokong pencadang atau pembangkang, maka tuan hamba masih lagi seorang rakyat yang setia kepada kerajaan Malaysia. Satu-satunya cara untuk tuan hamba menentang kerajaan adalah apabila tuan hamba mengambil dasar pengganas seperti dalam filem V for Vendetta.

    Tuan hamba kena faham ini betul-betul apabila mahu bersembang tentang isu demokrasi kerana istilah "kerajaan", "pembangkang" dan "duit kerajaan" adalah antara istilah yang paling disalahtafsirkan oleh ramai rakyat Malaysia, termasuklah mak hamba juga. Tapi kini mak hamba pun dah mula faham sikit-sikit apa ertinya sistem Raja Berperlembagaan yang bertunjangkan demokrasi walaupun umur dia sudah lebih 60 tahun.

    Hamba rasa hembusan angin perubahan sedang melanda politik negara kita. Hamba juga melihat keajaiban berlaku apabila populariti pembangkang semakin meningkat naik walaupun suara rintihan mereka dibisukan di televisyen dan akhbar nasional negara, bahkan pada hakikatnya mereka punya hak untuk muncul sama berkempen melalui media tersebut.

    Apapun, hamba harap pihak pembangkang tidak menjadi seperti kera mendapat bunga apabila mereka bersidang nanti, hanya semata-mata mereka telah berjaya mendapat pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi bukankah ini masanya untuk Sidang Parlimen kita disiarkan secara langsung di kaca televisyen, atau paling cikai pun melakukan live streaming video di internet? Barulah kita boleh lihat dan nilai bagaimana perilaku calon yang kita pilih itu beraksi di Parlimen!

    Tuan hamba tidak percaya kata-kata hamba pun tidaklah mengapa kerana menurut satu mitos, semua blogger adalah pembohong[Citation needed]. Hamba tidak akan kecil hati kerana kalau hamba begitu, maka hamba sudah paradoks kepada idea demokrasi yang hamba cuba terangkan kepada tuan hamba tadi.

    Sebagai penamat cerita, hamba harap siasatan ke atas ketelusan SPR mesti terus dijalankan. Hamba sendiri secara peribadi mengetahui dua orang kawan hamba, yang TIDAK PERNAH mendaftar, tetapi tiba-tiba namanya ada tersenarai dalam daftar pemilih. "Aiyo yo yo, apa ini SPR...", kata hamba kepada tuan hamba, sambil hamba menggeleng-gelengkan kepala.

    ---
    - Kredit gambar Pilihan Raya Umum 2008 oleh PenyeriBintang.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kenapa Kau Tidak Mengundi?

    05 Mac 2008 • 7 Komen
    Selamat mengundi saya ucapkan kepada sesiapa yang bakal mengundi di Pilihan Raya Umum ke-12 pada hari Sabtu ini, 8 Mac 2008! Di bawah pula adalah undi bagi kawasan Parlimen Hembusan. Ehem, saya jamin undian anda di bawah adalah rahsia.

    KEPUTUSAN: Proses undian telah ditutup pada 1 May 2008. Dari 103 orang yang mengundi, maka inilah keputusannya. Sesungguhnya rakyat telah bersuara!

    ¶ Teruskan membaca entri ini »