Back to home page

Sepanyol XIX: Buka & Tutup

14 Mei 2005 • 1 Komen Cetak Chenta!
Setiap kisah ada pembukaan dan penutupnya. Sama ada ia sebuah epik agung, cerita dongeng, kisah rakyat biasa atau cerita kehidupan kita sehari-hari. Ada berbagai ragam emosi yang turut diselitkan di sebalik pembukaan dan penutupan sesuatu kisah itu. Kebanyakkan manusia tidak hirau jika pembukaan itu adalah satu kisah tragis atau pun satu kisah yang menggembirakan. Tapi manusia sering mengharapkan agar kisah yang telah dibuka itu ditutup dengan jalan-jalan kegembiraan.

Namun itu tidak sering berlaku dalam kancah kehidupan yang sebenar.


Al-Hambra dari jauh.


Kalau anda rasa ia adalah sesuatu yang kejam kerana penutup kisah yang anda ikuti itu tidak diakhiri dengan sebuah tangisan kegembiraan, mungkin anda ini sudah terlalu banyak menonton filem-filem Hindustan. Realiti plot dan pola kehidupan kita tidak semudah itu.

Begitulah juga yang telah terjadi kepada tamadun Islam kita. Kalau kita orang Melayu, mungkin kita tidak ada apa yang perlu dibanggakan dan diperagakan kepada penduduk dunia ini. Tapi jika kita orang Islam, kita ada himpunan tinggalan agung yang boleh kita tunjuk kepada dunia hari ini.

Himpunan tinggalan itu pula bukanlah bertujuan semata-mata untuk kita banggakan. Ia lebih dari itu. Ia adalah pengingat di kala kita lupa. Kita kini hidup bukan di bawah bumbung sistem khilafah Islam. Kita telah kehilangan harta yang berharga itu. Naik dan turun, bangun dan jatuh adalah satu proses yang telah kita alami berulang-ulang kali. Semuanya dimulakan dengan sebuah harapan - agar Islam ini tersebar ke serata dunia. Manusia di permulaan empayar itu berharap agar Islam itu dapat dinikmati oleh setiap mereka yang berfikir di atas muka bumi ini.

Sunatullah sentiasa berlaku. Tidak ada suatu makhluk pun di dunia ini yang kekal statik pada tempatnya. Sedikit sebanyak mesti berubah. Cuma dalam sesebuah tamadun Islam, sunatullah agak sedikit berlainan. Tamadun yang agung tidak akan jatuh jika rakyat dan pemerintahnya taat kepada segala perintah Allah.

Betapa hebat pun sesebuah tamadun itu, ia pasti akan jatuh bila sampai waktunya. Mesopotamia, China, dan Indus adalah beberapa contoh tamadun yang sangat gemilang tapi sudah lenyap pada hari ini. Begitu juga dengan tamadun Islam. Turki Uthmaniyyah adalah harta terakhir yang kita ada, dan kita juga telah kehilangannya kira-kira 80 tahun yang dulu.

Empayar Bani Umaiyyah Ke-2 di Sepanyol itu juga punya nasib malang yang tipikal. Usianya hampir 800 tahun (711-1492) dan ia tidak mampu hidup lebih jauh dari itu. Jika Masjid Cordoba menjadi pembuka sejarah gilang-gemilangnya, Alhambra di Granada pula menjadi penutup kepada kisah tersebut. Alhambra ini dibina pada tahun 1238, iaitu ketika zaman kemorosotan kerajaan Islam di Sepanyol (1130-1492).

Kalian tertanya-tanya mengapa Alhambra yang agung ini dibina ketika zaman kemerosotan? Mungkin untuk memulihkan dan mengembalikan semula kehebatan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Tapi sayang. Jika ia benar, sunatullah tetap menjadi penghalang terhebatnya.

Belajarlah dari kesilapan lampau. Kita tidak ada cukup umur dan masa untuk mengulangi semua kesilapan-kesilapan itu. Refleksikan sejarah itu pada kehidupan hari ini. Adakah sejarah dan sunatullah itu akan berlaku lagi pada tanah air kita ini? Jangan sekadar pekik sana-sini kata negara kita negara Islam, dan bukan negara sekular. Pekik sekuat mana, ia akan hilang dibawa angin. Membuktikan lebih bermakna dari memekik pada waktu ini.

Kita semua ada tanggungjawab masing-masing bagi melihat Islam kembali menjalar di bumi ini. Baik anda rakyat jelata, tok imam, pegawai JAWI, atau sekadar penjual pisang goreng di tepi perhentian bas.

Kita semua telah dipertanggungjawabkan. Kalau pun malas hendak bertindak, tapi janganlah dihalang usaha mereka yang ingin bertindak itu.

1 Komen Tambah Komen↴

kalau sudah ada yang kata ini negara islam, mengapa ada pihak kata tidak?padahal yang kata tidak itu sesama islam juga.bila ada yang kata langkah mayatnya dulu kalau nak jadikan ini negara islam,mengapa orang yang bantah itu diam seribu bahasa?

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.