Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Bercuti

    17 Julai 2006 • 4 Komen
    Saya bercuti. Kalau cuti sepatutnya blog ini tak terbiar. Tetapi malangnya, internet di Malaysia ini amatlah menyedihkan. Saya guna dial-up di rumah macam hidup segan mati tak mahu - terlalu lambat. Saya tak suka menulis di cyber cafe sebab suasananya yang bising. Sekarang ini saya berada di dalam perpustakaan Raja Tun Uda, iaitu perpustakaan negeri Selangor. Tetapi di sekeliling saya ada budak-budak sekolah rendah yang main video game. Shame to this library!! (How can they provide a video game in a library??)

    Oleh itu, saya pun tak ada mood nak update blog ini. InsyaAllah bila saya habis bercuti, kerja-kerja akan disambung semula.

    Selain itu, oleh kerana blog ini menyentuh isu kontroversi berkaitan Wahhabi, pastinya akan ada perbincangan serta soalan yang pedas dan panas. Dan saya pula tidak memiliki masa dan kelapangan untuk memoderasi segala komen. Oleh itu, saya minta tolong supaya:

    1) Tidak melakukan spam komen. Ada seorang pelawat yang membuat komen yang sama pada banyak entri yang saya tulis. Tulis sekali cukup la cik abang sayang. Kalau rasa idea di kepala berlambak-lambak untuk membidas tulisan saya, silalah buat blog sendiri. To delete your spam is just a click away.

    2) Ada juga yang tanya soalan itu dan ini kepada saya berkaitan Wahhabi. Katanya mahu saya jawab. Pertama sekali ingin saya jelaskan bahawa anonymous comment akan saya fikir banyak kali untuk layan. Kedua, tolong tanya satu-satu. Kalau dalam satu komen kamu tanya sampai 7 soalan, itu susah untuk kita bincang. Dah tu soalan yang berat pula.

    Ketiga, yang paling penting, "Mengapa tanya soalan itu kepada saya?" Nak uji saya atau nak cari kebenaran? Kalau nak cari kebenaran, kamu tak akan tanya kepada saya. Ask the real man, not a layman, dude!

    Oh ya, terima kasih juga kepada yang menghantar e-mel kepada saya. Saya tak mampu nak balas dalam keadaan yang tidak selesa sekarang ini. Sesiapa nak link blog ini juga saya alu-alukan.

    Allahumma solli ala Muhammad.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakwah Si Protaz & Uspro 4

    01 Julai 2006 • 44 Komen
    Sambungan dari episod 3

    allah rasul
    Cari kebijaksanaan, buang kebodohan. Jangan angkuh, tapi kayakan dirimu dengan adab.


    Bantu Kami Kenal Allah

    Wahai Protaz (dan juga ustaz) yang berada di luar sana, bantulah kami ini supaya kami lebih mengenali Allah. Kalau kami tak kenal Allah, maka amatlah sukar bagi kami memiliki sifat takwa kepada-Nya. Tak kenal maka tak cinta. Dan kalau tak kenal juga maka tak takut.

    Khusyuk solat kami bukan semata-mata terletak kepada ada atau tidak doa qunut, gerak jari atau tidak ketika tasyahud, dan sebagainya. Tetapi khusyuk solat itu terletak kepada sejauh mana kami takutkan Allah. Berfikirlah, dan kemudian ajar kami mengapa solat umat Islam zaman salaf al-soleh itu begitu berkualiti dan bermutu? Mengapakah Saidina Ali apabila tiba waktu solat, mukanya jadi pucat lesi seperti mayat? Adakah ini semua kerana perkara-perkara teknikal dalam hukum-hakam fiqh, atau pun kerana umat Islam zaman salaf al-Soleh ini mengenali Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya?

    Malangnya kami hari ini, nak dapat khusyuk dalam solat pun sudah payah. Bila mendengar azan, muka kami tidak pernah sekali pun bertukar pucat. Ya kami akui, memang pernah ada masa kami menangis meraung-raung apabila mendengar azan berkumandang, tetapi itu bukan disebabkan kami takut kepada Allah. Sebaliknya kerana melihatkan penyanyi pujaan hati disingkirkan dari Akademi Fantasia. Kadang-kadang juga, kami nak buat solat sunat pun rasa berat hati. Kekadang itu pula sering dilewat-lewatkan waktunya. Bantulah kami dalam hal ini wahai encik-encik protaz dan ustaz. Kami ingin keluar dari belenggu ini.

    Tetapi, janganlah bawa kami lagi ke dalam arena perdebatan yang tidak bermakna. Perdebatan sesama umat Islam pada perkara yang tidak signifikan hanya akan meruntuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama kami. Malah, hati kami juga bisa rosak dari perdebatan itu. Kalau hati kami sudah rosak, maka mampukah hati ini berasa takut apabila mendengar nama Allah? Dalam al-Quran, dikatakan bahawa orang-orang yang beriman itu apabila disebutkan kalimah Allah kepadanya, maka akan bergetarlah hatinya.

    Sepanjang kami beriman kepada Allah, tak pernah sekali pun hati kami ini bergetar apabila mendengar nama-Nya disebut. Dan fenomena hari ini pula, kalimah Allah itu juga sudah jarang disebut di sana-sini. Generasi muda hari ini (malah yang dah menunggu hari untuk masuk ke kubur) lebih banyak sebut nama-nama artis Akademi Fantasia berbanding asma'ul husna. Akibatnya, hati muda-mudi Islam kita lebih mudah bergetar apabila mendengar kalimah Asmawi Ani dan Nor Salima Habibi. Anak-anak kecil juga lebih kenal mereka berbanding para sahabat Nabi yang mulia.

    Kami semakin kehilangan jatidiri sebagai umat Islam. Bantulah kami mencarinya semula. Bantu kami memperkuatkan iman - kerana iman yang lemah tidak akan dapat membawa anjakan ketamadunan kepada umat yang sedang dipijak-pijak ini. Kami tidak begitu memerlukan encik-encik protaz dan ustaz untuk terus-menerus mengasak otak kami dengan ilmu itu dan ini sehingga buat kami pening dan keliru. Tapi ajar kami ilmu yang benar-benar bermanfaat kepada diri kami dan umat ini.

    Kami ingin mencari ilmu untuk beramal dan sebagai panduan ibadah seharian kami - mudah-mudahan kami akan lebih kenal Pencipta. Tapi janganlah ajar kami ilmu untuk berdebat dalam hal-hal agama yang khilaf dan ranting. Iman kami begitu lemah dan rapuh. Janganlah buat kami makin keliru pada perkara-perkara yang dah lama settle. Ijmak dan jumhur ulama, tak payah sentuh lagi. Pada perkara khilaf dan ranting, berlapang dadalah. Inilah cara para ulama salaf al-soleh dan umat Islam yang baik.

    Contohilah pendekatan para ulama dan pedagang Arab berbangsa Yaman yang datang ke tanah Melayu, dan kemudian berjaya mengIslamkan hampir keseluruhan Tanah Melayu dan wilayah Nusantara yang lain. Hari ini, negara yang ramai penduduk Islam bukannya di tanah Arab, tetapi di Indonesia. Mengapa kita tidak mahu mengambil teladan dan contoh dari pendekatan dakwah yang mereka lakukan? Kalau encik-encik Protaz dan ustaz percaya bahawa cara encik-encik semua adalah yang paling baik, maka silalah tunjukkan hasilnya. Kami tidak mahu hasil teori, tetapi hasil yang lebih bersifat praktikal.

    Apa kata encik-encik semua pergi berdakwah di Pulau Bali, iaitu satu wilayah di Indonesia yang mana penduduknya lebih 90% beragama Hindu. Gunakan pendekatan dakwah yang encik perjuangkan itu. Tanya dalam hati encik, sejauh manakah pendekatan dakwah encik itu mampu mengIslamkan keseluruhan Pulau Bali? Bagi kami, kita sudah pun ada contoh yang ditunjukkan oleh para pedagang dari tanah Yaman itu. Kalau lah bukan kerana jasa dan pendekatan dakwah mereka yang penuh adab dan berhikmah ini, encik-encik dan kami semua mungkin masih beriman kepada kitab-kitab Rigveda, Samaveda, Yajurveda, dan Atharvaveda. Na'uzubillah..moga-moga dijauhkan!!

    Penutup

    Saya sudahi artikel ini dengan memohon maaf kepada semua andai tulisan saya ini begitu pedas untuk diterima. Tetapi saya mesti berbuat demikian supaya umat Islam ini tidak semakin syok sendiri dalam usaha dakwah mereka. Saya tidak mahu peribahasa Melayu 'Anak di rumah kehausan, kera di hutan disusukan', menimpa umat ini.

    Muhasabah diri. Pandang timur, barat, utara, dan selatan anda. Kemudian berdakwahlah mengikut maslahat semasa. Episod terakhir akan saya persembahkan artikel terjemahan bertajuk Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda! Sebelum saya sudahi tulisan berkaitan Protaz ini, ingin saya menukilkan [dipetik dari blog Malakian] kata-kata Imam al-Dahlawi di dalam kitabnya al-Inshaaf:
    "Sesungguhnya umat Islam telah sepakat bahawa madzhab empat yang telah dibukukan secara berwibawa, boleh diikuti sampai sekarang. Dalam mengikuti madzhab-madzhab tersebut, jelas ada maslahatnya, lebih-lebih pada masa sekarang ini kerana kemampuan sudah semakin lemah dan hawa nafsu sudah mencampuri jiwa seseorang serta masing-masing sudah berasa kagum dan bangga dengan pendapatnya."
    Saya menukilkan kata-katanya bukan untuk memperbincangkan perkara berkaitan mazhab, tetapi untuk menyedarkan diri kita semua supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan hukum-hakam, terutamanya bagi golongan orang awam seperti kita. Lidah jangan terlalu lancang mengeluarkan fatwa. Kalau rasa ingin berfatwa, maka silalah belajar dengan kaedah yang ditunjukkan oleh para ulama silam. Kepada protaz dan bakal protaz di luar sana, berdakwahlah mengikut keadaan semasa dan fahamilah apa maslahat umat ini.

    Sebagai penutup, saya hidangkan lagu Adakah Kau Lupa. Mudah-mudahan ia dapat membangkitkan semangat kita untuk terus memajukan Islam dalam bidang yang diceburi. Amin.

    Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad...


    Jangan lupa!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »