Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label ijmak. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label ijmak. Papar semua catatan

    Wahhabi 9 - Ikut Dalil Yang Sahih!

    18 Disember 2006 • 21 Komen
    Antara hujah para pemuka Wahhabi adalah: "Kita dalam beramal mesti mengikut dalil-dalil yang sahih dari sumber Al-Quran dan hadith". Hujah mereka itu betul 100%. Tetapi apa yang menjadi masalah adalah bagaimana hujah tersebut diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Tahu dalil sahaja tanpa punyai ilmu untuk menggunakannya adalah ibarat seseorang yang mengambil ubat sendiri tanpa perlu berjumpa doktor. Kalau ubat Panadol ok lagi, tapi kalau masuk bab Botox, ingat boleh suka-suka sumbat dalam badan?

    Saya ambil contoh dalam isu qadha solat fardu. Apabila seseorang itu tidak melakukan solat fardu atas sebab tertidur atau terlupa, maka dia wajib mengqadha solat yang tertinggal itu. Tiada berlaku khilaf ulama dalam hal ini. Ini berdasarkan dalil-dalil dari hadith sahih [1] [2]. Namun demikian, wujud satu permasalahan lain. Adakah wajib atau tidak untuk qadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan atas sebab malas, atau sebab-sebab lain yang tidak begitu darurat?

    Sebelum itu, biar saya jelaskan terlebih dahulu bahawa meninggalkan solat fardu dengan sengaja adalah berdosa hukumnya. Kamu main bola, dan tiba-tiba azan Asar berkumandang. Lepas selesai azan, kamu teruskan main bola hinggalah tiba waktu Maghrib. Kamu tidak buat solat Asar sebab rasa leceh nak kena bersihkan badan terlebih dahulu. Maka kamu pun berniat untuk qadha sahaja solat Asar itu. Dalam kes ini, memanglah kamu sengaja cari pasal. Dan kalau kamu rasa tidak berdosa kerana meninggalkan solat (untuk diqadhakan pada waktu yang lebih sesuai), maka sebenarnya kamu ada masalah yang besar sebagai seorang umat Islam.

    Ijmak Ulama Dalam Isu Qadha Solat

    Dimaklumkan bahawa ijmak para ulama dalam isu qadha solat, sama ada solat itu ditinggalkan atas sebab terlupa atau tertidur, ataupun disebabkan kemalasan, adalah wajib qadha [3]. Dan ijmak ini dipegang oleh 4 mazhab muktabar - iaitu mazhab Hanafi, Hanbali, Shafi'i, dan Maliki - yang mana 4 mazhab ini sahajalah yang diiktiraf oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini. Dan ketahuilah bahawa Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi [4], di dalam kitabnya Tanwirul Qulub fi Mu`amalati 'Allamil-Ghuyub ada menyatakan bahawa "Dan antara yang wajib dipegang ialah bahawasanya para imam itu semuanya `udul, dan sesiapa yang bertaqlid kepada seseorang daripada mereka mendapat kejayaan... dan yang masyhur di antara mereka ialah Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi`i dan Ahmad r.'anhum, dan kesemua mereka adalah atas hidayah Allah. Taqlid kepada salah seorang dari mereka adalah fardu/wajib [5].

    Dalam kes qadha solat fardhu yang sengaja ditinggalkan, tidak wujud sebarang dalil spesifik yang menyatakan kewajiban qadha. Nah, jadi dalam isu ini, bagaimana kita mahu beramal dengan dalil yang sahih? Kalau kita sekadar merujuk kepada dalil dalam nota kaki [1] [2] itu, memanglah mudah jawapannya. Tiada qadha bagi solat fardu yang sengaja ditinggalkan. Tapi begitukah pemahaman para ulama kita? Maka di sinilah penting bagi kita untuk merujuk kepada mereka yang ahlinya.

    Maka, kaedah qiyas digunakan oleh para ulama untuk menyelesaikan permasalahan ini. Berkata Imam Nawawi, "Jika mengqadha solat adalah wajib bagi mereka yang terlupa/tertidur, maka sudah pastilah ia menjadi lebih layak ke atas mereka yang meninggalkan solat fardu dengan sengaja". Dan Imam Nawawi berkata lagi dalam al-Majmu', "Para ulama telah pun mencapai ijmak bahawa sesiapa yang tidak melakukan solat fardu dengan sengaja (tanpa sebab) mesti mengqadhanya" [6]. Hanya ada segelintir ulama sahaja yang membuat kesimpulan yang bertentangan dengan ijmak ulama ini, dan mereka antaranya ialah Imam Abu Daud al-Dhahiri, Ibnu Hazm, Ibnu Qayyim, dan Ibnu Taimiyyah.

    Kenapa Tidak Berpegang Kepada Ijmak?

    Perbincangan kali ini bukannya untuk mengupas secara mendalam tentang perbahasan dalil-dalil yang digunakan dalam mencari hukum menqadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan. Apa yang mahu ditekankan ialah bagaimana segelintir umat Islam berurusan dengan sesuatu perkara/isu/hal yang sudah pun menjadi ijmak ulama. Dengan kata lain, pada hal-hal yang sudah pun beres diperbincangkan sedalam-dalamnya oleh para ulama kita.

    Dalam kes ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa ijmak ulama ialah wajib qadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan. Tetapi, mengapakah terdapat umat Islam yang begitu bersungguh-sungguh mahu menekankan hukum yang berlainan daripada ijmak? Mereka menjaja sana-sini bahawa tidak wajib qadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan, malah ada yang melabelkan hukum tersebut sebagai bida'ah sesat kerana tidak terdapat dalil tentangnya, dan lain-lain lagi. Mengapa mahu bising-bising tentang perkara yang sudah lama settle?

    Ijmak sesuatu hukum dibuat apabila tiada dalil-dalil yang jelas dan nyata dari Al-Quran dan hadith. Bila hukum sudah pun dipersetujui oleh para ulama secara ijmak, maka apakah perlu bagi kita (terutamanya orang awam), untuk memperbahaskan isu itu semula? Apa relevannya? Dan apa pula faedahnya? Dan perkara ini adalah antara sebab mengapa fahaman Wahhabi berbahaya kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dalam perkara akidah. Contohnya, ijmak para ulama ahlus sunnah wal jamaah mengatakan bahawa Allah itu sifatnya tidak bertempat [7]. Tetapi malangnya, golongan Wahhabi ini suka buat onar yang menafikan ijmak ulama itu. Dijaja sana-sini bahawa Allah itu tempatnya di langit. Apo kono ni jang oii? Mengapa tak habis-habis mahu menimbulkan masalah yang sebenarnya bukan satu masalah pun?

    Bila kami cakap kamu suka bawa isu remeh-temeh, kamu marah. Tapi itulah hakikatnya. Dan bila bidasan ke atas hujah-hujah puak Wahhabi yang dangkal ini dilakukan, dituduhnya kita pula sebagai pemecah-belah umat. Apabila yang si penyerang (iaitu puak Wahhabi) menuduh kita sebagai pemecah-belah umat, bagi saya mereka ini ada sesuatu yang tak kena. Kiasan bagi hal ini adalah seperti kita menuduh rakyat Palestin sebagai bangsa yang jahat apabila mereka mempertahankan diri dari serangan zalim puak Zionis. Tapi saya tak kata Wahhabi itu seperti Zionis. Kamu jangan salah faham. Saya kiaskan hal ini dari aspek respond dan reaksi sahaja.

    Apa Itu Ijmak

    Sheikh Abdul Wahhab Khallaf (meninggal dunia di Kaherah pada tahun 1956), adalah seorang ulama fiqh yang pernah memegang jawatan profesor di Fakulti Undang-undang di Universiti Kaherah, dan juga pengarang kitab 'Ilm usul al-Fiqh yang menjadi rujukan meluas dalam dunia Islam moden, telah mendefinisikan maksud ijmak sebagai: "Persetujuan di kalangan semua mujtahid pada sesuatu masa selepas wafatnya Rasulullah sallahu 'alayhi wassalam, tentang sesuatu hukum atau pun keadaan."

    Dan apabila sesuatu hukum itu telah menjadi ijmak, maka adalah wajib bagi umat Islam untuk mengikutnya dan haram pula melanggarnya. Dan para mujtahid yang lahir selepas persetujuan ijmak itu dicapai tidak boleh membuat hukum yang berlainan daripadanya kerana ijmak adalah hukum syariat yang qat'i, dan ia tidak boleh diperselisihkan mahupun dimansuhkan [8].

    Oleh itu, janganlah kita termakan hujah-hujah puak Wahhabi seperti "Marilah kita berbincang secara ilmiah", "Tak salah kalau tak ikut ijmak sebab kita ada dalil yang sahih" dan lain-lain lagi. Jangan buang masa berdebat dengan mereka dalam hal ini, mahu pun hal-hal khilafiyyah yang lain. Kalau mereka mahu menang, bagi sahaja kemenangan kepada mereka. Mengalah bukan bererti kalah, tetapi mengalah itu adalah strategi terbaik untuk mengurangkan kehampasan umat Islam hari ini.

    Sebagai kesimpulan, janganlah kita mengeksploitasi ijmak ulama ini sebagai alasan untuk kita meninggalkan solat sewenang-wenangnya (untuk diqadhakan pada waktu lain). Dan satu lagi kesimpulan, bagi pendakwah yang betul-betul serius di luar sana, tolonglah fahami kehendak zaman ini. Hari ini, ancaman utama kepada umat Islam bukannya pasal kayu kokka dan yang sewaktu dengannya. Jadi, yang Mufti Perlis bising-bising tentang kayu kokka pada awal-awal perlantikannya itu apo kono?

    Sollallahu 'alayhi Muhammad.

    Nota Kaki

    [1] "Sesiapa dari kamu tidak solat kerana tertidur atau terlupa, maka tunaikanlah ia apabila kamu ingat..." (Hadith dari Anas bin Malik r.a. dari Sahih Bukhari dan Muslim).

    [2] Tiada kecuaian ketika waktu tidur, kecuaian hanya berlaku pada waktu sedar. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya apabila dia teringat, kerana Allah telah berfirman: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku." (Hadith dari Qatadah r.a dari Sahih Muslim)

    [3] Do we have to make up missed prayers? oleh Sheikh Amjad Rasheed.

    [4] Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi: Adalah salah seorang ulama Al-Azhar yang masyhur. Juga dikenali sebagai Muhammad Amin bin Fath Allah al-Irbali al-Kurdi. Beliau berbangsa Kurdish yang dilahirkan di Arbil, Iraq. Merupakan seorang ulama Shafi'i dan juga antara ulama besar dalam tarikat Naqshabandi. Di samping itu, beliau juga turut belajar ilmu syariah dan ilmu-ilmu lain di Universiti al-Azhar. Hasil dari pembelajaran itulah, lahirnya kitab Tanwirul Qulub fi Mu`amalati 'Allamil-Ghuyub, satu kitab yang menyentuh tentang pokok-pokok akidah, fiqh Shafi'i, dan tasawwuf. Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 1331 Hijrah bersamaan 1914 Masihi. Semoga Allah merahmati ruhnya.

    [5] Taqlid - Pandangan Ulama I

    [6] Rujuk [3]

    [7] Di mana Allah?

    [8] 'Ilmu usul al-Fiqh oleh Sheikh Abdul Wahhab Khallaf, dicedok dari The Reliance of Traveller oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller, halaman 23.

    ---

    Jalan-Jalan

    1) Kokka... Mengapa Disyirikkan?
    2) Sejarah bandar Tarim, Yaman. Ep 1 | Ep 2 | Ep 3



    History of Tarim: Part 1
    ¶ Teruskan membaca entri ini »