Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Maybankard Visa Debit = Serampang Dua Mata

    23 Disember 2009 • 41 Komen
    PESANAN KHIDMAT MASYARAKAT: Kalau kau ada akaun Maybank dan ada juga Maybankard Visa Debit, maka kau wajib menelaah apa yang ditulis ini agar tidak menyesal di kemudian hari.
    ---

    Hari ini saya gatal tangan untuk mencuba benda baru. Maka saya pun gunakanlah fungsi kad debit yang ada pada kad ATM Maybank untuk mengisi minyak ke dalam tangki motor.

    Rupa-rupanya, kita hanya perlu memasukkan kad itu ke dalam pembacanya dan kemudian pam sahaja. Maksudnya tak perlu untuk kita spesifikkan jumlah amaun yang kita mahu terlebih dahulu.

    Saya mengisi sebanyak RM4.22 dan sepatutnya inilah jumlah yang harus ditolak daripada akaun simpanan. Sesampai di rumah, saya login ke Maybank2u.com untuk memastikan jumlah yang ditolak.

    Dem, kelihatan RM200 ditolak! Apakah yang berlaku?

    Saya fikir akaun saya sudah digodam oleh mat bangla Shell yang asyik pandang-pandang saya tadi. Apa yang mat bangla ini hendak pun saya tak tahu. Mungkin dia ingat saya ini main-main gamaknya kerana mengisi minyak motor yang sekadar beberapa ringgit dengan menggunakan kad.

    Sebenarnya saya rasa makin malas hendak beratur membayar, di samping pernah terpaksa menunggu selama 5 minit untuk mendapatkan pulangan wang baki. Alasan yang mat bangla Shell itu lafazkan: "Tak ada duit kecil. Tunggu kejap yaa."

    Padahal saya menghulurkan sekadar sekeping RM10 untuk mengisi minyak RM5 sahaja, yang mana RM5 ini kemudian dipulangkan dalam kuantiti 2 keping RM1 dan baki RM3 dalam bentuk duit syiling! Tensi dibuatnya.

    Daripada himpunan gerai kecil di pasar malam, sehinggalah kepada deretan kafe dan restoran di Bangsar Village, penyakit tak ada wang tukar atau pun tak ada duit kecil ini, mesti berlaku. Ya betul, saya memang wajib dilempang kalau saya komplen tentang seorang peniaga jalanan yang tak ada duit tukar RM50 untuk semangkuk cendol yang saya minum di gerainya. Namun, kita patut melempang pemilik sebuah kedai majalah dan akhbar di KLCC yang tak ada duit tukar RM50 untuk Time Magazine yang saya hendak beli.

    Arakian berbaliklah kita semula kepada hal Maybankard. Saya mencari sebab mengapa RM200 boleh ditoyolkan sedemikian rupa. Lalu saya mendapati ia adalah daripada transaksi bernama PRE-AUTH DEBIT.


    Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, justeru saya menelefon bahagian khidmat pelanggan untuk meleraikan beberapa misteri yang berbangkit. Di bawah adalah beberapa benda yang saya belajar tentang kejadian pada hari ini. Saya harap, boleh membantu sesiapa yang berkenaan di masa hadapan.


    1. Apa benda sebenarnya Pre-Auth Debit ini?
    Caj yang akan dipulangkan semula dalam masa 7 hari ini, hanya dikenakan di 3 tempat sahaja: Stesen minyak, hotel dan hospital. Dalam kes stesen minyak, caj di Petronas ialah RM150 dan stesen selain Petronas ialah RM200.

    Benda ini kalau kita hendak faham, lebih kurang macam cagaran. Jadi kalau kita cabut macam itu sahaja daripada hotel dan hospital, maka pemiliknya tidaklah rugi kerana kita sudah pun dikenakan Pre-Auth Debit terlebih dahulu. Namun dalam kes stesen minyak, saya rasa pihak pengurusan atasan Maybank sudah nyanyuk. Kita tidak pergi hotel dan hospital setiap minggu, tetapi kita isi minyak tiap-tiap minggu; malah ada yang 2 hari sekali isi minyak.

    Kalau sekarang ini kau isi minyak RM10 dengan menggunakan kad debit itu, akaun kau akan ditolak RM200 terlebih dahulu. Dan katakan 4 jam kemudian kau mahu mengisi RM50 dengan kaedah kad debit juga, maka akan ditolak lagi RM200.

    Erk, tak ke gila tu? Melainkan kau ada sekurang-kurangnya RM1000 dalam akaun, janganlah gunakan kad ini untuk isi minyak. Bukan apa, masalahnya tidak ada apa-apa paparan skrin yang mengatakan bahawa "RM200 akan ditolak terlebih dahulu daripada akaun anda apabila mengisi minyak dengan menggunakan Maybankard Visa Debit Card ini. Dan ia akan dipulangkan semula dalam masa 7 hari".

    Nampak tak sekarang bahawa Maybank sesuka hatinya menolak RM200 daripada akaun tanpa kebenaran dan pengetahuan kita. Memang ia akan dipulangkan balik, namun isunya ia dilakukan secara senyap-senyap.

    Kalau dalam seminggu kau isi minyak sebanyak 2 kali dengan menggunakan kad ini, dan baki yang ada dalam akaun kau cuma RM500, maka apa jadi? Tak ke menggelabah bila tengok di ATM yang baki akaun kita tiba-tiba berada di bawah RM100? Nak telefon Maybank sudah satu hal. Talian khidmat pelanggannya yang tidak bebas tol itu pun satu hal juga.


    2. Selain daripada tiga tempat di atas, adakah Pre-Auth Debit ini akan dikenakan apabila kita membeli-belah secara online atau pun di mana-mana tempat yang ada logo Visa?

    Tidak.


    3. Kenapa saya tidak perlu memasukkan sebarang nombor PIN semasa melakukan transaksi di Shell siang tadi?
    Ini perkara yang paling buat saya gerun. Apa yang cik khidmat pelanggan itu kata, untuk setiap pembelian di internet, nombor PIN akan digunakan. Nombor PIN ini tidak sama dengan nombor PIN yang kita gunakan di ATM. Di Maybank2u.com, sila cari bahagian Maybankard Secure Online Shopping Registration untuk mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh memborong secara maya. Sebagai nota tambahan, apabila sudah daftar, akaun Paypal juga sudah boleh dihubungkan dengan kad debit ini.

    Yang menjadi masalah besarnya sekarang adalah transaksi yang kita lakukan di stesen minyak, pasaraya, dan mana-mana tempat selain daripada internet. Ini kerana, transaksi tersebut tidak memerlukan kita untuk memasukkan sebarang nombor PIN!

    Ini sangat memeranjatkan saya. Ia membuka seluas-luasnya peluang untuk orang lain mencabul dan meronggeng kad kita. Sekian lama saya ada kad tersebut, barulah hari ini saya menyedari hakikat yang sungguh menyeramkan itu. Saya sangka sistem keselamatan kad debit ini sama seperti apa yang saya alami sewaktu di Ireland dahulu, iaitu perlu memasukkan kod PIN untuk sebarang urusniaga yang tidak melibatkan internet.

    Cuba bayangkan kau hilang beg duit. Di dalamnya ada kad debit Maybankard Visa. Kalau saya yang jumpa, saya boleh gunakannya untuk beli macam-macam di Giant dan Tesco. Satu-satunya cara untuk menghalang musibah ini daripada berlaku adalah dengan:
    1. Melaporkan kehilangan kad itu kepada Maybank dengan segera;
    2. Atau pun sebelum benda ini berlaku, sila pergi ke ATM dan tukar amaun untuk transaksi kad debit itu menjadi RM0 per hari. Tapi kalau buat begitu, apa relevannya ada kad debit ini?

    Bab yang ini sangatlah penting untuk kita fikirkan kerana kad debit dihubungkan secara terus dengan akaun simpanan kita. Ini yang bahayanya. Kalau kau hilang kad kredit dan tiba-tiba ada orang lain yang berjaya menggunakannya, kau tak perlu risau sangat kerana setiap transaksinya akan menggunakan duit bank terlebih dahulu.

    Saya bertanya kepada cik khidmat pelanggan itu tentang bagaimana kalau dompet saya dicuri, dan pencuri itu berjaya melakukan transaksi, katakan sebanyak RM1000 dengan menggunakan kad debit saya itu. Kes kecurian ini pula memang telah disahkan oleh polis dan bukan saya sengaja mereka-reka cerita. Maka, adakah saya akan dapat semula RM1000 itu atau ia lesap begitu sahaja?

    Cik khidmat pelanggan itu menjawab bahawa dia tak boleh bagi jawapan boleh dapat balik atau tidak. Ia bergantung kepada pihak pengurusan. Sangat menggerunkan..

    Melainkan Maybank meningkatkan tahap keselamatan kad ini dengan memperkenalkan sistem PIN bagi semua jenis transaksi, maka saya hanya boleh berharap agar kad ini boleh terus dilupuskan dari diari hidup saya sebaik sahaja tempoh basinya tiba. Munajat saya: Mahu kad dulu-dulu yang lebih old-school. Amin.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lawak Menjelang Tahun Baru Kah Ini?

    17 Disember 2009 • 10 Komen
    Err, tanda larangan yang melibatkan hal yang diwartakan secara rasmi oleh kerajaan, hanya ditulis di atas kad manila? Kalau saya lah penyangak minyak itu, mungkin mula-mula saya akan sangka itu adalah jadual membersihkan stesen minyak oleh mat-mat Bangla. Impresi pertama itu penting, kan?

    Terpercik air, pudarlah ia.


    Gerenti sekejap sahaja ada benda alah ni. Tak percaya? Buka semula kitab sejarah Malaysia tahun 2008, dan kita akan mengetahui bahawa:

    1. Satu larangan menjual minyak kepada warga asing sebenarnya sudah pun pernah diwartakan pada akhir Mei 2008. Tak sampai sebulan kemudian, larangan ini dimansuhkan dengan alasan penstrukturan semula subsidi bahan api. Ah, flip-flop sungguh. Subsidi minyak adalah berkaitan dengan rakyat Malaysia, dan bukan untuk orang asing. Jadi tak faham, apa kaitan penstrukturan dengan pemansuhan larangan itu? Kita tetap rugi kan kalau berbondong-bondong mat singapura dan siam yang beli minyak kita?
    2. Mana dia sistem dua pam yang dicadangkan pada Jun 2008? Kalau ada sistem dua pam ini, kenapa masalah masih wujud?
    3. Pada akhirnya, tanpa tindakan yang lebih tegas dan bijak, pengusaha stesen minyak tidak akan membeza-bezakan di antara pelanggan tempatan dan warga asing. Mereka pun perlukan wang juga. Sebab itu tak pernah jalan, kerana kapitalisme tak mungkin mengaparteid pelanggan!

    P.S. Salam 1431 Hijrah dan juga 2010. Antara "Dua ribu sepuluh" dan "Dua puluh sepuluh", yang mana satu kome pilih?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Buku 2: Hipotesis

    13 Disember 2009 • 8 Komen
    Agak jarang membeli buku kebelakangan ini. Gamaknya ada kaitan dengan kesan hipotesis yang saya tweet lebih setahun lalu:

    "99% daripada manusia yang rajin beli buku, tidak akan membacanya sehingga habis. Manakala 80% daripada baki 1% itu sekadar membacanya ala kadar."


    Kalau mahu, gelarlah ia hipotesis kangkung kerana tiada bukti empirik buat masa ini. Tiadalah saya marah adanya.

    Tapi sebelum hendak dikangkung sebegitu rupa, kepada kau-kau berkenaan yang rajin sangat beli buku: Ada atau tidak sekurang-kurangnya 1 buah buku yang dibeli bermusim dahulu - dengan pengecualian terhadap material seperti kamus, ensiklopedia, buku rujukan, manual dan sewaktu dengannya[1]- yang masih belum dilumat isinya dari kulit ke kulit? Atau jika kau baca kesemuanya, boleh atau tidak kau fahamkan kepada orang lain akan isi-isi penting sebuah buku yang selamat kau khatam pada tahun lepas?

    Jangan buat lawak: Buku seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Harry Potter dan Twilight, tak masuk pot dalam hipotesis liar itu. Kau juga jangan angau sendiri dengan mendabik dada kerana membaca paling kurang 24 buah buku setahun, tetapi bila ditanya apakah ia, majoritinya dari spesis fiksyen tulen.

    Apa pun, definisi membazir ini mudah sahaja. Beli tapi tak guna, maka itulah membazir. Namun tidak seperti kau memborong baju dan kasut berpeti-peti, tiada siapa akan menuduh kau terjelopok di dalam lubang konsumerisme apabila kau membeli buku berkati-kati tapi tak habis dibaca. Sebabnya, ia adalah pembaziran termulia di atas muka bumi ini [2].

    Rugi, bila beli tapi tak baca! Ruginya macam sekadar membelek sahaja 3 course dinner yang kau pesan di Burj al-Arab. Dalam nada yang lebih provokatif: Ruginya macam kau kahwin tapi tak tidur sama.
    ---

    Ada Buku 3. Dulu sudah ada Buku 1.

    Nota Kaki

    ^[1] Bukan semua buku yang dibeli harus dibaca dari depan sampai belakang. Sir Francis Bacon mengungkapkannya dalam bait yang lebih baik:
    Some books are to be tasted, others to be swallowed, and some few to be chewed and digested: that is, some books are to be read only in parts, others to be read, but not curiously, and some few to be read wholly, and with diligence and attention.

    ^[2] Jenis yang paling mulia di kalangan pembaziran termulia ini adalah apabila buku yang dibeli itu adalah al-Quran. Tapi ini bergantung kepada situasi. Contoh:
    • Beli al-Quran yang sangat mahal dan cantik untuk hantaran kahwin. Namun sesudahnya, langsung tidak disentuh.
    • Sedekahkah al-Quran untuk surau atau masjid yang mana jumlah al-Quran yang sedia ada itu sendiri sudah berkali-kali ganda berbanding purata jemaah yang hadir. Lagi baik kau sedekah sahaja kepada masjid/surau itu dalam bentuk duit. Kalau mereka rasa al-Quran tidak cukup, pandai-pandailah mereka beli.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Buku 1: Nikmat

    11 Disember 2009 • 11 Komen
    Terima kasih Gadl!

    Beberapa bulan lalu, saya memperbaharui semula keahlian di Perpustakaan Raja Tun Uda setelah hampir 9 tahun tidak melakukannya. Beberapa kawan saya mengetahuinya. Lalu ada yang gelak, senyum tersinis-sinis macam anak dara sunti dapat kenyitan mata seorang mat kumbang.

    Mereka agak pelik kerana saya sudah pun berkerja dan tidak belajar lagi. Justeru, mahu buat apa lagi pergi merewang ke perpustakaan? Mahu buat apa lagi pinjam buku?

    Kasihan.

    Mereka sudah terlepas satu nikmat daripada 1001 nikmat yang ada di dunia ini: Nikmat membaca; iaitu sejenis nikmat yang boleh buat kau rasa lebih bijak daripada orang lain, namun dalam masa yang sama boleh buat diri rasa bodoh sebab barulah kau sedar banyak benda yang kau tidak tahu tentang dunia dan kehidupan ini.

    Pandai-pandailah untuk kau seimbangkan dua kesan nikmat itu supaya hati tidak ujub.
    ---

    Ada Buku 2. Tunggu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »