Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Kempen Menjauhi Friendster 2

    24 April 2007 • 103 Komen
    * Artikel ini adalah sambungan kepada episod 1 yang lebih banyak menghuraikan Friendster dari latar sejarah.
    ---

    Sebab utama saya meninggalkan Friendster adalah demi menjamin kualiti sebuah ikatan persahabatan. Bagi saya, Friendster membuatkan saya kurang menghargai rakan-rakan, sama ada yang dekat atau jauh, yang mengelilingi diri saya. Sejak zaman turunnya Nabi Adam dari syurga, dan sejak manusia buat kali pertama tinggal di atas muka bumi, ikatan persahabatan tidak berfungsi seperti hari ini.

    Di zaman mereka, persahabatan bermakna pertemuan dan perpisahan. Kadang-kala perpisahan itu ada pertemuannya sekali-sekala, dan kadang-kala terus lesap macam asap. Persahabatan hari ini, yang dibantu dengan teknologi Friendster menjadikan erti persahabatan itu sebagai sebuah pertemuan (dan sebuah pertemuan), dan tiada perpisahan. Akibatnya, persahabatan menjadi online 24 jam, 7 hari seminggu, walaupun seorang di benua Amerika, dan rakannya itu pula di benua Asia.

    Bagi saya perpisahan (atau lama tak jumpa dan tahu khabar) menjadikan saya menghargai rakan-rakan yang ada. Saya dapat merasakan perbezaan ketara apabila bertemu dan berbual di dunia nyata dengan rakan yang ada di dalam senarai Friendster saya berbanding rakan yang tiada Friendster. Borak saya dengan rakan bukan Friendster, yang lama tidak berjumpa, adalah lebih bermutu dan menyeronokkan. Ini memandangkan saya tidak tahu langsung apa-apa tentang perkembangan dirinya. Jadi perbualan akan lebih menarik. Dan inilah dia persahabatan! Kamu bertemu, kamu berpisah, dan kemudian kamu bertemu lagi untuk bersembang hal-hal menarik sepanjang kamu berpisah.

    Kalau kamu sudah tahu bahawa rakan kamu sudah berkahwin dan sudah ada anak, dan anda tahu berita gembira ini hanya dengan melihat profil Friendsternya, apakah tidak pelik dan janggal untuk bertanya kepadanya apabila bersua muka di alam nyata, "Eh, engkau dah kahwin ke?" Saya rasa tidak seronok mengetahui berita tentang rakan saya hanya dengan melihat profil dan gambar-gambar yang diletakkan di profil mereka. Memang faedahnya kita akan dapat mengetahui perkembangan terkini sahabat handai, tetapi adakah PERLU bagi kita untuk mengetahui perkembangan mereka pada setiap bulan, atau pada setiap minggu, atau pada setiap hari, atau pada setiap jam? Adakah perlu? Dan adakah ini menjamin kualiti dalam persahabatan?

    Kualiti Persahabatan

    Saya berpendapat persahabatan begini kurang kualitinya. Saya lebih rela lama tidak berjumpa kawan yang saya ada dan kemudian tiba-tiba berjumpa mereka 10 tahun di akan datang. Ini lebih menarik dan mengujakan. Berjumpa kawan, sama ada yang jauh atau dekat, tiap-tiap hari di Friendster adalah sesuatu yang sangat membosankan. Ada orang berhujah bahawa sebab utama dia menyertai Friendster adalah untuk mencari semula kawan-kawan lama.

    Memang betul. Friendster meningkatkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan teman-teman lama. Selalunya, apabila mereka bertemu kembali dengan kawan lama di Friendster, mereka akan berasa sangat-sangat terkejut, terkesima, dan teruja. Ada juga rasa riang di dalamnya. Kemudian mereka saling bertukar-tukar testimonial dan mesej dengan sangat kerap.

    Namun, kekerapan ini semakin berkurangan apabila masa semakin menuju ke depan. Testimonial yang pada awalnya saling bertukaran 2 kali sehari, akhirnya bertukar kepada sebulan sekali, dan akhirnya 3 bulan sekali. Dan apabila masa semakin lagi bergerak, testimonial yang pada dulunya memiliki aroma seperti "Eh, bestnya jumpa kau. Apa cerita kau sekarang..bla..bla..bla.. (panjang sangat nak tulis)", akhirnya berubah menjadi "Eh, kau ni memang la. Takkan setakat lalu aje kat profile aku. Alang-alang dah lalu tu, bagi la testimonial".

    Di samping itu, perkembangan sahabat lama kita akhirnya tidak lagi diberitahu in-person. Sebaliknya kitalah yang perlu membuka profil mereka untuk mengetahui apa cerita mereka sekarang. Sounds familiar? Percayalah, dengan tidak memiliki Friendster, anda pasti akan menemui sesuatu yang lebih menarik dan mengujakan dalam setiap ikatan persahabatan yang terjalin.

    Ketika ibu saya kecil, dia memiliki seorang rakan baik. Namun demikian, mereka berdua telah berpisah. Pada satu hari, kira-kira 40 tahun kemudian, ibu saya mendapat panggilan telefon dari seorang wanita. Wah, rupa-rupanya si pemanggil itu adalah rakan ibu saya sewaktu kecil! Dari mana dia dapat nombor telefon rumah saya, saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi, ada udang di sebalik batu rupanya.

    Dia menelefon ibu saya untuk menjemput menghadiri kenduri kahwin anak lelakinya. Anak lelakinya adalah salah seorang anggota kumpulan rap yang sangat terkenal kira-kira 10 tahun dahulu (maaf saya rahsiakan nama kumpulan itu). Sebelum berlakunya kenduri kahwin itu, agak kerap juga ibu saya dan dia berbual di telefon. Selalunya dia yang akan menelefon ibu saya. Tetapi setelah perginya majlis itu, tidak pernah rasanya dia menelefon ibu saya. Apabila kakak saya kahwin pula, ibu saya menjemputnya datang, dan Alhamdulillah, jemputan itu berjaya ditunaikan olehnya.

    Dan kemudian mereka berdua berpisah lagi. Sudah jarang menghubungi. Inilah persahabatan. Bertemu dan berpisah. Datang dan pergi.

    Namun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Perpisahan bukan bermaksud terus melupakan. Sebab itu pepatah Melayu berpesan kepada para suami, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan". Orang tua-tua kita bukan menyuruh suami meninggalkan isteri di rumah untuk menggatal dengan perempuan lain. Sebaliknya, mereka menasihati suami supaya pergi jauh sekali-sekala dari rumah, dan apabila pulang, pasti akan terbit lebih rasa kasih sayang di antara suami dan isteri. Ini kerana jarak dan perpisahan akan melahirkan lebih rasa sayang di hati manusia. Maka, perpisahan juga akan menjadikan sebuah persahabatan itu lebih berkualiti.

    Kesan Psikologi

    Kesan psikologi komuniti sosial maya mungkin masih belum kita rasakannya. Setakat pengetahuan saya, masih tiada lagi sebarang kajian ilmiah untuk mengkaji kesan Friendster, MySpace dan sebagainya kepada psikologi manusia. Saya cuma berteori, kesannya hanya dapat kita lihat kira-kira 20 tahun dari sekarang. Friendster adalah sesuatu yang baru dan ia masih lagi dalam proses bertatih. Belum pun lagi mencecah separuh dekad usianya. Friendster semakin mendapat tempat di hati ramai orang. Semakin ramai orang yang lebih suka bersosial di Friendster dan Yahoo Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan fitrah manusia?

    Kadang-kadang saya berasa aneh apabila melihat gelagat manusia yang begitu asyik melayan rakannya di komputer, sehingga rakan yang ada di sebelahnya dilayan acuh tak acuh (saya juga kadang-kala terjebak dengan perbuatan tak bagus ini). Pernah sekali saya memasuki bilik rakan saya. Di bilik itu ada 3 orang penghuni. Sebelum saya masuk, saya sangka tiada orang di bilik itu kerana senyap sunyi sungguh. Tiada suara manusia. Jika ada semut bersin, mungkin saya akan mendengar bersinan semut itu. Rupa-rupanya, masing-masing sibuk dengan internet, YM dan Friendster.

    Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang ada di sebelah? Saya mahu sembang-sembang dengan mereka pun rasa teragak-agak memandangkan masing-masing sudah hanyut di internet. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk keluar sahaja setelah bertanya satu dua patah soalan yang dijawab secara sambil lewa.

    Dari kesan psikologi yang lain, apa akan terjadi kira-kira 20, 30, 40 tahun dari sekarang, apabila banyak profil di Friendster yang menampilkan profil-profil orang yang sudah mati. Saya rasa, sesuatu yang agak depressing apabila melihat satu demi satu rakan-rakan Friendster kita meninggal dunia. Jika anda adalah rakan MySpace kepada mangsa pembunuhan bersenjata yang dilakukan oleh Cho Seung Hui di Virginia Tech, apa yang mungkin anda rasa sekarang?1

    Membuang Masa

    Masa juga menjadi sebab utama mengapa saya meninggalkan Friendster. Kebanyakkan orang memiliki alasan ini untuk meninggalkan Friendster. Seorang rakan saya, memberitahu bahawa semasa di zaman Friendsternya, secara purata dia menghabiskan 3 jam sehari melayari Friendster. Ya, 3 jam. Oleh kerana sehari ada 24 jam, maka dia menghabiskan 1/8 waktu hariannya di Friendster.

    Saya pula dalam 1 jam sehari. Tapi apa yang saya dapat dalam 1 jam melihat profil sekian-sekian orang, yang kadang-kala tiada kaitan langsung dengan diri saya? Saya mungkin tidak mendapat dosa dengan melihatnya (belum tentu lagi), tapi saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang lagha dan tidak ada manfaat, baik bagi kehidupan dunia mahu pun akhirat. Kalau ada manfaat dunia, masih okay lagi, tetapi apabila saya memikirkan tiada langsung manfaat dunia dan akhirat, lebih bagus saya belajar buat roti canai.

    Di dalam bab fiqh Islam, ada satu masalah furu' yang bersifat khilaf tentang hukum bermain catur. Para fuqaha berbahagi-bahagi pendapat tentang hukumnya. Pendapat majoriti fuqaha mazhab Hanbali adalah haram bermain catur, dan hukum haram ini adalah hukum paling kuat ataupun rajih di dalam mazhab Hanafi. Ada juga ulama yang mengelaskan hukum bermain catur sebagai jatuh dalam grey area. Malah ada juga ulama-ulama besar yang mengatakan harus hukum bermain catur. Dalam mazhab Shafi'i pula, hukum bermain catur tidaklah haram, cuma ia tidak digalakkan.2

    Namun demikian, secara umumnya hukum pelbagai jenis yang dikeluarkan oleh para fuqaha itu ada melibatkan konsep masa. Ulama-ulama ini bimbang kalau-kalau umat Islam terlalu asyik dan leka bermain catur. Para ulama adalah golongan manusia yang benar-benar memahami dan menghargai nikmat masa yang Allah kurniakan ke atas kita. Bagi mereka, satu saat yang digunakan secara sia-sia akan membuatkan manusia menangis dan benar-benar menyesal di hari Akhirat nanti.

    Bayangkan, bagaimana agaknya kalau para ulama yang mengeluarkan hukum bermain catur itu masih lagi hidup pada hari ini, dan kemudiannya mereka melihat pemuda-pemudi Islam menghabiskan banyak masa mereka di Friendster, MySpace, X-Box, PS3, anime, soap opera, Yahoo Messenger, dan sebagainya? Ini realiti remaja Islam sekarang. Perjuangan Islam memerlukan tenaga orang muda. Adakah orang muda Islam hari ini mampu melakukan sehebat Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan kota Istanbul (Constantinople) dari cengkaman Empayar Byzantine ketika usianya baru sahaja 21 tahun?

    Saya sudah pun melepasi had umur 21 tahun, dan saya masih tidak melakukan sumbangan besar kepada Islam. Adakah anda mampu memecahkan rekod Sultan Muhammad al-Fatih, seperti dengan membebaskan kota Palestin dari rejim Zionis pada usia 20 tahun?

    Mungkin itu terlalu besar bagi diri kita. Ibarat mahu mengumpul bintang-bintang di langit. Taqwa kita dan taqwa Sultan Muhammad al-Fatih besar bezanya. Taqwa yang lemah tidak mampu menggentarkan Zionis dan musuh-musuh Islam yang lain. Maka, kita beralih kepada sesuatu yang lebih kecil. Bolehkah kita pada hari ini, sekurang-kurangnya membaca setengah juzuk Al-Quran setiap hari? Angkat tangan siapa boleh!

    Saya tahu, tak ramai yang mampu. Setengah juzuk Al-Quran hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk membacanya. 30 minit terasa seperti 30 jam apabila orang-orang yang berhati kotor membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Aneh bukan? Mungkin ini ada kaitannya dengan teori relativiti yang dikemukakan oleh Albert Einstein. Satu petikan kata-katanya untuk menjelaskan teori relativiti yang kompleks ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ialah:
    "Put your hand on a hot stove for a minute, and it seems like an hour. Sit with a pretty girl for an hour, and it seems like a minute. That's relativity."

    Agaknya pada hari ini, tidak salah kalau saya mengatakan bahawa umat Islam, tanpa mereka sedari telah memiliki satu rumus paradigma: hot stove = Al-Quran, dan pretty girl = Friendster.

    Sebuah Perubahan

    Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tentang Friendster. Tidak mengapa. Saya tidak paksa anda untuk meninggalkannya secara serta-merta. Sebab itu artikel ini bertajuk Kempen Menjauhi Friendster, dan bukannya Kempen Memboikot Friendster. Saya tidak syadid atau keraskan perkara ini kepada anda. Saya hanya syadid pada diri saya sendiri. Saya bimbang kalau-kalau saya ketagih Friendster, maka saya gunakan kaedah cold turkey3 untuk mengatasinya.

    Bagaimana saya mampu untuk menghalang manusia dari menyertai komuniti sosial maya ini, sedangkan ia semakin menjadi budaya kehidupan manusia zaman moden? Pada tahun 2006, carian utama di Google adalah Bebo (tangga pertama) dan MySpace (tangga ke-2)4. Bebo juga merupakan satu lagi rangkaian sosial maya yang semakin meraih populariti masyarakat dunia. MySpace, Bebo, Friendster, dan lain-lain, adalah realiti hari ini.

    Tapi percayalah, hati manusia itu sifatnya sentiasa berubah. Mungkin hari ini anda memandang Friendster itu sebagai sesuatu yang elok dan bermanfaat. Saya juga begitu satu ketika dahulu. Tetapi, apabila alam ini semakin mendewasakan saya, pandangan dan paradigma saya telah berubah. Sama ada kita sedari atau tidak, satu hari nanti kita pasti akan berubah dan menjadi semakin dewasa (hanya semata-mata anda berumur 40 tahun, itu tidak bermakna anda telah dewasa). Muhammad Ali, bekas jaguh tinju termasyhur di dunia pernah berkata:
    A man who views the world the same at fifty as he did at twenty, has wasted thirty years of his life.

    Satu hari nanti, apabila datang detiknya anda tiba-tiba terfikir untuk meninggalkan alam Friendster, maka janganlah ragu-ragu untuk melaksanakannya. Sedangkan pengasas Friendster sendiri, iaitu Jonathan Abrams juga telah meninggalkan Friendster, mengapa anda juga tidak boleh? Apa yang bezanya, selepas Jonathan Abrams meninggalkan Friendster, beliau telah melabur di dalam sebuah kelab malam di San Francisco, iaitu Slide. Dan kemudian mengasaskan satu lagi rangkaian sosial lain, dinamakan Socializr pada tahun 2006.

    Jonathan Abrams mengasaskan Friendster dan Socializr dengan matlamat asalnya yang berbeza. Beliau mendapat idea menubuhkan Friendster setelah dia gagal dalam percintaan. Jonathan Abrams tidak boleh hidup tanpa kehadiran wanita di sisinya. Maka dengan kewujudan Friendster, ia akan membantu Jonathan Abrams untuk mencari teman wanita yang baru yang cantik5. Socializr pula diwujudkan dengan bisnes dan wang sebagai matlamat utama setelah Friendster memasuki zaman suramnya (yang akhirnya membawa kepada penarikan dirinya dari syarikat yang diasaskan olehnya ini).

    Kita selaku umat Islam, janganlah setelah meninggalkan Friendster dan kemudian terlibat aktif pula di dalam MySpace! Kita umat Islam mesti memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan mereka yang bukan Islam. Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq6 di dalam wasiatnya:
    "Berkerjalah di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selamanya, tetapi beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."

    Panduan Mencari Sahabat

    Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan terlebih-lebih kadar. Dan jangan fikir dengan ada beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster anda, itu menandakan anda sangat popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari. Sebab itu Rasulullah saw sendiri pernah bersabda di hampir penghujung usia Baginda, yang maksudnya lebih kurang,
    "Orang yang paling aku percayai adalah Abu Bakar. Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." 7

    Semua umat Islam kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merupakan lelaki pertama yang benar-benar percaya kepada wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah, di kala ramai orang mengatakan Nabi sudah terkena penyakit gila dan schizo. Beliau adalah seorang lelaki yang sanggup mengambil risiko menemankan Rasulullah dalam hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah walaupun dirinya sentiasa berada di dalam keadaan ketakutan sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan Syurga. Beliau adalah seorang lelaki yang apabila dibentangkan Syurga dan Neraka di hadapannya, pasti tidak akan bertambah lagi keyakinannya terhadap segala janji dan ancaman Allah kerana keimanannya sudah berada di tahap paling maksimum. Beliau jugalah yang berkata, "Jika sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata Alhamdulillah."

    Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Siapa yang tidak mahu menjadikan manusia semulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq ini sebagai seorang teman sejati? Namun demikian, apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap mengatakan "Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri. Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.

    Sidi Ahmad al-Zarruq sekali lagi di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).

    Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak memiliki ramai kawan. Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik, buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah. Ini kerana sahabat akan bersama-sama dengan kita dalam susah atau senang. Dan jangan lupa juga bahawa seorang musuh yang kita ada adalah jauh lebih banyak dari 1000 kawan di sekeliling pinggang.

    Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan parasit. Saya pernah sahaja mendengar beberapa kisah sahih tentang persahabatan dunia moden. Dua orang ini siap pernah berbai'ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang lari di waktu kita susah, belum lagi masuk bab kawan makan kawan, atau kawan tikam belakang.

    Sahabat dan Cinta

    Perhubungan sahabat adalah sama seperti perhubungan cinta. Kita tidak menganggap seseorang itu cintakan kita apabila dia melarikan diri apabila kita susah. Begitulah juga dalam persahabatan. Fahami konsep cinta ini, maka kita akan faham tentang konsep persahabatan. Cinta itu lebih asyik berbanding sebuah persahabatan. Dalam cinta, kita akan selalu berjumpa ayat-ayat cinta seperti "Aku akan tetap bersama mu selamanya...dalam susah atau pun senang." Ini janji sehidup semati dalam percintaan. Sedangkan orang yang bercinta (malah yang telah berkahwin) pun boleh berpisah dan bercerai-berai, maka apatah lagi dalam hubungan persahabatan.

    Sifat cinta adalah setia dan patuh kepada insan yang dicintainya. Seorang wanita pernah bertanya kepada seorang penyair tentang bagaimana kita mahu tahu sama ada seseorang itu benar-benar mencintai dirinya dengan sebenar-benar cinta. Dan penyair itu menjawab:
    "Jika si dia berasa yang dia pasti mati jika tidak meminum air disebabkan kehausan, dan kemudian engkau berkata kepadanya, "Jangan minum air itu", maka dia tidak akan minum air itu".
    Inilah yang dinamakan cinta. Dan inilah juga intisari ikatan persahabatan. Persahabatan dan percintaan yang hakiki tidak akan berubah apabila situasi berubah. Pengajarannya, berhati-hatilah dalam mencari cinta dan persahabatan di dalam dunia ini.

    Ikatan persahabatan dan percintaan (yang palsu) berubah apabila situasi berubah kerana kebanyakkan manusia melihat sesuatu perkara, masalah dan isu mengikut dari kaca mata dirinya sahaja. Dengan kata lain, kebanyakkan manusia mementingkan diri sendiri, atau pun selfish. Oleh itu, apabila memulakan sebuah persahabatan dan percintaan, jangan terus menganggap bahawa mereka akan benar-benar memahami diri kita.

    Lain tempat tegak, lain barang yang nampak. Dunia dia dan dunia anda mungkin berbeza. Tapi tak mustahil anda dan dia mempunyai aspirasi yang sama. Lihat sahaja sejarah perkembangan Islam oleh Rasullullah di Mekah selama 13 tahun, dan di Madinah selama 10 tahun. Bagaimana caranya dalam tempoh 23 tahun itu, Rasulullah berjaya menyatukan penduduk tanah Arab yang terdiri dari pelbagai puak yang saling bercakaran dan dibelit pula dengan fahaman fanatik asobiyyah, menjadi satu ummah yang diikat kukuh dengan tali akidah kepada Allah yang satu?

    Ini kerana mereka yang memeluk Islam itu memiliki aspirasi yang sama. Aspirasi mereka adalah untuk mencari keredhaan Allah, dan seterusnya mudah-mudahan mendapat balasan syurga dan terlepas dari azab api neraka. Dengan aspirasi inilah kaum Ansar sanggup mengorbankan apa sahaja demi menolong orang-orang Muhajirin. Ya, apa-apa sahaja, sehingga ada kaum Ansar yang mahu menceraikan isteri mereka untuk diberikan kepada orang-orang Muhajirin yang masih bujang. Kaum Ansar ini tidak gila, tetapi mereka telah benar-benar memahami konsep persaudaraan dan persahabatan yang hakiki.

    Melalui aspirasi itu jugalah, umat Islam yang pada mulanya hanya ada seketul dua jumlahnya, akhirnya meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang yang berpayung di bawah akidah tauhid yang sama. Seluruh tanah Arab berjaya di Islamkan. Ketika berlakunya Haji Wida' tahun 10 Hijrah, iaitu haji terakhir yang dihadiri oleh Rasulullah sebelum kewafatannya pada tahun 11 Hijrah, sekurang-kurangnya 120,000 orang telah bersama-sama Nabi mengerjakan haji tersebut. Kadang-kadang, amat aneh memikirkan bagaimana dalam tempoh 2 dekad sahaja, umat Islam di tanah Arab mampu mencapai tahap yang sangat gemilang. Dan saya percaya, ia adalah disebabkan aspirasi mereka yang sama. Dan aspirasi inilah yang mampu menjadi kunci untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di muka bumi ini.

    Sahabat yang Patut Dicari

    Sahabat yang patut kita cari adalah sahabat yang berkawan dengan kita bukan kerana kekayaan, kepopularan, kehenseman, dan kecomelan yang kita ada. Kekayaan boleh hilang serta-merta. Begitu juga dengan populariti. Maka apabila kekayaan dan populariti ini hilang, kita juga akan kehilangan sahabat. Dan jangan juga berkawan dengan seseorang itu hanya semata-mata dia hensem, kacak, cantik dan comel. Semua benda ini akan pergi satu hari nanti. Orang yang dilahirkan cantik, jangan bermegah dan suka menunjuk-nunjuk. Sila merendah diri dan jangan gedik. Cantik sebenarnya adalah satu masalah besar bagi diri manusia.

    Cantik itu ibarat dilahirkan dari perut ibu sebagai seorang yang kaya-raya, dan kemudian kekayaan itu semakin surut apabila umur bertambah, dan tiada langsung cara untuk menambahkan kekayaan yang semakin beransur-ansur hilang itu. Pepatah orang putih mengatakan, "Beauty is only skin-deep". Maksudnya, kacak dan cantik itu hanyalah setebal kulit. Apabila kulit manusia yang setebal kira-kira 2mm ini disiat dari badan, maka apakah beza di antara si Beauty dan si Beast? Maka berhati-hati dengan kecomelan yang anda miliki.

    Sahabat yang baik patut menjadi cermin kepada diri kita. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu hadith yang sering dipetik oleh umat Islam, iaitu "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain." Tanya diri anda, apa tujuan anda melihat cermin?

    Kita melihat cermin bukan untuk melihat kecantikan diri kita. Kita melihat cermin untuk membetulkan apa-apa yang tidak kena pada wajah dan badan kita, atau pada pakaian yang kita kenakan. Ini fungsi hakiki cermin. Jika anda melihat cermin untuk melihat kecantikan diri anda, dan kemudian rasa perasan yang anda ini cantik, comel atau kacak, maka apa beza di antara anda dan Wicked Queen dalam kisah dongeng Snow White? 8

    Oleh sebab itu Nabi mengatakan bahawa seorang mukmin adalah cermin bagi orang mukmin yang lain. Apabila berjumpa dengan seorang mukmin yang lain, jadikan mereka sebagai cermin. Lihat perkara-perkara yang baik pada diri mereka, lalu pantulkan kebaikan itu pada diri anda. Mudah-mudahan pantulan itu akan membuatkan anda menyedari perkara-perkara buruk dalam hidup anda yang mesti anda perbaiki.

    Untuk anda menjadi cermin kepada mukmin yang lain, maka anda juga mahu tidak mahu perlu juga berubah menjadi lebih baik dari semalam. Apabila semua mukmin saling berfungsi seperti cermin, maka semakin indahlah akhlak masyarakat Islam yang ditonjolkan kepada masyarakat bukan Islam. Indahnya akhlak akan membawa kepada perkembangan ummah yang lebih sihat dan progresif.

    Kesimpulannya, agak sukar bagi kita untuk melihat keburukan dan aib diri sendiri tanpa ada cermin. Dan cermin itu adalah saudara mukmin kita. Dengan cermin, barulah kita boleh melihat siapa kita. William Shakespeare ada menulis satu perkara berkaitan cermin di dalam salah satu karyanya yang popular, iaitu Macbeth. Katanya lebih kurang, "Tuhan telah menetapkan bahawa manusia hanya boleh melihat wajahnya melalui cermin". Dengan kata lain, kita tidak akan sama sekali boleh melihat wajah sendiri dengan mata kita. Kita hanya boleh melihat wajah sendiri melalui refleksi yang dihasilkan melalui cermin.

    Kita tidak boleh melihat wajah sendiri. Tetapi orang lain yang ada di sekeliling kita boleh melihat wajah kita. 'Orang lain' ini berpotensi menjadi cermin bagi diri kita. Sebaik-baik cermin adalah orang-orang mukmin. Maka pilihlah 'cermin' itu berhati-hati. Cermin yang baik akan menyedarkan kita tentang keaiban yang ada pada diri. Kurangkan bergaul dan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai banyak 'cermin-cermin rosak dan dusta'. Cermin-cermin sedemikian saya sifatkan sebagai cermin yang digunakan oleh Perseus untuk membunuh Medusa. Siapakah Medusa?

    Medusa adalah satu makhluk jahat dalam mitos Greek. Medusa memiliki rambut ular dan wajahnya begitu hodoh. Manusia yang memandang Medusa akan berubah serta-merta menjadi batu. Oleh itu Perseus menggunakan pelindung cermin dalam usahanya membunuh Medusa. Dengan melihat pantulan imej Medusa di dalam cermin (dan tidak memandang tepat ke arah Medusa bagi mengelakkan disumpah menjadi batu), Perseus akhirnya berjaya memenggal leher Medusa. Inilah cermin yang membawa kepada kemusnahan Medusa. Dan 'cermin-cermin rosak dan dusta' yang saya sebutkan di perenggan sebelumnya juga boleh membawa kemusnahan kepada diri kita jika tersilap langkah. Cermin rosak dan dusta ini dihasilkan oleh kaki-kaki maksiat dan lagha. Maka, cari dan berkawanlah dengan orang-orang yang mukmin dan soleh. Mudah-mudahan kita mendapat sebaik-baik cermin. Jangan biarkan diri anda terbunuh seperti Medusa.

    Sahabat Hakiki

    Biar apa pun jenis sahabat yang anda miliki, tetapi ketahuilah bahawa sahabat baik yang sebenar bagi seseorang manusia itu adalah amal solehnya. Inilah sebaik-baik teman, dan ia juga adalah sebaik-baik bekal bagi kita untuk bertemu dengan Allah. Ini seperti mana kisah Hatim al-'Assam yang terdapat di dalam kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali. Hatim al-'Assam adalah seorang sahabat baik kepada Syaqiq al-Balkhiy.

    Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Kamu telah bersahabat denganku selama 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?" Jawab Hatim al-'Assam, "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat nanti."

    Dan ini perkara pertama dari 8 perkara itu. Untuk 7 perkara lagi, sila dapatkan kitab itu di kedai buku berhampiran (tak tebal pun kitab tu).
    Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya. Lalu aku berfikir, "Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal solehku."

    Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.

    Sebagai satu kesimpulan, tulisan ini bukan bertujuan untuk mengajak para pengguna Friendster, MySpace, Facebook, dan sebagainya, untuk terus memboikotnya jauh-jauh. Sebaliknya hanya untuk memberikan satu kesedaran bahawa Friendster itu adalah satu alat, dan bukannya matlamat. Maka, jika Friendster adalah satu alat, adakah wajar untuk kita menghabiskan masa yang begitu lama, setiap hari di situ? Dan tulisan ini dibuat bagi menyedarkan diri saya, dan mudah-mudahan mampu memberikan sesuatu yang berguna juga kepada orang lain.

    Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-moga kita bertemu dengan seorang sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!

    Nota Kaki

    1 Online Snapshots of VT.
    http://blog.wired.com/27bstroke6/2007/04/online_snapshot.html

    2 Untuk penjelasan lebih lanjut tentang hukum bermain catur, sila baca
    Chess in the Light of the Jurist oleh Sheikh Hamza Yusuf. Download PDF.

    3
    Cold turkey adalah satu slanga English yang merujuk kepada kaedah membuang ketagihan secara serta-merta. Contohnya, jika anda mahu cold turkey dalam ketagihan merokok, maka anda akan terus buang rokok itu jauh-jauh, terus tidak menghisapnya. Jika anda mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara beransur-ansur, ini bukanlah dipanggil cold turkey. Cold turkey memerlukan keazaman yang tinggi.

    4
    Social networks top Google search.
    http://news.bbc.co.uk/2/hi/technology/6189809.stm

    5 Kenyataan hartawan Mark J. Pincus, seorang usahawan yang banyak melabur dalam Friendster:
    "Basically, Jonathan wanted to meet girls. He told me himself, he started Friendster as a way to surf through his friends’ address books for good-looking girls." dari Wallflower at the Web Party.

    6 Sidi Ahmad al-Zarruq (846-899 Hijrah) adalah seorang ulama besar kelahiran Fez, Maghribi. Beliau bermazhab Maliki dan juga merupakan salah seorang sheikh besar dalam tariqat Shadhili. Jasanya lebih harum dalam bab tasawwuf, namun demikian beliau juga adalah seorang pakar hadith dan fiqh. Diberi nama timangan sebagai Muhtasebul ulama' wal awliya yang bermaksud orang yang membetulkan para ulama dan para wali. Beliau merupakan satu-satunya ulama yang mendapat gelaran ini.

    Ada juga para ulama lain yang diberikan nama timangan, seperti Imam al-Ghazali dipanggil Hujjatul Islam. Di dalam sistem tradisi Syiah, ada juga ulama mereka yang dipanggil Hujjatul Islam. Tetapi dari segi tradisi Sunni, apabila disebut Hujjatul Islam, maka ia merujuk kepada Imam al-Ghazali sahaja. Di zaman moden, Syeikhul Islam lebih merujuk kepada Imam Ibnu Taimiyyah. Namun demikian, secara tradisinya ia tidak begitu. Sheikhul Islam adalah istilah yang lebih meluas penggunaannya. Antara para ulama lain yang digelar dengan Sheikhul Islam adalah seperti Sheikh Zakariyya al-Ansari, Qadi Iyad, Imam Ibnu Hajar 'Asqalani, dan Imam Futuhi al-Hanbali.

    7
    Habib Ali al-Jufri ada menyentuh perkara ini dalam satu ceramahnya. Jangan bimbang, ceramah ini ada sarikata Bahasa Melayu.
    http://www.youtube.com/watch?v=zH9BtuUHMsk

    8
    Wicked Queen selalu bertanya kepada cermin yang dimilikinya, "Cermin ajaib yang ada di dinding, siapakah wanita paling cantik? (Magic mirror on the wall, who is the fairest one of all?)" Selalunya cermin itu menjawab Wicked Queen adalah wanita paling cantik di dunia (padahal sebaliknya). Apabila pada satu hari cermin itu mengatakan Snow White adalah wanita paling cantik di dunia, Wicked Queen menjadi begitu cemburu dan marah.

    Ini merangsangnya untuk menghasilkan sebiji epal beracun untuk diberikan kepada Snow White. Snow White memakan epal itu dan menyebabkan dia jatuh koma, sehinggalah ada seorang putera raja yang berjaya menyedarkannya semula. Hampir semua orang mengetahui kisah ini, tetapi tak semua orang sedar bahawa:
    Perasan Cantik + Penyakit Hati = Kebinasaan, kerana akhirnya Wicked Queen terbunuh disebabkan sifat hasad yang ada di hati.
    ---

    Berhibur Setelah Membaca

    Pesan Abang oleh Sudirman. Abang Tawel Sensei tak pandai berpesan, maka terpaksa gunakan lagu ini untuk menyampaikan pesan kepada diri sendiri dan orang lain. Apa pun, hargailah waktu muda kita sebaiknya. Masa yang pergi tidak akan kembali

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pesanan Kepada Dunia

    19 April 2007 • 6 Komen
    Orang tua-tua kata, rumah jangan ditinggalkan pergi lama-lama. Nanti ada jin bertandang dan bersarang di situ. Betul atau tidak, rahsianya hanya Allah yang tahu. Tapi dari koleksi kajian dan kisah paranormal yang saya baca, begitulah nampaknya. Makhluk halus memang suka bersantai di tempat yang kurang/jarang ada kelibat manusia. Tapi kalau tempat yang ada banyak sangat manusia, ditambah pula dengan benda-benda lagha, kadang-kadang manusia pula yang berperangai macam jin.

    Jadi untuk mengelakkan blog ini ada jin bertandang sebab jarang update, maka saya membuat keputusan untuk menulis sesuatu, walaupun sebenarnya sekarang ini saya agak disibukkan dengan satu projek yang membuatkan saya jarang berada di rumah.

    Tadi singgah di blog Bro Dhuat. Ada satu lagu yang amat menarik minat hati saya: Pesanan Kepada Dunia yang didedikasikan kepada mangsa tsunami 2004. Dengarkan:



    Dunia hari ini kadang-kadang kita rasa amat berkecamuk dan mengelirukan. Mungkin ada betulnya. Perang di sana-sini. Pembunuhan di sana-sini, yang paling terbaru adalah di Virginia Tech, Amerika. Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di situ. Itu kisah kematian. Dari segi kemiskinan dan kebuluran yang melanda dunia ini, terutama di benua Afrika, pasti akan buat kita berasa lebih sedih apabila mengenangkannya. Hai, bersyukurlah dengan segala nikmat yang kita ada ini. Dan jangan lupa mendoakan kebaikan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

    Sekian entri ringkas. Semoga saya diberikan kekuatan dan kelapangan masa bagi menyambung entri berkaitan Friendster. Nantikan episod 2.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Ustaz Wan Mohd Shaghir

    13 April 2007 • 7 Komen
    *Dipetik dari Bahrus Shofa. Untuk membaca hasil tulisan Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shaghir, boleh melawati blog Ulama Nusantara yang diusahakan oleh saudara MFR.

    ** Sila lawati juga blog Al-Bazrah.

    Khamis, 24 Rabi'ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007, kita kehilangan satu lagi tokoh ilmuwan lagi ahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka. Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah rahimahUllah cukup besar jasanya dalam memperkenalkan para ulama kita di Nusantara dan karya-karya mereka.

    Boleh dikatakan umur beliau telah dihabiskannya untuk tujuan tersebut kerana kesedarannya terhadap khazanah yang terkandung dalam kitab-kitab karya ulama silam kita dan jasa-jasa mereka.

    Semua ini dibuatnya tanpa memikir ganjaran duniawi buat dirinya, semuanya dilakukan dengan ikhlas dan kerana cintanya kepada para ulama tersebut. Beliau mahu agar khazanah peninggalan ulama tersebut terus dihayati oleh generasi kini dan yang akan datang. Agar masyarakat mengenali kehebatan ulama terdahulu dan sumbangan mereka terhadap umat Nusantara dalam menyebar dan memartabatkan Islam di rantau ini.

    Beliau telah mengembara ke berbagai tempat untuk mengkaji, mengumpul maklumat dan bahan. Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu. Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan. Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.

    Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Selain menulis buku, beliau juga aktif mengadakan seminar, membuat kertaskerja-kertaskerja dan menulis berbagai rencana dan artikel. Tulisan-tulisannya pernah mengisi majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Majalah Dakwah, Al-Islam dan Jurnal Dewan Bahasa. Dan sejak beberapa waktu dahulu, Utusan Malaysia setiap Isnin memuatkan tulisan beliau memperkenalkan para ulama kita terdahulu.

    Dengan ilmu dan bahan yang diperolehnya, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir boleh dianggap sebagai pakar rujuk manuskrip klasik Melayu dan ulama Nusantara. Apa tidaknya, beliau menjadi tumpuan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alam Melayu. Bahkan, tidak kurang 500 pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia yang mendapat khidmatnya untuk membuat thesis dan bahan pengajaran mereka.

    Maka sewajarnya, jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya kita kenangkan dalam benak sanubari kita. Pemergiannya kembali ke hadrat Allah s.w.t. merupakan satu kehilangan kepada dunia Islam amnya dan dunia Melayu khasnya. Mudah-mudahan Allah membalasi beliau dengan sebaik-baik balasan dan menempatkan beliau bersama dengan para ulama yang beliau kasihi dan para sholihin. Juga semoga sepeninggalan beliau, tempatnya dijadikan ada penggantinya. Allahumma ....aamiin ...... al-Fatihah.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Is Islam.. Is Malaysia..

    10 April 2007 • 5 Komen
    Dua perkara yang penting dalam hidup saya: Islam dan Malaysia. Apa kata dunia tentang Islam dan Malaysia secara umumnya? Sheikh Google Suggest ada jawapannya.

    IS ISLAM...



    Jadi apa yang kita boleh belajar tentang keputusan ini? Secara umumnya kita boleh kata bahawa dunia tertanya-tanya adakah:
    • Islam itu satu agama?
    • Islam agama yang membawa keamanan atau keganasan?
    • Islam adil atau tidak kepada wanita?
    Jadi ini patut menjadi fokus dakwah kita, terutamanya bagi mereka yang tinggal di Barat/negara bukan Islam.

    Jika sekadar menaip perkataan 'is..' sahaja (taip is + spacebar), maka keputusan kedua paling tinggi ialah is there a god, dengan 647,000,000 results. Keputusan ini secara kasarnya boleh menunjukkan bahawa semakin ramai orang yang mahu mencari kebenaran Tuhan dan juga yang mencari kebenaran Tuhan tidak wujud. Golongan yang mana lebih banyak, tidaklah dapat dipastikan.


    IS MALAYSIA...



    Nampaknya, Kementerian Pelancongan mungkin akan mengalami detik-detik sukar untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007. Sejak dulu sampai sekarang, ada lagi rupanya yang masih tidak tahu bahawa Malaysia itu sebuah negara. Dan masih ada lagi yang menyangka bahawa Malaysia terletak di dalam Singapura.

    Malaysia di dalam Singapura? Ibarat memasukkan gajah dalam peti ais. Hai, kadang-kala penat juga melayan mat saleh yang bertanyakan di mana Malaysia. Akhirnya, Singapura juga yang terpaksa dijadikan rujukan. Mungkin selepas ini, kalau ada mana-mana orang putih yang bertanyakan kepada saya di mana Malaysia, saya akan menjawab, "Sila gunakan Google Bumi."

    Apa pun, ini bukan keputusan saintifik. Hanya boleh memberikan gambaran kasar sahaja. Kalau taip is Singapore.., keputusannya pun lebih kurang dengan Malaysia juga. Apa yang boleh kita faham di sini, Malaysia dikaitkan dengan Singapore, safety, third world country, dan Islamic country.

    Dan jika Islam pula, ia dikaitkan dengan religion of peace, evil, dan fair to women. Apa kata anda pula yang cuba bereksperimentasi, seperti is George Bush.., dan lihatlah dunia mengaitkan Bush dengan apa.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Ala Emak Kahwinkan Aku

    14 Komen
    Hanya ada 3 perkara paling utama dalam kehidupan manusia. Kelahiran, perkahwinan dan kematian. Tak semua orang melalui alam perkahwinan, tetapi kelahiran dan kematian adalah sesuatu yang pasti.

    Ummah Films dah keluarkan episod terbarunya. Hai, bila tengok video ni, tertanya-tanya pula pada diri sendiri. Bila aku nak kahwin ni? Yang pasti, bukan dalam masa terdekat. Episod ini menyentuh 'campur-tangan yang tidak diundang' dari pihak ayah dan ibu dalam hal ehwal perkahwinan anak.

    Kebanyakkan isi yang disentuh memang masalah umum. Tetapi ada juga yang lebih merujuk kepada sosio-budaya tempat asal Baba Ali (iaitu watak dalam video ini), iaitu dalam masalah forced marriage (kahwin paksa). Jika saya tidak silap, Baba Ali adalah berbangsa Pakistan. Negara-negara dari wilayah Indo-Pak seperti India, Pakistan, Bangladesh memang mengalami masalah kahwin paksa. Anak tak suka dengan jodoh yang dipilih mak ayah, tapi kena paksa juga. Boleh baca laporan BBC.

    Most of the parents make the halal thing (marriage) harder to reach, and yet they don't want you to indulge in haram things (such as fornication). Ini isi penting yang dibebelkan oleh Baba Ali.

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kempen Menjauhi Friendster 1

    08 April 2007 • 15 Komen
    Saya masih ingat lagi detik-detik saya menyertai komuniti maya Friendster pada tahun 2004, kira-kira 2 tahun selepas kompeni Friendster diasaskan di Lembah Silikon, California. Tetapi pada akhir tahun 2006, saya telah membatalkan akaun saya, dan kira-kira 2 bulan selepas itu saya menyertainya semula. Dan pada bulan lepas, saya buat keputusan dengan sebulat-bulatnya untuk tidak langsung mengambil tahu tentang Friendster dalam hidup saya.

    Saya telah pergi selama-lamanya dari Friendster.

    Sejarah Friendster

    Friendster diasaskan pada tahun 2002 oleh Jonathan Abrams yang merupakan salah satu nama penting di Lembah Silikon. Sebelum Friendster, terdapat juga beberapa lagi laman-laman web rangkaian sosial seperti Six Degrees dan SocialNet. Tetapi malangnya rangkaian sosial tersebut gagal mendapat sambutan kerana pengguna dan teknologi yang ada pada waktu itu masih belum begitu bersedia.

    Friendster berjaya kerana ia diwujudkan pada waktu yang sangat tepat; waktu di mana kemudahan internet sudah menjadi semakin murah disebabkan oleh perkembangan teknologi jalur lebar, waktu di mana teknologi web sudah mula berevolusi kepada Web 2.0, dan juga waktu di mana para pengguna internet sudah semakin memahami apa itu internet. Kejayaan Friendster kemudiannya telah mendorong satu usaha Malaysia Boleh, dan dengan itu wujudlah Kawanster yang lebih menjadikan rakyat Malaysia sebagai niche. Tetapi Kawanster tidak begitu mendapat sambutan.

    Bukan setakat di Malaysia, hatta di Lembah Silikon sekali pun, Friendster adalah di antara syarikat yang sering disebut-sebut namanya. Kejayaan Friendster kemudiannya membawa kepada penubuhan MySpace pada bulan Julai 2003. Oleh itu, tidak hairan pada tahun 2003, Google telah cuba untuk membeli kompeni Friendster pada harga USD 30 juta. Namun demikian, Jonathan Abrams telah menolak tawaran lumayan Google.

    Ramai pakar berpendapat bahawa tindakan beliau agak kurang bijak. Ini kerana jika beliau menjual Friendster kepada Google dengan harga yang ditawarkan itu, iaitu 30 juta dolar, Jonathan akan mendapat kekayaan mudah, memandangkan tawaran itu berlaku kira-kira setahun selepas Friendster diasaskan. Dan apa yang penting, Google juga boleh menyuntik lebih banyak teknologi, kemahiran dan pengalaman ke dalam Friendster. Ini seperti mana yang berlaku apabila Google membeli YouTube pada harga USD 1.6 bilion pada tahun 2006, iaitu 20 bulan selepas YouTube ditubuhkan.

    Pada hari ini, MySpace yang pada dahulunya lebih merupakan copy-cat, telah berjaya mengatasi populariti Friendster. Strategi pemasaran yang lemah, di samping kelewatan memperkenalkan teknologi terbaru kepada pengguna, telah menjadi punca mengapa Friendster menjunam jatuh. Pada tarikh artikel ini ditulis, MySpace menduduki tangga ke-5, manakala Friendster di tangga-26, jika diukur dari segi jumlah pelawat yang datang setiap hari.

    Secara geografi pula, MySpace memiliki lebih banyak ahli dari Amerika. Friendster pula lebih banyak disertai oleh para pelawat dari bahagian Asia Tenggara, seperti Filipina, Malaysia, Indonesia, dan Brunei. Filipina adalah negara yang mendominasi dunia Friendster. Friendster adalah antara budaya siber (cyberculture) yang melanda Filipina. Perkara yang sama juga sedang berlaku di Malaysia.

    Anak muda mana yang tidak ada Friendster?
    ---

    Bersambung di Episod 2
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Menipu Penyamun

    06 April 2007 • 8 Komen
    Salah satu petua untuk menipu penyamun adalah dengan menyembunyikan wang yang anda bawa. Sorok duit dalam stokin atau dalam kasut sudah lapuk. Dan kadang-kadang membawa dompet pendua pun sudah tidak selamat. Penyamun sudah semakin cerdik. Banyak makan Ginkgo Biloba agaknya. Jadi, apa kata sembunyikan duit dalam pen seperti ini:

    duit pen fosisKebanyakkan orang tak akan menyangka dalam pen ada duit. Taktik ini mungkin boleh digunakan kalau anda terpaksa melalui jalan yang agak sunyi dan dodgy di waktu malam, dan pada masa yang sama membawa wang tunai beratus-ratus RM.

    Pastikan pen yang digunakan adalah bersaiz besar dan bukan lutsinar. Gulung wang tu kecil-kecil. Taktik ini Insya-Allah berjaya kalau penyamun tersebut tidak membaca entri ini ;).

    Setelah berusaha, pastikan berdoa agar tidak bertembung dengan mana-mana penyamun jalanan, dan kemudian bertawakal. Kalau penyamun itu dapat tahu ada duit dalam pen, maka itulah takdir Allah. We can cheat the robbers, but we can't cheat Allah. Yang penting kita sudah berusaha dan bertawakal.

    Imam al-Ghazali kata, tawakal itu ialah menetapkan segala keyakinan kita kepada Allah dan semua yang dijanjikan-Nya. Maksudnya, segala apa yang telah Allah tentukan kepada kita, pasti akan kita perolehi, walaupun semua makhluk yang ada di dunia ini cuba menghalangnya. Dan segala apa yang tidak Allah tentukan kepada kita, pasti tidak akan kita perolehi, biarpun seluruh isi alam ini berusaha menolong kita untuk mendapatkannya.

    Allahu Akbar. Alangkah mudahnya hidup ini jika manusia memahami maksud tawakal. Tapi bukan mudah jang ooi. Kalau iman tak kuat, mana mungkin tawakal juga boleh kuat. Apa pun, siapa-siapa yang ada petua bagi menipu penyamun tarbus, silalah kongsinya di sini.


    TERIMA KASIH

    gambar kitab islamTerima kasih banyak-banyak kepada seorang kakak ni yang menghadiahkan saya kitab The Key to Arriving at the Door of the Messenger s.a.w. yang sangat bernilai. Katanya, sempena Maulidur Rasul. Jazakumullah hu khairan kathira. Speaking Arab sikit. Cuma saya tertanya-tanya, Volume 1 buku ini boleh didapati di mana?

    Dan terima kasih juga kepada yang membawa buku ini dari UK dan kemudian menghantarnya pula sehingga ke hadapan pintu rumah. Semoga Allah membalasnya dengan sesuatu yang baik juga.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Matahari Mengelilingi Bumi

    03 April 2007 • 26 Komen
    Mencari sesuatu maklumat di internet tadi. Tiba-tiba termasuk dalam satu blog pro-Wahhabi. Salah satu artikel copy-paste yang diletak di situ adalah berkenaan Benarkah Bumi Mengelilingi Matahari. Wah, sungguh-sungguh dia mempertahankan bahawa matahari yang mengelilingi bumi, dan bukan bumi mengelilingi matahari, dengan mempergunakan hujah-hujah oleh salah seorang tok sheikh beraliran Wahhabi yang terkenal.

    Download artikel berkenaan: BENARKAH BUMI MENGELILINGI MATAHARI?

    Saya tak buat direct link ke blognya atas sebab-sebab tertentu. Tapi link ada dalam dokumen tu. Tidak ku sangka-sangka ada umat Islam yang mempercayai matahari mengelilingi bumi dalam zaman yang sudah serba canggih ini.

    Nak belajar tentang alam semesta ini boleh pergi ke laman web Harun Yahya. Jangan belajar dengan orang yang bukan ilmunya. Silap-silap boleh jumud pemikiran. Dahulu ada lagi seorang ulama Wahhabi yang menyatakan bumi ini rata, bukan sfera. Tapi kenyataan tersebut dipertikaikan sebab tak dapat disahihkan betul atau tidak dari beliau.

    Aneh, aneh..apabila orang yang bukan ahlinya terjun dalam bidang yang bukan dalam cakupan kemahirannya, inilah yang terjadi. Samalah juga dengan sikap sesetengah antara kita yang belajar engineering, ekonomi, sains dan sebagainya, tetapi menyibuk masuk mengkaji hal-hal kecil dalam agama seperti kerajihan hukum air mustakmal.

    Macam mana umat nak maju?

    Mari Baca: The Creation of the Universe oleh Harun Yahya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bacaan Maulid Nabi

    01 April 2007 • 7 Komen


    Satu lagi track dari Mawlid at Abbey Road oleh Shaam. Album ini ada 33 track kesemuanya. Dan track yang anda dengar ini adalah gabungan track 24 & 25, yang masing-masing bertajuk Talama Ashku Gharami dan Ya Rijal Allah.

    Sokonglah kumpulan nasyid ini dengan membeli album mereka.

    Bacaan ini adalah antara bacaan-bacaan lazim yang dibaca ketika majlis maulid Nabi diadakan. Walaupun saya cuma faham sikit-sikit sahaja, tetapi dengan hanya mendengar irama dan rentak alunan nyanyian maulid tradisional berentak Syria ini, sudah cukup memberikan rasa cinta kepada Rasulullah sallahu alayhi wasalam.

    Tetapi malangnya, ada juga umat Islam yang seolah-olah benci, malah membida'ah sesatkan orang-orang yang berkumpul membaca zikir maulid ini. Entah apa kena. Tak tahulah hamba.

    Baca maulid dikatakan bida'ah, tetapi kalau nyanyi lagi nasyid Hijjaz, Raihan, Sami Yusuf, yang memuji-muji Nabi, tak pula dikatakan bida'ah sesat. Berkumpul bagi membaca bait-bait puisi Qasidah Burdah karangan Imam al-Busiri, juga dikatakan sesat. Masuk neraka. Waduh waduh. Orang yang pergi tonton siaran bola di stadium sampai lupa nak solat pun kita tak senang-senang tuduh mereka masuk neraka.

    Ini zaman berkecamuk. Ini zaman orang suka menghantar orang lain ke neraka berbanding ke syurga. Rasa-rasanya, isu membida'ahkan sambutan maulid Nabi ini macam dah agak kurang kedengaran berbanding dahulu. Dah insaf agaknya. Mana-mana yang tak insaf lagi, sila baca entri yang lepas.

    Baiklah. Kita abaikan sahaja golongan yang suka bawa isu remeh-temeh itu. Mari menyanyi bacaan maulid di atas. Ya Rabbi salli 'ala Muhammad, Ya Rabbi salli 'alayhi wa Sallim:


    JALAN-JALAN:
    Kempen Selamatkan Hijaz. Satu kempen bagi menentang proses pemusnahan tempat-tempat bersejarah Islam di Mekah dan Madinah.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »