Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Jalan-Jalan, Cari Makan

    26 Februari 2007 • 2 Komen
    gambar kartun makan

    Sekadar teaser untuk entri yang akan datang.. Gambar kartun yang diambil dari majalah Ujang Gila-Gila. ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Doa Belajar oleh Imam al-Haddad

    23 Februari 2007 • 11 Komen
    Niat adalah inti utama ibadat. Tanpa niat yang betul dan ikhlas, amalan yang baik sekalipun tidak akan diterima oleh Allah. Oleh itu, apabila kita mencari ilmu, tidak kira ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, maka adalah penting bagi kita untuk sentiasa memeriksa niat kita itu. Sesuatu ilmu itu menjadi ilmu sekular apabila ia membawa kita jauh dari mengingati Allah, sama ada Geografi, Fizik, Matematik, bahkan ilmu fiqh, hadith, al-Quran, dan sebagainya.

    Oleh itu, Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad (iaitu Imam al-Haddad; 1044-1132H) sangat menggalakkan anak-anak muridnya untuk membaca satu doa yang dibaca sebelum memulakan sesi pembelajaran. Dan doa ini adalah antara doa yang selalu diulang-ulang oleh para pelajar di Darul Mustafa, Tarim.

    Doa yang diajarkan oleh Imam al-Haddad itu adalah seperti di bawah ini:

    doa oleh imam al-haddad

    Ini pula contoh bacaannya, seperti mana yang dibacakan oleh Ustaz Fauzi dalam program Deen Intensive Dublin pada Summer 2006 yang lepas (dari kelas talaqqi Tarbiyatus Sibyan karangan Imam Ramli. Doa yang anda dengar ini ada tambahan doa lain):



    Ini pula terjemahan kepada doa ini (kalau ada silap, sila betulkan):
    Aku niatkan untuk belajar dan mengajar,
    mengambil dan memberi manfa'at,
    mengambil dan memberi peringatan,
    mengambil faedah dan memberi faedah,
    berpegang teguh pada Kitab Allah
    dan sunnah Rasulullah sallahu alayhi wassalam,
    menyeru kepada petunjuk,
    menunjuk ke arah kebaikan,
    menuntut dan mencari keredhaan Allah,
    mendekatkan diri dan mendapatkan balasan dari-Nya.
    Amin.

    Oleh itu, pastikan kita selalu memeriksa niat kerana niat itu terletak di hati, dan hati pula adalah satu tempat yang sangat senang untuk berubah-ubah dan berbolak-balik sifatnya. Niat yang ikhlas akan membawa hasil yang berkat. Mungkin kisah yang akan saya ceritakan di bawah ini, akan menjadi inspirasi dalam usaha kita mencedok dan mencari ilmu yang bermanfaat yang ada di serata dunia ini. Kisah ini saya petik dari The Sufi Sage of Arabia oleh Dr Mostafa al-Badawi. Buku ini adalah biografi kisah hidup Imam al-Haddad.

    Orang Pertama Digelar al-Haddad

    Keturunan Bani Alawi pertama yang mendapat gelaran al-Haddad (secara literal bermaksud Tukang Besi) ialah Syed Ahmad yang hidup pada kurun ke-9 Hijrah. Beliau sering menghabiskan masanya di sebuah kedai membuat barangan besi di Tarim. Syed Ahmad dan si Tukang Besi ini adalah bersahabat baik.

    Pada masa yang sama juga, terdapat seorang lagi keturunan Nabi yang bernama Syed Ahmad yang juga tinggal di Tarim. Syed Ahmad yang ini sangat terkenal orangnya, dan mempunyai ramai anak murid.

    Apabila melihat keadaan ini, si Tukang Besi berasa agak sukar untuk menerima kenyataan kerana kawan baiknya, iaitu Syed Ahmad, yang sering berada di kedainya, yang mana beliau menganggapnya sebagai seorang Wali Allah, tidak mendapat perhatian langsung dari masyarakat setempat. Bagaimana Syed Ahmad yang itu begitu popular, padahal Syed Ahmad rakannya pula, tak ada sangat yang mengenalinya.

    Maka dia pun sering mengkritik sahabatnya itu. Satu hari, Syed Ahmad ini membalas kritikan sahabatnya dengan berkata, "Insya-Allah, kamu akan menyaksikan sesuatu yang akan membuatkan kamu gembira." Tidak berapa lama selepas itu, orang ramai mula datang berbondong-bondong ke kedai milik si Tukang Besi itu untuk berjumpa dengan Syed Ahmad, duduk bersama-sama dengannya, dan meminta doa dari Syed Ahmad.

    Pada akhirnya, jumlah orang ramai yang datang telah melebihi dari kapasiti yang boleh ditampung oleh kedai si Tukang Besi itu, sehingga dia sudah tidak boleh melakukan sebarang kerja hariannya lagi. Apabila ini berlaku, maka dia berkata kepada Syed Ahmad, "Wahai Syed, cukuplah ini. Sekarang aku yakin bahawa kamu adalah seperti apa yang aku fikirkan."

    Apabila orang ramai sudah mula mengenali kehebatan ilmu kedua-dua orang Syed Ahmad yang ada di Tarim, maka mereka menggelarkan Syed Ahmad yang selalu berada di kedai si Tukang Besi sebagai Syed Ahmad al-Haddad.

    Dan keturunan yang lahir dari Syed Ahmad al-Haddad ini kesemuanya ditambahkan gelaran al-Haddad pada penghujung namanya, seperti mana nama Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad, dan juga Habib Ahmad Mashhur al-Haddad, yang merupakan salah seorang guru kepada Dr Mostafa al-Badawi, yang kini merupakan seorang doktor pakar Psikiatri di UK.

    Semoga Allah merahmati roh Imam al-Haddad dan orang-orang soleh yang lain, sama ada yang masih hidup mahu pun yang telah mendahului kita. Amin.

    P.S. Terima kasih kepada Ibnulfaridh kerana menolong melakukan terjemahan doa di atas.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kisah Si Padang Jawa

    15 Februari 2007 • 65 Komen
    Saya berasal dari Padang Jawa. Padang Jawa ini adalah satu kariah yang pada dahulunya milik Majlis Perbandaran Klang, dan kemudian pada awal tahun 2000, jatuh bangun kampung saya ini sudah berada di bawah tampuk pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Acapkali ada orang yang tersesat masuk ke dalam Padang Jawa, padahal mereka mahu pergi ke Kampung Jawa yang berdekatan KISAS.

    Walau pun Shah Alam sudah menjadi sebuah bandaraya pada detik 10 Oktober 2000, tetapi saya masih tertanya-tanya bilakah sebuah hospital kerajaan setaraf Putrajaya (atau pun sekurang-kurangnya setaraf Hospital Banting) akan muncul di bandar yang mempunyai populasi kira-kira 600,000 ribu orang yang bertebaran di 56 buah seksyen.

    Agaknya Datuk Bandar Shah Alam dan MB Selangor masih lagi ingin bergurau-senda dengan kita. Dan proses gurau-senda ini sudah pun berlaku selama 7 tahun. Shah Alam adalah ibu negeri Selangor dan Selangor pula merupakan negeri paling maju di Malaysia, tetapi tiada hospital kerajaan di dalamnya. Ini tidak kelakar. Tiada sesiapa mahu bergurau-senda dalam hal-hal seperti ini.

    Jika ini berlaku, maka akan senantiasa berputarlah plot dan tema drama realiti seorang makcik tua yang menangis bagai nak rak, apabila melihat bil hospital anaknya yang dimasukkan secara kecemasan akibat eksiden motorsikal, yang beribu-ribu RM jumlahnya. Padahal anaknya itu cuma patah kaki. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak ambulans ke Selangor Medical Center tiada siapa dapat menolongnya.

    Bagi sesiapa yang tidak tahu di mana Padang Jawa ini, maka cukuplah saya mengatakan bahawa mercu tanda utamanya ialah Puspakom. Puspakom ini terletak di bahagian barat rumah saya. 10 minit berbasikal ke arah timur dari rumah saya pula terdapat INTEC yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pendidikan Persediaan (PPP UiTM) yang terletak di Seksyen 17. Bersebelahan Puspakom ini terdapat tapak tanah perkuburan Islam. Apabila berlaku kematian di kampung saya, biasanya jenazah akan dikebumikan di situ. Bersebelahan tapak perkuburan itu pula ialah Lebuhraya Persekutuan. Sewaktu tok imam membacakan talkin dan mendoakan kesejahteraan si arwah, bunyi-bunyi enjin motokar yang derumannya bersilih ganti seolah-olah turut mengaminkan apa-apa yang perlu diaminkan.

    Padang Jawa boleh diakses melalui perkhidmatan bas awam yang melakukan perjalanan pergi balik Klang-Shah Alam. Bayaran tambangnya adalah tetap; iaitu 80 sen. Beberapa tahun lampau, apabila tambangnya mahu dinaikkan dari 70 sen ke 80 sen, para pengusaha bas berhujah bahawa bas mereka memiliki air-cond. Bagi rakyat Malaysia yang hidup pada garisan Khatulistiwa, kemewahan air-cond adalah satu perkara yang asyik lagi nikmat. Maka, tiada begitu banyak rungutan yang diterima waktu itu. Malangnya, apabila harga minyak mentah dunia semakin meningkat tahun demi tahun, suhu dalaman bas itu juga nampaknya semakin meningkat. Hari ini, 90% bas-bas mini yang memasuki Padang Jawa sudah memiliki air-cond asli: angin. Maka sekarang ini, semakin keraplah saya melihat gadis-gadis tidak bertudung, yang asyik membetulkan rambutnya apabila desiran angin kuat mengibas-ngibas rambut mereka yang terburai.

    Oh ya, jika anda tidak bernasib baik, perjalanan (termasuk waktu tunggu bas datang) dari Klang-Padang Jawa atau Shah Alam-Padang Jawa mungkin mengambil masa kira-kira 1 jam. Bayangkan berapa lama pula kalau Klang-Shah Alam. Tapi apa mahu kisah. Pengangkutan awam Malaysia memang begitu, tidak efisien walau pun di dalam lingkaran sebuah bandaraya, dan ia kini sedang berada di ambang apokalips jika Menteri Pengangkutan tidak bertindak bijak. Maka janganlah hairan apabila negara kita mengalami kesesakan trafik yang maha dahsyat, dan janganlah juga naik ajaib apabila budak tingkatan 1 sudah tidak sabar-sabar mahu mengambil Lesen P.

    Seorang rakan saya di London (memang lahir dan membesar di London, berbangsa Pakistan) tergelak besar apabila dia ditanya adakah sudah mengambil lesen kereta. Waktu itu umurnya 21 tahun dan masih belajar. Hidup di tempat yang memiliki sistem pengangkutan awam yang efektif menyebabkan seseorang tidak perlu langsung memiliki kereta mahu pun motor, lagi-lagi jika orang bujang trang tang tang. Tetapi di negara kita, tabiat mengambil lesen kenderaan selepas SPM adalah budaya unik orang kita. Sama ada kita akan pandu kereta atau tidak, sama ada kita akan tunggang kapcai atau tidak, sama ada kita mahu jadi mat rempit atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting, habis SPM pergi ambil lesen. Hakikatnya, ramai orang yang ada lesen tetapi lesennya itu hanya terselit kemas dalam dompetnya, tanpa pernah langsung diperiksa oleh JPJ. Ini selalunya berlaku kepada wanita.

    Padang Jawa juga boleh dilawati dengan menaiki tren komuter. Apabila anda mahu membeli tiket komuter, carilah butang yang bertanda Padang Jawa. Stesen Komuter itu terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Padang Jawa (SKPJ), iaitu tempat saya menadah ilmu dari umur 7 hinggalah 12 tahun. Dan di sebelah sekolah ini pula terdapat bahagian bontot kilang CCM yang sangat besar. Kilang CCM ini adalah kilang yang menghasilan bahan-bahan kimia. Ketika saya masih kecil, selalu juga saya belajar di kelas sambil mengirup udara busuk dari kilang tersebut. Sekarang ini, nampaknya sudah tiada lagi bau busuk tersebut. Mungkin Jabatan Alam Sekitar, dengan bantuan Karam Singh Walia sudah pun melakukan tindakan tegas ke atas kilang tersebut (setelah beberapa tahun). Kini, murid-murid SKPJ boleh belajar dengan menghirup udara yang lebih bersih.

    sembelih lembu
    Seekor lembu untuk disembelih sempena satu majlis kenduri kahwin jiran. Gambar dari beranda rumahku.


    Dari mana asalnya nama Padang Jawa ini? Saya sendiri tidak tahu dari mana asalnya nama Padang Jawa ini. Ayah dan ibu saya adalah antara penghuni terawal Padang Jawa. Mereka sudah menetap di situ sejak awal 60-an lagi. Zaman itu Padang Jawa masih kaya dengan hutan rimba. Amat mudah untuk mendengar bunyi cengkerik menyanyi-nyanyi di waktu malam. Seksyen 17 waktu itu juga ditumbuhi dengan tanaman kelapa sawit. UiTM juga masih tidak wujud, apatah lagi Kompleks PKNS. Malah waktu itu, Padang Jawa merupakan kawasan yang masih 'keras'. Kira-kira 200 meter di belakang rumah saya ada satu pokok kundur besar yang dikatakan berpenunggu. Tetapi kini pokok kundur itu sudah tiada. Dan sewaktu kakak sulung saya masih kecil, dia dan beberapa orang lagi adik-beradik saya pernah melihat satu lembaga yang mempunyai rambut yang panjang mengerbang (iaitu hantu) sedang mengetuk lesung batu di bahagian dapur rumah. Dan lesung batu itu kini sudah pun berusia dalam 30 tahun, dan ia masih lagi digunakan oleh ibu saya untuk membuat sambal belacan dan lain-lain lagi.

    Pada masa itu jiran terdekat ayah dan ibu saya bernama Pakcik Suradi yang mana jarak rumahnya terletak kira-kira 500 meter. Pada hari ini, jiran terdekat keluarga saya hanya dipisahkan oleh jarak satu ludah. Pakcik Suradi ini masih hidup, cuma sekarang ini beliau selalunya akan solat dalam keadaan duduk. Jika hanya ada saya dan dia dalam surau, dia akan menyuruh saya menjadi imam. Saya selalunya menolak memandangkan dia lebih tua dan berilmu dari saya. Tetapi disebabkan keuzurannya, saya terpaksa menerimanya juga. Tongkat kayu pula adalah temannya ketika berjalan. Saya tabik spring kepadanya kerana beliau jarang sekali meninggalkan solat berjemaah di surau atau masjid, walaupun ketika saya masih kecil, saya selalu juga lari dan menyorokkan diri apabila ternampak batang hidung beliau.

    Ini kerana saya tidak tahu mahu beri alasan apa apabila saya diajak bersolat di surau yang letaknya kira-kira 4 minit berjalan kaki dari rumah. Namun demikian, ini tidaklah menghalang saya dan rakan sepermainan dari terus bermain bola sepak lima sebelah di halaman rumahnya yang sangat luas dan mempunyai rumput lembut ala-ala rumput oversea. Tapi syarat tetap ada. Kata beliau dengan tegas, "Kalau nak main bola kat depan rumah Wak Long ni, kena solat jemaah kat surau!" Di hadapan rumah Pakcik Suradi ini ada telefon awam yang sering digunakan untuk aktiviti gayut-menggayut. Saya tidak tahu betapa marahnya dalam hati Pakcik Suradi ini apabila beliau melihat ada makhluk yang bergayut di situ apabila azan sudah pun dilaungkan.

    Pakcik Suradi ini, atau lebih mesra dipanggil sebagai Wak Long adalah orang Jawa. Isterinya juga orang Jawa. Begitu juga dengan ibu saya. Tetapi ayah saya adalah Banjar. Dan ini seterusnya melayakkan saya dipanggil anak kacukan (Jawa + Banjar). Bagi kebanyakkan manusia, menjadi anak kacukan menyebabkan mereka bangga dan kembang hidung, lagi-lagi jika ada DNA mat saleh yang melekat di dalam tubuh, sehingga mereka lupa bahawa yang Allah pandang pada manusia hanyalah takwa, dan takwa itulah sebaik-baik bekal untuk kita bertemu Allah.

    Kadang-kadang, untuk menyenangkan hati beberapa orang kawan saya yang bukan anak kacukan, saya selalunya akan berkata kepada mereka, "Mak kau perempuan, ayah lelaki. Kacukan la tu." Dan acapkali, mereka berpuas hati dengan nasihat saya tersebut. Tapi dalam hati, mereka mungkin masih berharap jika 20 tahun lebih yang dahulu, ayahnya memilih untuk berkahwin dengan seorang gadis British berambut blonde dan bermata biru, dan bentuk badannya pula bak seorang supermodel yang dipilih menjadi duta produk Calvin Klein.

    Apabila saya melihat secara kasar penduduk asal Padang Jawa ini, saya mendapati kebanyakannya adalah orang-orang Jawa. Mungkin, disebabkan orang-orang Jawa menjadi majoriti, maka muncullah nama Padang Jawa itu. Cuma sekarang ini, apabila demografi Padang Jawa semakin berubah beransur-ansur menjadi seperti mana Kampung Baru, dek kerana diapit oleh Shah Alam dan Klang yang pesat membangun, maka ia telah menerima banyak kehadiran orang-orang dagang dari luar yang mahu mencari rezeki di kilang-kilang yang banyak terdapat di Seksyen 16.

    Akhirnya fenomena ini telah meningkatkan ekonomi penduduk Padang Jawa. Rumah-rumah kayu juga sudah banyak yang berubah menjadi rumah batu. Yang kaya pula sudah memasang pintu pagar besi saiz king-kong yang boleh menghalang pencuri dari memecahkannya (tetapi masih boleh dipanjat). Bagi si peminta derma pula, mereka akan berfikir banyak kali sebelum memberikan salam. Atau kadang-kala, mereka sudah tidak lagi perlu lagi memberikan salam kerana kemajuan teknologi hari ini. Sebuah punat kecil yang boleh mendendangkan bunyi ting-tong apabila dipicit, ada terletak di bersebelahan pagar besi yang beratnya berkali-ganda dari si tuan rumah itu sendiri. Setakat ini, masih tiada sebuah rumah di Padang Jawa yang memasang CCTV, dan ia mungkin akan ada satu ketika nanti.

    Padang Jawa di era pasca millenium adalah sebuah kampung moden yang didiami oleh masyarakat madani mini. Orang Melayu lebih kurang 95% dan India 5%. Bangsa Cina pula sangat kecil jumlahnya. Setakat yang saya tahu, ada 3 sahaja keluarga cina yang pernah tinggal di Padang Jawa. Yang pertama tinggal di atas kedai mamak (rumah kedai). Sewaktu kecil, ayah saya sering membawa saya ke kedai mamak ini untuk membelikan jajan Tora dan Ding-Dang yang amat popular satu ketika dahulu.

    Keluarga Cina yang kedua pula agak popular kerana mereka memiliki sebuah kedai membaiki basikal di samping kedai runcit harian. Ketua keluarganya bernama John dan sesiapa yang tidak tahu Kedai John, maka sahlah mereka adalah pendatang baru di Padang Jawa. John juga antara penghuni terlama Padang Jawa dan merupakan kenalan rapat keluarga saya. John dan isterinya suka mengusik ibu saya dengan memanggilnya 'Minah cantik'. Dahulu ketika ibu saya membela ayam kampung, maka sayalah yang selalu ditugaskan untuk membeli terigu (makanan ayam) di kedai John kerana harganya yang agak murah. Selalunya, isteri John akan mengakhiri transaksi dengan berkata, "Kirim salam sama Minah cantik." Pelanggan utama yang membeli ayam yang ibu saya bela pula adalah orang-orang Indon. Orang-orang Indon sebenarnya lebih sukakan ayam kampung berbanding ayam bandar yang sudah disuntik dengan hormon estrogen.

    Anak-anak John membesar di Padang Jawa. Cuma mereka disekolahkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina). Namun demikian, 2 anaknya yang terakhir bersekolah di sekolah menengah yang sama dengan saya. Kedua-duanya merupakan kenalan merangkap junior saya, seorang lelaki dan seorang perempuan, dan salah seorangnya pernah menjadi anak murid saya dalam kelas tutorial kimia percuma yang saya adakan kira-kira 4 tahun lepas. Yang lagi seorang pula kini menjaga kedai jual telefon dan sim card secara part-time di Padang Jawa. Kedai telefon ini kalau tidak silap adalah milik abangnya. Kedai telefon itu terletak di Jalan Mat Raji, yang mana saya menganggap jalan ini sebagai Bukit Bintang versi Padang Jawa. Ini kerana kawasan ini begitu banyak kedai runcit, restoran, dan kiosk makanan yang beraneka ragam. Inilah kawasan yang paling terang di waktu malam di Padang Jawa.

    Keluarga cina ketiga yang saya tahu pula hanyalah seorang wanita yang tinggal bersendirian. Saya mengetahuinya dari ibu saya. Kira-kira setahun lebih yang lepas, wanita cina ini mula menghadirkan dirinya dalam kelas pengajian Ahad di Masjid as-Solihin yang sering dihadiri oleh ibu saya. Masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang ada di Padang Jawa. Oleh kerana populasi penduduk Padang Jawa asyik meningkat, maka masjid ini sudah entah berapa kali diperbesarkan perimeternya. Usaha pembesaran Masjid as-Solihin ini begitu bermakna apabila tibanya hari Jumaat dan hari raya. Tetapi, pada waktu-waktu lain, usaha pembesaran itu nampaknya begitu membazir. Ini seperti mana yang berlaku pada masjid-masjid mahal lagi glemer di negara kita. Pengimarahan masjid gagal!

    Di Masjid as-Solihin inilah berlakunya bibit-bibit perkenalan di antara wanita cina itu dan ibu saya. Menurut riwayat ibu saya yang Insha-Allah hasan, dan disahihkan pula oleh saya, wanita cina itu dahulunya bukan Islam. Buddha barangkali. Beliau tiada suami. Tetapi tak pasti pula kalau kenapa dia tiada suami. Apa yang menyebabkan beliau memeluk Islam adalah kerana pengalamannya berkerja sebagai seorang nurse. Menjadi nurse membuatkan dia sering melihat babak-babak akhir kehidupan seorang manusia.

    Katanya, beliau melihat orang-orang Islam mati begitu senang. Kalau orang-orang kafir, begitu seksa untuk mati. Hal ini membuatkan beliau menjadi takut dan seterusnya berfikir panjang untuk mencari sebab hakiki kepada fenomena aneh dan misteri tersebut. Akhirnya pencarian itu membawa beliau kepada Islam. Alhamdulillah. Pengalaman beliau itu mirip kepada apa yang dialami oleh Dr Maurice Bucaille (pengarang buku The Bible, The Qur'an and Science) yang merupakan seorang doktor berbangsa Perancis. Dr Maurice tertarik untuk mendalami Islam setelah melihat bagaimana orang-orang Islam dari wilayah Afrika Utara (seperti Maghribi, Tunisia, Algeria) yang banyak terdapat di Perancis, menghembuskan nafas mereka yang terakhir. Sebagai seorang doktor, sudah pasti beliau melihat pelbagai jenis ragam dan karenah manusia dalam perkara-perkara yang melibatkan hidup dan mati ini.

    Beliau berasa kagum kepada si mati dan keluarga si mati. Baginya, orang-orang Islam nampak lebih matang dan bersedia untuk menghadapi satu taboo universal yang dinamakan kematian. Namun demikian, setakat yang saya tahu, tiada sumber sahih yang dapat membuktikan bahawa beliau adalah seorang Muslim, walaupun pada hakikatnya beliau banyak mengkaji tentang Al-Quran dan menyanggah Bible. Kita doakan sahaja beliau mati dalam Islam. Amin..

    Nampaknya saya sudah menulis dengan sangat panjang. Tetapi masih ada perkara lain yang belum disentuh. Tak mengapalah, di sini saya berhenti dahulu. Dan sebagai satu dedikasi kepada kampung tempat tumpah darahku, dan juga orang-orang Jawa di luar sana, maka saya putarkan lagu Tombo Ati oleh Opick. Selamat mendengar. Kalau tak faham, sila tanya rakan-rakan Jawa anda yang berdekatan.


    Tombo Ati iku limo perkorone
    Kaping pisan moco Qur'an lan maknane
    Kaping pindo sholat wengi lakonono
    Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
    Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
    Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

    Salah sawijine sopo iso ngelakoni
    Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

    Obat Hati ada lima perkaranya
    Yang pertama baca Qur'an dan maknanya
    Yang kedua sholat malam dirikanlah
    Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
    Yang keempat perbanyaklah berpuasa
    Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

    Salah satunya siapa bisa menjalani
    Moga-moga Gusti Allah mencukupi
    ¶ Teruskan membaca entri ini »