Kami sebenarnya secara tidak sengaja terjumpa dengan kedai makan halal di Granada ini ketika tersesat mencari-cari tempat peninjauan itu. Niat yang kami pasang, makan biskut sahaja sudah cukuplah sebagai pengalas perut malam itu. Tapi, sebab sudah terjumpa, nafsu kami terhadap biskut itu sudah terpadam - ibarat api yang disimbah air.
Aku ternampak satu papan tanda yang bertulis Rasheed Ahmed Comida Pakistani. Aku jangka di situ ada jual kebab halal. Kami memasuki lorong kecil yang menuju ke kedai itu. Lorong ini tidaklah sebesar mana, tetapi ia sudah cukup bagi membolehkan sebuah lori ikan kecil melaluinya. Jalannya pula dibuat daripada susunan batu-batu bersaiz sederhana. Lorong ini sebenarnya agak malap. Hanya lampu-lampu jalan yang berwarna kuning menjadi penerang lorong ini. Kalau kedai-kedai yang ada di sini sudah pun ditutup, pasti makin gelap dan sunyilah lorong ini. Kami sekadar berharap kedai-kedai itu tidak ditutup awal.
Di sinilah kami memakan kebab pakcik Pakistan itu. Sedap!
Di bahagian hulu jalan ini, pengunjung dapat berjumpa dengan beberapa buah kedai halal. Tapi aku tidaklah pula pasti adakah ia akan berterusan sehingga ke penghujung lorong ini. Lorong itu agak panjang sehingga aku tidak dapat melihat penghujungnya.
Kedai itu seperti yang dijangka. Memang kedai kebab. Kedai kebab itu dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Pakistan. Aku bertanya kepadanya sama ada dia boleh atau tidak berbicara dalam bahasa Inggeris. Dia menjawab: 'Bolehlah sikit-sikit'.
Maka kami pun memesan makanan dalam bahasa Inggeris. Agak murah kebab yang dijual di Sepanyol ini. Baik di Barcelona dan di Granada. Kalau tidak silap, satu kebab biasa berharga 3 Euro (RM 14.50). Aku beli 2 kebab special. Satu makan malam ini, dan satu untuk esok pagi.
Kebab yang dimasak oleh pakcik itu agak berbeza. Ada telur goreng yang turut menjadi inti kebab itu. Tidak pernah aku makan kebab yang ada telur goreng ini. Kami menunggu dengan penuh sabar. Tapi aku rasa, pakcik itu masak kebab agak lambat. Mungkin itu sekadar perasaan. Maklumlah, dah lapar. Kami menunggu dengan penuh sabar.
Sewaktu menunggu itu, kami melihat ada beberapa orang yang memasuki kedai itu. Tapi nampaknya, mereka semua bukanlah mahu memesan makanan. Mereka nampaknya ada urusan dengan pakcik itu. Aku tidaklah tahu apakah gerangan urusan itu kerana mereka berbual dalam Spanish. Kami terus menunggu dan menunggu buat beberapa minit lagi. Kemudian ada seorang gadis remaja yang memasuki kedai itu.
Berdasarkan tingkah-laku dan perbualannya dengan pakcik Pakistan itu, aku kira dia adalah anak kepada pakcik itu. Aku menolak kemungkinan dia adalah isteri pakcik itu kerana gadis itu kelihatan masih belasan tahun. Pakcik itu pula kelihatan seperti awal 50-an.
Bosan menunggu, aku keluar dari kedai itu untuk melihat-lihat lorong itu. Waktu itulah aku menyedari yang kami berada di Jalan Elvira. Perkataan 'Jalan Elvira' diukir cantik pada beberapa kepingan mozek yang dilekatkan pada dinding sebuah bangunan. Ada 3 buah kedai lain yang ada di sekitar Rasheed Ahmed Kebab. Kelihatannya seperti kedai runcit. Aku tidak masuk kerana pemilik kedai itu nampaknya sudah mahu menutup perniagaannya pada hari itu.
Setelah kebab siap dimasak, kami makan di situ juga. Selesai makan, kami bertanya kepada pemilik kedai itu di manakah kedudukan kami di dalam peta bandaraya Granada. Alamak, dia tidak faham pula pertanyaan kami. Memanglah dia sekadar 'boleh sikit-sikit' berbahasa Inggeris. Pakcik itu kemudiannya memanggil anak perempuannya yang ada berdekatan dengannya. Kami harap anaknya itu dapat berbahasa Inggeris dengan baik.
Bapa borek, anak rintik. Lagi teruk dari bapanya. Satu apa pun dia tak faham Inggeris. Aku mengambil jalan lain. Aku menunjukkan peta bandaraya Granada dan cuba membuat bahasa isyarat: 'Di manakah kami di dalam peta ini?'
Aku terasa seperti sedang berlakon pula dihadapannya. Kalau tidak ada 2 kawan aku yang lain itu, tentu aku sudah tersipu-sipu malu. Tapi akhirnya, berjaya juga kami setelah aku teringat nama jalan kami berada ini. Aku bertanya 'Elvira?' sambil menunjukkan peta itu. Dia faham. Tapi dia macam tidak faham baca peta pula.
Memang banyak masalah. Kira-kira 3 minit, barulah kami faham dan dia pun faham kami. Setelah kami tahu kedudukan tepat kami, kami keluar untuk pergi ke tempat peninjauan itu.
Kedai halal berdekatan.
Juga sebuah kedai halal.
Kedai halal juga.
Kalau lapar di Granada, carilah Jalan Elvira. ¶ Teruskan membaca entri ini »